Ahad, 14 Julai 2013

Perbandingan Dengan Buku al-Raheeq al-Makhtum



2.3 Perbandingan Dengan Buku al-Raheeq al-Makhtum
Penulis memilih untuk melakukan perbandingan dengan karya Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuriy kerana buku ini merupakan sebuah buku yang diiktiraf di dunia Islam dalam bidang sirah. Buku ini telah dipilih memenangi tempat pertama oleh badan Rabitah Alam Islam yang berpusat di Mekah dalam penulisan kitab-kitab sirah.[1] Justeru itu, penulis mengaggap dan menjadikan karya al-Mubarakfuriy ini sebagai perbandingan dan penanda aras dalam ilmu sirah selain daripada Sirah Ibn Ishaq dan Ibn Hisham. Terdapat 2 versi al-Raheeq al-Makhtum yang penulis gunakan, iaitu edisi asal secara capaian online dan edisi terjemahan

2.3.1 Perbandingan Fizikal
Dari segi fizikal, al-Raheeq al-Makhtum hanya setebal 333 muka surat sahaja untuk edisi online dan 633 untuk edisi terjemahan dalam Bahasa Melayu.[2] Jurang perbezaan ini cukup besar kerana buku yang dikarang oleh Tarikuddin Hassan ini mempunyai ketebalan melebihi 1500 mukasurat. Banyak peristiwa tidak diperincikan dalam karya al-Mubarakfuriy ini berbanding dengan Tarikuddin hasan.


2.3.2 Huraian Peristiwa
Apabila dinilai dari segi penetilitian isu, karya Tarikuddin Hasan lebih terperinci. Beliau menghuraikan setiap bahagian dengan tajuk-tajuk kecil di dalamnya secara terperinci. Berbanding al-Mubarakfuriy, karyanya menyentuh perkara-perkara besar secara umum. Walau bagaimanapun terdapat bahagian tertentu seperti peperangan Uhud, Khandaq dan Badar disentuh secara teperinci. Ringkasnya karya Tarikuddin Hasan memperincikan keseluruhan bahagian sementara al-Mubarakfuriy membuat perincian kepada peristiwa tertentu sahaja. Al-Mubarakfuriy juga tidak menyebut tentang sejarah keturunan dan susur galur keluarga Rasulullah SAW sebagaimana yang dilakukan oleh Tarikuddin Hasan dengan membicarakan perihal Qusai. Jalur keturunan Rasulullah SAW dalam al-Raheeq al-Makhtum hanya disebut pada peringkat Bani Hashim.

2.3.3 Sumber Penulisan
Al-Mubarakfuriy menyebut di bahagian permulaan bukunya tentang metodologi penulisan sirah yang beliau gunakan. Beliau menyebut bahawa sumber sejarah Rasulullah ialah ayat-ayat al-Quran khasnya yang berkaitan dengan sesuatu peristiwa seperti peristiwa perang Badar, Uhud, Khandaq dan sebagainya. Kemudian diikuti dengan hadis yang dikutip daripada kitab-kitab hadis. Sumber yang ketiga ialah kitab-kitab sejarah Rasulullah SAW termasuklah yang ditulis oleh Urwah Ibn Zubair(92H), Abari Bin Othman (105H), Syarbabil bin Saad (123H) dan sebagainya. Kebanyakan apa yang mereka tulis walau pun telah hilang namun sesetengahnya terdapat dalam kitab al-Tabari dan sebahagiannya tersimpan di Bandar Heidelberg di Jerman. Apa yang tersimpan di Jerman ini ialah sebahagian tulisan Wahb bin Manbah (110H).[3]
Berbanding dengan Tarikuddin Hassan, beliau tidak menyebut atau meletakkan satu bab khusus untuk menyebut sumber sejarah atau metodologi penulisan yang beliau gunakan. Namun sepanjang semakan ringkas yang penulis lakukan, beliau merujuk kepada sumber yang hampir sama dengan al-Mubarakfuriy. Cuma buku-buku rujukan beliau yang dimuatkan di bahagian lampiran kitab kebanyakannya berbahasa Melayu dan tidak terdapat kitab-kitab sirah yang terulung seperti Ibn Hisham dan Ibn Ishaq.
Kesimpulannya, buku karangan Tarikuddin Hassan mempunyai persamaan dengan karya al-Mubarakfuriy dari segi sumber penulisan dan sebagainya. Apa yang berbeza ialah dari segi huraian peristiwa yang lebih terperinci yang menjadikan buku ini lebih tebal.



[2] Al-Mubarakfuri, Safiy al-Rahman, Sirah Nabawiyah. Selangor. Pustaka Ibnu Katsir Sdn. Bhd.

[3] Al-Mubarakfuriy, Sayf al-Rahmn, al-Raheeq al-Makhtum, edisi online, hlm.14-15

Tiada ulasan: