Isnin, 11 April 2011

Pengertian Mazhab

Pengertian Mazhab
Mazhab (مذهب) dari sudut bahasa bererti jalan atau the way of. Dalam Islam, istilah mazhab secara umumnya digunakan untuk dua tujuan iaitu dari sudut akidah dan dari sudut feqh.
Mazhab akidah ialah apa yang bersangkut-paut dengan soal keimanan, tauhid, qadar dan qadak, hal ghaib, kerasulan dan sebagainya. Antara contoh mazhab-mazhab akidah Islam ialah Mazhab Syiah, Mazhab Khawarij, Mazhab Muktazilah dan Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Setiap daripada kumpulan mazhab akidah ini mempunyai mazhab-mazhab feqhnya yang tersendiri. Mazhab feqh ialah apa yang berkaitan dengan soal hukum-hakam, halal-haram dan sebagainya. Contoh Mazhab feqh bagi Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah ialah Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab al-Syafie dan Mazhab Hanbali.
Mazhab feqh pula, sebagaimana terang Huzaemah Tahido, bererti jalan fikiran, fahaman dan pendapat yang ditempoh oleh seorang mujtahid dalam menetapkan suatu hukum Islam dari sumber al-Qur’an dan al-Sunnah. Ianya juga bererti sejumlah fatwa atau pendapat-pendapat seorang alim besar yang bergelar Imam dalam urusan agama, baik dalam masalah ibadah ataupun lainnya. Contoh imam mazhab ialah Abu Hanifah, Malik bin Anas, Syafie dan Ahmad bin Hanbal. Pengertian mazhab ini kemudiannya beralih menjadi satu kumpulan ajaran feqh Islam yang diikuti dan diterima oleh satu-satu kumpulan umat Islam dalam sesebuah wilayah atau negara. Ianya menjadi sumber rujukan dan pegangan yang diiktiraf sebagai ganti atau alternatif kepada ikutan, ijtihad dan analisa terhadap ajaran asli al-Quran dan al-Sunnah

#http://hafizfirdaus.com/ebook/PedomanMazhab/Chap1.php

Tiada ulasan: