Sabtu, 30 Julai 2011

tazkirah ramadan 5...adab-adab puasa

TAZKIRAH RAMADAN (5)
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR 2011
ADAB-ADAB PUASA

1) SEGERA BERBUKA
Hendaklah segera berbuka apabila diyakini terbenamnya matahari. Dalilnya hadis (Manusia akan terus berada di dalam kebaikan selagi mana mereka menyegerakan berbuka puasa—Bukhari). Hadith ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunnah Nabi SAW yang menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Ada ulama yang berkata bahawa barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat membolehkannya menunaikan solat dengan khusyuk.

Selain itu, perbuatan ini juga menyalahi ahli kitab yang melewatkan berbuka sehingga kelihatan bintang di langit.

Seeloknya berbuka dengan rutab, tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak dan masih lagi belum kering serta mengecut. Sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis. Sementara tamar ialah buah kurma yang sudah kering. Ini berdasarkan hadis Anas (Bahawa Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air-Tirmiziy)

2) SAHUR
Sahur ialah makanan yang dimakan pada akhir malam. (Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya bersahur itu barakah (ada keberkatannya)-Bukhari, Muslim)

2.1) Rahsia bersahur
Kajian menunjukkan bahawa makanan yang paling utama dalam masa 24 jam adalah sarapan pagi. BBC News pernah melaporkan bahawa bersaparan pagi adalah penting bagi memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain. Kajian yang dilakukan oleh Dr Mark Perreira dan rakan2 dari Pusat Perubatan Harvard mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan mengidap diabetis. Kajian yang sama juga menunjukan mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 % lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang bersarapan pagi.

Situasi ini lebih penting kepada kanak-kanak yang berpuasa kerana kesan meninggalkan sarapan ke atas kanak-kanak adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang masih kecil. Kajian terkini juga menunjukkan bahawa apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun daripada tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pembelajaran

Dalam satu kajian lain yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik diketuai oleh Dr. Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor ke atas 700 pelajar dari Louisiana menunjukkan bahawa mereka yang tidak bersarapan pagi berdepan dengan risiko 2 kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah dan ini boleh menyebabkan penyakit anemia(sejenis penyakit yang berkaitan dengan kekurangan hemoglobin dalam darah.

Kesimpulannya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur tidak mendapat kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian ini. Selain itu, bersahur juga merupakan ibadah dan merupakan sunnah nabi yang sebaiknya kita ikuti. Tambahan pula waktu sahur merupakan waktu yang dipenuhi dengan keberkatan. Justeru itu, bersahurlah walaupun dengan segelas air

3) MELEWATKAN SAHUR
Ini dilakukan dengan berhenti makan dan minum ketika fajar hampir terbit. Ini berdasarkan hadis Anas (Nabi Muhammad SAW dan Zaid Bin Thabit bersahur. Apabila keduanya selesai bersahur, maka Nabi SAW bangun dan mendirikan solat. Kami bertanya kepada Anas, berapa lamakah masa di antara kamu berdua selesai bersahur dan mendirikan solat? Jawabnya sekadar 50 ayat al-quran-Bukhari)



4) MENJAGA LIDAH
Apa yang dimaksudkan dengan menjaga lidah ialah meninggalkan kata-kata yang mesti dijauhi seperti mencela, menipu, mengumpat, menghasut dan sebagainya. (barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan terus beramal dengannya maka Allah tidak berhajat agar dia meninggalkan makan dan minumnya, -Bukhari). Maksudnya Allah tidak berhajat kepada puasanya. Hadis ini juga menunjukkan bahawa berpuasa juga bermaksud menahan diri daripada berdusta dan kata-kata yang sia-sia dan tidak berfaedah.

Kata Ali bin Abu Talib sesungguhnya puasa bukanlah hanya menahan diri daripada makan dan minum tetapi juga menahan diri daripada menipu, kebatilan dan perkara yang sia-sia. Mujahid pula menegaskan bahawa 2 perkara yang sesiapa dapat meninggalkannya maka sempurnalah puasanya iaitu menipu dan mengumpat.

Daripada kita menghabiskan masa menyelidiki keburukan dan kelemahan orang lain, marilah kita gunakan sedikit masa yang kita ada untuk memperbaiki diri kita

5) MANDI JUNUB SEBELUM FAJAR
Walaupun junub tidak menafikan sahnya puasa namun apa yang lebih afdal ialah berscui sebelum fajar untuk memastikan diri kita bersaih bermula detik pertama puasa lagi ( Nabi SAW pernah bangun pagi di dalam keadaan junub kerana jimak tanpa bermimpi kemudian baginda mandi dan berpuasa-Bukhari). Begitu juga disunatkan kepada wanita yang haid dan nifas agar mandi sebelum fajar apabila telah sempurna suci dan darah berhenti sebelum tiba fajar.

6) TIDAK BERBEKAM DAN SEUMPAMANYA
Walaupun berbekam tidak membatalkan puasa, namun lebih baik bagi kita yang sedang berpuasa mengelakkan diri daripada berbekam kerana ia boleh melemahkan tubuh badan kita


7) BERDOA KETIKA BERBUKA PUASA
Ini berdasarkan hadith Nabi SAW (Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka-Ibn Majah). Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan dari kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut bahawa hadith di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggunjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota. Dalam hadis lain Nabi menyebut (3 jenis orang tidak ditolak doa permohonan mereka. Pertama pemerintah yang adil. Keduanya ialah orang yang berpuasa semasa ia berbuka dan ketiga doa orang yang dizalimi-Tirmizi). Oleh itu, manfaatkanlah waktu kita berpuasa khasnya semasa hendak berbuka dengan membanyakkan permohonan kepada Allah SWT

8) MENJAMU ORANG BERBUKA PUASA
(Barangsiapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia mendapat ganjaran seperti orang yang berpuasa tanpa dikurangkan ganjaran orang yang berpuasa itu sedikitpun-tirmiziy)

9) BANYAK BERSEDEKAH
(Rasulullah SAW pernah ditanya, wahai Rasulullah, apakah sedekah yang paling utama? Jawabnya sedekah pada bulan Ramadan-tirmiziy, hadis ini daif).

Dalam hadis yang lain Ibn Abbas berkata: (Rasulullah SAW adalah manusia yang sangat pemurah dan Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan….dan baginda lebih pemurah dalam mengerjakan kebaikan daripada angina yang kencang- Bukhari). Rasulullah menggalakkan umatnya untuk bersedekah mengikut kemampuan masing-masing.


10) BANYAK MEMBACA AL-QURAN
(Nabi SAW menceritakan bahawa Jibril membacakannya al-quran setiap tahun sekali pada bulan ramadan dan pada tahun kewafatan baginda sebnayka 2 kali- Bukhari & Muslim).
Para ulama bersungguh-sungguh membaca al-quran di dalam bulan Ramadan. Ada yang khatam sekali dalam tempoh 3 malam. Sebahagian mereka mengkhatamkan al-quran dalam tempoh satu minggu. Ada yang khatam 10 malam sekali.

RUJUKAN
1) Al-Fiqh al-Manhajiy
2) Bahagian Dakwah JHEAIK, Puasa Dan Ramadan
3) Jamaah Ansar Sunnah, Mesir, Majalah al-Tawhid
4) BAHEIS Jabatan Perdana Menteri, Mastika Hadis
5) Danial Zainal Abidin, Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains

Khamis, 21 Julai 2011

ucapan ketika mendaki bukit dan menuruni lembah

1) dari Jabir RA katanya, bahawa kami semasa berjalan apabila mendaki tempat tempat tinggi kami akan bertakbir, apabila turun kami akan bertasbih-Bukhari

2) dari ibn Umar RA katanya bahawa Nabi dan tenteranya apabila mendaki tempat yang tinggi mereka akan bertakbir. apabila menuruni bukit mereka akan bertasbih-Abu Dawud

hadis ini menerangkan bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat apabila berjalan menaiki tempat tinggi seperti bukit mereka akan bertakbir dan sebaliknya apabila menuruni bukit mereka akan bertasbih. perkara ini bukanlah perkara yang hanya khas untuk Rasulullah SAW sahaja bahkan untuk kita umatnya. hal ini dapat dilihat dalam hadis kedua bahawa Rasulullah dan para sahabatnya (tentera islam) semasa berjalan apabila mendaki mereka akan bertakbir(mngucapkan ALLAHU AKBAR) sementara apabila menuruni bukit mereka akan mengucapkan SUBHANALLAH.

persoalannya apakah hikmat kita disarankan mengucapkan perkataan demikian? perkara pertama yang harus kita ingat ialah apa-apa sahaja yang datang secara sahih daripada Allah dan Rasulnya hendaklah kita terima tanpa banyak soal. inilah tanda keimanan kita kepada Allah. walau bagaimanapun boleh juga kita hendak mengkaji mencari hikmat perbuatan demikian, namun letakkanlah ketundukan dan penerimaan kita kepada Allah di tempat pertama. ini kerana kajian sains dan sebagainya boleh berubah. contohnya kenapa umat islam diharamkan memakan babi? kita boleh menjawab bahawa kajian sains membuktikan bahawa daging babi mengandungi sejenis kuman atau virus yang berbahaya dan sebagainya. namun kita bimbang kalau2lah suatu hari nanti para saintis mengatakan bahawa kuman yang selama ini terdapat di dalam daging babi boleh dibunuh dengan ubatan tertentu, maka apakah pada masa itu kita boleh menghalalkan daging babi???

apabila kita mendaki dan berada di tempat tinggi, ucapkanlah ALLAHUAKBAR yang bererti Allah Maha BEsar. ini sebagai peringatan untuk kita supaya sentiasa merendah diri, tawaduk kepada Allah. juga sebagai cara untuk mendidik jiwa dan nafsu kita supaya sentiasa merasakan ada lagi yang lebih tinggi dari kita. seolah-olah kita berkata kepada nafsu kita, wahai nafsuku, sekarang kamu berada di tempat yang tinggi, yang orang lain sukar nak capainya namun ingaatlah bahawa ada lagi yang lebih tinggi....ALLAHU AKBAR. inilah yang disebut oleh sesetengah ulama

ingatkah kita semasa peristiwa israk dan mikraj, nabi Muhammad SAW dibawa ke langit. kalau difikirkan kenapa Allah tidak mengutuskan malaikat Jibril turun lalu mengajar baginda SAW cara-cara dan waktu solat di tepi kaabah.

ulama mengatakan bahwa israk dan mikraj berlaku setelah penentangan kafir di mekah berada pada tahap kemuncak. pada suatu tahap baginda pulang dari berdakwah di taif, baginda SAW tidak dapat memasuki kota mekah. baginda SAW mendapatkan bantuan mutcim bin adi seorang kafir yang berpengaruh dan kuat(maybe dalam bahasa kelate boleh kata ore samseng)untuk kembali memasuki mekah. ditambah dengan pelbagai dugaaan dan halangan yang berlaku maka baginda SAW diangkat ke langit. apabila di langit, semangat dan jiwa Nabi akan kembali kuat. baginda dapat merasakan betapa kerdilnya dunia, kecilnya abu jahal dan musyrikin mekah, hinanya mereka yang ingkar. itulah keadaannya apabila berada di tempat tinggi

bagaimanakah cara untuk kita bertakbir dan bertasbih tadi? apakah kita perlu kita mengucapkannya dengan lantang atau perlahan? ini diterangkan dalam hadis seterusnya yang diriwayatkan oleh abu musa al-asyariy katanya: kami bermusafir bersama Rasulullah SAW, semasa kami menuruni lembah kami bertahlil dan bertakbir dengan lantang maka sabda Rasulullah SAW, wahai manusia! rendahlah suaramu, sesungguhnya kamu tidak berdoa kepada tuhan yang pekak dan gahib. sesungguhnya DIA bersama kamu dan DIA Maha Mendengar dan dekat denganmu.-muttafaq alayh


* ringkasan daripada riyad al-salihin, bab takbir orang musafir apabila mendaki bukit dan bertasbih apabila menurni lembah dan seumpamanya

Isnin, 4 Julai 2011

sepetang di kuwait finance house

kelmarin saya berada di pasir mas dan kota bharu. melakukan beberapa urusan yang melibatkan urusan pembelian tanah dan pengambilan sijil isteri di maktab. dalam perjalanan balik saya singgah ke bank al-rajhi untuk mendeposit sekeping 2 not berwarna merah dan biru muda. hajat hati nak pulang terus ke rumah namun rasa terdetik untuk menjejakkan kaki ke dalam rumah kewangan (bayt tamwil) yang baru beroperasi awal tahun ini di kelantan.

sebenarnya saya sudah mengetahui tentang kewujudan kuwait finance house semasa belajar di kaherah lagi. walau bagaimanapun pengetahuan saya terbatas sekadar mengetahui bahawa ada sebuah bank yang beroperasi secara islamik bernama kuwait finance house. apa produknya, prinsip perbankannya, sejauh mana keteguhan dan kekuatan kewangannya tidaklah saya ketahui. tambahan pula zaman saya semasa bergelar pelajar tidaklah mewah sehingga mampu melanggani produk2 perbankan samada bank tempatan mesir mahupun saudi dan kuwait. lagipun pada masa itu saya tidaklah memerlukan pembiayaan untuk mendapatkan sebuah kereta, motosikal apatah lagi untuk membeli rumah di kota kaherah.

saya melangkah masuk ke dalam rumah kewangan berkenaan dengan memasang seluruh deria dan pancaindera. saya perhatikan sepenuhnya air muka pegawai urusan pelanggan yang berada di meja(tersenyum mengalukan kehadiran saya), air muka pengawal keselamatan yang sentiasa tidak berpisah dengan senjata(serius dan tanpa sebarang emosi), wajah2 pegawai di kaunter(tersenyum ceria) dan bahasa badan pelanggan yang hadir. pada masa itu hanya terdapat 3 atau 4 orang pelanggan. saya tidak sempat bercakap dengan pelanggan lain namun nampak air muka mereka ceria dan gembira. saya tidak dapat mengesan riak2 kecewa, marah atau masam di kalangan pelanggan. nyata perasaan dan suasana ini cukup berbeza dengan suasana bank2 di negara arab. apa perbezaannya? rasanya tidak perlulah saya terangkannya.

sebaik dijemput ke meja khidmat pelanggan, saya menyatakan hajat saya untuk membuka akaun simpanan di sini. pegawai berkenaan melayan saya dengan baik sambil menerangkan produk2 lain yang ditawarkan. saya cukup tertarik dengan akaun emas-i yang ditawarkan. sepanjang eksplorasi maklumat yang saya lakukan melalui laman web melibatkan akaun emas, ada beberapa buah bank lain yang menawarkan akaun emas. namun yang merimaskan saya adalah akaun ini melibatkan emas. emas merupakan barang riba (item ribawi). bila disebut item ribawi ada beberapa perkara yang harus dijaga. banyak syarat2 lain yang cukup ketat apabila melibatkan emas, perak dan beberapa jenis item ribawi yang lain. perkara inilah yang menghalang saya untuk membuka akaun di bank2 lain. saya tidak tahu apakah perkembangan terkini akaun emas di bank berkenaan. semoga mereka dapat melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. tentang KFH, mereka mempunyai badan penasihat syariah. selain itu, mereka juga mempunyai sejarah yang panjang dalam pengoperasian berasaskan muamalat islam. paling minimum, bank luar yang beroperasi di malaysia seperti al-rajhi dan KFH tidaklah begitu terlibat dalam isu bay inah yang nampaknya tidak berkesudahan.

semasa berada di meja pelanggan, saya dikehendaki mengisi borang maklumat peribadi. ada satu soalan yang secara lebih kurangnya bertanya tujuan pembukaan akaun di KFH. saya menulis SOKONGAN FOR ISLAMIC BANKING. secara peribadi, itulah tujuan saya mebuka akaun di mana2 bank yang beroperasi secara islamik khasnya bank yang baru beroperasi. rasa bersalah apabila saya belajar tentang muamalat islam, sistem ekonomi islam namun apabila melakukan transaksi masih melakukannya di luar daripada islamic banking. saya teringat kata2 seorang cina kelantan dalam satu forum yang mengatakan bahawa orang cina sekang ramai yang berminat untuk bertransaksi dengan islamic bank. salah satu sebab kenapa orang cina tertarik dengan islamic banking ialah ketelusan mereka dalam setiap transaksi. tidak ada caj tersembunyi atau peratusan yang tidak jelas. semoga masyarakat cina kelantan dapat kenal dan mendalami islam secara lebih jauh dan jelas, tidak terhenti hanya setakat perbankan dan ekonomi islam

semoga kehadiran KFH (juga al-rajhi, walau dah terlambat untuk diucapkan) ke kelantan dapat memberikan sesuatu yang bermanfaat buat masyarakat. bank yang masih tidak dikenali di sini, namun akarnya sudah lama mendasari islamic banking.

pautan KHH:
http://www.kfh.com.my/kfhmb/
pautan al-rajhi:
http://www.alrajhibank.com.my/

Jumaat, 1 Julai 2011

buat pengunjung elmargi

2 3 hari lepas, aku menerima panggilan telefon daripada pemanggil yang tak ku kenali. nombornya aku tak ingat tapi bermula dengan 03. biasanya 03 ni dari lembah klang dan kawasan sekitarnya. aku rasa agak fobia dengan panggilan telefon yang bermula dengan nombor 03 ni. kebelakangan ni aku asyik menerima panggilan 03 yang mengaku pegawai TM, kad kredit dan macam2 seterusnya cuba menawarkan perkhidmatan kad diskaun, skim perlindungan percuma dan macam2 lagi produk. seingat aku, mana2 jual beli, perkhidmatan yang ditawarkan memerlukan keredaan daripada kedua belah pihak. jika ada unsur2 manipulasi seperti memutarbelitkan maklumat, cuba memperdaya pelanggan untuk membeli produk mereka, semuanya itu boleh memudaratkan dan dikhuatiri termasuk di dalam kategori makan harta secara batil.

bila aku angkat panggilan, kedengaran suara bertanya "abu muhammad ker ni?". aku rasa terkejut. sapa pulak panggil aku dengan kunyah sebegini. baru aku teringat, aku taruk nama abu muhammad w.i kat blog ni. aku tak sempat sembang lama dengan pemanggil berkenaan memandangkan azan asar sudah dikumandangkan di kuarters tempat aku tinggal.

blog elmargi dibina pada 2007, sejurus selepas aku menamatkan pengajian di maktab perguruan kota bharu (IPGM kampus pota bharu). tujuan asal blog ini dibina ialah untuk menyimpan nota2 assingmnet, tulisan, hasil pembacaan dan nota2 yang aku rasa berguna apabila diperlukan. ringkasnya tempat simpan barang. apabila aku dijemput berceramah di mana2 samada secara terancang atau bidan terjun dalam keadaan aku berada jauh dari pc aku, sekurangnya2 aku boleh buka internet dan baca kembali nota2 aku yang tersimpan di elmargi. itulah tujuan sebenar blog ini dibina

apabila aku mendapat tauliah mengajar agama dari MAIK, aku merasakan perlunya aku kembali menulis. at least sebagai persediaan untuk menyambung pengajian selepas ini. lama kelamaan, aku terpk kenapa aku tidak menjadikan elmargi sebagai tempat rujukan untuk semua. sekurang2nya semua akan mendapat faedah walau pun aku bukanlah seorang ulama besar atau ustaz agung yang ilmunya menjadi rujukan semua orang.

buat semua yang sudi berziarah di sini, kalau terasa nak petik mana2 artikel di sini, silakanlah. kalau nak sebar ke mana2 sekalipun, silakanlah. cuma jagalah amanah ilmu dengan memberikan sumber rujukan saudara(insya Allah, sama2 kita jaga)
semoga usaha2 yang tersimpan disini dapat menjadi amal soleh yang berterusan dan memberi faedah buat semua.