Monday, September 12, 2011

Surah al-Maun....Munafik Dalam Surah al-Maun

BAB 111
MUNAFIQ DI DALAM SURAH AL-MA’UN


Di dalam surah al-ma’un, Allah menerangkan sifat-sifat orang munafiq. Sifat-sifat ini boleh kita bahagikan kepada 3 iaitu munafiq dari sudut akidah, akhlak dan ibadah. Munafiq dari segi akidah merupakan perkara yang tersimpan di dalam hati. Ianya melibatkan soal keimanan. Sementara munafiq dari segi akhlak dan ibadah merupakan perkara luaran yang dapat dilihat perbuatannya. Perbezaan keduanya ialah munafiq dari segi ibadat merupakan perkara yang melibatkan hubungan dengan Allah sementara munafiq dari segi akhlak melibatkan hubungan sesama manusia.

3.1 Munafiq Dalam Akidah
Munafiq akidah ialah perbuatan golongan munafiq yang menzahirkan islam namun hati mereka kufur. Di dalam surah al-maun, Allah memberi isyarat secara tidak langsung tentang kewujudan pendusta agama. Seterusnya barulah disebut ciri-ciri pendusta agama yang melibatkan perbincangan tentang munafiq dari segi sikap dan ibadat. Ringkasnya, munafiq dari sudut akidah menjadi tema besar bagi perbicangan seterusnya di bawah. Kesemua perbuatan mereka seperti menindas anak yatim, enggan member pertolongan dan riya’ merupakan manifestasi daripada kekufuran hati mereka yang disembunyikan.

3.2 Munafiq Dari Segi Sikap
3.2.1 Bersikap Kasar Terhadap Anak Yatim.
Allah SWT memulakan surah ini dengan pertanyaan:

(tahukah engkau siapakah orang yang mendustakan agama, )

Cara atau teknik bertanya ini sebenarnya merupakan perintah kepada Nabi Muhammad SAW dan orang mukmin supaya memberi perhatian sepenuhnya terhadap apa yang bakal disampaikan. Kemudian barulah Allah menyebut sikap orang munafiq yang menolak anak-anak yatim.

(Itulah yang menolak(menindas) anak-anak yatim)

Hamka menjelaskan bahawa erti menolak di sini ialah menolak secara fizikal, dengan cara kasar seumpama menolak tubuh orang apabila ingin dekat kepada kita. Dalam ayat ini golongan munafik menolak dengan kasar anak-anak yatim yang ingin mendekati mereka. Penolakan ini membayangkan rasa kebencian yang amat sangat kepada mereka.
Pendusta agama biasanya tidak mempedulikan nasib anak-anak yatim yang tidak sempat hidup bersama ibu bapa mereka dan tidak sempat pula untuk mendapat didikan dengan sempurna.
Perkataan الدَعّ diambil daripada asal kata دعّ يَدَعُّ ertinya nyah, usir atau tolak ke tepi dengan kasar dan kuat. Perbuatan ini membayangkan keras hati dan tiada rasa belas kasihan padahal anak yatim mungkin tidak meminta apa-apa darinya selain simpati dan kasih sayang untuk mendapatkan sedikit gantian daripada apa yang kehilangan akibat kematian ibu bapa mereka. Namun kesombongan mereka menjadikan mereka tidak menyambut kedatangan anak yatim dengan baik mungkin kerana pada pandangannya anak-anak yatim tidak menjejaskan kepentingannya jika dinyah dan tidak menambahkan apa-apa kalau pun dibantu.

3.2.2 Bakhil
Sifat munafiq seterusnya ialah bakhil. Hal ini diterangkan oleh Allah SWT di dalam ayat ketiga:
( Mereka tidak memberi galakan untuk memberi makan kepada orang miskin).

Allah menggunakan perkataan walayahudu yang bermaksud tidak memberi galakan untuk memberi makanan kepada orang miskin. Mereka sebenarnya mampu untuk memberi makanan kepada orang miskin namun tidak melakukannya bahkan lebih teruk lagi mereka tidak menggalakkan orang lain supaya memberi makan kepada orang miskin. Ayat ini menunjukkan betapa bakhilnya golongan munafiq kerana mereka bukan sahaja kedekut dengan harta yang ada pada mereka bahkan bersikap bakhil terhadap harta orang lain dengan cara tidak menggalakkan mereka memberi makanan kepada orang miskin.
Perkataan الْحضّ ertinya merangsang dan menggalak. Perkataan الطّعَام dalam ayat ini membawa erti الاِطْعَامْ, ertinya memberi makan. Sesetengah ahli tafsir memberi erti طَعَام dalam ayat di atas dengan erti makanan yang menjadi hak orang-orang miskin yang ada pada orang kaya. Tafsiran ini pula menunjukkan orang-orang miskin mempunyai hak daripada harta kepunyaan orang kaya, sebagaimana dalam firman Allah:

(Dan mereka yang menentukan bahagian pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri dari meminta).

Di sini jelas saranan al-Quran supaya merangsang atau membantu untuk memberi makan fakir miskin adalah wajib. Namun bagi orang munafiq, mereka mengaku menyembah Allah sedangkan hamba Allah tidak diberinya pertolongan dan tidak diperdulikannya. Mereka mendustakan agama kerana akhlak mereka jelas menunjukkan bahawa segala ajaran agama tidak diikutinya.

3.2.2 Enggan Memberi Pertolongan
Dalam ayat terakhir Allah menerangkan sikap orang munafiq yang enggan memberi pertolongan walaupun melibatkan barangan yang terlalu mudah.

(Dan orang-orang yang enggan memberi pertolongan)
Perkataan الْمَاعُونَ diertikan dengan sesuatu yang sedikit, tetapi masih ada nilainya. Ada yang mentafsirkannya dengan sesuatu yang tidak sepatutnya dihalang jika diminta seperti air, api dan garam.

Meskipun banyak tafsiran diberi kepada perkataan ini, namun hakikatnya satu sahaja, iaitu orang yang bakhil dengan barang-barang yang tidak merugikannya jika diberi untuk dipinjam seperti parang, pisau, penyapu dan sebaganya. Dalam hadis riwayat Abdullah Ibn Mas`ud ra. katanya:
‏كُنَّا نَعُدُّ الْمَاعُونَ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏عَوَرَ ‏ ‏الدَّلْوِ وَالْقِد
(Sesungguhnya kami pada zaman Nabi SAW. menamakan al-Ma`un kepada orang yang tidak sudi memberi pinjam timba dan periuk)

Sebahagian mufassirin mentafsirkan al-Ma`un dengan zakat. Maksudnya di antara sifat orang yang bersolat tetapi binasa ialah mereka yang enggan membayar zakat kerana zakat adalah gandingan salat, sebagai contoh firman Allah:
وَيُقِيمُوا الصَّلاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ
(supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat).
Tafsiran al-Ma`un dengan keenganan membayar zakat lebih baik dari tafsiran enggan memberi pinjam barang-barang seperti periok, pisau dan timba kerana enggan membayar zakat lebih besar dan lebih buruk akibatnya berbanding keengganan meminjamkan barang-barang yang remeh dan murah harganya.

3.3 Munafiq Dari Segi Ibadah
3.3.1 Meringankan Solat
Di antara sifat orang munafiq ialah meringankan solat. Dalam ayat ke 4 (Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang melakukan sembahyang) dan ke 5 ( Iaitu mereka yang lalai dari sembahyangnya) Allah mengancam mereka yang lalai di dalam solat dengan neraka wail.
Ibn Abbas berkata bahawa yang dimaksudkan dengan lalai di dalam solat ialah mereka yang bersolat dalam keadaan tidak mengharapkan ganjaran pahala dari Allah SWT. Sementara kalau tidak melakukan solat, mereka tidak berasa takut dengan siksaan Allah.
Ibn Abbas juga dalam pendapatnya yang lain berkata bahawa maksud lalai di sini ialah golongan munafiq yang tidak bersolat di belakang manusia dan melakukannya hanya di depan orang ramai.
Abu al-Aliyah pula berpendapat maksud lalai di sini ialah mereka yang tidak melakukan solat di dalam waktunya serta tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.
Rasulullah SAW ketika ditanya apakah yang dimaksudkan dengan ayat ini bersabda bahawa mereka ialah yang melewatkan solat daripada waktunya.
Perkataan سَاهُونَ di dalam ayat tidak membawa makna lupa kerana lupa adalah suatu keadaan di luar keupayaan manusia. Nabi SAW juga terlupa beberapa kali di dalam salatnya. Jika Nabi SAW terlupa, maka lebih utama lagi dengan manusia yang bukan nabi. Leka yang duimaksudkan di dalam ayat ini ialah tidak melakukan salat dengan sempurna atau tidak mendirikannya dengan betul.
Kalaulah dalam soal solat yang merupakan ibadat teragung mereka tidak menunaikannya secara bersungguh-sungguh, apatah lagi dengan ibadah lain selain daripada solat. Ayat ini secara khususnya menunjukkan kepada solat, namun secara umumnya begitulah ibadat orang munafik. Mereka tidak serius di dalam melakukan ibadat kerana niat mereka bukanlah kerana Allah

3.3.2 Riya’
Sifat munafiq yang seterusnya ialah riya’ iaitu melakukan solat dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk supaya disebut orang sebagai seorang yang baik dan bertakwa. Mereka melakukan ibadat bukan kerana Allah tetapi untuk mendapatkan pengiktirafan manusia. Perkara ini disebut di dalam ayat keenam

(Juga orang-orang yang riak dengan sembahyang mereka)
Walau bagaimanapun seseorang yang mengerjakan amalan wajib yang perlu dihebahkan seperti bersolat jumaat di tempat yang ramai tidak dikatakan riya’ kerana sememang ibadat berkenaan dilakukan secara berjemaah.


RUJUKAN
Hamka, Tafsir Al-Azhar, Yayasan Latimojong, Surabaya, juz 29-30, hlm.

al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn Umar, Tafsir Fakhr al-Raziy Tafsir al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic. t.tmpt., jil 32, hlm.113

http://www.drhayei.com/2010/10/surah-al-maun-107-pertolongan-dengan.html

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/,

http://www.scribd.com/doc/8263965/Antara-Ciriciri-Orang-Munafik

al-Alusiy, Muhammad, Ruh al-Macaniy, Dar Ihya’ al-Turath al-cArabiy, Beirut, jil.30, hlm242,

Al-Qurtubiy, Muhammad bin Ahmad, al-Jamic Li Ahkam al-Quran, Muassasah al-Risalah, Beirut-Lubnan, jil. 24, hlm.511,

Ibn Kathir, Ismail. Tafsir al-Quran al-cAzim, al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, Kaherah, jil 8, hlm. 387-388

al-Sabuniy, Muhammad cAli, Safwat al-Tafasir Tafsir Li al-Quran al-cAzim

No comments: