Khamis, 18 Oktober 2007

pembiayaan dalam islam

PENDAHULUAN

Kesedaran orang ramai mengenai sistem ekonomi dan kewangan Islam telah mendorong para ilmuan Islam untuk meneroka kembali khazanah keilmuan mereka yang menjadi warisan umat Islam. Para ulama juga telah menyusun kembali serta mengubah-suai bentuk-bentuk instrumen yang didapati daripada kitab-kitab turath. Mungkin kita tidak akan dapati mudarabat dalam bentuk asalnya sebagaimana yang terdapat dalam kitab-kitab fiqh turath berikutan ubah-suai daripada para ulama sekarang untuk menyesuaikan sesuatu produk tersebut dengan zaman sekarang. Walau bagaimanapun tindakan mereka masih dalambatas-batas syariat.

Fungsi asas bagi sesebuah bank ialah menerima simpanan (deposit). Selain menerima dan mengumpul deposit, pihak bank juga akan melaburkan deposit yang diterimanya untuk mendapatkan keuntungan. Salah satu daripadanya ialah menerusi pinjaman atau pembiayaan samada pembiayaan ekuiti mahupun pembiayaan hutang.

Islam sebenarnya telah menyediakan produk-produk pembiayaan yang cukup banyak seperti mudarabat, muSyarakah dan sebagainya. Apa yang penting ialah penerokaan dan pengubahsuaian oleh ulama pada masa sekarang untuk diamalkan oleh maSyarakat.

Skop perbincangan
Pembiayaan dalam sistem bank cukup luas. Ia terdiri daripada pembiayaan ekuiti dan pembiayaan hutang. Pembiayaan hutang pula boleh dibahagikan kepada pembiayaan dagangan seperti jaminan surat kredit, pembiayaan pemilikan harta dan sebagainya.

Dalam artikel ini, penulis akan cuba mengecilkan skop perbincangannya kepada pembiayaan berjangka. Pembiayaan berjangka pula terbahagi kepada beberapa bahagian seperti pembiayaan perumahan, kenderaan dan pemilikan harta. Walau bagaimanapun penulis hanya akan mengkhususkan kepada pembiayaan perumahan dan kenderaan.
Produk pembiayaan bagi rumah kediaman dan kenderaan banyak ditawarkan di bank-bank samada melalui skim perbankan Islam mahupun konvensional. Antaranya ialah Bank Islam, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Maybank, CIMB dan sebagainya.

Untuk kajian kes, penulis akan memberikan tumpuan kepada pembiayaan perumahan dan kenderaan yang ditawarkan di Bank Rakyat (skim perbankan Islam) dan Maybank (konvensional). Pilihan ini dibaut berdasarkan cadangan penulis sendiri dengan persetujuan daripada Prof. Madya Dr. Hailani Muji Tahir. Kertas kerja ini dibahagikan kepada 3 bahagian.

Dalam bahagian pertama perbincangan tertumpu kepada gambaran pembiayaan dalam Islam seperti mudarabat dan sebagainya.

Dalam bahagian kedua pula, penulis memberi tumpuan kepada gambaran dan bentuk pelaksanaan yang diamalkan di Bank Rakyat dan Maybank. Penulis juga akan mengemukakan pandangan Syarak terhadap amalan pembiayaan di kedua-dua buah bank tersebut.

Seterusnya dalam bahagian ketiga dan terakhir akan diterangkan beberapa persoalan semasa yang ditimbulkan oleh Prof. Madya Dr. Hailani Muji Tahir untuk dibincangkan bersama.










BAB 1

Pembiayaan dalam Islam

Konsep pembiayaan dalam Islam telah pun bermula sejak zaman Saidina Umar lagi. Pada masa itu, seorang sahabat telah meminjam daripada Baitulmal sejumlah wang untuk berniaga lalu diizinkan oleh Saidina Umar. Sahabat tersebut telah membeli barangan lalu berniaga dan memperolehi untung yang banyak. Beliau kemudiannya telah membayar balik wang yang dipinjamnya daripada Baitulmal.

Sementara dalam kisah kedua pula, Abdullah dan Ubaidillah (anak-anak Saidina Umar ) selepas menamatkan ekspedisi ketenteraan di Iraq pergi ke Basrah untuk berjumpa dengan Abu Musa al-ashcariy, gabenor Basrah. Sebelum Abdullah dan Ubaidillah berlepas pulang ke Madinah, Abu Musa ingin mengirimkan harta untuk dihantar ke perbendaharaan negara dan mencadangkan kepada mereka berdua supaya memperniagakannya di Madinah. Abdullah dan Ubaidillah kemudiannya membawa harta tersebut pulang ke Madinah lalu berniaga menggunakan modal daripada harta tersebut. Setelah mendapat untung yang banyak, mereka pergi berjumpa dengan Saidina Umar untuk menyerahkan harta tersebut kepada perbendaharaan negara. Pada mulanya Saidina Umar cukup marah kerana mereka seolah-olah menggunakan kedudukan mereka sebagai anak khalifah untuk memperoleh dan menggunakan harta tersebut sebagai modal berniaga. Setelah berlaku perbincangan dan perdebatan dengan anak-anak beliau, Saidina Umar akhirnya bersetuju dengan perbuatan tersebut setelah Ubaidillah menawarkan untuk memberikan sedikit keuntungan kepada Baitulmal.[1]

Daripada dua kisah di atas, dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa konsep pembiayaan sebenarnya telah bermula sejak dahulu lagi. Dalam contoh pertama, sahabat tersebut telah membayar balik hutangnya tanpa disyaratkan bayaran lebihan sementara dalam contoh kedua Saidina Umar reda dengan perbuatan anaknya setelah Ubaidillah menawarkan untuk memberikan sedikit keuntungan yang dipeolehi kepada Baitulmal. Saidina Umar pada mulanya tidak bersetuju disebabkan beliau merasakan bahawa anak-anaknya telah menggunakan kedudukan mereka sebagai anak khalifah utnuk membawa dan menggunakan harta Baitulmal untuk berniaga.

1.1. Pembiayaan dalam sistem bank
Segala bentuk operasi yang dijalankan dalam perbankan dan kewangan Islam mestilah selari atau mengikuti peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Syarak. Prinsip-prinsip umum Islam bolehlah dirumuskan seperti berikut:[2]
a) setiap urusniaga yang dijalankan mestilah dengan penuh kerelaan pihak-pihak yang berkontrak.
b) Pihak yang berkontrak mestilah sempurna keahlian dan kontrak itu tidak cacat dengan perkara-perkara yang boleh membatalkannya seperti paksaan (duress) salahnyataan (misrepresentation) dan khilaf (mistake)
c) Barangan yang menjadi objek kontrak haruslah sesuatu yang diketahui jenisnya, sifat, jumlah dan berupaya diserah hantar. Ia juga bermanfaat dan bersih pada pandangan Syarak.
d) Muamalah itu tidak diwujudkan di atas asas riba, al-qimar (judi), al-maysir, al-gharar (unsur tidak pasti) dan perkara-perkara yang diharamkan.
e) Muamalah itu hendaklah terhindar daripada unsur-unsur penindasan (ihtikar), sekatan barangan (talaqqi al-rukban) mahupun keuntungan berlebihan yang menyebabkan kerugian besar kepada pihak lain yang berkontrak (ghabn al-fahish)[3]

Pembiayaan dalam sistem bank dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu pembiayaan hutang dan pembiayaan ekuiti. Kedua-dua bentuk pembiayaan ini adalah sama perlu dalam mengembangkan sistem perbankan. Ini kerana terdapat sesetengah ahli masyarakat yang berhajat kepada pembiayaan ekuiti dan ada yang inginkan pembiayaan hutang.

1.1.2 pembiayaan ekuiti
1) al-musyarakah (disebut juga al-syirkat)
Syirkah asalnya merujuk kepada gabungan di antara dua atau lebih ladang, dalam keadaan kedua-duanya tidak dapat dibezakan di antara satu sama lain. Menurut istilah undang-undang, perkataan itu merujuk kepada kesatuan dua atau lebih dalam satu perkara. Istilah syirkah dapat diperluaskan penggunaannya untuk meliputi kontrak-kontrak, walaupun ladang-ladang itu tidak digabungkan secara fizikal, kerana kontrak menyebabkan berlakunya gabungan itu.[4]

Sementara al-musyarakah dari segi bahasa bererti percampuran sama ada bercampur sekutu atau harta[5]. Dari segi istilah, ia bermaksud kontrak perkongsian antara dua pihak atau lebih yang sama-sama berkongsi harta atau usaha dengan sama-sama berkongsi keuntungan atau kerugian di antara mereka.[6] Contohnya 2 orang sahabat yang sama-sama mengeluarkan modal dan sama-sama berusaha untuk membuka dan menjalankan sesuatu pekerjaan. Mereka akan sama-sama menanggung segala risiko sama ada kerugian atau keuntungan. Konsep ini dinamakan musyarakah atau syirkah. Konsep ini telah pun wujud pada zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi. Pada masa itu, penduduk Quraisy telah menjadikannya sebagai satu perkara kebiasaan dan hal ini telah diketahui dan dipersetujui oleh nabi sendiri.[7]

Dalam sistem bank pada hari ini, konsep al-musyarakah diamalkan dalam pembiayaan projek. Pembiayaan al-musyarakah dapat dijelaskan seperti berikut:[8]
1) bank dan pelanggan menjalankan satu usahasama bagi projek yang dicadangkan oleh pelanggan dimana kedua belah pihak memeberikan sumbangan modal.
2) bank menawarkan pembiayaan sama ada atas dasar perkongsian atau pun melalui penubuhan syarikat usahasama
3) projek diuruskan oleh pengusaha dan bank dibenarkan untuk campur tangan dalam urusan projek tersebut
4) pembahagian perkongsian keuntungan adalah mengikut nisbah atau peratusan yang dipersetujui
5) pembahagian perkongsian ke atas kerugian pula mengikut nisbah sumbangan masing-masing

2) al-mudarabah
Al-mudarabah merupakan kontrak pelaburan yang telah lama diamalkan oleh masyarakat Arab sebelum kebangkitan Nabi Muhammad S.A.W lagi. Pada masa itu, golongan kaya biasanya memberikan kepercayaan untuk membawa barangan dagangan kepada mereka yang dipercayainya. Nabi kita juga pernah membawa barang dagangan milik Khadijah Khuwailid ke Syam untuk diniagakan. Ringkasnya, amalan ini cukup masyhur diamalkan dan diiktiraf oleh Islam.

Dari sudut bahasa, al-mudarabat mempunyai pelbagai makna. Antaranya ialah berjalan dan berkelana. Ia juga bermaksud mengusahakan sesuatu. Akad atau kontrak ini juga dipanggil al-muqaradah atau qirad. Dari segi istlilah, ia bermaksud suatu kontrak usahasama yang melibatkan 2 pihak. Pihak yang pertama menyumbangkan modal dan pihak kedua mengeluarkan usaha.[9] Mereka akan sama-sama berkongsi keuntungan dan kerugian. Contohnya A yang memberi modal kepada B untuk membuka perniagaannya melalui akad al-mudarabah. Sekiranya untung, keuntungan tersebut akan dibahagikan di antara mereka berdua. Jika rugi, si A akan kehilangan modalnya dan si B akan habis dari sudut tenaga dan usahanya.
Konsep al-mudarabah diamalkan oleh bank di bawah skim pembiayaan projek. Ia dapat dijelaskan seperti berikut:[10]
1) bank membiayai keseluruhan modal bagi projek yang dicadangkan oleh pelanggan untuk satu tempoh yang ditetapkan
2) pelanggan yang menerima pembiayaan merupakan pengusaha (mudarib) projek manakala bank adalah pemilik modal (rab al-mal)
3) pengusaha atau pelanggan akan menguruskan projek yang dibiayai oleh bank tanpa campur tangan pelanggan.
4) Segala kerugian kewangan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak bank kecuali jika kerugian tersebut berpunca daripada kecuaian manusia.

Walau bagaimanapun konsep al-mudarabah dan al-musyarakah jarang diamalkan oleh pihak bank sama ada Bank Rakyat atau pun Bank Islam. Hal ini berpunca daripada beberapa faktor. Di antaranya ialah dasar bank yang lebih mengutamakan konsep BBA (al-bayc bi thaman ajil), AITAB (al-ijarah thumma al-bayc) dan juga al-murabahah yang mendatangkan keuntungan berbanding dengan al-mudarabah dan al-musyarakah yang belum pasti mendatangkan keuntungan. Sebagai sebuah bank, pastinya mereka akan berusaha untuk memaksimumkan keuntungan.

Selain itu, sekiranya bank mengamalkan konsep al-mudarabah mahupun al-musyarakah, bank akan menilai terlebih dahulu sesuatu projek tersebut sama ada mendatangkan keuntungan atau kerugian. Bank akan merujuk sesuatu projek itu kepada pihak tertentu yang akan memberikan khidmat nasihat kepada bank dengan bayaran tertentu. Kesannya kos bagi sesuatu projek itu akan meningkat dan mengurangkan keuntungan sedangkan keuntungan daripada al-musyarakah dan al-mudarabah belum pasti.

Ringkasnya, pembiayaan ekuiti dalam sistem perbankan Islam masih lagi belum meluas penggunaannya sama ada al-musyarakah atau al-mudarabah.

1.1.3 pembiayaan hutang
Pembiayaan hutang merupakan salah satu tugas utama bagi sesebuah bank. Produk pembiayaan ini memberikan pendapatan yang besar kepada sesebuah bank selain daripada deposit penyimpan.

Pembiayaan di bank yang menawarkan produk Islam terdiri daripada al-murabahah, bayc al-salam, bayc al-istisnac, al-ijarah, al-qard al-hasan, al-ijarah thumma al-bayc.

1) bayc al-murabahah
al-murabahah tergolong dalam kategori jenis kontrak buyuc al-amanah. Ini kerana penjual disyaratkan ketika menjual sesuatu barangan terlebih dahulu menyatakan kos barangan yang dibelinya sebelum menentukan sesuatu harga jualan.[11]

Dari segi bahasa, al-murabahah bererti pertambahan dan kenaikan dalam perniagaan. Ia juga bermaksud pertambahan ke atas harga modal sesuatu barangan. Sementara dari segi istilah pula, al-Sarakhsiy menakrifkannya sebagai jualan dengan keuntungan yang diketahui.[12] al-Kasani pula menakrifkannya sebagai jualan dengan harga pertama bersama pertambahan ke atas modal.[13]

Ciri-ciri utama jualan ini ialah penjual menyebut kepada pembeli kos harga barangan itu dan menjualkannya dengan jumlah keuntungan yang akan diperolehinya. Keuntungan yang dipersetujui boleh ditentukan sama ada dalam bentuk peratusan tertentu atau sebagainya.[14] Contoh jualan al-murabahah ialah seperti penjual hendak menjual sesuatu barangan kepada pelanggan dan berkata kepadanya, barang ini aku beli dengan harga RM100 dan aku hendak menjualnya kepada kamu dengan harga RM120. Jika pelanggan bersetuju dengan harga tersebut maka termeterailah akad jual beli tersebut berdasakan al-murabahah[15]. Al-murabahah mempunyai beebrapa syarat khusus baginya:[16]
1) penjual hendaklah menyatakan kos sebenar bagi barangan yang hendak dijual itu kepada pembeli
2) penjual dan pembeli bersetuju mengenai kadar keuntungan yang ditetapkan sebagai tambahan ke atas modal
3) sekiranya berlaku kekecohan dalam menentukan kadar sebenar kos atau modal barangan itu, pembeli boleh membatalkan kontrak tersebut dan terbubarlah jual beli al-murabahah
4) barangan dan harga jualan itu bukanlah barangan ribawiy yang ditegah pertukakan jual belinya
5) jika barangan yang hendak dijual beli secara murabahah itu telah dibeli daripada pihak lain, jual beli pertama hendaklah sah

Aplikasi daripada konsep ini ialah surat kredit yang berdasarkan prinsip al-murabahah. Ia dapat dijelaskan seperti berikut:[17]
a) pelanggan memberitahu bank tentang butir-butir barangan yang hendak dibeli atau diimport dan syarat-syarat pengeluaran surat kredit
b) bank bersetuju membeli barangan tesebut dan kemudian menjualkannya kepada pelanggan berdasarkan jualan dengan prinsip jualan dengan tambahan untung
c) bank mengeluarkan surat kredit kepada pelanggan. Setelah menerima makluman mengenai surat kredit daripada bank pembekal, bank akan menjelaskan bayaran dengan wang sendri
d) bank kemudian menjula barangan tersebut kepada pelanggan dengan tambahan untung. Pelanggan akan membuat bayaran tunai atau ansuran kepada bank.
e) bank mengenakan upah atas perkhidmatan yang diberikan. Pelanggan juga akan membayar perbelanjaan mengurus yang berkaitan degan pengeluaran surat kredit berkenaan

Jualan dengan harga tangguh ( bayc bi thaman ajil @ BBA)
BBA ialah menjual sesuatu dengan disegerakan penyerahan barangan yang hendak dijual kepada pembeli dan ditangguhkan pembayaran harganya sehingga ke suatu masa yang ditetapkan sama ada secara sekaligus atau secara bulanan atau tahunan mengikut tempoh masa tertentu sebagaimana dipersetujui kedua belah pihak.[18] Dari segi bentuk, ia bertentangan dengan bayc al-salam. Ini kerana bayc al-salam itu merupakan jualan dengan disegerakan harga dan ditangguhkan penyerahan barangannya. Contoh BBA dalam perbankan Islam ialah pembiayaan perumahan manzili yang ditawarkan oleh Bank Rakyat yang akan dibincangkan secara khusus dalam bab berikutnya.

Bayc al-salam
Al-salam atau al-salaf merupakan dua perkataan yang membawa makna yang sama. Perkataan al-salam digunakan oleh penduduk Hijaz dan perkataan al-salaf pula digunakan oleh penduduk Iraq[19]. Ia bermaksud menjual sesuatu yang disebut dan maklum tentang sifat-sifatnya dalam keadaan penyerahan ditangguhkan tetapi harganya dijelaskan pada masa akad dilakukan.[20] Sesetengah pula menakrifkannya sebagai membeli sesuatu yang bertangguh dengan harga yang dibayar pada masa akad dilakukan.[21]

Sewaaan (al-ijarah)
Dari segi bahasa, al-ijarah bermaksud pembalasan di atas kerja atau pahala[22]. Manakala dari segi istilah pula, al-ijarah bermaksud akad yang dilakukan ke atas sesuatu yang berharga dan bermanfaat dengan bayaran tertentu. Ia merupakan sebagai gantian kepada manfaat iaitu sewa yang dibayar kerana menggunakan sesuatu. Contohnya sewaan yang dilakukan terhadap tanah pertanian atau rumah kediaman.

Dalam konteks bank pada hari ini, ia adalah kontrak dimana bank atau institusi kewangan memajakkan peralatan atau bangunannya kepada pelanggan dengan dikenakan sejumlah harga yang tetap. Walau bagaimanapun dalam konteks Malaysia, Bank Rakyat khususnya menggabungkan konsep al-ijarah ini dengan konsep jualan yang dinamakan sebagai al-ijarah thumma al-bayc. Konsep ini digunakan secara meluas terhadap pembiayaaan kenderaan dan pemilikan harta benda seperti komputer, mesin basuh dan sebagainya. Namun secara praktikalnya, pembiayaan pemilikan harta seperti mesin basuh, peti sejuk dan sebagainya tidak begitu popular dan meluas penggunaannya disebabkan pelanggan lebih suka membeli barangan tersebut secara tunai.

Pinjaman kebajikan (al-qard al-hasan)
Konsep ini merupakan pinjaman kebajikan kerana peminjam hanya perlu mebayar semula sejumlah wang yang dipinjamnya tanpa perlu membayar apa-apa bayaran lebihan tambahan. Walau bagaimanapun pelanggan yang meminjam di atas dasar ihsannya boleh memberikan sedikit bayaran lebihan sebagai saguhati kepada orang yang dipinjamnya. Pinjaman ini biasanya diberikan dengan tujuan selain daripada motif keuntungan. Ia diwujudkan bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang saling membantu dan tolong menologn sesama mereka[23]

Contoh instrumen kewangan Islam yang menggunakan prisip ini ialah Sijil Pelaburan Kerajaan. Melalui produk ini, kerajaan akan mengeluarkan siji pelaburan yang akan dijual kepada orang ramai. Setelah berlalu tempoh masa tertentu, kerajaan akan membeli balik sijil tersebut dengan harga yang dijual. Walau bagaimanapun , kerajaan di atas budi bicaranya boleh memberikan sedikit bayaran lebihan tambahan sebagai saguhati kepada mereka. Sijil Pelaburan Kerajaan pernah diterbitkan pada awal tahun 80an dahulu semasa penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad dan Syarikat Takaful Islam.


Bayc al-istisnac
Bayc al-istisnacmerupakan kontrak jualan antara pembeli dan pembuat barang. Dalam kontrak ini, pembuat barangan menerima pesanan daripada pembeli. Pembuat barang lalu berusaha melalui orang lain untuk membuat atau membeli barang menurut sifat dan spesifikasi yang dipersetujui dan menjualnya kepada pembeli. Kedua belah pihak telah sepakat ke atas harga dan jenis barangan[24]

Ulama telah berselisih pendapat tentang konsep ini.[25] Sesetengah ulama meletakkannya di bawah tajuk bayc al-salam dan sesetengah yang lain pula khasnya Mazhab Hanafi mengatakan bahawa konsep ini merupakan konsep yang terpisah daripada bayc al-salam. Ini kerana mereka mengatakan bahawa kontrak ini merupakan tempahan yang disyaratkan padanya kerja atau perbuatan. Sementara bay bayc al-salam pula tidak disyaratkan kerja atau pembuatan

1.1.4 pembiayaan hutang di bank konvensional
Pada asasnya, pembiayaan hutang yang ditawarkan di bank konvensional hampir sama dengan produk yang ditawarkan di bank yang menawarkan perbankan islam dari segi bentuknya. Apa yang berbeza ialah pembiayaan di bank konvensional melibatkan urusniaga secara riba. Ini kerana bank konvensional mengenakan kadar faedah di atas pinjaman untuk pembiayaan yang dibuat.

Selain itu pembiayaan di bank konvensional juga mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira sesuatu projek itu sama ada ia melibatkan perkara yang diharuskan Syarak atau tidak. Apa yang penting ialah projek tersebut menguntungkan. Contohnya pembiayaan untuk projek kilang arak dan sebagainya




















BAB 2

Gambaran Umum Pembiayaan Dalam Sistem Bank

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia
Perkhidmatan ini disediakan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang ingin membeli atau membina rumah kediaman, rumah kedai, lot tanah perumahan dan juga pengubahsuaian serta baik pulih rumah kediaman. Ia terbuka kepada pemohon warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas tetapi tidak melebihi umur 65 tahun di akhir tempoh tamat pembayaran pembiayaan. Skim ini agak istimewa kerana ia mebolehkan pelanggan membuat bayaran balik pembiayaan dalam tempoh yang agak lama iaitu sehingga 30 tahun. Tujuannya untuk memberi kemudahan kepada pembeli yang tidak mampu membuat bayaran tunai.[26]

Pada asasnya produk ini berasaskan konsep perbankan bayc bi thaman ajil (BBA).
Konsep BBA ini seara umumnya sama dengan murabahah, kecuali BBA untuk pembiayaan bagi tempoh yang lebih panjang, biasanya melebihi 12 bulan. BBA membolehkan pembelian sesuatu barangan dengan bayaran ditangguhkan sehingga ke suatu masa yang ditetapkan dengan bayaran secara beransur-ansur[27]
Pembiayaan ini melibatkan prosedur berikut:[28]
1) bank akan membeli asset yang dikehendaki oleh pelanggan
2) bank kemudiannya menjual asset tersebut kepada pelanggan pada harga yang meliputi kos asal aset( harga belian yang telah dibayar oleh bank) dan tambahan untung bagi bank
3) pelanggan bersetuju membeli aset tersebut dan membuat pembayaran secara ansuran selama tempoh masa yang ditetapkan

Contohnya seorang pelanggan Bank Rakyat bernama Encik Ahmad ingin
membeli sebuah rumah kediaman dengan menggunakan produk BBA, Bank Rakyat akan membeli rumah tersebut( katakan pada harga RM100,000) kemudian pihak bank akan menjualkan kembali rumah tersebut kepada Encik Ahmad dengan harga RM180,000. harga ini berdasarkan harga asal rumah (RM100,000) dan juga margin keuntungan sebanyak RM80,000. Encik Ahmad akan membayar balik jumlah RM180,000 ini dalam
tempoh 15 tahun (180 bulan) sebanyak RM1000 sebulan. Justeru itu, dalam tempoh 180 bulan tersebut Encik Ahmad dikehendaki membayar harga RM100,000 sebulan tanpa mengambil kira keadaan ekonomi dalam tempoh 15 tahun tersebut sama ada perkembangan ekonomi sesebuah negara berkembang atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun jika dalam tempoh 10 tahun(120 bulan), Encik Ahmad sudah membayar RM120,000 dan beliau sudah bersedia untuk membayar sepenuhnya keseluruhan baki yang tinggal, persoalannya adakah Encik Ahmad dikehendaki membayar sebanyak RM60,000? Dalam masalah ini, prinsip kewangan Islam membenarkan pihak yang memberikan pembiayaan untuk memberi rebate kepada pelanggan untuk mengurangkan jumlah yang harus dibayar balik.

Berdasarkan contoh di atas, Bank Rakyat akan memberi rebate kepada Encik Ahmad secara ibra’. Berdasarkan kaedah ibra’ (rebate) Encik Ahmad diberi pelepasan hutang dan beliau tidak perlu membayar apa-apa lagi. Kaedah ini berbeza dengan Bank Islam Malaysia Berhad yang memberi rebate secara muqassah. Dalam kaedah muqassah sekiranya Bank Islam menganggap bahawa margin keuntungan yang munasabah selepas 10 tahun ialah RM50,000, muqassah yang diberi kepada Encik Ahmad ialah sebanyak RM30,000, dikira seperti berikut:[29]


Harga belian rumah 100,000
Margin keuntungan + 50,000
= 150,000

Jumlah yang telah dibayar balik 120,000
Jumlah yang perlu dibayar balik = 30,000

Baki jumlah mengikut perjanjian asal 60,000
Baki jumlah mengikut perkiraan baru 30,000
Muqassah = 30,000

2.2 skim pembiayaan kenderaan kakitangan kerajaan (car hire purchase financing)
Produk ini disediakan untuk kakitangan kerajaan termasuk kakitangan kerajaan negeri, anak syarikat kerajaan dan badan berkanun yang telah berkhidmat selama 12 bulan.

Skim ini berdasarkan konsep al-ijarah thumma al-bayc (AITAB). Konsep ini merujuk kepada 2 kontrak yang ditandatangani secara berasingan dan berturutan iaitu:[30]
1) kontrak al-ijarah (sewa)
2) kontrak al-bayc (beli)

Dalam konsep AITAB, bank akan membelikan kenderaan yang ingin disewa oleh pelanggan. Bank kemudian menyewakan kenderaan tersebut kepada pelanggan pada kadar dan tempoh yang dipersetujui oleh kedua pihak. Seterusnya jika pelanggan bersetuju membeli kenderaan tersebut maka prinsip atau konsep yang digunakan ialah AITAB yang melibatkan 2 kontrak berasingan iaitu sewa dan jual beli. Pelanggan diberi pilihan untuk membeli kenderaan yang disewa pada nilai nominal. Pada teorinya, harga belian adalah sama dengan jumlah bayaran sewa yang diterima oeleh bank dalam tempoh sewaan.[31] Pada harga sewaan yang terahir, pelanggan akan melakukan akad jual beli kereta tersebut pada harga sewa yang terakhir. Pelaksanaan AITAB dapat diterangkan dalam contoh berikut:[32]

Contoh 1 : andaikan sewa bulanan = RM800
tempoh sewa = 48 bulan
jumlah sewa RM800 x 48 bulan = RM38,400
pada akhir tempoh sewaan, aset itu dibeli oleh penyewa pada harga RM800 iaitu nilai sewa bulan tersebut.

Contoh 2 : andaikan selepas 3 tahun, penyewa ingin menamatkan kontrak sewa dan mahu membeli kenderaan tersebut.
Harga belian kenderaan tersebut ialah perbezaan di antara jumlah sewa untuk 4 tahun dan jumlah sewa yang telah dibayar selama 3 tahun (RM800 x 36 bulan )
RM38,400 – RM28,800 = RM9,600
Selain itu, pihak bank juga harus memastikan bahawa penyata bulanan mestilah sampai ke tangan penyewa. Penyata tersebut mengandungi butiran-butiran penting seperti jumlah sewaan yang telah dibayar dan sebagainya. Sekiranya penyewa gagal membayar sewa lebih daripada 3 bulan dan penyewa telah menerima penyata bulanan serta surat amaran daripada pihak bank, bank akan mengenakan denda terhadap penyewa sebanyak 1% daripada bayaran tertunggak. Denda ini dipanggil tacwid. Denda yang dikenakan kepada penyewa yang lambat membayar ini telah dipersetujui dan diluluskan oleh Majlis Pengawasan Syariah Bank Rakyat.[33]

Sementara itu, Bank Islam telah menawarkan produk yang berbeza dalam pembiayaan kenderaan. Skim pembiayaan kenderaan di Bank Islam dbibuat berdasarkan konsep BBA ( al-bayc bi thamn ajil)
2.3 Pandangan Syarak terhadap produk pembiayaan Bank Rakyat
Asasnya setiap bank yang menjalankan urusniaga inginkan keuntungan. Namun keuntungan dan usaha yang telah dilakukan ini hendaklah berdasarkan kepada prinsip-prinsip Syarak seperti bebas daripada unsur riba, penipuan, penindasan dan sebagainya.

Daripada pengamatan yang telah dilakukan, dapatlah dirumuskan bahawa pembiayaan perumahan mahu pun kenderaaan yang ditawarkan di Bank Rakyat bebas daripada riba dan unsur-unsur lain yang boleh merosakkan akad dan kontrak pembiayaan. Walau pun harga yang ditawarkan untuk pembiayaan perumahan manzili khasnya agak tinggi namun ianya dibuat berasaskan kontrak jual-beli dan bukannya kontrak pinjaman. Ia tidak mengandungi unsur-unsur riba kerana dilaksanakan di atas prinsip jual beli dan ia bukanlah barangan ribawi yang disyaratkan berlaku penyerahan yang sama nilai.

Selain itu, Islam juga pada asasnya tidak menetapkan sebarang had keungungan yang boleh diambil. Terdapat dalam sebuah hadis bagaimana seorang sahabat mengadu kepada nabi tentang kenaikan harga barangan di pasar Madinah. Sahabat tersebut meminta kepada nabi sebagai ketua negara menentukan harga di pasar. Nabi menolak cadangan itu dan mengatakan bahawa Allah S.W.T yang akan menentukan harga di pasar Madinah.

Dalam contoh yang lain pula, nabi telah memerintahkan sahabatnya yang bernama cUrwah supaya membeli seekor kambing dan memberikannya wang sebanyak 1 dinar. cUrwah telah pergi ke kampung badwi dan membeli 2 ekor kambing dengan wang 1 dinar tersebut kerana harga jualan kambing di kawasan kampung agak murah. cUrwah kemudiannya membawa kedua-dua ekor kambing tersebut ke Madinah dan menjual seekor daripadanya dengan harga 1 dinar. Beliau telah mengambil untung sebanyak 100%. Perbuatan ini diketahui oleh nabi dan baginda tidak melarang perbuatan itu.

Ini menunujukkan kepada kita bahawa walaupun harga jualan rumah yang ditawarkan di Bank Rakyat agak tinggi namun pada asasnya ia tidaklah menyalahi syarak

Maybank
2.4 Pembiayaan Perumahan Rumahku (housing loan)
Pembiayaan ini bertujuan untuk memberi kemudahan pembiayaan perumahan kepada pelanggan untuk membina atau membaiki serta mengubah-suai rumah mereka. Selain rumah, skim ini juga boleh digunakan untuk pembiayaan rumah kedai, pangsapuri dan kondominium. Melalui skim ini, pihak bank akan membiayai rumah atau kediaman yang ingin dimiliki oleh pelanggan sehingga 90%. Pelanggan dikehendaki membayar balik pinjaman perumahan ini dengan kadar faedah bagi tahun pertama sebanyak 2.5% tidak termasuk BLR ( kadar asas pinjaman).[34]

Bank juga menyediakan pinjaman perumahan secara berkumpulan (groups savers package). Melalui skim ini, pelanggan yang ingin meminjam mestilah terdiri daripada 3 orang atau lebih dengan harga diskaun sebanyak 0.25% daripada kadar faedah. Sementara nilai minimum pinjaman bagi pakej ini ialah RM150,000.[35] Contohnya Encik Mahmood hendak membuat pinjaman perumahan di bawah skim rumahku. Beliau akan mengemukakan permohonan kepada Maybank dan akan melalui beberapa prosedur tertentu. Setelah permohonannya diluluskan, pihak bank akan meluluskan pinjaman sebanyak 90% daripada harga rumah. Sementara kadar faedah pula ialah sebanyak 2.5% setahun bagi tahun pertama tidak termasuk BLR. Pihak bank juga berhak untuk menaikkan atau menurunkan kadar faedah pinjaman itu dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

2.5) Skim Pembiayaan Kenderaan (hire purchase)
Skim ini tidak jauh bezanya dengan skim yang ditawarkan oleh Bank Rakyat melalui perbankan Islam. Melalui skim ini, bank akan membiayai sesebuah kenderaan yang ingin dimiliki oleh pelanggan dengan pembiayaan maksimum 85%. Walau bagaimanapun untuk kereta nasional seperti Proton Waja atau Perodua Kancil, pihak bank akan memberikan pinjaman sehingga 100% dengan syarat-syarat tertentu. Tempoh yang ditetapkan pula sehingga 7 tahun dengan kadar faedah tertentu.[36] Sekiranya pelanggan ingin memiliki kenderaan baru, kadar faedah yang dikenakan adalah asebanyak 4.95% sehingga 5.5% bagi tahun pertama, sementara untuk kereta terpakai pula sebanyak 5.75% hingga 6.25%.[37]

2.6) Pandangan Syarak terhadap pembiayaan di Maybank
Berdasarkan contoh dan gambaran yang telah diberikan, dapatlah kita rumuskan bahawa pembiayaan di Maybank mempunyai unsur-unsur riba. Ini kerana pelanggan yang membuat Pembiayaan Perumahan Rumahku contohnya dikehendaki membayar kadar faedah sebanyak 2.5% tidak termasuk BLR. Kadar ini adalah kadar untuk tahun pertama sahaja. Dalam keadaan tertentu, pihak bank berhak untuk menaikkan atau menurunkan kadar faedah. Faedah ini merupakan bayaran lebihan yang dibayar di atas pinjaman. Jelasnya ia berkonsepkan riba. Begitu juga pembiayaan kenderaan(hire purchase) yang menetapkan kadar faedah di atas pinjaman.














BAB 3

Beberapa Persoalan Semasa

3.1) penetapan kadar untung, alasan dan sebab

3.1.1) faktor keuntungan
Secara umumnya, setiap penniaga inginkan keuntungan. Begitu juga dengan bank sama ada bank berorientasikan perbankan Islam mahupun konvensional

Objektif perbankan Islam adalah untuk mencari keuntungan dalam rangka pembangunan umat berteraskan keadilan Islam. Untuk mencapai objektif ini, Bank Rakyat khasnya harus patuh kepada hukum tabii seperti meminimumkan kos, melakukan promosi, melatih pekerja dan sebagainya untuk mencari keuntungan. Walau bagaimanapun setiap usaha untuk medapatkan keuntungan mestilah mematuhi hukum Syarak dan bebas daripada sebarang unsur yang merosakkan kontrak.

Contohnya pembiayaan perumahan yang dibuat berdasarkan konsep BBA, bank akan membeli rumah kediaman yang ingin dimiliki oleh pelanggan dengan harga katakan RM100,000 dan setersunya bank akan menjual kembali rumah tersebut dengan haga RM180,000. Lebihan RM80,000 tersebut ialah margin keuntungan yang bakal diperolehi oleh bank.

3.1.2 Mencapai kadar keuntungan tahunan
Pihak bank juga akan menentukan tahap dan kadar keuntungan tahunan yang ingin diperolehi oleh mereka. Selepas kadar keuntungan dan tempoh pembiayaan ditentukan, harga jualan yang melibatkan modal dan margin akan dapat ditentukan. Contohnya dalam kontrak BBA, jika pembiayaan perumahan RM100,000, kadar keuntungan ialah 5 % setahun untuk tempoh 180 bulan dan selepas diambil kira faktor-faktor lain seoperti factor annuiti barulah pihak bank akan dapat menentukan harga jualan kepada pelanggan.[38]

Pada asasnya, amalan penentuan margin keuntungan khasnya BBA dipengaruhi oleh kadar faedah pasaran. Ini kerana perbankan Islam menggunakan Kadar Faedah Antara Bank (KLIBOR: Kuala Lumpur Interbank Offer Rate) sebagai penunjuk aras polisi penetapan harga jualan BBA.[39] Bank Islam khasnya menggunakan KLIBOR kerana belum ada Interbank Offer Rate Islam yang dikeluarkan oleh Bank Negara. Oleh itu , Bank Islam terpaksa menggunakan KLIBOR sebagai penunjuk aras supaya kadar keuntungan adalah kompetitif dalam suasana dwi-sistem.

Selain itu, pembiayaan hutang di Bank Rakyat juga ditentukan berdasarkan kepada Kadar Asas Pinjaman (BLR).[40] Kadar ini akan ditentukan oleh Bank Negara Malaysia dan ianya berubah-ubah mengikut keadaan ekonomi Malaysia.

3.2 kos pengurusan bagi sesuatu produk serta perbandingannya dengan zakat
Di antara golongan yang layak menerima zakat ialah para pemungut zakat (camilin calaiha). Golongan ini terdiri daripada amil yang dilantik oleh kerajaan seperti imam, kerani, jurutulis, penjaga stor dan sebagainya yang dilantik dalam menguruskan zakat

Para pemungut zakat dibayar upah daripada hasil zakat tanpa mengira kedudukan kewangan mereka. Ia merupakan gaji yang dibayar kerana kerja mereka yang berkaitan dengan zakat. Setiap daripada mereka akan menerima gaji yang akan ditentukan berdasarkan jenis pekerjaan dan tahap tanggungjawab mereka, sama seperti yang diamalkan dalam jabatan-jabatan kerajaan.[41]
Menurut satu mazhab, para pemungut zakat harus dibayar upah bagi khidmat mereka tetapi jumlah keseluruhannya tidak melebihi 5 % daripada hasil zakat. Sementara menurut pendapat ulama lain, jumlah bayaran zakat boleh dinaikkan sehinggan ¾ daripada hasil zakat. Sementara pendapat yang lain pula tidak menyatakan sebarang had maksimum sebagai bayaran kepada pemungut zakat.

Walau bagaimanapun kerajaan haruslah mengawasi sepenuhnya bayaran kepada petugas supaya zakat tidak hilang tujuan sebenarnya iaitu untuk membantu fakir miskin. Dengan kata lain, Dalam keadaan apa pun, perbelanjaan mengurus tidak dibenarkan melebihi hasilnya supaya zakat akan sentiasa produktif dan tidak hilang segala hikmat dan kelebihannya.

Sementara kos pengurusan bagi sesuatu produk atau instrumen kewangan Islam pula, kita tidak mempunyai nilaian yang tepat disebabkan kos yang berbeza mengikut setipa instrumen tersebut. Selain itu, belanja perkhidmatan dan surat-menyurat juga dikira sebagai kos pengurusan yang mesti dibayar oleh pelanggan. Contohnya dalam skim pembiayaan perumahan manzili, segala perbelanjaan yang terhasil daripadanya akan ditanggung oleh pelanggan. Kos ini berbeza mengikut produk yang berbeza. Yang pasti, belanja pengurusan sesuatu produk haruslah tidak melebihi hasil dan keuntungan yang diperolehi. Kalau tidak, pastinya ia akan menyebabkan kerugian dan pelanggan akan hilang kepercayaan terhadap bank serta produk-produk yang ditawarkan.









PENUTUP

Kesimpulannya, seperti yang telah ditegaskan pada peringkat awal penulisan ini, para ulama dan sarjana Islam mestilah meneroka kembali khazanah warisan Islam dan mengubahsuaikannya dengan keadaan semasa asalkan masih berlegar dalam lingkungan Syarak. Ini kerana fiqh muamalat itu sendiri sebrnarnya terdiri daripada nas-nas qatciy dan zanniy yang memberi ruang yang luas kepada para ulama untuk berijtihad. Saranan ini dibuat kerana 2 faktor:

1) faktor pertama ialah sambutan masyarakat terhadap produk-produk yang ditawarkan oleh bank-bank Islam mahupun bank konvensional yang menawarkan skim perbankan Islam amat menggalakkan. Ini dapat dilihat berdasarkan nilai deposit di Bank Islam selepas 10 tahun amat menggalakkan. Sementara di Bank Rakyat pula, semenjak tahunn 1993-2003 (tempoh perubahan kearah perbankan Islam) deposit dan pelaburan serta pembiayaan yang dibuat nyata menguntungkan. Ini berbeza dengan prestasi Bank Rakyat di awal penubuhannya sehinggalah awal 90an. Yang paling mengagumkan penulis ialah bagaimana Bank Rakyat menghadapi zaman kemelesetan ekonomi pada tahun 1997 dengan begitu cemerlang. Dalam keadaan bank-bank lain terpaksa mengecilkan operasinya serta membuang sesetengah pekerjanya, Bank Rakyat tetap teguh menjalankan operasinya.

2) faktor kedua ialah keraguan masyarakat dan sesetengah cendekiawan terhadap produk yang ditawarkan di bank yang mengamalkan perbankan Islam. Berdasarkan contoh pembiayaan yang diberikan, jelas kepada kita bahawa bank yang beroperasi berdasarkan sistem Islam sebenarnya masih terikat dengan Bank Negara Malaysia. Setiap pembiayaan yang diberi kepada pelanggan akan diikat dengan BLR sebanyak beberapa peratus. Peratusan ini akan ditentukan oleh Bank Negara Malaysia dan ianya berubah mengikut keadaan ekonomi Malaysia. Tindakan ini dilakukan untuk menjaga rizab serta nisbah kecairan dan mengawal nilai mata wang ringgit Malaysia. Walau bagaimanapun, pada keseluruhannya produk-produk yang ditawarkan melalui skim perbankan Islam sedang melalui prosses pembersihan dan menuju ke arah yang lebih baik. Paling kurang, kita sudah pun mempunyai pilihan untuk melabur dan menyimpan di bank yang menawarkan produk perbankan Islam. Apa yang penting, para ulama mestilah mengerah segala usaha dan tenaga mereka untuk menyediakan suatu alternatif perbankan Islam kepada seluruh ahli masyarakat samada Islam mahu pun bukan Islam

Sementara itu, masalah yang dihadapi pula ialah saingan yang amat kuat daripada perbankan konvensional ditambah dengan jumlah deposit dan pembiayaan yang masih kecil daripada msyarakat bukan Islam. Bank konevensional dalam keadaan tertentu dapat menaikkan dan menurunkan kadar faedah untuk menarik para pelanggan menyimpan atau menggunakan skim pembiayaan yang mereka tawarkan. Berbanding dengan Bank Rakyat mahupun Bank Islam, berdasarkan konsep BBA, harga jualan tidak boleh diubah yang menyebabkan pelanggan dalam keadaan tertentu (khasnya bukan Muslim) lebih gemar menggunakan pembiayaan daripada perbankan konvensional. Selain itu, pelanggan bukan Islam juga masih belum yakin terhadap produk pembiayaan Islam kalau dilihat daripada jumlah serta nilai deposit dan pembiayaan di kalangan pelanggan bukan Islam

Penulis tertarik dengan cadangan serta saranan daripada M.A Mannan dalam bukunya supaya dikenakan kadar faedah semasa kita berurusan dengan golongan bukan Islam. Beliau membawa beberapa hujah serta dalil. Di antaranya sebagai mucamalah bi al-mithli. Walau pun saranan beliau agak janggal dan boleh menimbulkan pertikaian di kalangan ulama, namun mungkin dalam masa beberapa tahun akan datang, ianya agak praktikal.









RUJUKAN

Abdul Mumin Abdul Ghani, Sistem Kewangan Islam Dan Pelaksanaannya Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 1999

Afzalul Rahman, Doktrin Ekonomi Islam, Jilid 4, Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1994, terjemahan Osman Ahmad, Mazni Othman

Ali Ahmad Marca, Buhuth Fi Fiqh al-Mucamalat Dirasat al-Muqaranah, Universiti al-Azhar, 1998

Al-kasaniy, cala al-Din Abu Bakar Bin Mascud, Badaci al-Sanaci Fi Tartib al-Sharaci, jilid 5, Beiruy, al-Maktabat al-cIlmiyyah,t.t.

Al-Sarakhsiy, al-Mabsut, jilid 13, Beirut, Dar al-Macrifah, 1986

cAtiyyah Sayyid al-Fayyad, Buhuth Fi Fiqh al-Mucamalat Dirasat al-Muqaranah, Universiti al-Azhar, 1998

Muhammad Salah Muhammad Sawi, Mushkilat al-Istithmar Fi al-Bunuk al-Islamiyyah, Dar al-Tauzic Wa al-Nasyr, 1990

Muhammad Sayyid Tantawi, Mucamalat al-Bunuk Wa Ahkamuha al-Syarciyyah, Kaherah, Dar al-Nahdah al-Masri, 1998

Muhammad Syafii Antonio, Bank Syariah Dari Teori Ke Praktik, Jakarta, Gema Insani, 2001

Nor Mohamed Yakcop, Teori, Amalan Dan Prospek Sistem Kewangan Islam Di Malaysia, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 1996

Radiah Abdul Kader, Ekonomi Islam, Kuala Lumpur, Univision Press Sdn Bhd, 2001

Ustaz Wan Hanafiah, Pegawai Syariah di Bank Kerjasama Rakyat Malaysia

Laman web rasmi maybank. http://www.maybank2u.com.my

House financing http://www.mayfin.com.my/mayfin-docs/html-dir/consumer.html/

Groups savers package http://www.mayfin.com.my/mayfin-docs/html-dir/hire.html/

Hire purchase rates http://www.mayfin.com.my/mayfin-docs/html-dir/purchase.html#rates/


[1] Ali Ahmad Marca, Buhuth Fi Fiqh al-Mucamalat Dirasat al-Muqaranah, Universiti al-Azhar, 1998. HLM. 159-160


[2] Abdul Mumin Abdul Ghani, Sistem Kewangan Islam Dan Pelaksanaannya Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 1999. hlm.379
[3] ibid
[4] Afzalul Rahman, Doktrin Ekonomi Islam, Jilid 4, Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1994, terjemahan Osman Ahmad, Mazni Othman. Hlm.303

[5] Muhammad Salah Muhammad Sawi, Mushkilat al-Istithmar Fi al-Bunuk al-Islamiyyah, Dar al-Tauzic Wa al-Nasyr, 1990. hlm.140

[6] Abdul Mumin Abdul Ghani, Sistem Kewangan Islam Dan Pelaksanaannya Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 1999.hlm.381

[7] Afzalul Rahman, Doktrin Ekonomi Islam, Jilid 4, Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1994, terjemahan Osman Ahmad, Mazni Othman. Hlm.303
[8] Radiah Abdul Kader, Ekonomi Islam, Kuala Lumpur, Univision Press Sdn Bhd, 2001.hlm.153

[9] Muhammad Salah Muhammad Sawi, Mushkilat al-Istithmar Fi al-Bunuk al-Islamiyyah, Dar al-Tauzic Wa al-Nasyr, 1990.hlm.154

[10] Radiah Abdul Kader, Ekonomi Islam.hlm.154
[11] cAtiyyah Sayyid al-Fayyad, Buhuth Fi Fiqh al-Mucamalat Dirasat al-Muqaranah, Universiti al-Azhar, 1998.hlm.171

[12] Al-Sarakhsiy, al-Mabsut, jilid 13, Beirut, Dar al-Macrifah, 1986.hlm.83

[13] Al-kasaniy, cala al-Din Abu Bakar Bin Mascud, Badaci al-Sanaci Fi Tartib al-Sharaci, jilid 5, Beiruy, al-Maktabat al-cIlmiyyah,t.t..hlm220

[14] Abdul Mumin Abdul Ghani, Sistem Kewangan Islam Dan Pelaksanaannya Di Malaysia.hlm.410

[15] cAtiyyah Sayyid al-Fayyad, Buhuth Fi Fiqh al-Mucamalat Dirasat al-Muqaranah.hlm.180

[16] Abdul Mumin Abdul Ghani, Sistem Kewangan Islam Dan Pelaksanaannya Di Malaysia.hlm.412

[17] Radiah Abdul Kader, Ekonomi Islam.hlm.157
[18] Abdul Mumin Abdul Ghani, Sistem Kewangan Islam Dan Pelaksanaannya Di Malaysia. Hlm.417

[19] Ibid.hlm.425

[20] Muhammad Sayyid Tantawi, Mucamalat al-Bunuk Wa Ahkamuha al-Syarciyyah, Kaherah, Dar al-Nahdah al-Masri, 1998.hlm.58

[21] Ibid. Muhammad Sayyid Tantawi, Mucamalat al-Bunuk Wa Ahkamuha al-Syarciyyah, Kaherah, Dar al-Nahdah al-Masri, 1998. hlm.59

[22] Abdul Mumin Abdul Ghani, Sistem Kewangan Islam Dan Pelaksanaannya Di Malaysia. Hlm.433

[23] Abdul Mumin Abdul Ghani, Sistem Kewangan Islam Dan Pelaksanaannya Di Malaysia. Hlm 442

[24] Muhammad Syafii Antonio, Bank Syariah Dari Teori Ke Praktik, Jakarta, Gema Insani, 2001.hlm.113

[25] Abdul Mumin Abdul Ghani, Sistem Kewangan Islam Dan Pelaksanaannya Di Malaysia. Hlm 430

[26] Ustaz Wan Hanafiah, Pegawai Syariah di Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Temubual pada 12 Julai 2003

[27] Nor Mohamed Yakcop, Teori, Amalan Dan Prospek Sistem Kewangan Islam Di Malaysia, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 1996.hlm.80

[28] Radiah Abdul Kader, Ekonomi Islam.hlm.154
[29] Nor Mohamed Yakcop, Teori, Amalan Dan Prospek Sistem Kewangan Islam Di Malaysia.hlm. 81
[30] Nor Mohamed Yakcop, Teori, Amalan Dan Prospek Sistem Kewangan Islam Di Malaysia.hlm. 80-83

[31] Radiah Abdul Kader, Ekonomi Islam.hlm.155
[32] Radiah Abdul Kader, Ekonomi Islam.hlm.156

[33] Ustaz Wan Hanafiah, Pegawai Syariah di Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Temubual pada 12 Julai 2003


[34] http://www.maybank2u.com.my

[35] http://www.mayfin.com.my/mayfin-docs/html-dir/consumer.html/

[36] http://www.mayfin.com.my/mayfin-docs/html-dir/hire.html/

[37] http://www.mayfin.com.my/mayfin-docs/html-dir/purchase.html#rates/

[38] Radiah Abdul Kader, Ekonomi Islam. Hlm.176

[39] Ibid.hlm.193

[40] Ustaz Wan Hanafiah, Pegawai Syariah di Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Temubual pada 12 Julai 2003

[41] Afzalul Rahman, Doktrin Ekonomi Islam, Jilid 4,

1 ulasan:

w.i berkata...

rencana ini merupakan assignment saya untuk subjek fiqh muamalat semasa buat masters di ukm dulu. tahun 2003