Khamis, 21 Jun 2012

Manhaj Ibn Kathir terhadap Israiliyyat


1.4 Manhaj Ibn Kathir terhadap Israiliyyat
Ibn Kathir membahagikan Israiliyyat kepada 3 bahagian iaitu:[1]
1)      Israiliyyat yang selari dengan al-Quran dan sunnah. Contohnya riwayat yang menyebut rakan seperjalanan Nabi Musa ialah Khidir
2)      Israiliyyat yang bertentangan dengan nas al-Quran dan Sunnah seperti cerita berkenaan malaikat Harut Marut yang melakukan dosa besar seperti minum arak, berzina dan membunuh.
3)      Israiliyyat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya (didiamkan Syarak) seperti kisah lembu Bani Israel yang disembelih untuk mendapatkan anggotanya bagi mencari pembunuh sebenar.
Katanya lagi di permulaan kitabnya al-Bidayah” Kami tidak menukilkan sesuatu daripada sumber Israiliyat kecuali perkara yang diizinkan Syarak sahaja meliputi bahagian yang tidak menyalahi al-Quran dan sunnah. Kami menukilkannya hanya sekadar tambahan, bukanlah di atas dasar untuk berhujah dan berpegang dengannya[2]
Ibn kathir cukup berhati-hati dan mengambil berat terhadap riwayat Israiliyyat. Apabila beliau meriwayatkan sumber Israiliyyat, beliau hanya meriwayatkan Israiliyyat yang tidak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah dan yang termasuk dalam bahagian yang didiamkan.[3]Contohnya seperti riwayat yang menceritakan bahagian anggota lembu yang dipotong untuk memukul si mati dalam kisah Bani Israel (ayat 67 al-Baqarah). Sebaik sahaja beliau selesai membicarakan ayat tersebut, beliau meriwayatkan kisah pembunuhan yang berlaku di kalangan Bani Israel. 
Secara ringkasnya untuk mencari pembunuh sebenar maka mereka (Bani Israel) diperintahkan Allah untuk mencari seekor lembu dengan sifat-sifat tertentu. Setelah berjaya mendapatkan lembu berkenaan dengan harga yang mahal mereka menyembelihnya dan mengambil bahagian tertentu daripada anggotanya. Mereka menggunakan anggota berkenaan untuk memukul si mati. Seterusnya si mati berkenaan dapat hidup kembali dan menceritakan siapa yang membunuhnya. Kemudian Ibn Kathir  membentangkan  riwayat lain berkenaan kisah ini lalu mengemukakan jalur sanadnya dan membuat penegasan bahawa pada zahirnya riwayat ini bersumberkan kitab-kitab Bani Israel yang termasuk dalam bahagian yang harus untuk kita nukilkannya. Namun kita tidak sekali-kali membenarkannya dan menolaknya. Justeru itu, kita tidak boleh terus berpegang dengannya kecuali apa yang menepati al-Quran dan sunnah[4]
Beliau juga mengharuskan periwayatan berdasarkan Israiliyyat pada perkara yang logik pada akal dengan disebut kebatilannya. Walaubagaimanapun riwayat Israiliyyat ini hanyalah sekadar tambahan, tidak boleh djadikan hujah
Jika riwayat tersebut tidak logik atau jelas dustanya maka beliau akan membatalkannya dan menegaskan cukuplah kita berpegang dengan apa yang ada di dalam al-Quran. Contohnya seperti tafsiran beliau terhadap ayat 102 al-Baqarah berkenaan kisah malaikat Harut dan Marut. Kisah ini cukup ganjil dan tidak dapat diterima akal. Ia juga diriwayatkan oleh sebahagian tabiin seperti Mujahad, al-Suddi, Hasan Basri, Qatadah, Abi al-Aliyah, al-Zuhri, Muqatil dan sebagainya. Beliau lalu membuat komentar bahawa ini berasal dari berita Bani Israel kerana tidak terdapat tentangnya hadis yang marfu’ kepada Nabi Muhammad SAW. Ia juga bukanlah termasuk dalam keumuman atau zahir ayat al-Quran atau Ijmal kisah . Justeru itu kita hanya beriman sebagaimana apa yang ada di dalam al-Quran dan hanya Allah yang mengetahui perkara sebenarnya[5]


[1] Ramzi Nakna’ah, al-Israiliyyat wa Atharuha fi Kutub al-Tafsir, Dar al- ‘Ilm & Dar al-Diya, Beirut & Dimasyq, (t.thn.), hlm.100-102.

[2]  Ramzi Nakna’ah, al-Israiliyyat wa Atharuha fi Kutub al-Tafsir, Dar al- ‘Ilm & Dar al-Diya, Beirut & Dimasyq, (t.thn.), hlm.100-102

[4] Al-Zahabi, Muhammad Husayn, al-Israiliyyat fi al-Tafsir wa al-Hadith, Maktabah Wahbah, Qaherah, (t.thn.), hlm.108

[5] Al-Zahabi, Muhammad Husayn, al-Israiliyyat fi al-Tafsir wa al-Hadith, Maktabah Wahbah, Qaherah, (t.thn.), hlm.108

Tiada ulasan: