Thursday, February 14, 2013

HUKUM RIBA & DALIL



2.4 HUKUM RIBA & DALIL
Riba hukumnya haram dan termasuk dalam dosa besar. Ia bukan sahaja diharamkan oleh Islam, bahkan pengharamannya meliputi kesemua agama langit termasuklah Yahudi dan Nasrani.[1]
Pengharamannya berdasarkan kepada dalil-dalil daripada al-Quran, sunnah dan ijmak[2]
2.4.1 Dalil daripada al-Quran
1) Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah 275 yang bermaksud:
Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk oleh syaitan, dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (syaitan yang merasuk) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan bahawa sesungguhnya berjual-beli itu hanyalah seperti riba padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba[3]
Allah SWT telah menerangkan di dalam ayat ini bahawa riba hukumnya haram. Selain itu, ayat ini juga mengandungi janji buruk kepada pemakan riba bahawa mereka akan dibangkitkan dalam keadaan terhoyong-hayang. Tegasnya janji buruk ini menunjukkan pengharamannya dan kategori riba sebagai dosa besar[4]
Al-Sabuni semasa menafsirkan ayat ini di dalam kitabnya menjelaskan bahawa orang yang makan riba, apabila dibangkitkan dari kubur masing-masing, mereka akan bangun dan berjalan dalam keadaan terhoyong-hayang. Mereka tidak mampu untuk berjalan sebagaimana biasa. Keadaaan mereka ini disebabkan oleh perbuatan mereka yang menghalalkan riba yang diharamkan Allah. Mereka juga berkata bahawa riba seperti juga jual beli, jadi kenapa riba haram sedangkan riba dan jual beli adalah sama. Lalu Allah menempelak mereka bahawa jual beli merupakan perbuatan pertukaran barangan dan manfaat dan ianya dihalalkan Allah. Riba pula merupakan bayaran lebihan yang mengeksploitasi segala usaha orang yang berhutang dan ianya diharamkan Allah, apakah riba dan jual beli masih sama?[5]

2) Firman Allah SWT yang bermaksud:
Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNYA (akibatnya kamu tidak menemui selamat)
Ayat ini mengandungi janji buruk ke atas orang yang mengamalkan riba dan tidak berhenti daripada melakukannya. Janji buruk atau ancaman ini berupa pengisytiharan perang dari Allah dan rasulnya. Janji buruk ini menunjukkan bahawa riba hukumnya haram dan berdosa besar. Kita tidak dapat membayangkan bagaimana Allah menjanjikan peperangan ke atas orang yang melakukan riba kalaulah riba itu halal. Justeru itu, ayat ini memberi penegasan tentang pengharaman riba[6]

2.4.2 Dalil daripada sunnah
1) hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, orang yang menjadi wakilnya, orang yang menjadi saksinya dan penulisnya muslim
Hadis ini mengandungi laknat. Perkataan atau perbuatan melaknat menunjukkan kepada 2 perkara iaitu bahawa perbuatan itu haram dan ianya termasuk di dalam dosa besar.
2) hadis 7 dosa besar:
Jauhilah 7 dosa besar: syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yati, makan riba, lari daripada medan perang (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil)[7]
2.4.3 Dalil Ijmak
Sesungguhnya ulama telah bersepakat tentang haramnya riba samada sedikit atau banyak, riba fadl atau nasa’. Imam Nawawi menyatakan bahawa telah menjadi suatu kesepakatan di kalangan orang Islam bahawa riba hukumnya haram dan termasuk di dalam dosa besar. Katanya lagi bahawa telah dinaqalkan bahawa ianya diharamkan di dalam semua agama. Ini dinyatakan di antaranya oleh al-Mawardi[8]
Kalaulah dikatakan bahawa ijmak ini terbatal berikutan Ibn Abbas yang mengharuskan riba al-fadl, ketahuilah bahawa Ibn Abbas telah menarik balik fatwanya itu.[9]



[1] Al-Zuhayliyy, Wahbah, al-Fiqh al-Islamiyy wa adillatuh, Dar al-Fikr, Damsyik-Syria, jil.4, hlm.672; Al-Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, al-Fath Li al-I’lam al-Arabiy, Kaherah, jil.3, hlm.123

[2] Al-Zuhayliyy, Wahbah, al-Fiqh al-Islamiyy wa adillatuh, Dar al-Fikr, Damsyik-Syria, jil.4, hlm.669; Ramadan Hafiz Abdul Rahman, Mawqif al-Shariah al-Islamiyyah Min al-Bunuk Wa Sunduq al-Tawfir Wa Shahadah al-Istithmar, Dar al-Salam, Kaherah, 2005, hlm.15-16; al-Manic, Abdullah bin Sulaiman. 1996. Bahth fi al-riba wa al-sarf. Buhuth Fi al-Iqtisad al-Islamiyy. 255-291

[3] Al-baqarah, 275

[4] Ramadan Hafiz Abdul Rahman, Mawqif al-Shariah al-Islamiyyah Min al-Bunuk Wa Sunduq al-Tawfir Wa Shahadah al-Istithmar, Dar al-Salam, Kaherah, 2005, hlm.13

[5] Al-Sabuniy, Muhammad Ali, Rawaic al-Bayan Fi Tafsir Ayat al-Ahkam Min al-Quran, Maktabah al-Ghazali & Muassasah Manahil al-Irfan, Damsyik & Beirut, hlm.388

[6] Ramadan Hafiz Abdul Rahman, Mawqif al-Shariah al-Islamiyyah Min al-Bunuk Wa Sunduq al-Tawfir Wa Shahadah al-Istithmar, Dar al-Salam, Kaherah, hlm.13

[7] Al-Zuhayliyy, Wahbah, al-Fiqh al-Islamiyy wa adillatuh, Dar al-Fikr, Damsyik-Syria, jil.4, hlm.670; Zaharuddin Abd. Rahman, Riba Dan Isu Kewangan Semasa, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur, hlm.34
           
[8] Al-Zuhayliyy, Wahbah, al-Fiqh al-Islamiyy wa adillatuh, Dar al-Fikr, Damsyik-Syria, jil.4, hlm.669

[9] Ramadan Hafiz Abdul Rahman, Mawqif al-Shariah al-Islamiyyah Min al-Bunuk Wa Sunduq al-Tawfir Wa Shahadah al-Istithmar, Dar al-Salam, Kaherah, hlm.14; Zaharuddin Abd. Rahman, Riba Dan Isu Kewangan Semasa, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur, hlm.2-3

No comments: