Jumaat, 22 Ogos 2025

Tidur Dalam Keadaan Suci (berwuduk)

 

BINGKISAN SEBELUM TIDUR

 

Tidur Dalam Keadaan Suci (berwuduk)

Tidur ni fitrah manusia. Ia merupakan saat di mana tubuh dan jiwa berehat setelah seharian bekerja dan beribadah. Walau hebat sekali pun kita, kaya, pangkat besar, kita tetap perlu tidur dan berehat. Walaupun di tahan, sampai masanya tetap tertidur

 

Islam mengajarkan bahawa tidur bukan sekadar rutin jasmani je. Ia boleh jadi ibadah jika dilakukan sesuai dengan tuntunan Rasulullah SAW. Salah satu adab tidur yang sangat dianjurkan adalah tidur dalam keadaan suci (berwuduk) sebelum merebahkan diri ke tempat tidur.

 

Dalam satu hadis, Baginda SAW bersabda:

مَنْ بَاتَ طَاهِرًا بَاتَ فِي شِعَارِهِ مَلَكٌ، فَلَمْ يَسْتَيْقِظْ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعَبْدِكَ فُلَانًا فَإِنَّهُ بَاتَ طَاهِرًا

(Barang siapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak bangun melainkan malaikat akan berdoa: ‘Ya Allah, ampunilah hambaMu si fulan ini, kerana dia tidur dalam keadaan suci- Ibn Hibban.)

 

Hadis di atas menerangkan kelebihan tidur dalam keadaan berwuduk. Apabila kita ambil wuduk, kita akan membersihkan anggota badan seperti tangan, kaki, kepala, muka termasuklah berkumur2, istinshaq (memasukkan air ke hidung dan menghembusnya keluar) n etc. So pastinya anggota badan kita akan bersih sebelum tidur

 

Ada hadis lain yang menerangkan kelebihan ambik wuduk. Antaranya menghapuskan dosa. Dalam hadis riwayat Muslim, Baginda SAW bersabda (Barang siapa yang berwuduk dengan sempurna, maka akan keluar dosa-dosanya dari tubuhnya, hingga keluar dari bawah kuku-kukunya.-Muslim)

 

Maksud dosa yang keluar di sini ialah keampunan untuk dosa-dosa yang telah dilakukan. Dosa di sini merujuk kepada dosa kecil kerana dosa besar tidak akan diampunkan kecuali dengan cara taubat.

 

Kemudian kita merebahkan tubuh ke tempat pembaringan. Sebelum tidur, ada beberapa doa yang dianjurkan. Kalau tak reti doa panjang, baca jer doa pendek macam budak2 Pasti dok baca tu. Daripada tak baca langsung sebarang doa, bacalah walaupun pendek. Semua tu peluang untuk kita buka fail pahala.

 

So dah banyak sunnah yang kita amalkan jika semuanya kita buat. Bermula dengan amik wuduk, dapat pahala berwuduk. Kemudian kita baca doa nak tidur, dapat lagi pahala doa sebelum tidur. So kiranya dapat pahala kombo. Amalan kecik je tapi dapat pahala

 

Al-Qadhi Iyadh sebagaimana dinukilkan dalam Ikmal al-Mualim berkata bahawa dalam hadis ni ada beberapa sunnah. Antaranya ialah sunnah berwuduk sebelum tidur kerana ditakuti kita mati dalam keadaan tanpa taharah (tidak bersuci). Seterusnya kita dalam keadaan suci, nanti kalau dapat mimpi, moga dapat mimpi yang benar dan jauh daripada mimpi daripada syaitan. Seterusnya kalau kita mati, moga2 akhir amalan kita dalam keadaan yang suci

 

Selain itu, malaikat akan mendoakan orang yang tidur dalam keadaan berwuduk. Kiranya orang ni special la sampaikan malaikat pun turut berdoa kepada orang yang melakukan amalan berkenaan.

 

Hadis tentang tidur dalam keadaan suci mengajarkan kita bahawa setiap detik hidup seorang muslim boleh bernilai ibadah jika dilakukan dengan niat yang benar dan mengikuti sunnah, Tidur yang nampak takder apa sangat tapi boleh berubah menjadi kesempatan meraih ampunan Allah hanya dengan berwuduk terlebih dahulu.

 

Oleh itu, marilah kita biasakan diri untuk menutup hari kita dengan berwuduk, membaca doa sebelum tidur, dan menyerahkan diri kepada Allah. Semoga dengan amalan kecil namun penuh makna ini, hidup kita sentiasa dinaungi doa malaikat dan rahmat Allah hingga ke akhir hayat.

 

(Teringat pulak kata2 guru kami, mengantuk dan tertidur masa perang sedang berkecamuk itu nikmat, namun mengantuk dalam kelas masa guru mengajar itu bala. Ha ha ha)

 

 

Khamis, 14 Ogos 2025

Rubah Padang Pasir (1)

 RUBAH PADANG PASIR (1)

Dulu ambo pernah baca buku strategi perang moden. Ambo dah lupa tajuk buku tapi ada satu figura yang menarik perhatian ambo. Seorang pemimpin tentera Jerman yang berperang di utara Afrika menentang tentera British dan sekutunya

 

Erwin Johannes Eugen Rommel dilahirkan pada 15 November 1891 di Heidenheim, Jerman. Beliau menyertai tentera Jerman (Reichswehr) pada tahun 1910 dan membina reputasinya semasa Perang Dunia Pertama. Ketika itu Rommel menunjukkan keberanian dan kebijaksanaan taktikal di medan perang terutama dalam kempen di Itali, yang membolehkannya menerima anugerah Pour le Mérite (pingat tertinggi dalam tentera Jerman ketika itu)

 

Selepas perang, beliau terus berkhidmat dalam tentera dan menjadi pegawai yang dihormati dalam kalangan bawahan dan atasan. Beliau juga menulis buku Infanterie Greift An (Infantri Menyerang), sebuah kajian taktikal mengenai peperangan darat yang menjadi rujukan penting dalam latihan tentera Jerman.

 

Rommel mendapat perhatian besar semasa Perang Dunia Kedua apabila dilantik mengetuai Divisyen Panzer ke-7 semasa serangan ke atas Perancis pada tahun 1940. Divisyen ini digelar Ghost Division kerana keupayaannya untuk bergerak pantas dan muncul di tempat yang tidak disangka oleh musuh. Rommel sering berada di barisan hadapan bersama tenteranya, menjadikannya figura yang dikagumi dan digeruni.

 

Gelaran Rubah Padang Pasir mula melekat padanya semasa beliau ditugaskan memimpin Kor Afrika (Afrika Korps) pada tahun 1941. Rommel dihantar oleh Hitler untuk menyokong tentera Itali di Afrika Utara. Beliau membuktikan kemahirannya dalam medan perang padang pasir yang keras dan tidak menentu.

 

Rommel menggunakan strategi peperangan yang menekankan pergerakan pantas, serangan mengejut, dan penggunaan medan secara maksimum. Beliau menjadikan serangan kilat (Blitzkrieg) lebih fleksibel dalam suasana padang pasir. Dengan pasukan yang lebih kecil berbanding Tentera Bersekutu, Rommel berjaya memenangi beberapa pertempuran besar seperti di Gazala dan Tobruk.

 

Walaubagaimanapun kekangan logistik dan keengganan Hitler untuk mendengar nasihat menyebabkan Rommel sukar mengekalkan momentum. Bekalan bahan api dan peluru sering terputus serta komunikasi antara Jerman dan tentera pakatan Axis (seperti Itali) sering terganggu. Walaupun begitu, reputasi beliau tetap dihormati oleh pihak musuh termasuk Jeneral Montgomery dari British.

 

Di medan perang, Rommel dikenali kerana melayan tawanan dengan baik, mengarahkan tenteranya agar tidak menembak ambulans dan menolak arahan Hitler untuk menembak tentera musuh yang menyerah kalah. Ini menjadikannya berbeza dengan kebanyakan pegawai tinggi Nazi.

 

Selepas kekalahan di Afrika, Rommel dipanggil pulang ke Eropah dan diberi tanggungjawab mempertahankan pantai barat Perancis daripada pencerobohan tenteta bersekutu (D-Day). Rommel percaya bahawa serangan perlu ditangkis di pantai sebelum tentera Bersekutu dapat mengukuhkan kedudukan mereka. Namun pertentangan strategi dengan Hitler dan pegawai lain menyebabkan cadangan Rommel tidak dilaksanakan sepenuhnya.

 

Pada bulan Julai 1944, satu komplot untuk membunuh Hitler yang dikenali sebagai Operation Valkyrie gagal. Rommel tak terlibat secara langsung dalam operasi ni. Beliau dikatakan mengetahuinya namun tak nak repot kepada Hitler. Kiranya beliau ada saham juga la. So Hitler yang bimbang dengan populariti dan pengaruh Rommel, memberi pilihan samada bunuh diri secara terhormat atau dihadapkan ke mahkamah, yang akan turut menyebabkan keluarganya dihukum.

 

Pada 14 Oktober 1944, Rommel menelan pil sianida di rumahnya di Herrlingen. Kematiannya diumumkan sebagai akibat luka perang. Beliau diberi pengebumian kenegaraan. Hanya selepas perang tamat, barulah massa mengetahui fakta sebenar kematian Rommel

 

Rommel kekal sebagai figura kontroversi dan menarik dalam sejarah ketenteraan. Walaupun berkhidmat untuk Nazi Jerman, beliau sering dianggap sebagai simbol "tentera tanpa politik". Seorang jeneral yang lebih setia kepada negaranya dan tenteranya, bukan kepada ideologi. Sikap kemanusiaan beliau di medan perang dan penolakannya terhadap jenayah perang memberi sedikit cahaya dalam kelam sejarah Perang Dunia Kedua.

 

Hari ini nama Rommel dikenang bukan sahaja di Jerman, tetapi juga oleh sejarawan ketenteraan seluruh dunia. Buku-buku dan filem seperti The Desert Fox (1951) serta dokumentari moden terus mengkaji taktiknya, kepimpinannya, dan nilai-nilai yang dibawanya. Sesuatu yang jarang ditemui dalam zaman penuh kezaliman dan peperangan.

 

Erwin Rommel adalah satu contoh bagaimana kepimpinan, keberanian dan prinsip peribadi boleh wujud walaupun dalam konteks peperangan paling kejam. Gelaran Rubah Padang Pasir bukan sekadar tentang kejayaan taktikalnya di Afrika, tetapi juga lambang kecerdasan, maruah, dan tragik seorang wira dalam dunia yang penuh kekeliruan.

 

rujukan ringkas: 

https://warfarehistorynetwork.com/article/the-desert-fox-was-respected-by-both-friend-and-foe/

https://www.iwm.org.uk/history/how-erwin-rommel-became-the-desert-fox

https://www.thecollector.com/how-did-erwin-rommel-earn-nickname-desert-fox/

 

 

Ahad, 10 Ogos 2025

kelebihan menunggu solat......

 KELEBIHAN MENUNGGU SOLAT DALAM KEADAAN BERWUDUK

Ada pelbagai amalan yang apabila kita buat, malaikat akan mendoakan pelaku amalan tersebut. Diantaranya adalah seperti apa yang disebut dalam hadis di bawah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ قَالَ:
"الْمَلَائِكَةُ تُصَلِّي عَلَى أَحَدِكُمْ مَا دَامَ فِي مُصَلَّاهُ، الَّذِي صَلَّى فِيهِ، مَا لَمْ يُحْدِثْ، تَقُولُ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ."
(رواه البخاري ومسلم)

(Malaikat akan mendoakan seseorang selama dia berada di tempat solatnya, tempat dia solat, selagimana dia tidak berhadas. Malaikat berkata “Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah, rahmatilah dia” - Bukhari & Muslim)

 

Dalam kesibukan hidup seharian, ramai yang memandang ringan amalan kecil seperti duduk menunggu waktu solat. Islam mengajarkan bahawa amalan yang nampak kecil ini sebenarnya besar nilainya di sisi Allah SWT. Salah satu bukti jelas tentang kelebihan menunggu solat adalah hadis sahih yang diriwayatkan sebagaimana di atas

 

Hadis ini menerangkan bahawa sesiapa yang duduk di tempat solatnya selepas selesai solat, contohnya selepas Maghrib menunggu Isyak dalam keadaan berwuduk serta tidak melakukan perkara yang membatalkan wuduk, maka malaikat akan sentiasa mendoakannya. Doa itu pula bukan sembarangan, tetapi memohon keampunan dan rahmat daripada Allah.

 

Maka apabila malaikat mendoakan keampunan dan rahmat untuk seseorang, itu merupakan satu kemuliaan yang sangat besar. Perbezaan antara pengampunan dan rahmat belas kasihan adalah bahawa pengampunan adalah menutup dosa dan mengabaikannya, manakala rahmat adalah melimpahkan kebaikan kepadanya.

 

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana pula dengan kaum wanita yang tidak dapat menunaikan solat secara berjemaah di masjid. Kadang2 ada wanita yang mempunyai anak kecil, masih muda, sukar meninggalkan rumah untuk berjemaah bersama2 di masjid. Apakah mereka mendapat pahala juga? Ya. Ulama menegaskan bahawa kaum wanita juga akan mendapat pahala jika dia solat di tempat solat di rumahnya, duduk di tempatnya menunggu solat yang seterusnya. Besarnya limpah rahmat Allah kepada kita semua

 

Untuk kita nak dapatkan pahala menunggu solat, kita kena ada wuduk dan tidak melakukan benda2 maksiat. Kalau wuduk dah batal, walaupun duduk dalam masjid, peluang untuk dapat pahala tu dah takder sebab syaratnya mesti berwuduk. Begitu juga dalam bab maksiat. Kalau kita duduk dalam masjid tapi kita masih dok lakukan maksiat, contohnya jari jemari yang masih menaip menyebarkan fitnah di medsos, kita tak akan dapat pahala tu.

 

Sesetengah masjid ada menganjurkan kuliah maghrib. Sambil kita duduk menunggu waktu isyak, kita beriktikaf, sambil tu telinga kita dapat mendengar dan menghayati pengajaran daripada AQ atau hadis atau fardu ain yang lain. Insya allah kita akan dapat pahala iktikaf, pahala menunggu waktu solat seterusnya dan pahala belajar. Dah macam kombo 3 dalam 1. Benda ringkas jer, maybe dalam 30 hingga 40 minit jer tapi dapat pahala kombo

 

Islam sangat menghargai setiap detik yang diluangkan untuk ibadah termasuk masa menunggu solat. Duduk dengan adab, tidak bercakap perkara sia-sia, berzikir atau membaca al-Quran, menjadikan waktu itu sangat diberkati. Ia juga mengajar umat Islam supaya mencintai masjid dan menjadikan tempat solat sebagai tempat ketenangan jiwa.

 

Kesimpulannya, amalan menunggu solat dalam keadaan suci bukanlah sesuatu yang remeh. Ia merupakan satu peluang emas untuk meraih kasih sayang Allah, kerahmatan dan keampunan dariNYA. Justeru itu, marilah kita menghidupkan kembali amalan ini, terutamanya sebelum solat Isyak atau Subuh, dan membiasakan diri untuk tidak terus bangun selepas solat, tetapi menunggu seketika dengan hati yang mengingati Allah. Di saat kita menunggu, para malaikat sedang mendoakan kita tanpa henti.

#sebagahagian daripada kuliah maghrib berdasarkan riyad assalihin.

 

Ahad, 3 Ogos 2025

Zaghrouta

 Masa kat mesir dulu, kadang2 ambo selalu dengar bunyi suara perempuan nyaring yang pelik. Ambo sebut pelik sebab tak pernah dengar bunyi sebegitu kat Malaysia. Terfikir juga kenapa buat camtu, tak rasa malu ke dok buat bunyi camtu.

 

Ambo nampak perempuan menggerakkan lidah ke kiri ke kanan (tak perasan kalau ada gerakan lidah ke atas dan bawah) dalam mulutnya sambil mengeluarkan bunyi (lululululu atau elelele, gitu la, ambo tak pandai nak tulis). Bunyinya unik dan nyaring, sangat dikenali dalam majlis-majlis Arab. Biasanya wanita2 tua yang buat bunyi sebegitu. Maybe ada je perempuan muda yang buat bunyi tu, ambo tak jumpa je

 

Apabila kita buka tv, tengok cerita arab, ada pulak terdengar bunyi sebegitu. Ambo mula perasan bahawa bunyi tu bukan biasa-biasa, maybe dah jadi adat untuk menyambut atau meraikan sesuatu. Ambo juga perasan bahawa perempuan jer yang buat bunyi sebegitu. Rasanya tak pernah dengar lagi orang lelaki yang buat

 

Masa sembang dengan abang lama (senior), ambo tanya pasal bunyi tu. Mereka sebut tu bunyi tu dipanggil zaghrouta. Memang budaya sesetengah arab akan membunyikan zaghrouta pada masa-masa tertentu. Ianya diamalkan secara meluas dalam pelbagai budaya Arab di kawasan barat seperti Maghribi, Algeria, Tunisia, Libya), Levant (Syria, Lebanon, Jordan, Palestin), Mesir dan beberapa negara teluk.

 

Zaghrouta (زَغْرُوطَة) atau dalam bentuk pluralnya Zaghareet (زغاريط) adalah bentuk ekspresi vokal khas budaya Arab. Ia biasa dilakukan oleh perempuan sebagai tanda kegembiraan, perayaan, atau kehormatan dalam acara-acara seperti perkahwinan, kelahiran, majlis graduasi, kepulangan dari haji dan sebagainya. Kiranya macam suatu cara mereka menyambut kegembiraan.

 

Zaghrouta ni kalau tak silap berasal dari budaya lisan dan ritual arab purba. Ianya dah lama berakar umbi, diwarisi selama ribuan tahun. Cuma takder tarikh yang tepat yang menyatakan secara tepat bila bermulanya zaghouta ni

 

 

Apabila dirujuk internet (masa akhir 90an tu mirc, yahoo messenger n etc), ada beberapa penulisan sejarah tentang zaghrouta. Ringkasnya sebelum kebangkitan Islam, orang arab dah guna suara sebagai alat komunikasi. Tak kira la samada untuk mengekspresikan kegembiraan seperti kembalinya pahlawan daripada medan perang, untuk mengirigi bacaan syair, tarian dan nyanyian rakyat. Zaghrouta berfungsi sebagai seruan vokal yang mudah dikenali oleh semua, juga sebgai perayaan yang spontan dan semula jadi

 

Zaghrouta juga dikaitkan dengan spiritual dan magis. Kononya zaghrouta ni macam membawa tuah, menghalau kejahatan terutamanya melindungi pengantin daripada pandangan mata Ayn dan memberi semangat positif dalam upacara besar. Ini menunjukkan bahawa zaghrouta ni ada unsur simbolik dan spiritual juga.

 

Lelaki menunjukkan emosi secara tertahan. Justeru itu, kebiasaannya wanita yang melakukan zaghrouta. Golongan wanita selalu menzahirkan emosi kolektif dalam komuniti (seperti menangis sewaktu kematian dan bersorak sewaktu perkahwinan).

 

Secara tradisional dalam budaya Arab, zaghrouta merupakan ekspresi vokal yang dikaitkan secara eksklusif dengan wanita. Maka apabila seorang lelaki membuat zaghouta, ia boleh dianggap janggal atau memalukan (aib) bergantung pada konteks budaya dan masyarakatnya.

 

Sesetengah tempat seperti Arab Saudi, Yaman, sebahagian Mesir beranggapan bahawa aib bagi orang lelaki melakukan zaghrouta. Mereka akan dianggap tidak maskulin atau mungkin  memperlekehkan peranan wanita. Sementara di sesetengah kawasan lain seperti Maghribi, Lubnan, Algeria, ada juga lelaki yang melakukan zaghrouta secara bergurau atau dalam konteks humor, tidak dianggap serius.

Kalau anda nak dengar bunyi zaghrouta, anda taip jer kat youtube. Tu la bunyi zaghrouta

 

Khamis, 31 Julai 2025

Ringkasan pandangan Alfie Kohn terhadap Teknik Hukuman & Ganjaran

Ringkasan pandangan Alfie Kohn terhadap Teknik Hukuman & Ganjaran

Alfie Kohn mengkritik keras penggunaan ganjaran dan hukuman dalam pengurusan tingkah laku khususnya dalam konteks pendidikan dan pembesaran anak-anak. Pandangan ini bertunjangkan kepada prinsip motivasi intrinsik, kebebasan kendiri, dan pembinaan hubungan yang autentik antara guru dan pelajar.


Kritikan Alfie Kohn terhadap Teknik Hukuman dan Ganjaran

1. Ganjaran dan Hukuman bersifat mengawal

Kohn berpandangan bahawa kedua-duanya (hukuman dan ganjaran) adalah bentuk manipulasi tingkah laku. Ia mungkin kelihatan berkesan dalam jangka masa pendek. Katanya


The more you reward people for doing something, the more they tend to lose interest in whatever they had to do to get the reward.” (Punished by Rewards)


Murid membuat sesuatu bukan kerana mereka mahu melakukannya atau mereka percaya bahawa ianya betul, tetapi kerana semata-mata mahu mengelak daripada dikenakan hukuman atau mendapatkan ganjaran

 

2. Menghakis motivasi intrinsik

Ganjaran (seperti pujian, bintang emas, hadiah) boleh merosakkan minat tulen terhadap pembelajaran. Murid mula mempersoalkan apakah yang mereka akan dapat kalau mereka melakukan sesuatu perkara berbanding soalan apakah yang saya boleh belajar daripada perkara ini. Ringkasnya murid kehilangan perasaan ingin tahu dan keseronokan belajar

 

3. Menggalakkan kepatuhan, bukan kebertanggungjawaban

Ganjaran dan hukuman menghasilkan kepatuhan pasif, bukan pemikiran kritikal atau perkembangan nilai dalaman. Murid tidak belajar untuk menilai baik dan buruk berdasarkan prinsip, tetapi hanya bertindak untuk elak kesan negatif.



4. Mengabaikan hubungan dan konteks

Kohn menekankan bahawa pengurusan tingkah laku seharusnya berpaksikan hubungan, kepercayaan, dan persekitaran yang menyokong. Fokus yang terlalu berat pada kawalan tingkah laku menyebabkan guru/ibu bapa melupakan aspek emosi, psikologi dan sosial pelajar.


5. Ganjaran sebagai hukuman yang terselindung

Kohn berpendapat bahawa apabila ganjaran digunakan untuk mengawal, ia sebenarnya sama manipulatif seperti hukuman hanya kelihatan lebih positif. Contohnya seorang murid yang gagal tidak dibenarkan untuk pulang lebih awal atau diberi hadiah. Perkara sebegini boleh dirasai sebagai bentuk pengasingan atau penghinaan



Cadangan Alternatif oleh Alfie Kohn

1. Fokus pada Hubungan.

Bina hubungan guru-pelajar yang tulen dan penuh hormat. Dengarkan suara pelajar.


2. Galakkan autonomi melibatkan pelajar dalam membuat keputusan kelas dan menetapkan peraturan. Tindakan sebegini akan mendidik mereka membuat pilihan dan seterusnya mendapatkan kepercayaan murid.


3. Pupuk motivasi intrinsik dengan cara menunjukkan nilai sebenar dalam aktiviti pembelajaran. Guru juga harus menggalakkan amalan refleksi dan pemikiran aras tinggi.


4. Pendekatan Restoratif (Restorative Approach). Melalui pendekatan ini, guru akan membantu murid memahami kesan tingkah laku mereka dan memperbaiki hubungan yang terjejasj berbanding hanya menghukum


Kesimpulan

Bagi Alfie Kohn, tujuan pendidikan bukanlah untuk mengawal pelajar, tetapi untuk membina individu yang berfikir sendiri, bertanggungjawab, dan bermotivasi dari dalam. Beliau mengajak para guru agar menilai semula kaedah disiplin tradisional yang bersifat ganjaran sebagai baik, hukuman sebagai buruk.