Ahad, 10 Ogos 2025

kelebihan menunggu solat......

 KELEBIHAN MENUNGGU SOLAT DALAM KEADAAN BERWUDUK

Ada pelbagai amalan yang apabila kita buat, malaikat akan mendoakan pelaku amalan tersebut. Diantaranya adalah seperti apa yang disebut dalam hadis di bawah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ قَالَ:
"الْمَلَائِكَةُ تُصَلِّي عَلَى أَحَدِكُمْ مَا دَامَ فِي مُصَلَّاهُ، الَّذِي صَلَّى فِيهِ، مَا لَمْ يُحْدِثْ، تَقُولُ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ."
(رواه البخاري ومسلم)

(Malaikat akan mendoakan seseorang selama dia berada di tempat solatnya, tempat dia solat, selagimana dia tidak berhadas. Malaikat berkata “Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah, rahmatilah dia” - Bukhari & Muslim)

 

Dalam kesibukan hidup seharian, ramai yang memandang ringan amalan kecil seperti duduk menunggu waktu solat. Islam mengajarkan bahawa amalan yang nampak kecil ini sebenarnya besar nilainya di sisi Allah SWT. Salah satu bukti jelas tentang kelebihan menunggu solat adalah hadis sahih yang diriwayatkan sebagaimana di atas

 

Hadis ini menerangkan bahawa sesiapa yang duduk di tempat solatnya selepas selesai solat, contohnya selepas Maghrib menunggu Isyak dalam keadaan berwuduk serta tidak melakukan perkara yang membatalkan wuduk, maka malaikat akan sentiasa mendoakannya. Doa itu pula bukan sembarangan, tetapi memohon keampunan dan rahmat daripada Allah.

 

Maka apabila malaikat mendoakan keampunan dan rahmat untuk seseorang, itu merupakan satu kemuliaan yang sangat besar. Perbezaan antara pengampunan dan rahmat belas kasihan adalah bahawa pengampunan adalah menutup dosa dan mengabaikannya, manakala rahmat adalah melimpahkan kebaikan kepadanya.

 

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana pula dengan kaum wanita yang tidak dapat menunaikan solat secara berjemaah di masjid. Kadang2 ada wanita yang mempunyai anak kecil, masih muda, sukar meninggalkan rumah untuk berjemaah bersama2 di masjid. Apakah mereka mendapat pahala juga? Ya. Ulama menegaskan bahawa kaum wanita juga akan mendapat pahala jika dia solat di tempat solat di rumahnya, duduk di tempatnya menunggu solat yang seterusnya. Besarnya limpah rahmat Allah kepada kita semua

 

Untuk kita nak dapatkan pahala menunggu solat, kita kena ada wuduk dan tidak melakukan benda2 maksiat. Kalau wuduk dah batal, walaupun duduk dalam masjid, peluang untuk dapat pahala tu dah takder sebab syaratnya mesti berwuduk. Begitu juga dalam bab maksiat. Kalau kita duduk dalam masjid tapi kita masih dok lakukan maksiat, contohnya jari jemari yang masih menaip menyebarkan fitnah di medsos, kita tak akan dapat pahala tu.

 

Sesetengah masjid ada menganjurkan kuliah maghrib. Sambil kita duduk menunggu waktu isyak, kita beriktikaf, sambil tu telinga kita dapat mendengar dan menghayati pengajaran daripada AQ atau hadis atau fardu ain yang lain. Insya allah kita akan dapat pahala iktikaf, pahala menunggu waktu solat seterusnya dan pahala belajar. Dah macam kombo 3 dalam 1. Benda ringkas jer, maybe dalam 30 hingga 40 minit jer tapi dapat pahala kombo

 

Islam sangat menghargai setiap detik yang diluangkan untuk ibadah termasuk masa menunggu solat. Duduk dengan adab, tidak bercakap perkara sia-sia, berzikir atau membaca al-Quran, menjadikan waktu itu sangat diberkati. Ia juga mengajar umat Islam supaya mencintai masjid dan menjadikan tempat solat sebagai tempat ketenangan jiwa.

 

Kesimpulannya, amalan menunggu solat dalam keadaan suci bukanlah sesuatu yang remeh. Ia merupakan satu peluang emas untuk meraih kasih sayang Allah, kerahmatan dan keampunan dariNYA. Justeru itu, marilah kita menghidupkan kembali amalan ini, terutamanya sebelum solat Isyak atau Subuh, dan membiasakan diri untuk tidak terus bangun selepas solat, tetapi menunggu seketika dengan hati yang mengingati Allah. Di saat kita menunggu, para malaikat sedang mendoakan kita tanpa henti.

#sebagahagian daripada kuliah maghrib berdasarkan riyad assalihin.

 

Tiada ulasan: