PENGHARGAAN
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Syukur padaNya, saya sempat menyusun dan menyiapkan secara ringkas penulisan tentang panduan zakat. Bermula dengan Ramadan 2009 yang menjelma, saya memikirkan untuk menghasilkan sesuatu buat diri sendiri dan keluarga. Kebetulannya sebagai menjawab pertanyaan dan menyahut seruan seorang rakan sekerja di SKLR yang bertanyakan tentang zakat, artikel ini disusun untuk tatapan peribadi dan mereka yang memerlukannya. Saya bukanlah seorang pengarang mahupun ulama yang menulis ratusan kitab dan artikel sehingga dijadikan monumen dan transkrip agung buat tatapan generasi anak cucu. Menulis sekadar untuk diri sendiri dan mungkin untuk mereka yang memerlukannya.
Dari segi gaya dan format penulisan, saya menyusunnya dengan agak bebas, tidak begitu terikat dengan gaya penulisan tesis UKM yang menjadi bench mark saya tiap kali menulis penulisan ilmiah. Selain itu, cara susunan bab yang agak ringkas, bila difikirkan semula rasanya tidak begitu sesuai dinamakan bab. Walau bagaimanapun saya telah mengambil template senarai kandungan tesis UKM, di atas template itulah saya siapkan bahagian senarai kandungan dan seterusnya menyusun bab ala-ala gaya UKM. Tujuannya ialah memudahkan kerja saya.
Artikel ini kebanyakannya (mungkin keseluruhannya) dipetik daripada laman web zakat Majlis Agama Islam Selangor, www.e-zakat.my dengan sedikit penambahan daripada laman web Majlis Agama Islam Kelantan dan Majlis Agama Islam Terengganu. Walau bagaimanapun seminggu sebelum saya menyusun risalah ini, saya telah mengulangkaji beberapa buah kitab. Antaranya ialah fiqh manhajiy edisi bahasa Melayu (Manhaj Feqh Syafii)yang diterjemah dan diedarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (atau jabatan agama, saya tak pasti), al-Fiqh cala al-Mazahib al-Arbacah, al-Feqh al-Islamiy Wa Adillatuh karangan Dr Wahbah Zuhailiy, Fiqh al-Zakat karangan Dr Yusuf al-Qaraqawi. Kesemua kitab bacaan ini sebagai pemandu arah saya semasa menulis, memetik dan mengolah semula sumber-sumber maya yang saya susun dalam artikel ini. Sebelum mengundur diri, saya nasihatkan diri saya sendiri dan semua yang membaca artikel ini memerhatikan beberapa perkara:
1) Artikel ini disusun berdasarkan laman web e-zakat Selangor. Maklumat dan panduan di dalam artikel ini hanyalah sebagai rujukan. Sila rujuk keadaan di negeri masing-masing khasnya berkaitan nisab zakat kerana ianya berbeza.
2) Maklumat berkenaan nisab zakat(jika ada) dalam artikel ini hanyalah sesuai untuk tahun 2009M sahaja. Ini kerana nisab zakat akan berbeza mengikut harga pasaran emas
3) Janganlah menganggap bahawa artikel ini sudah cukup lengkap dan sempurna sehingga kita tidak perlu lagi merujukkannya kepada sumber-sumber lain, atau bertanyakan lagi kepada para ustaz dan guru. Tanyalah kerana bertanya adalah anak kunci ilmu. Belajarlah kerana belajar ubat kejahilan
4) Jika terdapat sebarang perbezaan pendapat dengan orang lain, janganlah mudah kita menolak, merendah-rendahkan atau memperlekehkan pendapat orang lain. Ilmu Feqh sememangnya terlalu luas.
Akhir kalam, terima kasih kepada semua pihak yang membantu samada secara langusng atau tidak langsung. Semoga hasil usaha kita semua yang tak seberapa ini dapat menjadi pelita dan cahaya di alam kelam nanti. Buat semua, terimalah seadanya….
Tiada ulasan:
Catat Ulasan