Sabtu, 27 Mac 2010

al-Quran....Pengumpulan & Penulisan al-Quran Di Zaman Abu Bakar al-Siddiq ra

2.3 Pengumpulan & Penulisan al-Quran Di Zaman Abu Bakar al-Siddiq ra

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar ra telah dilantik menjadi khalifah. Pada zaman pemerintahan beliau, telah berlaku beberapa peperangan, di antaranya peperangan al-Yamamah pada tahun 11 hijrah. Dalam peperangan tersebut ramai tentera Islam yang merupakan penghafaz al-Quran telah syahid. Mengikut catatan sejarah, seramai 70 orang qurra’ (ahli penghafaz al-quran) telah gugur syahid. Peristiwa ini telah mendorong Saidina Umar al-Khattab memberi cadangan kepada Khalifah Abu Bakar supaya dilakukan usaha pengumpulan al-Quran kerana dibimbangi al-Quran akan terhapus dengan sebab ramainya para penghafaz yang gugur syahid. Pada mulanya khalifah tidak menerima cadangan ini kerana beliau sangat berhati-hati dalam melakukan sesuatu urusan. Lagi pun, perkara tersebut tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Sementara itu, Saidina Umar pula tidak putus-putus mengulangi cadangannya sehinggalah Allah SWT melapangkan dada Abu Bakar untuk menerima cadangan tersebut.

Akhirnya Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a. bersetuju dengan cadangan tersebut dan mengarahkan Zaid bin Thabit r.a. mengumpul al-Quran yang telah ditulis di atas pelepah tamar, batu-bata termasuklah melalui hafazan para sahabat dengan dibantu oleh beberapa orang sahabat yang lain. Zaid bin Thabit dipilih melakukan pekerjaan tersebut memandangkan wibawanya dalam ilmu tentang al-Quran, amanah dan merupakan sahabat yang terakhir mengkhatamkan al-Quran di hadapan Rasululah SAW. Melalui usaha tersebut maka terkumpullah al-Quran yang pertama dalam bentuk lembaran suhuf.

Sepanjang melaksanakan tugasan tersebut, Zaid bin Thabit cukup berhati-hati di dalam menerima ayat-ayat al-Quran yang diperdengarkan kepada beliau. Bagi beliau, tidak memadai bacaan al-Quran yang diperdengarkan dengan cara hafazan sahaja, bahkan mesti bertulis dan disaksikan oleh 2 orang saksi. Hal ini dapat dilihat di dalam kes ayat akhir Surah al-Taubah(ayat 128) yang hanya didapati berada pada simpanan Abu Khuzaimah al-Ansari. Ini bukanlah bererti bahawa ayat al-Quran ini tidak bersifat mutawatir. Sebenarnya ramai sahabat termasuklah Zaid sendiri telah menghafaz ayat ini. Apa yang dimaksudkan dengan frasa “hanya didapati berada pada simpanan Abu Khuzaimah al-Ansari” ialah ayat ini tidak terdapat dalam keadaan bertulis kecuali di dalam tulisan yang disimpan oleh Abu Khuzaimah al-Ansari. Ayat ini telah dihafaz oleh ramai sahabat, disaksikan oleh ramai sahabat bahawa ianya ditulis, namun yang terdapat hanyalah tulisan atau rekod yang berada di dalam simpanan Abu Khuzaimah. Hal ini membuktikan bahawa Zaid seorang yang cukup cermat dan berhati-hati di dalam melakukan tugasannya.

Selain itu, dalam satu kisah yang lain Saidina Umar r.a telah mengisytiharkan bahawa sesiapa yang telah mendengar ayat-ayat al-Quran daripada Rasulullah SAW hendaklah memperdengarkan bacaannya kepada Zaid bin Thabit. Ramailah para sahabat yang datang berjumpa dengan Zaid dan memperdengarkan bacaan al-Quran sambil membawa bahan bertulis seperti pepelah tamar sebagai bukti. Namun Zaid bin Thabit tidak menerima bacaan mereka kecuali setelah membawa 2 orang saksi. Saksi ni pula hendaklah pernah menerima atau mendengar ayat al-Quran tersebut daripada Rasulullah SAW semasa hayat baginda dan perkara tersebut berlaku pada tahun kewafatan Rasulullah SAW. Ini kerana tahun kewafatan baginda menjadi suatu penanda aras kepada bacaan al-Quran. Tahun tersebut merupakan kali terakhir Rasulullah SAW membaca al-Quran dengan semakan Jibril a.s. Selain itu, al-Quran juga semasa dalam proses penurunan wahyu boleh menerima nasikh dan mansukh. Justeru itu, tahun kewafatan baginda menjadi penamat kepada penurunan wahyu yang bererti al-Quran telah sempurna. Kesemua perkara di atas menjadi bukti bahawa Zaid tidak hanya berpada dengan apa yang dihafaz dan ditulis bahkan lebih daripada itu mestilah disertakan 2 orang saksi sebagai langkah berhati-hati sedangkan ayat-ayat yang mereka bacakan itu telah pun dihafaz oleh beliau dan sebilangan besar sahabat.

Ada satu lagi kisah yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Dawud daripada Hisyam bin cUrwah daripada ayahnya bahawa Khalifah Abu Bakar pernah memerintahkan kepada Umar al-Khattab dan Zaid bin Thabit supaya duduk di pintu masjid menunggu para sahabat memperdengarkan bacaan ayat al-Quran yang ada pada mereka. Jika mereka membawa 2 orang saksi maka bacaan mereka diterima. Al-Sakhawiy telah berkata bahawa yang dimaksudkan dengan 2 orang saksi di sini ialah mereka bersaksi sesungguhnya apa yang mereka bacakan itu adalah benar dan telah ditulis di hadapan Rasulullah SAW semasa hayat baginda. Tujuan mereka berbuat demikian ialah untuk memastikan bahawa bacaan tersebut benar-benar datang daripada Rasulullah SAW dengan cara hafazan dan tulisan.

Kesimpulannya, al-Quran pada masa ini telah pun dikumpul di dalam satu mushaf berdasarkan al-ahruf al-sabcah . Namun pada masa ini, masih terdapat mushaf peribadi sahabat yang lain seperti mushaf Ali, mushaf Ubay, mushaf Ibn Mascud. Bezanya mushaf sahabat-sahabat lain lebih merupakan koleksi peribadi mereka

Keistimewaan mushaf yang dikumpul oleh Khalifah Abu Bakar berbanding sahabat-sahabat lain pada masa itu ialah mushaf ini merupakan mushaf yang cukup teliti, dikutip dan disemak oleh sebuah jawatankuasa yang berkelayakan dan dipercayai sehingga ke tahap mutawatir. Selain itu, ia juga mendapat pengiktirafan seluruh sahabat dan kaum muslimin.

RUJUKAN
* Muhammad Syarci Abu Zaid, Jamc al-Quran Fi Marahilihi al-Tarikhiyyah Min al-Asr al-Nabawiy Ila al-Asr al-Hadith,versi internet: http://www.almeshkat.net/books/open.php?cat=7&book=76
* Mannac Qattan, Mabahith Fi Ulum al-Quran, Maktabat al-Macarif Li al-Tauzic Wa al-Nashr, Riyad, hlm. 126-128
* http://www.hafizfirdaus.com/ebook/Ushul%20Tafsir/quran7.htm
* http://www.saifulbahri.net/index.php/Umum/Sejarah-Pembukuan-Al-Quran/Page-2.html
* Muhammad Abdullah Darraz, Madkhal Ila al-Quran al-Karim, Dar al-Qalam, Kuwait, hlm.32-51
* http://www.almeshkat.net/books/open.php?cat=7&book=76

Tiada ulasan: