Sabtu, 27 Mac 2010

al-Quran....Perbezaan di antara mushaf pada zaman Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Uthman Affan

2.5 Perbezaan di antara mushaf pada zaman Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Uthman Affan

Perbezaan utama di antara 2 mushaf ini ialah dari segi sebab dan cara pengumpulan. Sebab pengumpulan pada zaman Khalifah Abu Bakar ialah kebimbangan hilangnya al-Quran dengan sebab kematian ramai penghafaz al-Quran dalam peperangan. Sementara sebab pengumpulan pada zaman Khalifah Uthman bin Affan ialah berlakunya perbezaan cara bacaan yang membawa kepada saling menyalahkan bacaan orang lain, bahkan ada yang lebih melampau sanggup mengkafirkan orang lain kerana berbeza cara bacaan.

Dari segi cara atau teknik pengumpulan, Khalifah Abu Bakar telah mengumpulkan ayat-ayat al-Quran yang tertulis di merata-rata tempat seperti pelepah kurma, tulang dan sebagainya ke dalam satu mushaf yang tersusun dari segi susunan surah atau ayat. Khalifah Abu Bakar juga tidak memasukkan ayat-ayat al-Quran yang telah dibatalkan hukumnya. Selain itu, mushaf pada zaman Khalifah Abu Bakar mengandungi al-ahruf al-sabcah(tujuh cara bacaan). Sementara Khalifah Uthman bin Affan telah menyalin semula mushaf pada zaman Khalifah Abu Bakar ke dalam satu naskhah dengan satu cara bacaan sahaja iaitu dengan bahasa Quraisy. Khalifah Uthman telah menyeragamkan cara bacaan al-Quran kepada satu cara sahaja.

RUJUKAN
* Mannac Qattan, Mabahith Fi Ulum al-Quran, Maktabat al-Macarif Li al-Tauzic Wa al-Nashr, Riyad, hlm. 126-128,
* Muhammad Syarci Abu Zaid, Jamc al-Quran Fi Marahilihi al-Tarikhiyyah Min al-Asr al-Nabawiy Ila al-Asr al-Hadith,versi internet: http://www.almeshkat.net/books/open.php?cat=7&book=76

Tiada ulasan: