Saturday, March 27, 2010

al-Quran......Pengumpulan dan penulisan al-Quran pada zaman Khalifah Uthman Bin Affan r.a dengan satu kaedah

2.4 Pengumpulan dan penulisan al-Quran pada zaman Khalifah Uthman Bin Affan r.a dengan satu kaedah

Peranan Uthman bin Affan berkisar kepada pengumpulan enam naskhah mushaf (al-Ahruf al-Sabcah) al-Quran kepada satu bentuk atau kaedah penulisan. Kemudian beliau mengedarkannya ke wilayah-wilayah Islam yang lain. 3 naskhah dihantar ke Mekah, Bahrain atau ke Mesir dan Semenanjung Arab. Beliau menyimpan satu naskhah di Madinah. Khalifah juga mengeluarkan arahan supaya membakar semua naskhah lain yang berbeza dengan mushaf yang telah dihantar ke Iraq dan Syam. Namun begitu, mushaf al-Syami terus tersimpan di Masjid Damsyiq iaitu Jamic al-Umawiy di penjuru timur masjid berkenaan yang sentiasa padat dengan orang yang berzikir. Ia pernah dilihat oleh Ibn Kathir seperti yang tercatat dalam kitabnya Fadail al-Quran. Namun mushaf tersebut musnah dalam kebakaran yang berlaku pada tahun 1310H. Sebelum terbakar ia juga pernah dilihat oleh ulama-ulama besar Damsyiq yang hidup pada masa itu.

Para ulama telah berselisih pendapat tentang bilangan mushaf yang telah dihantar ke wilayah-wilayah Islam. Ada yang berkata bahawa jumlah mushaf tersebut sebanyak 7 buah. Sementara wilayah berkenaan ialah Mekah, Syam, Basrah, Kufah, Yaman, Bahrain dan Madinah. Ada juga yang berkata jumlah tersebut ialah 4 buah dan wilayah berkenaan ialah Iraq, Syam, Mesir dan satu untuk simpanan di Madinah.

Sebab pengumpulan tersebut ialah sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Anas bin Malik: sesungguhnya Huzaifah al-Yamani telah mengadap Khalifah Uthman, beliau turut terlibat bersama penduduk Syam dan Iraq berperang untuk membuka Armenia dan Azerbaijan. Pada suatu ketika, Huzaifah terkejut setelah mendapati mereka berselisih pendapat tentang bacaan al-Quran bahkan sampai ke suatu peringkat ada yang menyalahkan serta mengkafirkan orang lain kerana berbeza bacaan dengan mereka. Sebenarnya perasaan kurang senang Huzaifah tentang perselisihan itu turut dirasakan oleh sahabat yang lain. Justeru itu, Huzaifah menyarankan kepada Khalifah Uthman dengan kata-katanya yang masyhur, wahai Amir al-Mukminin, selamatkan umat ini sebelum mereka berselisih pendapat tentang al-Quran sebagaimana berlaku perselisihan di kalangan Yahudi dan Nasrani. Kata-kata Huzaifah ini telah mendorong Khalifah Uthman menghantar utusan kepada Hafsah meminta supaya Hafsah meminjamkan kepada beliau mushaf yang berada dalam simpanannya. Khalifah kemudiannya memerintahkan kepada Zaid bin Thabit, Abdullah bin Zubair, Said bin al-cAs dan Abdul Rahman bin Harith bin Hisyam agar menyalinnya kepada beberapa naskhah mushaf. Selain itu, khalifah juga berpesan kepada mereka jika mereka berselisih pendapat tentang sesuatu daripada ayat-ayat al-Quran, mereka hendaklah menulisnya berdasarkan kepada bahasa Quraisy kerana al-Quran diturunkan dengan bahasa Quraisy

Arahan tersebut diikuti sepenuhnya sehingga mereka selesai menyalinnya kepada beberapa naskhah. Selepas itu khalifah mengembalikan naskhah asal mushaf berkenaan kepada Hafsah. Seterusnya beliau mengirimkan mushaf yang telah disalin ke setiap wilayah dan mengarahkan orang ramai agar membakar mushaf-mushaf yang lain.

Mushaf inilah yang seterusnya menjadi asas kepada percetakan dan penyebaran mushaf yang kini berada di merata dunia. Khalifah Uthman telah berjaya menyatukan umat Islam kepada satu mushaf, satu bacaan dan menjadikannya sebagai naskhah contoh. Oleh itu, naskhah tersebut dinisbahkan kepada beliau dan dinamakan sebagai Mushaf Uthmani. Saidina Uthman juga digelar sebagai pengumpul al-Quran. Perbuatan Khalifah Uthman ini mendapat persetujuan para sahabat dan kaum muslimin

RUJUKAN
* Mannac Qattan, Mabahith Fi Ulum al-Quran, Maktabat al-Macarif Li al-Tauzic Wa al-Nashr, Riyad, hlm. 126-128
* al-Zuhailiy, Wahbah, Tafsir al-Munir Fi al-cAqidah Wa al-Syariah Wa al-Manhaj, Edisi Melayu, Jilid 1, Persatuan Ulama Malaysia & Intel Multimedia And Publication, Kuala Lumpur, hlm.11-14,
* Muhammad Abdullah Darraz, Madkhal Ila al-Quran al-Karim, Dar al-Qalam, Kuwait, hlm.32-51
* Ahmad Sonhadji Mohamad, cAbr al-Athir Tafsir al-Quran Di Radio, Pustaka Salam Sdn. Bhd.,1997, Kuala Lumpur, hlm.17-18

No comments: