Sabtu, 22 Jun 2013

Syarat-Syarat Perawi




2.3 Syarat-Syarat Perawi
2.3.1 Muslim.
Ulama menetapkan bahawa seorang perawi mestilah beragama Islam ketika dia menyampaikan hadis. Justeru itu seorang yang bukan Islam tidak boleh menyampaikan hadis (tidak diterima).
Walau bagaimanapun syarat Islam ini melibatkan penyampaian hadis sahaja. Semasa menerima atau mendengar hadis, ianya tidak disyaratkan. Terdapat juga sahabat yang mendengar hadis ketika mereka masih belum memeluk Islam. Apabila mereka sudah pun Islam, mereka meriwayatkan hadis yang diterima atau didengarnya ketika masih belum Islam.
Contohnya sebagaimana yang telah berlaku kepada Jubair bin Matcam. Beliau telah meriwayatkan hadis yang didengarnya ketika masih belum memeluk Islam. Hadisnya ialah berkenaan perbuatan Nabi SAW yang membaca surah al-Thur ketika solat maghrib.[1]
2.3.2 Baligh
Baligh atau cukup umur merupakan syarat sesuatu hadis itu dapat diterima. Ulama menolak riwayat kanak-kanak kerana kebiasaannya kanak-kanak tidak mungkin atau tidak dapat bertanggungjawab di atas apa yang diriwayatkannya.
Sebahagian ulama pula berpendapat bahawa riwayat kanak-kanak tidak diterima kerana ada kemungkinan mereka berdusta. Walau bagaimanapun sebab sebenar ialah mereka tidak dipertanggungjawabkan di atas periwayatan mereka kerana tidak semua kanak-kanak berdusta bahkan dalam keadaan biasa, kanak-kanaklah yang selaluunya mudah bercakap benar tentang apa yang didengar dan dilihatnya.
Dalam masalah penentuan had umur baligh pula, ulama berbeza pendapat. Namun ulama fiqh menetapkan bahawa had umur baligh bagi kanak-kanak lelaki ialah 15 tahun atau telah bermimpi dan kanak-kanak perempuan ialah 9 tahun atau telah datang haid.[2]
Para ulama hadis juga berbeza pendapat dalam mengehadkan umur kanak-kanak yang layak meriwayatkan hadis. Sesetengah berpendapat bahawa had umur yang layak bagi kanak-kanak untuk meriwayatkan hadis ialah 15 tahun. Ada juga yang mengatakan had umur ialah 13 tahun. Jumhur ulama pula mengatakan bahawa sah menerima hadis daripada orang yang umurnya kurang daripada had di atas. Pendapat jumhur inilah yang digunapakai oleh al-Kathib al-Baghdadi. Kata al- Baghdadi bahawa pendapat ini merupakan pendapat yang betul di sisi kami
Had umur seseorang untuk meriwayatkan hadis juga berkaitan dengan tempat atau negeri masing-masing. Penduduk Basrah misalnya biasa menulis dan meriwayatkan hadis semasa berumur 10 tahun. Sementara bagi penduduk Kufah pula, had umur tersebut pada 20 tahun dan sebelum itu dia hendaklah bersungguh-sungguh menghafal al-Quran dan beribadat. Sementara di Syam pula, mereka tidak akan menulis hadis kecuali setelah mencapai umur 30 tahun [3]
Antara sahabat yang menerima hadis semasa kanak-kanak dan meriwayatkannya sesudah dewasa ialah Anas bin Malik, Abdullah bin Abbas dan Abu Said al-Khudri[4]
2.3.3 Berakal
Orang yang gila atau dipaksa oleh orang lain tidak diterima. Ini kerana orang yang tidak berakal tidak dapat membezakan perkara yang baik dan buruk. Sudah tentu dia dengan mudah boleh melakukan sesuatu perkara yang menjatuhkan maruahnya sebagai seorangyang normal.
2.3.4 Adil
Persoalan adil atau cadalah akan dibincangan di bawah
2.3.5 Dabit
Perawi mestilah seorang yang dabit sebagaimana yang telah diterangkan


[1] Asmawi Ehsan, Ilmu Hadith, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.84-85 Ahmad Muhammad Syakir, al-Bacith al-Hanith Syarah Ikhtisar Ulum al-Hadith Li al-Hafiz Ibn Kathir, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut-Lubnan, t.thn., hlm.103

[2] Asmawi Ehsan, Ilmu Hadith, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.85-86
[3] Ahmad Muhammad Syakir, al-Bacith al-Hanith Syarah Ikhtisar Ulum al-Hadith Li al-Hafiz Ibn Kathir, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut-Lubnan, t.thn., hlm.103

[4] Subhi Salleh, Ilmu Hadith Satu Pengenalan Dan Kajian, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.122-123

Tiada ulasan: