Khamis, 14 Februari 2013

PERBANDINGAN ANTARA JUAL BELI DAN RIBA



BAB III

PERBANDINGAN ANTARA JUAL BELI DAN RIBA


3.1 PENDAHULUAN
Riba dan jual beli kalau dilihat pada mata kasar, seakan-akan ada persamaan. Jual beli menghasilkan lebihan yang dinamakan untung dan ianya halal. Sementara riba khasnya yang berbentuk pinjaman, seakan-akan menghasilkan keuntungan melalui tempoh masa. Persoalannya apakah jual beli dan riba itu sama? Dalam bab terakhir dan terpenting ini, penulis akan menghuraikan perbezaan di antara riba dengan jual beli.

3.2 BEZA RIBA DENGAN JUAL BELI[1]
Terdapat beberapa elemen yang membezakan riba dengan jual beli iaitu:

3.2.1 Punca Keuntungan / Lebihan  

Dalam amalan perniagaan atau jual beli, untung yang diperoleh berpunca daripada perbezaan nilai di antara harga beli dengan harga jual. Seorang penjual akan membeli baju secara pukal dengan harga puratanya RM10 bagi sehelai baju. Penjual akan menjual kembali baju ini dengan harga RM15. Penjual juga mungkin akan memberi nilai tambah kepada baju tersebut seperti mewarnakannya semula, menjahit corak dan rekaan yang lebih cantik dan sebagainya. Jadi perbezaan RM5 itu merupakan keuntungan yang diperolehinya hasil daripada jualan. Dalam kes ini, penjual akan mendapat keuntungan sementara pembeli akan mendapat sehelai baju.

Ini berbeza dalam amalan riba. Si pemiutang akan mendapat lebihan bayaran bukan kerana hasil jualannya sebaliknya kerana tempoh penangguhan yang diberi. Amalan mengambil kadar lebihan daripada hutang adalah amalan riba yang diterangkan Allah SWT di dalam Al-Quran yang berleluasa pada zaman Jahilliyah[2]

3.2.2 Jenis Kontrak[3]
Transaksi jual beli berasaskan kontrak perpindahan atau pertukaran harta sementara kontrak dalam riba ialah berdasarkan belas ihsan. Seseorang peniaga yang ingin meluaskan empayar perniagaannya akan cuba untuk membuat pinjaman dengan mana-mana pemiutang. Dalam kes ini, terpulang kepada pihak pemiutang samada mahu memberikan pinjaman dengan jumlah yang dipohon atau jumlah lain yang difikirkan munasabah. Jelasnya si pemiutang memberikan pinjamannya atas dasar ihsannya. Ini berbeza dengan kontrak yang berlaku dalam transaksi jual beli. Kontrak dalam jual beli mempunyai rukun jua lbeli meliputi orang yang berkontrak, barangan kontrak dan lafaz kontrak. Ia juga mempunyai syarat-syarat tertentu untuk menjadikannya sah. Tegasnya, kontrak di dalam jual beli dan riba tidak sama

3.2.3 Jaminan Pulangan[4]
Dalam transaksi perniagaan, pulangannya tidak terjamin. Seorang peniaga mungkin akan mendapat keuntungan sekali ganda dalam setahun. Mungkin juga dia akan rugi dan gulung tikar. Jelasnya keuntungan dalam jual beli tidak terjamin.

Keadaan ini berbeza dalam amalan riba. pulangannya tetap dan terjamin. Selagi peminjam tidak boleh membayar selagi itulah faedah akan dikenakan. Jika dalam masa sepuluh tahun dia tidak mampu membayar, maka selama sepuluh tahun itulah faedah dikenakan dan jumlahnya tetap sepanjang tempoh tersebut. Amat jelas ianya menindas peminjam yang berkemungkinan dibebani berbagai masalah.[5]

3.2.4 Ketulenan Aktiviti Dalam Pertumbuhan[6]

Dalam amalan jual beli, keuntungan daripada perniagaan merupakan pertambahan harta yang sebenar. Ianya terhasil daripada pertukaran di antara 2 benda yang berbeza dan ia juga bermanfaat untuk peniaga dan penjual. Jelasnya ia merupakan aktiviti yang berkaitan dengan perniagaan aset sebenar. Aktiviti jual beli ini akan merancakkan lagi ekonomi sesebuah komuniti atau negara kerana ia melibatkan pertukaran aset sebenar.

Sementara dalam amalan riba, ia melibatkan pinjaman dan aktiviti pinjaman ini merupakan aktiviti yang terpisah daripada pertumbuhan sebenar. Walau pun pinjaman juga mampu menyuntik ekonomi sesebuah Negara, namun ia berasingan daripada pertumbuhan sebenar

3.2.5 Pertukaran Jenis Barangan[7]
Dalam amalan jual beli, pertukaran yang berlaku melibatkan 2 jenis yang berbeza iaitu diantara aset (seperti baju, kereta dan sebagainya) dengan matawang. Sementara dalam amalan riba, ia tidak melibatkan pertukaran aset dengan matawang. Ia hanya melibatkan perukaran antara jenis matawang dengan matawang.


Kesimpulannya perbezaan di antara riba dan jal beli adalah sebagaimana rajah berikut:[8]
Pinjaman Riba
Jual beli
Keuntungan diperolehi hasil daripada tempoh penangguhan yang diberi

Keuntungan diperolehi daripada hasil barang yang dijual dan manfaatnya
Pinjaman adalah kontrak belas ihsan

Kontrak perniagaan pertukaran harta
Pulangannya tetap

Pulangannya tidak tetap
Pinjaman adalah aktiviti yang berasingan daripada pertumbuhan sebenar

Aktiviti jual beli berkaitan dengan perniagaan aset sebenar
Pertukaran antara jenis yang sama iaitu matawang dengan matawang

Pertukaran melibatkan 2 jenis yang berbeza iaitu di antara aset dan matawang
Pertukaran wang kepada wang yang lebih banyak kepada pemberi pinjam hanya pusingan duit yang sama, tiada peluang kekayaan dibina untuk yang lain selain pemberi pinjam. Hanya (wealth transfer)
Jualan aset membentuk peluang kekayaan kepada banyak pihak (wealth creation)

3.3 PANDANGAN AL-QAFFAL AL-SYAFII
Di dalam menerangkan perbezaan di antara jual beli dan riba, al-Qaffal al-Syafii berkata:[9]

Apabila seorang penjual mengeluarkan modal sebanyak 10 dirham untuk sehelai pakaian dan kemudian menjualnya semula dengan harga 20 dirham. Maka penjual itu memperolehi keuntungan sebanyak 10 dirham iaitu sekali ganda daripada modal. Oleh itu sekiranya diperolehi dengan rela daripada kedua-dua belah pihak penjual dan pembeli, akan termeterai kontrak pertukaran pemilikan harta (pada wang dan pakaian) di antara kedua-duanya. Kedua-dua pihak yang lain tidak mengambil milik yang lain tanpa balasan material.

Tegasnya lagi, jika seseorang memberi pinjaman sebanyak 10 dirham dan kemudian mengambil keuntungan melebihi daripada nilai tersebut tanpa sebarang pertukaran milik harta (seperti baju dalam kes jual beli di atas), maka apakah sebab yang membolehkan pemberi pinjaman itu untuk mengambil lebih daripada apa yang diberi? Kita tidak boleh mengatakan penangguhan pulangan untuk sesuatu tempoh itu sebagai harta, kerana penagguhan bukanlah sesuatu harta yang mempunyai nilai tersendiri. Atas sebab itu, tiada sebab untuk pemberi pinjaman mendapat lebihan tadi.

3.4 PANDANGAN AL-RAZI
al-Razi semasa menafsirkan ayat ke 275 al-Baqarah mengatakan bahawa terdapat segolongan manusia menghalalkan riba kerana riba bagi mereka sama seperti jual beli. Allah SWT menghalalkan jual beli, sudah tentu riba juga halal kerana jual beli dan riba sama-sama menghasilkan lebihan yang dipanggil untung. Ini kerana seorang penjual membeli baju dengan harga 10 dirham lalu menjualnya dengan harga 11 dirham, lebihan 1 dirham yang diperolehinya itu dikira keuntungan. Begitulah juga dengan riba. Apabila seorang pemiutang memberi pinjam (atau menjual) 10 dirham dengan 11 dirham, lebihan 1 dirham itu adalah keuntungan. Selain itu, penjual dan pembeli juga telah maklum tentang harga jualan. Justeru itu, mereka telah bersetuju dan reda dengan lebihan bayaran tersebut.[10]

Kata al-Razi lagi, sebenarnya apa yang mereka katakan itu bertentangan dengan nas yang jelas. Mereka mengqiaskan riba dengan jual beli. Inilah perangai iblis kerana apabila Allah SWT memerintahkan iblis supaya sujud kepada Adam, iblis mengingkari perintah Allah dengan suatu qias (aku lebih baik daripada Adam kerana aku diciptakan daripada api sedangkan adam diciptakan daripada tanah). Qias ini tertolak kerana agama dibina berdasarkan nas bukannya qias yang menyalahi nas.[11] Justeru itu jual beli dan riba cukup berbeza.




[1] Zaharuddin Abd. Rahman, Riba Dan Isu Kewangan Semasa, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur; http://iqtisoduna.blogspot.com/2009/03/perbezaan-antara-untung-peniagaan.html;

[2] http://iqtisoduna.blogspot.com/2009/03/perbezaan-antara-untung-peniagaan.html

[3] Zaharuddin Abd. Rahman, Riba Dan Isu Kewangan Semasa, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur; http://iqtisoduna.blogspot.com/2009/03/perbezaan-antara-untung-peniagaan.html;
[4] ibid
[5] ibid
[6] ibid
[7] Zaharuddin Abd. Rahman, Riba Dan Isu Kewangan Semasa, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur; http://www.zaharuddin.net/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=858

[8] ibid
[9] Zaharuddin Abd. Rahman, Riba Dan Isu Kewangan Semasa, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur, hlm.8; al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn Umar, Tafsir Fakhr al-Raziy Tafsir al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic. t.tmpt., jil 7, hlm.98; http://www.zaharuddin.net

[10] al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn Umar, Tafsir Fakhr al-Raziy Tafsir al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic. t.tmpt., jil 7 hlm.97-98

[11] al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn Umar, Tafsir Fakhr al-Raziy Tafsir al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic. t.tmpt., jil 7 hlm.97-98

Tiada ulasan: