Rabu, 31 Oktober 2007

kedudukan islam dalam undang-undang malaysia kini

KEDUDUKAN ISLAM DALAM UNDANG-UNDANG MALAYSIA KINI

Pendahuluan
Apabila kita bercakap soal Islam dalam undang-undang Malaysia, kita tidak dapat lari daripada berbicara tentang 2 perkara utama:
1) kedudukan Islam dalam perlembagaan Malaysia
2) Mahkamah Syariah dan bidang kuasanya

ini kerana perlembagaan persekutuan merupakan rujukan tertinggi bagi Malaysia. Mana-mana undang-undang yang dibuat yang bertentangan dengan perlembagaan dianggap terbatal. Oleh itu, penulis merasakan suatu perkara yang aneh lagi janggal sekiranya kita berbicara soal Islam dalam undang-undang Malaysia tanpa kita merujuk kepada perlembagaan persekutuan.

Selain itu, penulis juga merasakan perlu untuk menyentuh bidang kuasa Mahkamah Syariah supaya kita dapat melihat sejauh mana kedudukan Islam dalam undang-undang di negara kita dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaannya.

Skop perbahasan
Kertas kerja ini hanya akan memberi tumpuan kepada kedudukan Islam dalm undang-undagn Malaysia pada masa kini. Perkataan pada masa kini ditafsirkan sebagai selepas kemerdekaan. Jelasnya, penulis akan melihat kedudukan Islam dalam undang-undang Malaysia selepas merdeka (1957) sehingga sekarang.

Kedudukan Islam menurut perlembagaan
Perlembagaan persekutuan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama persekutuan. Perkara 3 (1) perlembagaan persekutuan ada menyebut : agama Islam ialah agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan. Pertuntukan ini bertujuan memberi beberapa keutamaan kepada Islam dalam beberapa perkara yang ditetaplan oleh perlembagaan seperti yang berhubung dengan bantuan kewangan untuk meningkatkan syiar Islam, menetapkan Yang Dipertuan Agong selamanya orang Islam, menyerkat dan mengawal penyebaran agama lain kepada orang-orang Islam dan beberapa upacara rasmi.

Walaupun agama Islam telah diisytiharkan sebagai agama asmi bagi persekutuan, hakikat tesebut tidak boleh digunakan untuk mengatasi peruntukan-peruntukan perlembagaan yang lain. Ini jelas dinyatakan oleh perlembagaan persekutuan dalam perkara 3 (1): tiada apa-apa dalam perkara ini mengurangkan kuasa mana-mana peruntukan lain dalam perlembagaan ini.

Kedudukan Islam dalam undang-undang Malaysia pada masa kini sebenarnya tidak banyak menampakkan perubahan jika dibandingkan dengan zaman sebelum merdeka. Hal ini jelas berdasarkan kepada penafsiran dan penghukuman yang dibuat oleh Mahkamah Agong dalam kes Che Omar lwn Pendakwaraya (1998) dan Wan Jalil lwn Pendakwaraya (1982). Dalam kes ini, telah dihujahkan bahawa hukuman mati untuk kesalahan mengedar dadah dan kesalahan di bawah akta senjata api(hukuman tambahan) adalah bertentangan dengan agama Islam yang terdapat dalam perlembagaan persekutuan itu sendiri dan dengan sendirinya terbatal. Hujah yang dikemukakan ialah hukuman itu bukanlah hudud atau qisas. Peruntukan hukuman mati adalah berlawanan dengan undang-undang Islam dan oleh kerana itu ia tidak sah mengikut perlembagaan. Mengikut siaran di akhbar, timbalan pendakwaraya yang hadir bagi pihak pendakwaraya telah mengatakan bahawa belau tidak sanggup menghujahkan sama ada hukuman mati mandatori dalam kes-kes itu berlawanan dengan undang-undang Islam atau tidak. Dalam hubungan ini, Mahkamah Agong menyatakan bahawa perkataan Islam yang terdapat dalam perkara 3 perlembagaan malaysia itu hanya terhad kepada perkara-perkara upacara daan adat-istiadat agama. Dalam kes ini, mahkamah merujuk kepada persetujuan jawatankuasa yang menggubal perlembagaan perkutuan Islam dapat difahami pada masa itu. Maknanya Mahkamah Syariah masih tetap dalam ruang yang sedia ada seperti yang dinyatakan dalam jadual kesembilan.

Dalam dekad 80an, kes-kes yang bidang kuasanya terletak di bawah Mahmakamah Syariah masih boleh diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. Walau bagaimanapun, para hakim di Mahkamah Tinggi nampaknya ada kecenderungan untuk memutuskan hukuman berdasarkan hukum Islam. Mereka memberi pertimbangan kepada fatwa-fatwa yang diberikan oleh orang yang berautoriti. Kes ini sepatutnya didengar dalam Mahkamah Syariah tetapi kerana kuasa Mahkamah-Mahkamah Tinggi atau Mahkamah–Mahkamaha Sivil mengatasi keputusan-keputusan yang dibuatnya, Mahkamah Agong mengambil alih

Contohnya dalam kes Tengku Jaafar Ibn almarhum Tengku Muda Ali & Anor lwn Kerajaan Pahang (1987), isu utama ialah tentang kesahan pemberian tanah sebagai hadiah oleh Sultan Pahang kepada anak perempuannya. Dalam hubungan itu, Tun Salleh Abbas, Ketua Hakim Negara, memutuskan bahawa hadiah itu tidak sah dengan merujuk kepada Undang-Undang Islam itu sendiri seperti yang dicatatkan dalam Minhaj al-Talibin yang ditulis oleh al-Nawawi, diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh E.L Howards. Hakim itu berkata: hadiah tanah itu telah dibuat oleh sultan hampir 2 tahun sebelum peraturan tanah 1989 dan tidak syak lagi bahawa undang-undang yang harus dikenakan kepada hadiah itu ialah hukum Syarak. Mengikut undang-undang itu, seseorang Islam boleh mendapatkan hak milik sekeping tanah yang belum dihidupkan dan ditumbuhi cucuk tanam di atas tanah itu. Seseorang bukan Islam tidak boleh mendapatkan hak milik tanah dengan cara itu. Mereka terpaksa mendapat hak milik daripada raja atau seorang Islam yang memiliki tanah itu dengan cara hadiah atau penjualan

Hal ini juga boleh dilihat dalam kes Re Dato Bentara Luar decd. Haji Yahya Bin Haji Yusuf & Anor lwn Hassan Bin Othman & Anor (1982), yang berhubungan dengan wakaf (wakaf kepada kanak-kanak dan zuriat mereka) sama ada wakaf itu sah atau tidak sah. Dalam kes ini, Mahkamah Persekutuan (dibaca oleh Salleh Abbas) memutuskan bahawa undang-undang yang boleh dipakai untuk menentukan kesahan wakaf dalam kes ini ialah Undang-Undang Islam

Walau bagaimanapun dalam perkara dasar atau undang-undang umum masih lagi meneruskan cara penafsiran lama dalam menghuraikan kedudukan Islam seperti yang dicadangkan dalam pembentukan perlembagaan itu sendiri sebagaimana dalam kes Che Omar lwn Pendakwaraya (1988)

Perkembangan terakhir turut mengubah sistem pemakaian undang-undang yang ada di Mahkamah Syariah. Keputusan dalam bidang kuasa mahkamah tidak boleh didengar di Mahkamah Sivil dan Mahkamah sivil pula mempunyai kuasa untuk mendengarnya. Ini dapat dilihat dalam perkara 121 (1A) yang menjelaskan : mahkamah-mahkamah yang disebutkan dalama fasal (1) iaitu Mahkamah Tinggi termasuk di Sabah dan Sarawak tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ini kerana banyak lagi akta lain yang menghalang pelaksanaan atau penguatkuasaan hukuman yang telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah, ini termasuklah akta(menguatkuasakan nafkah) bagi perempuan-perempuan bersuami dan kanak-kanak 1968. Begitu juga dalam soal menyelesaikan masalah orang-orang yang menganut Islam di bawah umur 18 tahun sebagaimana di dalam kes Susie Teoh: Teoh Eng Huat lwn Kadi Pasir Mas Kelantan dan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (1988). Walau pun kes ini memberikan kemenangan kepada anak yang telah memeluk Islam, tetapi kes ini masih bergantung kepada keputusan Mahkamah Agung apabila rayuannya didengar nanti

Akta penjagaan kanak-kanak 1961 (guardianship infants acts) dan Akta Membaharui (perkahwinan dan perceraian) 1976 adalah di antara undang-undang yang boleh menyekat kewibawaan pihak-pihak yang berkaitan untuk mendapat dan memberikan penyelesaian menurut hukum-hukum Islam. Walau pun sudah ada keputusan dibuat untuk membolehkan suasana yang ada ditafsirkan dengan baik dan memberi keuntungan kepada agama Islam seperti dalam kes Susie Teoh, keputusan itu masih bergantung kepada penyelesaian hakim Mahkamah Agung dan hakim Mahkamah Tinggi yang lain berdasarkan semangat Islam.

Daripada peruntukan-peruntukan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa Undang-Undang Islam di Malaysia hanyalah tertumpu kepada undang-undang keluarga, harta benda khairat, hasil keagamaan, tempat-tempat ibadat dan Mahkamah Syariah. Pada praktisnya, Mahkamah Syariah hanya mebicarakan kes-kes tertentu seperti perceraian, perkahwinan, nafkah anak isteri, warisan dan harta sepencarian. Dalam masalah pewarisan pula, sebenarnya kuasa Mahkamah Syariah hanyalah mengheluarkan sijil faraid yang dipanggil akuan faraid kepada orang yang berhak mengikut kenyataan dan perutusan yang dibuat oleh pemegang amanah, pegawai daerah atau peguam.

Secara kesimpulannya, Undang-Undang Islam masih menjalani proses sekatan dan tahanan dalam pagar yang disempitkan. Hal ini ditambah dengan keadaan yang tidak selaras di antara satu negeri dengan negeri yang lain. Kerajaan persekutuan nampkanya tidak mempunyai kuasa untuk menyatukan keseluruhan negheri-negeri yang ada bagi menyelaraskanU-Undang Islam yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan, yang berkaitan dengan penggubalan undang-undang untuk menyatukan negeri-negeri di bawah persekutuan tidak dibuat dengan baik. Hanya dalam beberapa perkara kecil sahaja yang dipersetujui bersama sepeti penetapan tarikh puasa dan hari raya dan sebagainya.


Mahkamah Syariah dan bidang kuasanya

Mahkamah Syariah ditubuhkan berdasarkan peruntukan perlembagaan yang memberi kuasa kepada negeri-negeri untuk mentadbir Undang-Undang Islam yang digolongkan sebagai undang-undang diri (personal law), berdasarkan kehendak Jadual Kesembilan, senarai (2) butiran satu (1). Namun zahirnya kita nampak Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk undang-undang diri (personal), ia disertakan pula dengan sekatan-sekatan tertentu melalui peruntukan dan akta. Penubuhannya juga berdasarkan kepada peruntukan dalam enakmen pentadbiran hukum syarak bagi negeri-negeri seperti Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam 1952 bagi Selangor dan Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam 1955 bagi Terengganu.

Menurut perlembagaan, Undang-Undang Islam boleh dimaksudkan sebagai undang-undang diri yang tidak mempunyai kuasa menyeluruh tetapi hanya boleh dikuatkuasakan ke atas orang Islam dan dalam bidang yang amat sempit dengan sekatan-sekatan yang khusus. Menurut perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan: semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama di sisi undang-undang. Di dalam peruntukan yang lain pula perlembagaan menegaskan, perkara ini tidak membatal atau melarang seperti yang diperuntukkan dalam perkara 8 (5)(a) yang berbunyi: apa-apa peruntukan yang membuat peraturan-peraturan mengenai undang-undang diri.

Sementara maksud undang-undang diri pula telah diberi penjelasan secara terperinci dalam Perlembagaan Persekutuan seperti berikut:

Kecuali mengenai wilayah-wilayah persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam. Termasuk hukum Syarak yang berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat, wakaf Islam dan takrif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama Islam dan akhirat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang dijalankan kesemuanya sekali dalam negeri adat-istiadat melayu, zakat, fitrah dan baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamamnya: masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan, mengawal perkembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut agama Islam, menentukan perkara-perkara hukum syarak dan iktikad dan adat-istiadat melayu.

Penutup

Secara keseluruhannya, dapatlah kita simpulkan bahawa Islam masih lagi terpinggir daripada undang-undang Malaysia. Terpinggir di sini bukanlah bererti tiada langsung pengaruh Islam dalam perundangan kita, tetapi terpinggir di sini membawa maksud bahawa undang-undang Islam hanya digunapakai pada perkara yang melibatkan diri sendiri sahaja (personal law) seperti hukum perkahwinan, perceraian, warisan atau harta pusaka dan sebagainya. Namun, dalam keadaan terpinggir ini hukum Islam masih lagi diganggu oleh akta dan enakmen yang lain yang semakin menghimpit dan seolah-olah menjadikan Islam sebagai tahanan dalam rumah. Semoga hukum Islam dapat dimartabatkan sepenuhnya suatu hari nanti.

























BIBLIOGRAFI

Ahmad Ibrahim. 1995. Mendekati Sejarah Undang-Undang Di Malaysia Dan Singapura. Terjemahan Muhammad bukhari Abdul Hamid. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Ahmad Ibrahim. 1995. Undang-Undang Islam Di Mahkamah Sivil. Al-Ahkam Jilid 1(2):1-22

Hamid Jusoh. 1992. Kedudukan Undang-Undang Islam Dalam Perlembagaan Malaysia. Terjemahan Raja Rahawani Raja Mamat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Hamid Jusoh. 1995. Pemakaian Undang-Undang Islam Kini Dan Masa Depannya Di Malaysia. Al-Ahkam Jilid 1(2): 58-87

Mahmud Saedon A. Othman. 1991. Kadi Perlantikan Perlucutan Dan Bidang Kuasa. Ctk.2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Tiada ulasan: