Rabu, 29 Januari 2014

ikjaz tashriciy dalam pengharaman arak



BAB III

ICJAZ TASHRICIY DALAM PENGHARAMAN ARAK

3.1 Pendahuluan
Dalam bab lepas, arak diharamkan secara berperingkat. Tujuannya ialah untuk mendidik jiwa manusia secara beransur-ansur kerana arak menjadi suatu tabiat dan kebiasaan sehingga ia dihidangkan dalam majlis keraian, kenduri dan sebagainya. Arak juga disebut dan dipuji dalam syair-syair mereka. Justeru itu, Allah mengharamkan arak yang menjadi suatu kebiasaan orang arab secara berperingkat.

3.2 Pengertian Syarak
Syarak merupakan masdar dari perkataan Sharaca, sementara tashric masdar dari perkataan sharraca. Syariah pada penggunaan bahasa bermaksud jalan menuju ke air. Kemudian orang arab menggunakannya untuk menunjukkan kepada suatu jalan yang lurus. Seperti air yang menjadi punca kehidupan, begitulah juga jalan yang lurus tadi menjadi sumber petunjuk kepada jiwa dan menghidupkannya. Perkataan syariat kemudiannya digunakan untuk menunjukan kepada jalan ketuhanan[1]

3.3 Icjaz tasyriciy Dalam Pengharaman Arak
Icjaz tasyriciy bermaksud menetapkan lemahnya manusia secara keseluruhannya daripada membawakan sesuatu yang seumpama al-Quran dari segi hukum dan perundangan, samada hukum itu melibatkan perkara yang bersangkutan individu atau masyarakat dalam semua bidang.
Apabila membicarakan Icjaz tasyriciy dalam pengharaman arak, maksudnya ialah menetapkan lemahnya manusia daripada mencipta atau membawa suatu perundangan yang mampu menandingi undang-undang berkenaan arak.
Undang-undang Islam mempunyai sifat-sifat tertentu seperti seperti syumul, fleksibel dan kesesuaian dengan fitrah manusia.
Kesyumulan undang-undang Islam dapat dilihat dalam masalah arak yang mana Islam mengubati penyakit arak daripada akar umbinya. Islam mendidik jiwa manusia dengan cara menyebut bahawa arak membawa lebih banyak mudarat berbanding manfaat. Proses pendidikan ini menyediakan jiwa manusia kepada pengharaman secara mutlak. Kemudian Islam menyeru orang mukmin supaya jangan bersolat dalam keadaan mabuk, oleh itu para sahabat tidak lagi minum dalam keadaan hendak solat. Kemudian barulah Islam mengharamkan arak secara mutlak. Pemeringkatan ini nyata memberi kesan besar kepada masyarakat tentang arak
Seterusnya apabila arak diharamkan secara mutlak, Islam menyediakan peruntukan undang-undang yang mempunyai sifat mencegah. Apabila seorang yang sabit kesalahan arak dikenakan hukuman hudud di khalayak, pastinya ia akan memberi kesan kepada masyarakat yang menontonnya.

3.4 Perbandingan Undang-Undang Pencegahan Arak[2]
Sebenarnya suatu yang tidak adil untuk kita membandingkan undang-undang Allah dengan undang-undang manusia dalam semua segi kerana ia seolah-olah menjadi perbandingan di antara ciptaan Tuhan dengan ciptaan manusia. Namun kita hanya mengambil satu contoh realiti bagaimana Syarak mengubati suatu masalah yang mana masyarakat yang mendakwa paling bertamadun pada hari ini masih sukar untuk menanganinya secara berkesan.
Sesungguhnya Syarak mengubati penyakit ini hanya dengan 3 peringkat penurunan ayat al-Quran. Apa yang berlaku pada masyarakat bukan Islam ialah mereka masih berdepan dengan masalah ini lebih daripada 13 abad. Perkara ini masih menjadi poin penting kepada penggubal dan pembuat dasar yang mungkin boleh disifatkan sebagai paling bertamadun pada masa kini.
Di Amerika Syarikat pada tahun 1919, pihak berkuasa cuba mengubati masalah berkenaan arak dengan melaksanakan undang-undang yang digelar ACTE Volstead.[3] Ianya berkuatkuasa selama lebih kurang 13 tahun sebelum dimansuhkan kerana menemui kegagalan. Dalam kempen berkenaan arak, mereka menggunakan sepenuhnya media massa mereka seperti akhbar, televisyen, radio dan sebagainya. Belanja untuk kempen membasmi arak sahaja mencecah angka 65 juta dolar. Sebanyak 9 billion halaman akhbar, majalah dan risalah telah disebarkan untuk menerangkan kepada rakyat Amerika bahayanya arak. Walau bagaimanapun angka 65 juta dolar ini masih tidak mampu untuk menghilangkan arak daripada masyarakt Amerika Syarikat sehingga akhirnya kempen ini dibatalkan setelah ianya menemui kegagalan[4]
3.5 Kesimpulan
Sememangnya al-Quran penuh dengan mukjizat. Salah satu daripadanya berkenaan dengan undang-undang melibatkan arak. Kita dapat lihat bagaimana al-Quran berinteraksi dengan masyarakat arab dahulu semasa proses penurunannya dan kalau dibandingkan dengan penggubalan akta untuk mencegah atau menghalang penjualan arak yang pernah cuba dilaksanakan oleh penggubal-penggubal undang-undang, nyata ia jauh berbeza. Benarlah bahawa al-Quran sememangnya datang daripada Allah


[1] http://www.alukah.net/sharia/0/3963
[2] http://www.alukah.net/sharia/0/3963
[3] en.wikipedia.org/wiki/Volstead_Act

[4] elmargi.blogspot.com

Tiada ulasan: