Saturday, April 2, 2011

Tazkirah SKLR: perihal mimpi

PERIHAL MIMPI

Hadis2 Berkenaan Mimpi*
1) Dari Abu Hurairah ra aku mendengar bahawa Rasulullah SAW telah bersabda bahawa tidak ada yang tertinggal daripada tugas aku yang diutuskan sebagai nabi dan rasul melainkan memberitahu berita2 yang menggembirakan. Lalu sahabat bertanya apakah berita2 mengembirakan? Jawab Rasulullah mimpi yang baik (Bukhari)

2) Dari Abu Said al-Khudriy ra katanya, aku mendengar sabda Rasulullah SAW bersabda: apabila kamu bermimpi melihat sesuatu perkara yang disukai maka sesungguhnya ia adalah dari Allah maka bersyukurlah kepadaNYA dan ceritakanlah. Dalam satu riwayat lain baginda menyebut, janganlah kamu ceritakan kecuali kepada orang yang kamu suka. Sebaliknya jika kamu bermimpi melihat sesuatu perkara yang kamu tidak suka maka ia adalah daripada syaitan maka berlindunglah daripada kejahatannya dan janganlah kamu menceritakannya sesunguhnya mimpi tersebut tidak memudaratkanmu (muttafaq alayh)

3) Dari Abu Qatadah ra katanya: Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud mimpi yang baik itu daripada Allah, mimpi yang buruk itu daripada syaitan. Sesiapa yang bermimpi melihat perkara yang dibencinya hendaklah dia meludah ke sebelah kirinya 3 kali, kemudian mohonlah perlindungan dari Allah. Sesungguhnya mimpi berkenaan tidak mampu memudaratkannya. (muttafaq alayh)

4) Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: jika kamu bermimpi yang buruk, hendaklah kamu meludah ke sebelah kiri 3 kali, kemudian mohonlah perlindungan daripadaNYA, kemudian berbaringlah daripada lambung yang kamu tidur tadi (ubah posisi tidur). (Muslim)


Mimpi di dalam al-Quran
Terdapat ayat-ayat al-quran yang menceritakan perihal mimpi dan takbir mimpi. Di antaranya ialah mimpi nabi yusuf semasa baginda masih kecil melihat 11 kawakib (planet) bersujud kepadanya. Begitu juga dengan mimpi nabi Ibrahim supaya menyembelih anaknya nabi ismail. Nabi Muhammad SAW juga banyak menerima wahyu dengan cara bermimpi. Selain para nabi, orang mukmin juga boleh mendapat mimpi yang baik, perasaan hati yang berat kepada benar (firasat) dan sebagainya
Pembahagian Mimpi
Para ulama membahagikan mimpi kepada 3 jenis iaitu:
1) mimpi yang berasal daripada syaitan (mimpi buruk). Mimpi jenis ini boleh membuatkan seseorang susah hati, terganggu hidupnya dan boleh membawa kepada putus asa di dalam beramal ibadat.

2) mimpi dari alam realiti yang terbawa-bawa ke dalam mimpi. Contohnya seorang yang sedang mengkaji sejarah kelab Barcelona tiba-tiba bemimpi diberi jawatan sebagai manager menggantikan Josep Guardiola. Mimpi ini hanyalah mainan tidur

3) mimpi yang benar dari Allah. Mimpi jenis ini merupakan 1/46 daripada alamat kenabian. Kebiasaanya mimpi yang benar terjadi pada waktu malam khasnya pada waktu sahur.

Mimpi Tidak Menjadi Hujah Syarak
Apabila seseorang bermimpi contohnya beliau bermimpi berjumpa dengan seorang guru atau ustaz, ustaz berkenaan meminta supaya dia membaca dan mengamalkan surah2 tertentu untuk dibaca pada setiap petang, mimpi jenis ini tidak boleh menjadi hujah di dalam agama. Al-Quran merupakan kitab dari allah, diturunkan sebagai petunjuk dan pedoman buat kita. Untuk beramal dengan isi al-Quran, kita tidak perlu bermimpi kerana al-Quran semuanya untuk diamalkan bermula dari surah al-fatihah sehingga surah al-nas. Bacalah al-Quran namun bukan kerana mimpi tetapi kerana ianya merupakan ibadat yang dilakukan kerana Allah


Mimpi Berjumpa Rasulullah SAW
Apabila seseorang bermimpi berjumpa seseorang yang mendakwa di dalam mimpinya bahawa dia adalah Rasulullah SAW, pertimbangannya ialah 2 perkara. Pertamanya ialah sifat2 yang ada pada dirinya seperti keadaan wajahnya, dada dan sebagainya. Ini kerana sifat2 Rasulullah sudah pun diterangkan di dalam hadis dengan jelas. Jika sifat2 baginda yang diceritakan di dalam hadis menyamai sifat2 yang ada pada seseorang yang kita temui di dalam mimpi, maka kemungkinan besar kita telah pun bermimpi berjumpa Rasulullah SAW.

Sebaliknya jika kita bertemu seorang kenit, berwajah buruk, tidak berpakaian atau berpakaian tidak menutup aurat dan mengaibkan lalu mengaku bahawa dia adalah Rasulullah SAW maka ketahuilah ini bukanlah Rasulullah. Syaitan tidak dapat menyerupai nabi tetapi soalnya adakah kita pernah melihat baginda sehingga kita dapat mengecam baginda. Syaitan dapat menyerupai orang lain kemudiannya mengaku itulah nabi. Justeru itu, jika bermimpi sedemikian, bertemulah dan bertanyalah dengan orang yang mengetahui.

Neraca kedua ialah apakah yang dibawanya /diajarkannya kepada kita. Jika dia mengajar ajaran yang jelas bertentangan dengan Quran dan hadis seperti seruan supaya meninggalkan solat kerana kononnya solat tidak lagi relevan di akhir zaman, atau seruan supaya melakukan maksiat kerana kita telah sampai kepada satu tahap kalis maksiat, ketahuilah itu adalah syaitan. Islam telah sempurna dan tidak lagi memerlukan mimpi, firasat, kasyaf, telepati atau apa sahaja untuk mengadakan syariat baru


Perihal Takwil Mimpi & Hadis Mimpi Di Atas Kaki Burung
Takwil mimpi biasanya menurut kepada orang pertama yang mentakwilkannya. Jika mimpi tersebut sudah diceritakan kepada seseorang lalu orang itu menakwilkannya maka takwilan itulah yang terpakai walaupun takwilan itu salah. Justeru itu, mimpi hendaklah diceritakan secara peribadi kepada orang yang dipercayai dan ikhlas. Jika mimpi itu mimpi baik dia akan menyampaikan. Jika sebaliknya (mendapat mimpi buruk) orang itu akan mendoakan. Selain itu bertanya orang supaya menakwilkan mimpi untuk kali ke-2, ke-3 setelah takwilan kali pertama adalah sia-sia

Ada hadis bermaksud mimpi orang mukmin adalah 1/40 kenabian. Mimpi itu ada pada kaki burung selagi dia tidak menceritakan (kepada orang). Bila dia menceritakan, maka jatuhlah ia (hadis ini ada perbahasannya)

Hadis ini memberi satu perumpamaan yang menarik. Burung merupakan sejenis haiwan yang lincah. Kalau kita cuba meletakkan sesuatu benda di atas belakang burung, pastinya benda tersebut akan jatuh kerana kelincahan burung tersebut. Apatah lagi kalau kita letakkan sesuatu di atas kaki burung, ianya lebih mudah jatuh. Oleh itu, apabila kita menceritakan mimpi kepada seseorang, maka mimpi itu seumpama barang yang diletakkan di atas kaki burung, akan terjatuh dari tempatnya (maksudnya mimpi itu akan menjadi kenyataan walaupun ditakwil oleh orang yang jahil sesuka hatinya atau dengan takwilan yang salah). Katakanlah kita bermimpi melihat seolah-olah kita mati dan dikuburkan. Menurut sesetengah ulama, mimpi ini bermaksud kita akan bermusafir jauh. Walau bagaimanapun kita terus menceritakan mimpi tersebut kepada seseorang yang tidak mengerti dan tidak amanah terhadap rahsia lalu ditakwilkannya secara bergurau bahawa kedai megi celup tempat kita berniaga akan lingkup, maka dihuatiri takwilan mimpi itu akan menjadi kenyataan kerana ia adalah doa. Justeru itu, ceritakanlah mimpi kita kepada orang yang mengetahui lagi dipercayai kerana takwilannya merupakan doa.



* hadis2 di dalam artikel ini diterjemah secara bebas. Secara keseluruhannya artikel ini merupakan inti kuliah kitab riyad al-salihin cd audio ustaz dr abdul basit abdul rahman, musyrif pondok sg durian dengan sedikit penambahan dan pengubahsuaian
RUJUKAN
1) riyad al-salihin
2) http://ad-diyari.com
3) http://al-fikrah.net

No comments: