Isnin, 11 April 2011

Pembahagian hukum mengikut mazhab mutakallimin dan fuqaha'

PEMBAHAGIAN HUKUM MENGIKUT MAZHAB MUTAKALLIMIN DAN FUQAHA’

Hukum Dari Sudut Bahasa & Istilah
Dari segi bahasa, hukum bermaksud pencegahan. Sementara dari sudut istilah pula ialah perkara yang dituntut oleh kata-kata (khitab) Syarak yang bersangkutan dengan perbuatan orang yang bertanggungjawab samada ianya merupakan tuntutan, memberi pilihan atau penetapan. Ini merupakan definisi hukum di sisi jumhur ulama usul.

Keterangan Definisi Hukum
Maksud kata-kata Syarak ialah al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Justeru itu, kata-kata manusia biasa, jin dan sebagainya tidak menjadi hukum

Maksud yang bersangkutan dengan perbuatan ialah perkara yang bersangkutan dengan perbuatan mereka samada percakapan atau perbuatan, dari sudut mewujudkan ataupun meninggalkan. Oleh itu perkara yang bersangkutan dengan iktikad tidak termasuk sama kerana ia tidak dinamakan hukum dalam istilah ini

Maksud orang yang bertanggungjawab ialah orang yang memikul tanggungjawab merangkumi budak kecil dan orang kurang siuman

Maksud permintaan ialah perintah dan larangan baik dari sudut kemestian mahupun keutamaan

Maksud memberi pilihan ialah perkara mubah(yang diharuskan/dibenarkan)

Maksud penetapan ialah sah, fasad dan seumpamanya yang terdiri daripada tanda-tanda dan sifat-sifat bagi pelaksanaan atau pun pembatalan yang telah ditetapkan oleh Syarak

Pembahagian Hukum Syarak
Kalau diperhatikan kepada definisi hukum kita akan dapati bahawa hukum dapat dibahagikan kepada 2 bahagian. Ini kerana kata-kata Syarak yang bersangkutan dengan perbuatan mukallaf samada dari segi tuntutan atau memberi pilihan dinamakan hukum Taklifiy. Kata-kata Syarak yang bersangkutan dengan penetapan pula dinamakan sebagai hukum Wadciy.

Hukum al-Taklifiyyah
Ianya terbahagi kepada 5 bahagian iaitu wajib, mandub, muharram, makruh dan mubah

Wajib
Dari sudut Bahasa Arab wajib ialah sesuatu yang jatuh atau sesuatu yang mesti. Dari sudut istilah wajib ialah Apa yang diperintahkan oleh Syarak dalam bentuk kemestian. Justeru itu, orang yang melaksanakannya diberi pahala dan orang yang tidak melakukannya mendapat dosa. Contohnya ialah sembahyang 5 waktu.

Keterangan Definisi Wajib:
Apa yang diperintahkan oleh Syarak. Terma ini mengeluarkan perkara yang muharram, makruh dan mubah.
dalam bentuk kemestian. Terma ini mengeluarkan perkara yang mandub kerana tuntutan ke atas perkara mandub dalam bentuk tidak pasti
wajib juga dinamakan sebagai fardhu, faridhah, hatm dan lazim. Mazhab jumhur tidak membezakan di antara wajib dan fardu sebagaimana golongan Hanafiyyah

Golongan Jumhur berpendapat bahawa fardu dan wajib merupakan dua lafaz yang seerti dan sama makna iaitu perbuatan yang dituntut oleh Syarak untuk melakukannya dengan tuntutan yang pasti samada tuntutan itu bersumberkan dalil yang yakin (qotciy) seperti al-Quran dan sunnah yang mutawatirah atau pun bersumberkan dalil zanniy seperti khabar ahad

Wajib Di Sisi Hanafiyyah
Sementara golongan Hanafiyyah pula berpendapat bahawa wajib dan fardu tidak sama. Fardu bagi mereka ialah perbuatan yang dituntut oleh Syarak dengan suatu tuntutan yang pasti bersumberkan dalil yang qatciy seperti kewajipan solat, zakat dan sebagainya. Dalil yang yakin bagi mereka ialah al-Quran, sunnah yang mutawatir atau masyhur.

Sementara maksud wajib bagi mereka ialah perbuatan yang dituntut oleh Syarak dengan tuntutan yang pasti bersumberkan dalil yang zanniy seperti membaca al-fatihah di dalam solat. Tuntutan membaca fatihah di dalam solat bagi mereka bersumberkan khabar ahad iaitu hadis (tidak solat bagi mereka yang tidak membaca fatihah)

Faedah Khilaf
Apabila kita perhatikan perbezaan pendapat kedua-dua golongan ini, ternyata ia hanyalah khilaf pada lafaz dan istilah. Inilah pendapat sesetengah ulama seperti al-Amidiy dan al-Raziy berkata bahawa khilaf ini hanyalah khilaf dari segi lafaz. Namun realitinya khilaf ini melahirkan sesetengah hukum yang berbeza. Contohnya dari segi hokum, orang yang ingkar terhadap hukum yang fardu dihukumkan kafir sementara orang yang ingkar kepada hukum yang wajib tidak menjadi kafir. Sementara dari segi feqh pula dapat dilihat dalam masalah orang yang langsung tidak membaca al-Quran di dalam solatnya. Jumhur dan Ulama Hanafiyyah sepakat mengatakan bahawa solat orang ini batal kerana tidak menunaikan perintah kewajipan membaca al-Quran yang bersumberkan ayat al-Quran (bacalah apa2 daripada al-Quran). Walau bagaimanapun dalam masalah membaca fatihah di dalam solat, Hanafiyyah mengatakan bahawa solat tidak batal kerana dalil yang mewajibkan membaca fatihah di dalam solat berdasarkan hadis ahad. Hadis ahad di sisi mereka bukanlah dalil yang qatciy. Justeru itu, tidak batal mereka yang tidak membaca fatihah di dalam solat. Sebaliknya apa yang wajib dibaca di dalam solat ialah membaca apa-apa sahaja daripada al-Quran.

Mandub
Dari sudut Bahasa Arab mandub ialah yang dipanggil. Dari sudut istilah mandub ialah apa yang diperintahkan oleh Syarak dalam bentuk tidak mesti buat. Contohnya ialah sembahyang sunat.

Keterangan Definisi Mandub:
apa yang diperintahkan oleh Syarak. Terma ini mengeluarkan perkara yang haram, makruh dan mubah.
Dalam bentuk tidak mesti. Terma ini mengeluarkan perkara yang wajib.
Orang yang melaksanakan perkara mandub akan diberi pahala dan orang yang meninggalkannya tidak akan diberi azab. Mandub juga dinamakan sunat, masnun, tatawwuc, ihsan, fadilah, mustahab dan nafl.

Muharram
Dari sudut Bahasa Arab muharram ialah yang dilarang. Dari sudut istilah muharram ialah apa yang dilarang oleh Syarak dalam bentuk kemestian untuk ditinggalkan. Contohnya ialah derhaka terhadap ibu bapa.

Keterangan Definisi Muharram
Apa yang dilarang oleh Syarak. Terma ini mengeluarkan perkara yang wajib, mandub dan mubah.
Dalam bentuk kemestian untuk ditinggalkan. Terma ini mengeluarkan perkara yang makruh.

Orang yang meninggalkan perkara muharram akan diberi pahala dan orang yang melakukannya akan diberi azab. Muharram juga dinamakan mahzur dan mamnu‘.

Makruh
Dari sudut Bahasa Arab makruh ialah yang dibenci. Dari sudut istilah makruh ialah apa yang dilarang oleh Syarak dalam bentuk tidak mesti untuk ditinggalkan. Ada juga yang mendefinisikan makruh sebagai sesuatu yang lebih baik ditinggalkan daripada dilakukan. Contohnya memberi sesuatu dengan tangan kiri dan menerima dengan tangan kiri.

Keterangan Definisi Makruh:
apa yang dilarang oleh Syarak maka terkeluarlah perkara yang wajib, mandub dan mubah.
tidak dalam bentuk kemestian untuk ditinggalkan maka terkeluarlah perkara yang muharram. Orang yang meninggalkan perkara makruh akan diberi pahala dan orang yang melakukannya tidak akan diberi azab.

Makruh Di Sisi Hanafiyyah

Golongan Hanafiyyah menamakan makruh jenis ini sebagai makruh karahah tanzih. Pembuat atau pelakunya tidak diseksa sementara orang yang tidak melakukannya tidak diberi pahala cuma mereka dapat mendekatkan diri mereka kepada Allah

Perbezaan Di Antara Makruh Karahah Tanzih Dan Makruh Karahah Tahrim
Makruh karahah tahrim ialah perbuatan yang dituntut Syarak daripada mukallaf untuk meninggalkannya dengan tuntutan yang pasti bersumberkan dalil zanniy dan perbuatan ini lebih hampir kepada haram. Contohnya perbuatan jual beli seorang ke atas barangan yang telah dipersetujui untuk dijual kepada orang lain. Begitu juga larangan memakai sutera dan cincin emas untuk lelaki berdalilkan hadis (dihalalkan emas dan sutera bagi umatku yang perempuan dan diharamkan keduanya untuk yang lelaki)

Sementara makruh karahah tanzih pula ialah perbuatan yang dituntut oleh Syarak supaya meninggalkannya dengan tuntutan yang tidak pasti dan ianya lebih hampir kepada halal. Contohnya membelakangi kiblat ketika membuang air besar di tanah lapang. Ini berdalilkan hadis (apabila kamu duduk untuk membuang air janganlah kamu mengadap atau membelakangi kiblat). Perbuatan ini merupakan perubuatan yang dituntut oleh Syarak untuk meninggalkannya / tidak melakukannya berdasarkan hadis Ibn Umar.

Mubah
Dari sudut Bahasa Arab mubah ialah yang disebarkan dan diizinkan. Dari sudut istilah mubah ialah apa yang tidak berkaitan dengannya sebarang perintah mahupun larangan pada dirinya. Abdul Karim zaidan pula mendefinisikannya sebagai pilihan yang diberikan oleh Syarak kepada mukallaf samada untk melakukannya atau tidak melakukannya. Contohnya ialah makan pada malam bulan Ramadhan.

Keterangan Definisi Mubah:
apa yang tidak berkaitan dengannya sebarang perintah maka terkeluarlah perkara yang wajib dan mandub
mahupun larangan maka terkeluarlah perkara yang muharram dan makruh
pada dirinya. Terma ini mengeluarkan perkara yang berkait dengan perintah atau larangan pada keadaannya yang merupakan perantaraan untuk perkara yang diperintah atau dilarang

Dalam keadaan ini perkara mubah itu membawa hukum perkara kedua itu samada diperintah mahupun dilarang. Walaupun begitu perkara mubah itu masih kekal mubah pada asalnya Orang yang melakukan perkara mubah tidak mendapat pahala mahupun dosa. Mubah juga dinamakan halal dan jaiz.

RUJUKAN
1) Al-Zuhailiy, Wahbah, Usul Feqh al-Islamiy, Dar al-Fikr, Beirut, 1998
2) Isa Ulaiwah Zahran, al-Mukhtasar Fi Usul al-Feqh, Universiti al-Azhar, Kaherah, 1997
3) http://www.hafizfirdaus.com/ebook/Ushul_Feqh/2.htm
4) Abdul Karim Zaidan, al-Wajiz Fi Usul Feqh, Muassasah al-Risalah, Beirut, 1996

Tiada ulasan: