Saturday, August 13, 2011

tazkirah ramadan (7)...zakat fitrah

TAZKIRAH RAMADAN (7)
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR
ZAKAT FITRAH

Pengertian Zakat Fitrah
Zakat dari sudut bahasa ialah tumbuh dan bertambah. Harta yang dibayar sebagai zakat, ia sebenarnya menumbuh dan menambahkan lagi harta yang dimiliki oleh pembayar tersebut. Fitrah dari sudut bahasa ialah terbelah. Dari segi istilah, zakat fitrah ialah zakat badan yang diwajibkan kerana tamat bulan Ramadan dan dikeluarkan mengikut peraturannya. Zakat fitrah juga dikenali dengan nama-nama lain, iaitu sedekah fitrah, zakat ramadan, zakat puasa, sedekah puasa dan sedekah ramadan

Dalil Zakat Fitrah
Abdullah bin Umar ra berkata (Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu sa’ kurma atau satu sa’ gandum ke atas hamba dan orang yang merdeka sama ada lelaki atau perempuan, anak kecil mahu pun dewasa dari kalangan umat Islam. Baginda memerintahkan agar ia dibayar sebelum orang ramai keluar menunaikan solat Aidilfitri.–Bukhari & Muslim)

Hukum Zakat Fitrah
Berdasarkan hadis di atas, jumhur ilmuan berpendapat bahawa hukum zakat fitrah ialah wajib.

Hikmah Zakat Fitrah
Abdullah bin Abbas ra menerangkan hikmah zakat fitrah sebagai (Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebagai satu pembersihan bagi orang-orang yang berpuasa dari perbuatan yang sia-sia dan perkataan kotor, dan sebagai makanan untuk orang miskin. Sesiapa yang membayar zakat fitrah sebelum solat Aidilfitri maka ia adalah zakat yang diterima oleh Allah baginya. Sesiapa yang membayarnya selepas solat Aidilfitri maka ia adalah sedekah seperti sedekah biasa.- Abu Sawud, hadis hasan)

Waktu Membayar Zakat Fitrah
Waktu membayar zakat fitrah ialah sebelum keluar menunaikan solat Aidilfitri. Ini berdasarkan hadis Abdullah ibn Umar di atas (Baginda memerintahkan agar ia dibayar sebelum orang ramai keluar menunaikan solat Aidil Fitri). Walaubagaimana pun dalam sebuah riwayat diterangkan bahawa para sahabat biasa membayar zakat fitrah sehari atau dua hari sebelum Aidil Fitri. Ini dilakukan mengikut kemaslahatan pada zaman mereka

Dalam mazhab Syafie, kita boleh mengeluarkannya seawal bulan Ramadan namun yang afdalnya ialah sebelum keluar solat hari raya (jika berkesempatan).

Kadar Bayaran Zakat Fitrah
Kadar bayaran zakat fitrah ialah satu sa’ sebagaimana yang disebut dalam hadis Abdullah ibn Umar. Satu Sa’ ialah satu gantang menurut sukatan di Madinah pada zaman nabi. Ianya bersamaan 3 cupak sukatan Malaysia atau 3 kati 12 tahil. (2 kg 250 gram). Walau bagaimanapun kita mestilah mengikut kadar yang ditetapkan oleh Majlis agama setiap negeri

Golongan Yang Wajib Mengeluarkan Fitrah
Golongan yang wajib membayar zakat fitrah adalah seperti berikut:

1) Muslim. Ini berdasarkan hadis Abdullah ibn Umar sebelum ini (Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah … dari kalangan umat Islam)

2) Berkemampuan iaitu memiliki kecukupan yang melebihi keperluannya dan orang-orang di bawah tanggungannya untuk sehari semalam. Kecukupan yang melebihi keperluannya adalah sesuatu yang sedia ada di sisinya. Oleh itu tidak perlu menjual harta, barang kemas dan sebagainya untuk mencapai taraf kecukupan.

3) Orang-orang yang nafkah hidupnya berada di bawah tanggungan orang lain, maka dia tidak wajib membayar zakat fitrah. Zakat fitrahnya dibayar oleh orang yang menanggung nafkah hidupnya berdalilkan hadis berikut (Sesungguhnya Nabi SAW mewajibkan zakat fitrah ke atas anak kecil dan orang dewasa, lelaki dan wanita, dari orang-orang yang kalian tanggung nafkah hidupnya).

Siapa dan bagaimanakah kedudukan orang yang di bawah tanggungan tersebut? Ringkasannya seperti berikut:

1) Suami tidak mampu, isteri tidak mampu. Suami isteri tidak wajib bayar zakat fitrah.

2) Suami mampu, isteri tidak mampu. Suami membayar zakat fitrah untuk diri dan isterinya.

3) Suami mampu, isteri mampu (memiliki harta atau bekerjaya). Suami membayar zakat fitrah untuk diri dan isterinya. Akan tetapi zakat tahunan seperti zakat emas perak isteri dibayar oleh isteri itu sendiri.

4) Suami telah menceraikan isteri tetapi masih menanggung nafkahnya. Suami membayar zakat fitrah untuk dirinya dan untuk isteri yang telah diceraikan itu.

5) Suami tidak mampu (miskin, muflis, kena buang kerja), isteri mampu. Isteri membayar zakat fitrah hanya untuk dirinya sendiri.

6) Ibubapa dan anak tidak mampu. Kesemuanya tidak wajib bayar zakat fitrah.

7) Ayah mampu, anak tidak mampu. Ayah membayar zakat fitrah untuk anak-anaknya.

8) Ayah mampu, anak mampu (biasiswa pendidikan, sudah bekerjaya). Masing-masing membayar zakat fitrah untuk dirinya sendiri.

9) Ayah tidak mampu, ibu mampu, anak tidak mampu. Ibu membayar zakat fitrah hanya untuk dirinya.

10) Ibubapa tidak mampu (tua, telah bersara), anak mampu. Anak membayar zakat fitrah untuk diri dan ibubapanya.

11) Ibu sedang hamil. Tidak wajib membayar zakat fitrah untuk anak yang dikandung. Akan tetapi kebanyakan ilmuan menganjurkannya berdasarkan tindakan para sahabat.

12) Penjaga dan anak yatim piatu tidak mampu. Kesemuanya tidak wajib membayar zakat fitrah.

13) Penjaga mampu, anak yatim tidak mampu. Penjaga membayar zakat fitrah untuk dirinya dan anak yatim piatu jagaannya itu.

14) Penjaga mampu, anak yatim piatu mampu (memiliki harta warisan). Penjaga membayar zakat fitrah untuk dirinya dengan hartanya sendiri. Kemudian membayar zakat fitrah untuk anak yatim piatu jagaannya dengan harta anak yatim itu sendiri.

15) Penjaga tidak mampu, anak yatim piatu mampu. Penjaga tidak wajib membayar zakat fitrah tetapi membayar zakat fitrah untuk anak yatim piatu jagaannya dengan harta anak yatim itu sendiri.

Wajibnya zakat Fitrah itu ialah setelah terbenam matahari pada akhir Bulan Ramadhan. Tidak wajib zakat Fitrah ke atas orang yang mati sebelum terbenam matahari pada hari akhir Ramadhan, atau kanak-kanak yang lahir selepas terbenam matahari akhir Ramadhan atau bagi seorang muallaf yang baru memeluk ugama Islam sesudah terbenam matahari pada akhir Ramadhan atau seorang lelaki yang bernikah sesudah terbenam matahari akhir Ramadhan

Bentuk Bayaran Zakat Fitrah
Berdasarkan hadis Abdullah ibn Umar, zakat fitrah wajib dikeluarkan dari jenis makanan utama penduduk sesebuah negeri kecuali adanya darurat, atau diperintahkan oleh pihak berkuasa maka diharuskan membayarnya dengan wang sebagai ganti daripada beras. Inilah yang menjadi amalan di jabatan-jabatan agama islam di Malaysia. Pemerintah pula boleh memerintahkan supaya dikeluarkan zakat fitrah dengan wang kerana beberapa sebab seperti kemudahan menyimpan dan membawa wang, masalah beras yang mudah rosak, memerlukan upah dan gudang untuk menjaganya dan sebagainya. Justeru itu, kita hanyalah perlu mengikut arahan pemerintah dalam soal fitrah dengan wang ringgit

Penerima zakat fitrah
Golongan yang berhak menerima zakat fitrah ada 8 iaitu fakir, miskin, pemungut zakat, muallaf, hamba yang ingin memerdekakan dirinya, orang yang berhutang, belanja pada jalan Allah dan anak jalanan (musafir). Ada juga ulama yang mengehadkan zakat fitrah kepada orang fakir dan miskin sahaja.

RUJUKAN
1) BAHEIS Jabatan Perdana Menteri, Mastika Hadis
2) http://hafizfirdaus.com/
3) http://al-fikrah.net/
4) http://www.sabah.gov.my/muis
5) http://www.e-zakat.com.my/
6) http://blog.e-zakat.com.my

No comments: