Sabtu, 19 September 2009

mengimbau kenangan lama(ARMA..Kaherah)

ni gambar last aku, 2 3 hari sebelum dipanggil balik malaysia..gambar ni diambil cara analog, then lama kat album sampai dah nak rosak..so aku scan dan uploadkan kat sini sebagai kenangan. kenangan akhir aku di kaherah, masa tu kena pindah tinggalkan ARMA untuk renovate. ni lepas solat jumaat akhir aku, masa nak kemas barang2 akhir. aku ingatkan tinggalkan abbasiah jer, rupanya tinggalkan kaherah terus sampai sekarang. kalu kawan2 yang ada muka dia dia kat sini....kira halal laa. semoga dapat bersahabat semula di sana di bawah kerahmatan dan kasih sayangNYA.





Sabtu, 12 September 2009

panduan ringkas zakat (7)...nota hujung



NOTA HUJUNG

Berdasarkan temubual penulis dengan salah seorang penjual emas di Guchil, kiraan emas di Kelantan mengikut timbangan lama, riyal berat. Unit ukuran ini samalah dengan kiraan cupak, gantang, mungkin juga kaki, ela, depa dan sebagainya. Inilah masalah utama penulis setiap kali membaca bab zakat kerana ukuran timbangan yang digunakan di Kelantan tidak sama dengan ukuran standard atau ukuran buku. Penulis memang tidak faham cara pengukuran riyal berat sebelum ini. Sememangnya penulis lahir dalam zaman persekolah rendah yang menggunakan ukuran km, meter, kg, gram dan sebagainya.

-1 riyal berat bersamaan dengan lebih kurang 2.72 gram.

-Nisab wajib zakat bagi emas ialah 85 gram.

-Oleh itu 85 gram yang menjadi nisab emas ialah lebih kurang 32 riyal berat.

-1 riyal berat bagi emas baru nilainya lebih kurang RM290 (12 Sept 2009) sementara bagi emas lama RM 260 (12 Sept 2009)

Ringkasnya, mana-mana wanita yang menyimpan emas melebihi nisab berkenaan diwajibkan mengeluarkan zakat sebanyak 2.5%. Walau bagaimanapun apa yang terbaik ialah pemilik emas menimbang semua emas miliknya yang tidak dipakai selama setahun di kedai emas, kemudian mengeluarkan zakatnya mengikut timbangan yang telah dibuat

Berkenaan dengan barang kemas yang dipakai, mengikut mazhab syafii tidak diwajibkan zakat dengan syarat pemakaiannya tidaklah melampau dari segi uruf (adat setempat).

panduan ringkas zakat (6)...zakat kwsp




BAB 6

ZAKAT KWSP

6.1 DALIL WAJIB ZAKAT
"Saidina Ali telah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: "Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham. dan tidakdiwajibkanmengelurkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukuphaulnya, diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun

KWSP dikenakan zakat kerana konsepnya sama seperti wang simpanan, cuma perbezaannya simpanan di KWSP tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya seperti akaun simpanan biasa.


6.2 KAEDAH KIRAAN ZAKAT KWSP
Terdapat dua pandangan berkenaan zakat bagi KWSP.
Milik Sempurna
Bersama pandangan ini, zakat hanya wajib dikeluarkan ketika pencaruman mengeluarkan wang tersebut (samada ketika bersara atau membeli rumah). Kadarnya ialah 2.5%.

Nilai zakat = Jumlah wang caruman yang dikeluarkan x 2.5%
(Catatan : Pusat Zakat Selangor mengambil pandangan ini dalam pengiraan zakat atas KWSP)

Milik Tidak Sempurna
Mengikut pandangan ini, caruman pekerja (tidak termasuk caruman majikan) yang tersimpan di dalam KWSP dikenakan zakat apabila ianya cukup nisab dan haul. Ini bermakna zakat wajib dikeluarkan pada tiap-tiap tahun apabila memenuhi syarat-syarat walaupun wang tersebut masih berada di dalam tabung KWSP. Kadar zakatnya adalah 2.5%.

6.3 FATWA ZAKAT KUMPULAN SIMPANAN PEKERJA (KWSP)

FATWA DI BAWAH SEKSYEN 47, Menurut seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [En. 1/2003], Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan menyediakan fatwa yang dinyatakan dalam jadial dan disiarkan menurut subseksyen 48(6) Enakmen itu.

Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun.



6.4 KAEDAH PENGIRAAN ZAKAT KSWP
Zakat KWSP wajib dikeluarkan dengan kadar 2.5% apabila wang caruman dikeluarkan melalui pelbagai Skim Pengeluaran KWSP atau mengeluarkan sebagian daripada caruman tersebut. Antara Skim Pengeluaran yang disediakan oleh KWSP ialah :
1. Skim Pengeluaran Membina/Membeli Rumah
2. Skim Pengeluaran Mengurangkan/Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan
3. Skim Pengeluaran Pendidikan
4. Skim Pengeluaran Kesihatan
5. Skim Pengeluaran Pekerja Berpencen (SPPB)
6. Skim Pengeluaran Persaraan Pilihan (SPP)
7. Skim Pengeluaran Mencapai Umur 50 Tahun
8. Skim Pengeluaran Mencapai Umur 55 Tahun
9. Skim Pengeluaran Hilang Upaya
10. Skim Pengeluaran Meninggalkan Negara
11. Skim Pengeluaran Kematian

Contoh Pengiraan Zakat KWSP:
Nisab Tahun 2008 : RM6 400.00
Encik Ali mengeluarkan wang caruman KWSP sebanyak RM10,000 daripada Skim Pengeluaran Pendidikan. Jumlah zakat yang dikenakan : RM10,000 X 2.5% = RM250.

panduan ringkas zakat (5)...zakat wang simpanan


ZAKAT WANG SIMPANAN

5.1 PENDAHULUAN
Mata wang wajib dikenakan zakat kerana ia boleh digunakan untuk bermuamalah sama dengan emas dan perak. Wang sama ada berbentuk kertas, syiling atau sebagainya setaraf dengan emas dan perak sebagai satu kuasa membeli. Nisab zakat wang simpanan adalah berdasarkan nilai semasa bagi nisab emas 20 mithqal (85 gram) atau perak (595 gram)

5.2 DALIL WAJIB ZAKAT
Saidina Ali telah meriwayat bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: "Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham , dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun."


5.3 KAEDAH KIRAAN ZAKAT WANG SIMPANAN
5.3.1 Simpanan Tetap
Apabila sesuatu simpanan tetap itu telah genap setahun dan jumlahnya melebihi daripada paras nisab (nilai 85 gram emas), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah wang simpanan tersebut.

5.3.2 Simpanan Biasa
Ianya adalah dikira berdasarkan kepada jumlah baki terendah atau berakhir haul bagi simpanan tersebut.


5.3.3 Simpanan Dalam Satu Akaun
Jika sesuatu simpanan itu telah genap setahun dan baki terendahnya (setelah ditolak faedah yang ada dalam tempoh tersebut) adalah melebihi paras nisab, maka seseorang itu wajib untuk mengeluarkan zakat atas wang simpanan.

5.3.4 Simpanan Dalam Beberapa Akaun
Jika seseorang itu mempunyai beberapa akaun simpanan, maka baki terendahnya dari setiap akaun simpanan tersebut mestilah dicampurkan untuk mengira zakat walaupun mungkin jika dikira satu-satu akaun, baki terendahnya tidak mencukupi nisab

panduan ringkas zakat (4)...zakat emas perak






BAB 4

ZAKAT EMAS & PERAK

4.1 PENDAHULUAN
Emas dan perak adalah merupakan logam galian yang berharga kurniaan Allah SWT. Ia merupakan hasil bumi yang banyak manfaat kepada manusia dan manusia pula menjadikannya nilai tukaran wang bagi segala sesuatu. Sementara syariat pula mengibaratkan emas dan perak sebagai sesuatu kekayaan alam yang hidup dan berkembang. Syariat juga telah mewajibkan kedua-duanya boleh digunakan dalam bentuk wang atau kepingan, bekas bejana, cenderahati, ukiran atau perhiasan. Zakat diwajibkan ke atas pihak yang memiliki emas dan perak apabila sampai nisab dan telah cukup haul setahun.

4.2 DALIL WAJIB ZAKAT
Firman Allah s.w.t:

"Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak dibelanjakan pada jalan Allah (tidak mengeluarkan zakat), maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi, rusuk serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka), inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu, oleh itu rasakan (azab dari) apa yang kamu simpan itu"
(Surah At-Taubah: 34-35)

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka; setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun sehingga ia dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka".
(Hadis riwayat Abu Hurairah)


4.3 KAEDAH KIRAAN ZAKAT EMAS & PERAK
4.3.1 Emas Perhiasan Wanita
Emas perhiasan wanita ialah emas yang dibeli atau digunakan sebagai perhiasan di badan. LZS (MAIS) mengambil kira kadar uruf emas bagi pemakaian perhiasan tersebut. Jika kadar pemakaian itu tidak mencapai atau melebihi kadar uruf, maka tidak wajiblah membayar zakat emas perhiasan tersebut. Kadar uruf emas di negeri Selangor ialah sebanyak 800 gram
Contoh:
(Timbangan emas x harga semasa x 2.5%)
900 gram x RM50 = RM45000 x 2.5% = RM1125

4.3.2 Emas Yang Disimpan
Bermaksud emas yang selain daripada perhiasan wanita yang dipakai di badan samaada dalam bentuk mata wang, simpanan, galian, peralatan rumah dan sebagainya.
Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang ada sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu 85 gram. Ia tidak sama dengan emas perhiasan yang dipakai. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram
Contoh:
Timbangan emas x harga semasa x 2.5%
90 gram x RM50 = RM4500 x 2.5% = RM112.50

4.3.3 Perak
Bagi logam perak, samaada dipakai sebagai barang perhiasan ataupun tidak (disimpan sebagai perhiasan di rumah), maka pengiraannya adalah berdasarkan nilai barang perak tersebut. Nisab bagi perak adalah sebanyak 595 gram atau lebih
Contoh:
800 gram perak x RM0.90(segram) x 2.5% = RM18

panduan ringkas zakat (3)...zakat fitrah




BAB3

ZAKAT FITRAH

3.1 PENGERTIAN ZAKAT FITRAH
Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

3.2 SYARAT WAJIB ZAKAT
Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:

1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya

2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari

3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.

4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan

3.3 KAEDAH PEMBAYARAN ZAKAT FITRAH
Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudry bermaksud:

"...Adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah s.a.w sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap orang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang Syair atau satu gantang tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadat haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: Saya berpendapat, bahawa satu mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha' (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Sufian berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya" -
Hadith Riwayat Muslim

4.3 KADAR FITRAH
Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri.

Mengikut tinjauan penulis, kadar zakat fitrah bagi tahun 2009 negeri Kelantan ialah RM6.90 sebagaimana yang telah diisytiharkan di mimbar-mimbar masjid seluruh negeri. Sementara bagi negeri Terengganu ialah RM 5 untuk kadar 1, RM 7 untuk kadar 2, RM 8 untuk kadar 3.

3.5 WAKTU MENGELUARKAN FITRAH
Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5:
1. WAKTU WAJIB
Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
2. WAKTU YANG PALING AFDHAL
Sebelum sembahyang Hari Raya
3. WAKTU SUNAT
Sepanjang bulan Ramadhan
4. WAKTU MAKRUH
Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal
5. WAKTU HARAM
Selepas terbenam matahari satu Syawal

panduan ringkas zakat (2)




BAB 1

ZAKAT

1.1 DARI SEGI BAHASA
Zakat dari segi bahasa bererti "BERSIH", "SUCI", "SUBUR", "BERKAT" dan "BERKEMBANG"
Pengertian "BERSIH" dan "SUCI" dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada bersifat kedekut dan bakhil. Dalam erti yang lain ialah membersihkan diri daripada sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya.

1.2 DARI SEGI SYARAK
Zakat dari segi syarak pula ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak


BAB 2

SIAPA YANG WAJIB MENGELUARKAN ZAKAT

Setiap individu yang ingin membayar zakat harus di ambil kira syarat wajib zakat yang perlu difahami dan dipenuhi sebelum membuat taksiran. Syarat-syarat tersebut ialah:

ISLAM
Zakat hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja.


MERDEKA
Syarat ini tetap dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib.



SEMPURNA MILIK
Harta yang hendak dizakat hendaklah dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh orang Islam yang merdeka. Bagi harta yang berkongsi antara orang Islam dengan orang bukan Islam, hanya bahagian orang Islam sahaja yang diambil kira di dalam pengiraan zakat.


HASIL USAHA YANG BAIK SEBAGAI SUMBER ZAKAT
Para Fuqaha' merangkumi semua pendapatan dan penggajian sebagai "Mal Mustafad" iaitu perolehan baru yang termasuk dalam taksiran sumber harta yang dikenakan zakat.


CUKUP NISAB
Nisab adalah paras minimum yang menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan atau tidak. Nisab menggunakan nilai emas harga semasa iaitu 20 misqal emas bersamaan 85 gram emas atau 196 gram perak.

Bagi negeri Kelantan, nisab semasa tahun 2009 ialah RM 8,422.14. Sementara
bagi negeri Terengganu ialah RM 8,313.01. Sementara bagi negeri Selangor ialah RM 7,900.00. Harus diingat, kadar zakat berbeza mengikut negeri masing-masing


CUKUP HAUL
Bermaksud genap setahun iaitu selama 354 hari mengikut tahun Hijrah atau 365 hari mengikut tahun Masihi. Dalam zakat pendapatan, jangkamasa setahun merupakan jangkamasa mempersatukan hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatan.

panduan ringkas zakat (1)

PENGHARGAAN


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Syukur padaNya, saya sempat menyusun dan menyiapkan secara ringkas penulisan tentang panduan zakat. Bermula dengan Ramadan 2009 yang menjelma, saya memikirkan untuk menghasilkan sesuatu buat diri sendiri dan keluarga. Kebetulannya sebagai menjawab pertanyaan dan menyahut seruan seorang rakan sekerja di SKLR yang bertanyakan tentang zakat, artikel ini disusun untuk tatapan peribadi dan mereka yang memerlukannya. Saya bukanlah seorang pengarang mahupun ulama yang menulis ratusan kitab dan artikel sehingga dijadikan monumen dan transkrip agung buat tatapan generasi anak cucu. Menulis sekadar untuk diri sendiri dan mungkin untuk mereka yang memerlukannya.

Dari segi gaya dan format penulisan, saya menyusunnya dengan agak bebas, tidak begitu terikat dengan gaya penulisan tesis UKM yang menjadi bench mark saya tiap kali menulis penulisan ilmiah. Selain itu, cara susunan bab yang agak ringkas, bila difikirkan semula rasanya tidak begitu sesuai dinamakan bab. Walau bagaimanapun saya telah mengambil template senarai kandungan tesis UKM, di atas template itulah saya siapkan bahagian senarai kandungan dan seterusnya menyusun bab ala-ala gaya UKM. Tujuannya ialah memudahkan kerja saya.

Artikel ini kebanyakannya (mungkin keseluruhannya) dipetik daripada laman web zakat Majlis Agama Islam Selangor, www.e-zakat.my dengan sedikit penambahan daripada laman web Majlis Agama Islam Kelantan dan Majlis Agama Islam Terengganu. Walau bagaimanapun seminggu sebelum saya menyusun risalah ini, saya telah mengulangkaji beberapa buah kitab. Antaranya ialah fiqh manhajiy edisi bahasa Melayu (Manhaj Feqh Syafii)yang diterjemah dan diedarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (atau jabatan agama, saya tak pasti), al-Fiqh cala al-Mazahib al-Arbacah, al-Feqh al-Islamiy Wa Adillatuh karangan Dr Wahbah Zuhailiy, Fiqh al-Zakat karangan Dr Yusuf al-Qaraqawi. Kesemua kitab bacaan ini sebagai pemandu arah saya semasa menulis, memetik dan mengolah semula sumber-sumber maya yang saya susun dalam artikel ini. Sebelum mengundur diri, saya nasihatkan diri saya sendiri dan semua yang membaca artikel ini memerhatikan beberapa perkara:

1) Artikel ini disusun berdasarkan laman web e-zakat Selangor. Maklumat dan panduan di dalam artikel ini hanyalah sebagai rujukan. Sila rujuk keadaan di negeri masing-masing khasnya berkaitan nisab zakat kerana ianya berbeza.

2) Maklumat berkenaan nisab zakat(jika ada) dalam artikel ini hanyalah sesuai untuk tahun 2009M sahaja. Ini kerana nisab zakat akan berbeza mengikut harga pasaran emas

3) Janganlah menganggap bahawa artikel ini sudah cukup lengkap dan sempurna sehingga kita tidak perlu lagi merujukkannya kepada sumber-sumber lain, atau bertanyakan lagi kepada para ustaz dan guru. Tanyalah kerana bertanya adalah anak kunci ilmu. Belajarlah kerana belajar ubat kejahilan

4) Jika terdapat sebarang perbezaan pendapat dengan orang lain, janganlah mudah kita menolak, merendah-rendahkan atau memperlekehkan pendapat orang lain. Ilmu Feqh sememangnya terlalu luas.

Akhir kalam, terima kasih kepada semua pihak yang membantu samada secara langusng atau tidak langsung. Semoga hasil usaha kita semua yang tak seberapa ini dapat menjadi pelita dan cahaya di alam kelam nanti. Buat semua, terimalah seadanya….

Jumaat, 4 September 2009

jual beli yang dilarang

jual beli yang dilarang kerana pengharaman zat benda

jual beli yang dilarang kerana membantu kepada yang haram

jual beli yang zalim / batil

jual beli yang menjadi sebab kepada perpecahan / merosakkan persaudaraan

Selasa, 1 September 2009

barca & musim baru la liga 2009/2010



dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
ini aku upload gambar fc barcelona masa menang ngan MU tempoh hari. tujuannya kan apa, sekejap lagi barca akan memulakan musim baru la liga menentang sporting gijon.