Isnin, 11 April 2011

Sejarah Ringkas Kemunculan Mazhab

Sejarah Ringkas Kemunculan Mazhab

Zaman Rasulullah
Pada zaman ini, rasulullah masih hidup dan berada di tengah khalayak masyarakat. Setiap permasalahan yang timbul akan dirujuk terus kepada baginda SAW. Rasulullah akan menjawab, mengajar dan menerangkan kemusykilan kepada para sahabat. Pada masa ini, sumber rujukan ialah al-Quran dan sunnah nabi SAW

Zaman Sahabat
Selepas kewafatan rasulullah, setiap permasalahan yang timbul akan dirujuk kepada khalifah dan para sahabt lain pada masa itu. Para sahabat khasnya khalifah yang pertama, abu bakar akan merujuknya di dalam al-Quran. Jika tidak terdapat di dalam al-Quran, beliau akan merujuknya kepada sahabat2 yang mengetahui tentang hadis-hadis nabi. Jika tidak terdapat padanya, beliau akan mengumpulkan para sahabatnya untuk mencapai kata pemutus (ijmak). Pada masa itu, para sahabat menetap di kota madinah. Justeru sebarang bentuk mazhab tidak muncul pada masa ini. Rujukan ialah al-Quran, sunnah dan ijmak

Zaman Tabiin & Atbac Tabiin
Pada masa ini khasnya pada akhir zaman pemerintahan kerajaan bani Umayyah, kerajaan mula tidak memberi perhatian besar terhadap tuntutan syariat di dalam kehidupan mereka. Para ulama yang menegur pemerintah dikenakan hukuman buang negeri dan sebagainya. Bermula detik ini, para ulama mula menyisihkan diri daripada istana dan berhijrah ke daerah-daerah yang baru dibuka. Mereka mula mengajar, menyebarkan ilmu di kawasan yang jauh dari mekah dan madinah. Para penuntut ilmu pula mengerumuni mereka untuk belajar. Akhirnya suasana feqh Islam telah berubah ke satu era yang baru. Di dalamnya ada kelebihan dan ada kekurangan. Kelebihannya ialah ilmu Islam dapat tersebar dengan lebih meluas meliputi daerah-daerah yang baru. Sebaliknya kita juga dapati feqh Islam kini berada dalam usaha dan ijtihad perseorangan, tidak lagi secara syura dan ijmak sebagaimana yang wujud pada era para sahabat dan khalifah. Feqh Islam secara perseorangan ini pula wujud dalam suasana berkelompok atau berkumpulan di sekitar seseorang tokohnya dan ini merupakan permulaan kelahiran mazhab-mazhab Islam. Kota Madinah tidak lagi menjadi pusat ilmu Islam yang ulung melainkan pada beberapa ketika seperti pada musim haji. Pada masa inilah ilmu mula dibukukan seperti ilmu tafsir, feqh, usul feqh dan sebagainya. Dalam masa yang sama, timbullah persoalan dalam bidang akidah yang menyebabkan lahirnya mazhab seperti ahli sunnah wa aljamaah, muktazilah, jahmiyyah dan sebagainya.

Tiada ulasan: