Jumaat, 10 Disember 2010

Tabarruj 2 (hukum & dalil....)

BAHAGIAN II

HUKUM TABARRUJ & DALIL PENSYARIATAN

2.1 Pendahuluan
Allah SWT melarang para wanita untuk tabarruj setelah memerintahkan mereka menetap di rumah. Tetapi apabila ada keperluan yang mengharuskan mereka keluar rumah, hendaknya tidak keluar dengan cara mempertontonkan keindahan dan kecantikannya kepada laki-laki asing yang bukan muhrimnya. Allah juga melarang mereka melakukan tabarruj seperti tabarrujnya orang-orang jahiliyah terdahulu. Ini berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan Hadis.

Secara umumnya perkataan tabarruj disebut di dalam al-Quran sebanyak 2 kali iaitu di dalam surah al-Ahzab(ayat 33) dan surah al-Nur (ayat 60).

2.2 Dalil al-Quran

2.2.1 Surah al-Ahzab (ayat 33)
وَقَرۡنَ فِى بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجۡنَ تَبَرُّجَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ ٱلۡأُولَىٰۖ
Maksudnya : dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyyah zaman dahulu

Ayat ini secara khusus diturunkan kepada keluarga Nabi SAW terutama para isteri baginda seramai 9 orang. Ia sepatutnya di baca bermula pada ayat 28 lagi, semuanya mengenai etika ahli bayt demi ketinggian dan kesucian institusinya. Walau bagaimanapun secara umumnya, wanita-wanita lain boleh mencontohi mengambil pelajaran dari ayat ini.

Perintah yang ada dalam ayat ini ialah supaya isteri Nabi Muhammad SAW sentiasa tetap berada di rumah. Para isteri Nabi SAW tidak perlu keluar bekerja kerana perbelanjaan dan elaun sudah ada peruntukan dari baitul mal (khumus). Sementara bagi wanita-wanita selain isi rumah Nabi SAW boleh saja keluar untuk belajar, ke pasar dan bekerja. Syaratnya ialah apabila keluar rumah tidak berhias ala tabarruj jahiliyah. Cuma, kalau tidak bekerja adalah lebih utama kepada wanita Islam kerana itulah yang lebih ideal dan terpelihara.

Apabila diteliti, ayat di atas memang ditujukan kepada isteri-isteri Nabi Muhammad SAW tetapi sebenarnya ayat itu juga ditujukan terhadap seluruh wanita muslimah kerana para isteri nabi itulah yang menjadi teladan dan ikutan bagi semua wanita muslimah pada setiap tempat dan waktu. Keumuman ayat tersebut dapat dilihat daripada ayat sebelumnya dan ayat sesudahnya di mana disebutkan larangan wanita bercakap secara lemah-lembut kepada lelaki asing, serta suruhan supaya mereka berbicara dengan baik dan sopan. Cara ini pastinya dapat mengelakkan timbulnya rangsangan kepada lelaki.

Ayat yang khusus kepada keluarga baginda sudah tentu berakhir bila kesemua isteri baginda sudah wafat (yang terakhir wafat ialah ummul mukminin Aisyah ra di zaman Muawiyah). Ayat itu tidak melarang secara mutlak para isteri Nabi Muhammad SAW keluar rumah. Ia cuma suatu larangan umum tapi jika ada keperluan seperti solat di masjid, mengerjakan haji dan umrah, ianya tidak mengapa. Buktinya Aisyah selepas kewafatan Nabi SAW, masih mengerjakan haji dan umrah beberapa kali.

Al-Qurtubiy semasa menafsirkan ayat ini bahawa ayat ini membawa suruhan supaya tetap di rumah. Walaupun ayat ini ditujukan kepada para isteri nabi namun kandungannya mengandungi juga suruhan buat muslimah yang lain. Menurut al-Qurtubi lagi, pengertian janganlah kamu berhias-hias seperti orang jahiliah yang pertama ialah supaya tidak memperbanyakkan keluar rumah, berhias-hias dan memakai pakaian yang menarik perhatian yang merupakan perkara kebiasaan wanita jahiliah.

Pelaksanaan hukum secara langsung ayat ini sudah mansuh kerana objek ayat sudah pupus (kesemua isteri Rasulullah SAW yang menjadi objek ayat telah wafat), tapi yang tinggal ialah pengajaran kepada wanita-wanita Islam yg lain. Begitu juga ayat-ayat al-Quran yang diturunkan khusus untuk Bani Israel. Walaupun ia ditujukan kepada Bani Israel namun umat Islam hendaklah mengambil pengajaran dan iktibar daripadanya.

2.2.2 Surah al-Nur (ayat 31)
Allah telah berfirman dalam al- Quran yang bermaksud: ( Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera- putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung).

Ayat ini secara umumnya menegah wanita daripada menzahirkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka sahaja. Perhiasan itu terbahagi kepada 3 bahagian iaitu pakaian yang cantik, perhiasan dan solekan. Ketiga-tiga perkara ini adalah perhiasan yang Allah SWT menyuruh kepada kaum wanita supaya tidak menunjukkannya kepada kaum lelaki kecuali barang yang sememangnya dikecualikan oleh Allah SWT iaitu melainkan yang biasa nampak daripadanya. Maksudnya bahagian yang zahir dan tidak mungkin menyembunyikannya daripada pandangan orang lain seperti bahagian luar pakaian, mantel serta yang zahir sahaja tanpa disengaja dan diusahakan .

Al-Qurtubiy pula berkata bahawa zinah (perhiasan) itu boleh dibahagikan kepada 2 bahagian:
1) perhiasan yang semulajadi. Perhiasan ini seperti kejelitaan wajah dan kecantikan bentuk badan.
2) perhiasan yang diusahakan. Perhiasan yang diusahakan bermaksud usaha perempuan mengubah dan mencantikkan keadaan dirinya seperti pakaian, perhiasan daripada emas dan lain-lain.

Itulah pendapat mereka tentang maksud perhiasan zahir yang biasa dilihat. Semetara itu berdasarkan pendapat daripada Ibnu Abbas, Al-Misywar bin Mukhrimah, Mujahid, dan al-Dahhak, mereka mengatakan bahawa apa yang boleh dipamerkan ialah perhiasan yang tidak mungkin diselindung yang memang biasa dipakai oleh para wanita. Kalau perhiasan di muka ialah celak. Kalau di telapak tangan ialah cincin. Cuma ada beberapa ulama yang mengatakan bahawa muka itu sendiri adalah perhiasan. Dan telapak tangan itu sendiri adalah perhiasan. Jadi, mereka tidak memasukkan celak dan cincin sebagai perhiasan yang boleh dipamerkan.

Tiada ulasan: