Sabtu, 27 Mac 2010

al-Quran...Hikmat Al-Quran Diturunkan Beransur-Ansur

1.4 Hikmat Al-Quran Diturunkan Beransur-Ansur

Al-Quran diturunkan sedikit demi sedikit supaya mudah dihafal, difahami dan dilaksanakan. Ia sebagai satu rahmat dan kurniaan yang sangat berkesan kepada hamba-hambaNya. Sekiranya al-Quran diturunkan sekaligus, sudah tentu ia akan menyusahkan dan memberatkan, baik daripada segi hafalan, pemahaman dan pelaksanaannya dalam kehidupan. Al-Khudhari mengatakan tempoh al-Quran diturunkan ialah 22 tahun 22 bulan dan 22 hari, bermula daripada 17hb. Ramadhan tahun 41 kelahiran Rasulullah s.a.w. hinggalah 9hb. Zulhijjah, tahun ke 10 Hijrah. Dalam tempoh tersebut al-Quran dihafal oleh Rasulullah dan para sahabat serta dicatat oleh panitia penulis al-Quran kemudian dikumpulkan pada zaman Sayidina Abu Bakar r.a. dan disempurnakan pada masa Sayidina Uthman r.a. Antara hikmat utama Allah SWT merencanakan penurunan al-Quran kepada baginda Rasulullah SAW ini secara beransur-ansur adalah seperti berikut :

1.4.1 Untuk menetapkan jiwa Rasulullah SAW dan menguatkan hatinya. Ini kerana dengan turunnya Jibril a.s. membawa wahyu secara berulang-ulang daripada Allah SWT kepada Rasul-Nya dapat menguatkan jiwa Rasulullah SAW. Baginda dapat merasakan pertolongan serta inayat Ilahi tersebut. Tanggungjawab sebagai Nabi adalah berat dan Rasulullah SAW sebagai seorang manusia yang sudah tentu akan menghadapi pelbagai cabaran getir dalam menyampaikan risalah bukan sahaja menghadapi tekanan, sekatan, cercaan, maki hamun malah ancaman nyawa daripada kaumnya sendiri Quraisy dan juga dari kalangan Yahudi dan orang munafik. Tentulah beliau memerlukan belaian wahyu sebagai penenang kepada semua itu.

1.4.2 Untuk mendidik masyarakat waktu itu secara beransur-ansur. Ini akan memudahkan mereka untuk memahami al-Quran dan menghafaznya serta dapat beramal dengannya berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di kalangan mereka. Oleh itu mereka dapat mengikis akidah amalan dan adat yang bertentangan dengan Islam secara beransur-ansur. Oleh itu sedikit demi sedikit ianya dapat dihapuskan.

1.4.3. Untuk menyesuaikan dengan peristiwa yang baru berlaku iaitu apabila timbul sesuatu masalah di kalangan mereka, turunlah al-Quran menentukan hukum yang sesuai untuk menyelesaikan masalah tersebut. Contohnya, ayat mengenai persoalan roh dan seumpamanya.

1.4.4 Untuk menunjukkan bahawa sumber al-Quran itu Kalam Allah SWT semata-mata. Ia bukan ciptaan Nabi Muhammad SAW atau makhluk lain.

al-Quran....cara wahyu diturunkan & peringkat penurunan

1.2 Cara Al-Quran (Wahyu) Diturunkan

Aishah isteri Rasulullah SAW, meriwayatkan sebelum Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul, beliau bermimpi perkara yang benar lalu beliau menyendiri di gua Hira’ beribadah kepada Allah SWT untuk selama beberapa tahun. Di gua berkenaanlah baginda menerima wahyu yang pertama.
Harith bin Hisham, seorang sahabat Rasulullah SAW pernah bertanya kepada Baginda bagaimana wahyu diturunkan kepadanya. Rasulullah menjawab : ”Kadang-kadang wahyu datang kepadaku dengan gema (desingan) loceng dan ini amat berat bagiku, dan sementara bunyi itu hilang aku mengingati apa yang disampaikan kepadaku. Kadang-kadang ia datang dalam bentuk jelmaan malaikat kepadaku merupai lelaki, bercakap denganku dan aku menerima apa saja yang disampaikannya kepadaku.”

1.3 Peringkat Penurunan Al-Quran
Para ulama menyatakan penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekaligus, dan berperingkat. Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat tentang berapa kali berlakunya penurunan al-Quran secara sekaligus. Terdapat tiga pandangan mengenai hal ini, iaitu :
• Penurunan al-Quran dari Allah SWT ke Lauh Mahfuz
• Kali kedua, dari Lauh Mahfuz ke Bait al-cIzzah di langit dunia
• Kali ketiga, penurunan kepada Jibril a.s. dalam tempoh 20 malam. Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan if Ulum al-Quran’ berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn ‘Abbas, Hakim Dan al-Nasa’i, hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja iaitu dari Lauh Mahfuz ke Bait al-cIzzah dan dari Bait al-cIzzah kepada Rasulullah SAW Melalui Jibril a.s.

1.3.1 Dari Allah SWT ke Lauh Mahfuz
Penurunan ini berlaku sekaligus dengan tujuan untuk membuktikan ketinggian dan kekuasaan Allah SWT. Para Malaikat menyaksikan bahawa segala perkara yang ditentukan oleh Allah SWT di Lauh Mahfuzini benar-benar berlaku. Pendapat ini disandarkan kepada ayat 21 Dan 22 surah al-Buruj yang berbunyi,
Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir, bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.”



1.3.2 Dari Lauh Mahfuz ke Bait al-cIzzah di langit dunia.
Penurunan kali kedua secara sekaligus dari Lauh Mahfuz ke Bait al-cIzzah di langit dunia dipercayai berlaku berpandukan kepada tiga (3) ayat al-Quran sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas; Allah SWT berfirman,
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia Dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk Dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak Hari yang ditinggalkan itu pada hari-Hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”
Firman Allah SWT, “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”
Firman Allah SWT,
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” Ibn ‘Abbas juga menyatakan mengikut apa yang diriwayatkan oleh Said bin Jubayr: “Al-Quran diturunkan sekaligus pada malam yang penuh berkat.” Ikrimah pula meriwayatkan Abdullah bin Abbas berkata: “Al-Quran diasingkan daripada al-Dhikr ‘الذكر’ dan ditempatkan di Bait al-cIzzah di langit dunia.
Ibn Marduwayh dan al-Baihaqi mencatatkan perbualan antara cAtiyyah bin al-Aswad dan Abdullah bin Abbas yang mana cAtiyyah agak keliru mengenai penurunan ayat-ayat ini, “Pada bulan Ramadhan al-Quran diturunkan”, dan “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar”, ia juga diturunkan pada bulan Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Safar dan Rabiul Awal.” Kemudian Ibn Abbas menjelaskan: “Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul-Qadar sekaligus kemudiannya untuk diwahyukan kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur selama beberapa bulan dan hari

1.3.3 Dari Bait al-cIzzah kepada Rasulullah S.A.W. (dalam masa 20 tahun).
Penurunan di peringkat ini telah berlaku secara beransur-ansur. Al-Quran mula diturunkan kepada Rasulullah SAW sejak baginda dilantik menjadi Rasulullah S.A.W, dan selesai apabila baginda hampir wafat, iaitu dalam tempoh dua puluh tiga tahun. Tiga belas tahun di Makkah dan sepuluh tahun di Madinah. Mengikut pendapat ini, Jibril a.s diberi Malam Lailatul-Qadar setiap tahun, dari mula turun wahyu hingga ke akhirnya sepanjang tempoh kenabian, sebahagian daripada al-Quran disimpan di Bait al-cIzzah yang mencukupi baginya untuk disampaikan kepada Rasulullah SAW dalam masa 20 malam. Pandangan ini dipegang kuat oleh al-Mawardi.
Sebahagian ulama berpendapat penurunan al-Quran hanya sekali sahaja iaitu daripada Allah SWT terus kepada Rasulullah melalui Jibril secara berperingkat dan bukannya tiga kali dari Allah SWT ke Lauh Mahfuz, ke Bait al-cIzzah (langit dunia) dan kepada Rasulullah SAW.

Jumaat, 26 Mac 2010

al-Quran....pengumpulan al-Quran

2.1 Makna Al-Jam Al-Quran (Pengumpulan Atau Penulisan Al-Quran

Apabila disebut pengumpulan al-Quran (al-jamc al-Quran), para ulama telah mendefinisikannya dengan 2 maksud. Maksud yang pertama ialah hafazan. Makna hafazan ini telah disebut di dalam surah al-Qiamah ayat 17 yang bermaksud:

Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan al-Quran itu dalam dadamu dan menetapkan bacaannya pada lidahmu.

Sementara makna yang kedua pula ialah pengumpulan dan penulisan al-Quran samada menulis kesemua ayatnya, sebahagian surah atau sebahagian ayat-ayatnya samada surah atau ayat tersebut berada di dalam satu tempat (mushaf) atau berada di pelbagai tempat. Kesemua perkara ini dinamakan pengumpulan al-Quran

*Manna Qattan, Mabahith Fi Ulum al-Quran, Maktabat al-Macarif Li al-Tauzic Wa al-Nashr, Riyad, hlm. 119

al-Quran....bentuk bacaan yang dilarang

1.11 Bentuk Bacaan Al-Quran Yang Dilarang

Akibat daripada terdedah dengan pelbagai bentuk irama dan alunan bentuk bacaan al-Quran juga semakin berubah dan untuk mengawal keadaan itu Islam sudah lama menentukan cara-cara bacaan yang ditegah. Berikut ialah beberapa keadaan bacaan tersebut:

Tatrib
Iaitu bacaan dengan merengek-rengek suara dan memanjangkan bukan pada tempatnya

Tamtit
Iaitu bacaan dengan melebih-lebihkan harakah pada hukum mad

Tarkis
Iaitu bacaan dengan melenggokkan nada suara sehingga melebihkan harakat huruf mad bertujuan menyelesaikan rentak

Tahzin
Bacaan dengan nada yang amat sedih yang menjejaskan tajwid dan membaca dengan sifat riya’


Tarid
Bacaan yang menggentarkan suara keterlaluan seperti orang kesejukan atau ditimpa sakit

Tahrif
Bacaan al-quran secara serentak dan berehenti secara serentak

Membaca bersama alat muzik


* rujukan utama entri ini ialah modul keluaran Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia, Pendidikan al-Quran Minor Modul 1/3, 2005, hlm. 30-32

al-Quran....maratib al-tilawah(cara bacaan al-Quran)

1.10 Maratib al-Tilawah (cara bacaan al-Quran)

Untuk memuliakan dan menjaga al-Quran yang berstatus mukjizat, Islam menentukan 4 maratib atau kelajuan / cara bacaan al-Quran. Empat bentuk tersebut diharuskan iaitu tahkik, tartil, tadwir dan hadar.

Tahkik
Iaitu kelajuan seperti tartil. Cuma ia lebih lambat dan perlahan. Kelajuan ini biasanya dilaksanakan bagi mereka yang baru belajar tentang al-Quran supaya dapat melatih lidah menyebut huruf dan sifatnya dengan tepat dan betul

Tartil
Ialah bacaan perlaha-lahan, tenang ketika melafazkan huruf-huruf daripada makhrajnya dan sifatnya dengan memberikan hak sifat semula jadi huruf dan mustahaknya (sifat-sifat mendatang) serta bertadabbur dengan maknanya. Biasanya dibaca oleh mereka yang sudah mengenal makhraj huruf, sifat-sifatnya dan tahu hukum tajwid. Tingkatan bacaan ini adalah lebih baik dan lebih diutamakan

Tadwir
Kelajuan bacaan pertengahan di antara kelajuan bacaan tartil dan hadar

Hadar
Bacaan cepat serta tetap dengan menjaga kesemua hukum tajwid dan biasanya diamalkan oleh para penghafaz al-Quran atau orang yang mentasmik hafazan di hadapan gurunya.

* rujukan utama entri ini dari modul keluaran Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia, Pendidikan al-Quran Minor Modul 1/3, 2005, hlm. 30-32