Rabu, 29 Januari 2014

pengenalan tentang ikjaz al-quran



BAB I

PENGENALAN TENTANG ICJAZ AL-QURAN

1.1  Pendahuluan
Al-Quran merupakan kitab Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Kitab ini yang menjadi mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW tidak mampu ditiru, ditandingi dan disaingi oleh sesiapa pun. Sifat tidak mampu disaingi, ditiru, disamai ini merupakan suatu icjaz. Apakah yang dimaksudkan dengan icjaz?
Bab ini akan membicarakan pengertian icjaz al-Quran dari segi bahasa dan istilah serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti tujuan icjaz, bahagian dan jenisnya, sejarah dan sebagainya
1.2 Icjaz Dari Segi Bahasa
Perkataan Icjaz berasal dari kata akar (masdar) acjaza yucjizu icjazan yang bermaksud lemah, tidak mampu atau ketidakupayaan. Ia berkongsi kata akar yang sama dengan perkataan mukjizat. Erti lemah di sini ialah ketidakmampuan untuk melakukan sesuatu, kata lawannya adalah berkuasa atau berkemampuan. Namun icjaz dalam pengertian di sini ialah kebenaran Nabi Muhammad SAW dalam pengakuannya sebagai utusan Allah dan menampakkan kelemahan orang arab untuk berhadapan dengan mukjizatnya yang kekal iaitu al-Quran.[1]
1.3 Pengertian Icjaz Dari Segi Istilah
Icjaz dari segi istilah merujuk kepada kelemahan yang diciptakan secara bertaburan ataupun terhimpun dan kemudian didatangkan  dengan cabaran oleh Al-Quran samada secara jelas, tersirat, ataupun kedua-duanya yang mana cabaran itu tidak mampu disahut oleh manusia mahupun jin.[2]
Mannac Qattan mendefinisikan icjaz sebagai menampakkan kebenaran Nabi Muhammad SAW dalam pengakuan orang lain sebagai seorang utusan Allah SWT dengan menzahirkan kelemahan orang-orang arab untuk menandinginya atau menghadapi mukjizat yang abadi iaitu al-Quran dan kelemahan-kelemahan generasi selepasnya. Apa yang dimaksudkan dengan mukjizat ialah perkara yang mencarik adat yang disertai dengan cabaran dan sunyi daripada kesilapan.[3]
Muhammad Ali al-Sabuny pula menakrifkan icjaz atau mukjizat al-Quran sebagai menetapkan kelemahan semua manusia samada secara individu atau kelompok untuk mendatangkan sesuatu yang serupa al-Quran itu. Maksud mukjizat di sini bukanlah semata-mata untuk melemahkan manusia atau menyedarkan mereka tentang kelemahan mereka untuk mencipta sesuatu yang serupa al-Quran. Namun tujuan yang sebenarnya ialah untuk menjelaskan kebenaran al-Quran dan membuktikan kebenaran Rasulullah SAW sebagai utusan Allah SWT.[4]
Hamka di dalam tasirnya menyebut Icjaz sebagai melemahkan, iaitu lemah untuk orang lain meniru atau menyamai, apatah lagi untuk menyaingi dan melebihinya.[5] Maksud meniru atau menyamai di sini ialah lemah atau tidak mampu membuat sesuatu yang seperti atau menyamai al-Quran
Al-Qurtubiy pula mengatakan bahawa mukjizat ialah perkara mencarik adat yang disertai dengan cabaran dan ianya tidak akan dapat ditandingi oleh para penentang. Perkara luar biasa ini berlaku kepada seseorang yang mendakwa nabi untuk membuktikan kenabiannya dan kebenaran apa yang dibawanya. Ia dinamakan mukjizat kerana ia melemahkan atau membuatkan para penentangnya tidak mampu dan tidak berkuasa untuk melakukan sepertinya.[6]
Ibnu Khaldun di dalam kitab Muqaddimahnya menerangkan bahawa Mukjizat itu ialah perlakuan-perlakuan yang melemahkan manusia dari menirunya, lantas dinamakan sebagai mukjizat. Dan tiada dalam kemampuan hamba, dan meletakkan diri mereka di tempat yang mereka sendiri tidak mampu[7]
Imam al-Sayutiy di dalam kitabnya al-Itqan mengatakan bahawa icjaz ialah perkara yang mencarik adat yang disertai dengan mencabar, lagi terlepas dari penentangan[8]
Kesimpulannyai Icjaz al-Quran merujuk kepada kekuatan dan keagungan al-Quran sebagai suatu mukjizat daripada Allah yang tidak mampu disaingi, dicabar dan ditiru oleh makhluk.
Sementara Icjaz al-Quran sebagai suatu disiplin ilmu merujuk kepada ilmu Al-Qur'an yang membahas kekuatan susunan lafaz dan kandungan Al-Quran, sehingga dapat mengalahkan ahli-ahli bahasa Arab dan ahli-ahli lain.[9]



1.4 Jenis-Jenis Icjaz[10]
Icjaz al-Quran cukup banyak. Di antaranya ialah icjaz balaghiy, icjaz ilmiy, icjaz tashriciy dan sebagainya. Terdapat juga ulama yang memasukkan icjaz dzatiy, icjaz bayaniy, icjaz icdadiy dan sebagainya di bawah tajuk jenis atau pembahagian icjaz. Penulis hanya menyebutnya setakat icjaz ilmiy sahaja.

1.4.1 Icjaz Balaghy
Icjaz Balaghy merupakan mukjizat al-Quran yang menceritakan peristiwa-peristiwa ghaib. Kesemua berita ghaib yang terdapat di dalam kitab Allah samada al-Quran, Taurat, Injil adalah mukjizat. Berita-berita ini membuatkan manusia merasa takjub kerana akal manusia tidak mampu untuk memikirkan perkara tersebut
1.4.2 Icjaz Lughawy
Para pengkaji al-Quran telah menemui banyak contoh yang menunjukan keindahan kata-kata yang digunakan serta keseimbangan antara jumlah bilangan kata dan antonimnya. Begitu juga keseimbangan dari segi jumlah bilangan kata dengan makna yang dikandungnya serta keseimbangan dari segi jumlah bilangan kata dengan jumlah yang menunjukkan akibatnya. Kesemua keindahan dan keseimbangan ini menunjukkan bahawa al-Quran bukanlah sesuatu yang terhasil daripada pemikiran atau ketinggian bahasa makhluk[11]
Al-Quran yang telah melemahkan para cendekiawan arab ini tidaklah terkeluar daripada bahasa mereka dari segi lafaz dan huruf, tarkib dan uslub, nafy dan ithbat dan sebagainya namun al-Quran ini tetap tidak mampu ditandingi oleh mereka. Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Alwalid bin al-Mughirah telah datang kepada Rasulullah SAW lalu baginda SAW membacakan kepada Alwalid ayat-ayat al-Quran yang membuatkan dia terpesona. Kemudian apabila Abu Jahal berbicara dengannya tentang Rasulullah SAW dan al-Quran (Alwalid seorang tokoh bahasa arab yang terulung di kalangan Qurasiy) lalu dia mengakui bahawa dia tidak pernah mendengar sesuatu yang lebih baik daripada al-Quran. Kata Alwalid kepada Abu Jahal tentang al-Quran,”…Demi Allah, kamu tidak punya orang yang lebih mengerti tentang Syair daripada aku. Aku tahu syair yang kotor atau baik, bahkan syair-syari yang gelap sekali pun. Demi Allah semua itu tidak akan menyerupainya (menyerupai al-Quran). Demi Allah ucapannya amat manis dan indah, di atasnya buah dan di bawahnya ada lembah. Demi Allah, ia amat unggul, tidak akan tertanding…”[12]
1.4.3 Icjaz Ilmiy
Icjaz Ilmiy merupakan suatu mukjizat di dalam al-Quran yang mengandungi ilmu pengetahuan yang hanya ditemui dan diterokai oleh para saintis meskipun beribu tahun selepas turunnya al-Quran. Contohnya al-Quran menyebut tentang asal-usul kejadian manusia daripada setitis air mani, kepentingan air sebagai asas kehidupan, perihal dua lautan yang bertemu namun tetap ada pemisahnya, proses perkembangan janin dan sebagainya. Kesemua ini disebut secara jelas dan memang diakui benar oleh saintis yang mengkaji beribu-ribu tahun kemudiannya. Perkara ini bukan lagi bersifat teori dan andaian semata-mata.[13]
Mannac Qattan menegaskan bahawa ramai manusia telah tersilap apabila berbicara tentang mukjizat al-Quran yang melibatkan ilmu-ilmu baru khasnya sains. Apabila berlaku sesuatu penemuan baru tentang suatu teori dan sebagainya, mereka akan mentakwilkan ayat-ayat al-Quran supaya selari dengan penemuan baru tersebut. Apabila berlaku perubahan zaman, teori yang dianggap benar dahulu rupanya terbukti salah. Ini tidak menghairankan kerana teori tersebut merupakan hasil kajian manusia yang boleh berubah, sentiasa dikaji dan diperbaharui sedangkan al-Quran merupakan kitab hidayah dan petunjuk yang tidak menerima perubahan. Apabila takwilan mereka salah, bukanlah al-Quran yang salah namun takwilan mereka yang cuba mentakwilkan al-Quran selari dengan penemuan itulah yang salah.[14]
Beliau menegaskan lagi bahawa apa yang dimaksudkan kepada icjaz ilmiy ialah galakan untuk sentiasa belajar, mengkaji, berfikir, memerhatikan fenomena alam dan sebagainya. Al-Quran menjadikan perbuatan berfikir dan pemerhatian kepada alam sebagai suatu cara yang boleh membawa keimanan kepada Allah..[15]
1.4.4. Icjaz Tashriciy
Al-Quran sebagai sebuah kitab yang menjadi petunjuk kepada manusia menetapkan pelbagai peraturan dan undang-undang. Peraturan ini meliputi hubungan manusia secara individu, masyarakat dan negara. Tidak ada mana-mana masyarakat dalam dunia ini yang tidak mempunyai undang-undang dan peraturan tertentu untuk mengatur dan menyusun kehidupan mereka. Apa yang berbeza ialah peraturan yang berasal dari al-Quran merupakan peraturan dan undang-undang dari Allah yang mempunyai sifat-sifaat dan ciri-ciri yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pemikir dan kumpulan cendekiawan dalam membentuk masyarakat yang bahagia.
Walau bagaimanapun oleh kerana Icjaz Tashriciy merupakan bahagian terpenting dalam penulisan ini, ia akan dibincangkan secara khusus dalam bab kedua

1.5 Tujuan Icjaz al-Quran
Bagi golongan pelajar dan para pengkaji, ilmu berkenaan icjaz al-Quran amat penting kerana dengan ilmu ini seorang pelajar akan dapat memahami al-Quran dengan lebih dalam. Ini kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa arab. Untuk memahaminya, seseorang pelajar mestilah mengetahui bahasa arab, ilmu tafsir dan segala yang bersangkutan dengannya meliputi asbab al-nuzul, ilmu resm dan sebagainya termasuklah perkara yang berkaitan dengan icjaz.[16]
Walau bagaimanapun jika dinilai secara umum, tujuan icjaz al-Quran ialah untuk membuktikan kenabian Muhammad SAW dan kebenaran al-Quran sebagai kitab wahyu dari Allah SWT. Berikut ialah tujuannya:[17]
1) sebagai bukti bahawa orang yang membawa kitab itu benar-benar seorang nabi atau utusan dari Allah SWT. Utusan itu kemudiannya diperintahkan untuk menyampaikan risalahnya kepada umat manusia bersama-sama dengan cabaran untuk menandingi kitab berkenaan.
2) sebagai bukti bahawa kitab yang dibawa oleh utusan Allah SWT itu sememangnya wahyu Allah, bukannya hasil ciptaan beliau sendiri atau ditulis oleh orang lain. Nabi Muhammad SAW juga seorang yang ummiy. Justeru itu kalaulah Muhammad SAW sendiri yang menulis al-Quran pastinya pujangga dan cendekiawan arab yang lain dapat menyedarinya dan mengesan kelemahannya. Walau bagaimanapun oleh kerana al-Quran itu sememangnya dari Allah, mereka semua tidak dapat menandinginya walaupun untuk membawa satu ayat yang sepertinya
3) menunjukkan kelemahan dan kedaifan manusia serta makhluk lain. Ini kerana kalaulah mereka menghimpunkan sasterawan dan bijak pandai dari kalangan manusia serta mendapat pula bantuan jin, mereka tidak mampu untuk menandingi al-Quran. ini menunjukkan bahawa al-Quran sememangnya wahyu dari Allah dan kita semua adalah makhluknya yang serba kekurangan.
Kesimpulannya ilmu berkenaan dengan icjaz al-Quran amat penting kerana ia merupakan sebuah kitab yang menjadi petunjuk kehidupan manusia. Untuk menjadikan al-Quran itu benar-benar sebagai petunjuk, kita mestilah memepelajarinya, berusaha untuk memahaminya dan mengamalkannya. Kesemua ini tidak akan tercapai kecuali dengan belajar. Dan salah satu illmu yang wajib dipelajari ialah berkenaan lafaz-lafaz al-Quran, balaghahnya, dalalahnya dan sebaganya. Kesemua ini termasuk dalam icjaz al-Quran


1.6 Pendapat Ulama Tentang Mukjizat al-Quran[18]
Para ulama telah bersepakat bahawa tidak ada seorang manusia atau makhluk pun yang dapat menandingi mukjizat al-Quran. Namun mereka juga berselisih pendapat dari segi mukjizat itu

Sebahagian ulama berpendapat bahawa mukjizat al-Quran terletak pada nazam (rangkaian)nya yang asing dan sama sekali berbeza dengan rangkaian orang-orang arab atau prosa mereka. Nazam ini samada terletak pada bahagian awal, tengah atau akhir

Sebahagian lagi ulama berpendapat bahawa mukjizat al-Quran terletak pada kefasihan lafaz dan perumpamaannya yang cukup semrpuna sehingga ia mencapai puncak tertinggi yang tidak pernah ada bandingannya

Sebahagian lagi mengatakan bahawa mukjizat al-Quran terletak pada kesunyiannya daripada pertentangan serta memuatkan makna-makna yang dalam serta perkara-perkara ghain yang berada di luar kemampuan manusia. Bahkan manusia tidak mampu untuk mengetahuinya. Walau bagaimanapun al-Quran bersih dan selamat dariapda sebarang pertentangan

Mannac al Qattan pula setelah melalui penelitian yang cermat, akhirnya memutuskan kadar kemukjizatan al Quran itu mencakupi tiga perkara asas iaitu, aspek bahasa, aspek ilmu dan aspek tasyric[19]


1.7 Isu Sirfah
Abu Ishaq Ibrahim al-Nazzam, seorang ulama muktazilah berpendapat bahawa icjaz al-Quran adalah dengan cara sirfah. Maksud sirfah di sisi al-Nazzam ialah bahawa Allah SWT telah mengalihkan kekuatan orang Arab untuk menentang al-quran sedangkan orang-orang Arab mampu untuk menentangnya. Allah memang menciptakan kelemahan pada mereka itu untuk membantahnya dalam jiwa dan lisan mereka. Kalau Allah tidak mengalihkan atau menjauhkan kemampuan mereka, mereka pasti mampu untuk menciptakan sesuatu seperti al-Quran. Maka sirfah ini merupakan perkara yang mencarik adat. Perkataan al-nazzam ini telah ditolak oleh para ulama kerana pendapat ini sama sahaja dengan pandangan orang arab yang mengatakan bahawa al-Quran merupakan sihir[20]

1.8 Sejarah Icjaz
Ada ulama yang berpendapat bahawa orang yang pertama kali menulis Icjaz al-Quran ialah Abu Ubaidah (wafat 208 H) dalam kitab Majaz al-Quran. Seterusnya muncul al-Farra (wafat 207H) yang mengarang kitab Macaniy al-Quran dan Ibn Qutaybah dengan kitabnya Takwil al-Mushkil al-Quran. walau bagaimanapun Abdul Qahir al-Jurjaniy dalam mengatakan bahawa kesemua kitab tersebut bukannya ilmu berkenaan Icjaz al-Quran[21]
Subhi Saleh di dalam kitabnya menegaskan bahawa orang yang pertama kali membicarakan tentang ilmu ini adalah Imam al-Lahid di dalam kitabnya Nuzum al-Quran. Seterusnya diikuti oleh Muhammad bin Zaid al-Wasity dalam icjaz al-Quran. Kemudian Imam al-Rumaniy menyemarkkan lagi ilmu berkenaan icjaz dengan kitabnya sebelum diikuti oleh al-Qadi Abu Bakar al-Baqillaniy dalam kitabnya yang cukup popular, Icjaz al-Qur`an. Kemudian disusul Abdul Qahir al-Jurjaniy dalam kitab Dala`il al-Icjaz dan Asrar al-Balagah.[22]

1.9 Kesimpulan
Secara keseluruhannya icjaz al-Quran ialah mukjizat yang melemahkan kesemua makhluk untuk menandingi atau menyamai al-Quran dalam apa jua bidang samada bahasa, perundangan mahupun kemasyarakatan. icjaz al-Quran ini meliputi kesemua cabang ilmu yang melahirkan jenis-jenis icjaz seperti yang telah diterangkan. Sifat mukjizat ini menjadikan al-Quran terus diterokai dan dikaji sepanjang zaman.




[1] Muhammad al-Sayyid Radiy Jibril, cInayah al-Muslimin Bi Ibraz Wujuh al-icjaz Fi al-Quran al-Karim, Universiti al-Azhar, hlm. 6, Hasan Abdul Fattah Ahmad, , cInayah al-Muslimin Bi Ibraz Wujuh al-icjaz Fi al-Quran al-Karim, Universiti al-Azhar, hlm. 10, Mustafa Salim, Mabahith Fi Icjaz al-Quran, Dar al-Muslim Li al-Nashr Wa al-Tawzic, Riyad, hlm.14, http://www.alukah.net/sharia/0/3963, http://muhsoni-dzaki.blogspot.com/2011/01/ilmu-ijaz-al-Quran.html, http://methiafarina.blogspot.com/2012/05/ijaz-al-Quran.html
[2] Mustafa Salim, Mabahith Fi Icjaz al-Quran, Dar al-Muslim Li al-Nashr Wa al-Tawzic, Riyad, hlm.14, Muhammad al-Sayyid Radiy Jibril, cInayah al-Muslimin Bi Ibraz Wujuh al-icjaz Fi al-Quran al-Karim, Universiti al-Azhar, hlm. 6, http://ibnuwafi.blogspot.com/2012/03/pengenalan-ilmu-ijaz-al-Quran.html
[3] Mannac Qattan, Mabahith Fi cUlum al-Quran, Maktabah al-Macarif Li al-Nashr Wa al-Tawzic, Riyad, hlm.265, http://iwanstanjung.blogspot.com/2013/01/ijaz-al-Quran-makalah-ulumul-quran.html

[4] al-Sabuniy, Muhammad Ali, Sejarah Dan Dasar Pengajian Ilmu al-Quran, Pustaka al-Hidayah, Kuala Lumpur, hlm. 143-144, http://iwanstanjung.blogspot.com/2013/01/ijaz-al-Quran-makalah-ulumul-quran.html

[5] Hamka, Haji Abdul Malik Karim Amrullah, Tafsir al-Azhar, Pustaka Panjimas, Jakarta, Jil.1, hlm.13

[6] Muhammad Safaa Sheikh Ibrahim Haqqiy, cUlum al-Quran Min Khilal Muqaddimat al-Tafasir, Muassasah al-Risalah, Beirut-Lubnan, hlm.377

[10] http://amalnileutuan.wordpress.com/2010/12/01/ijaz-a-quran/

[11] http://amalnileutuan.wordpress.com/2010/12/01/ijaz-a-quran/
[12] Mannac Qattan, Mabahith Fi cUlum al-Quran, Maktabah al-Macarif Li al-Nashr Wa al-Tawzic, Riyad, hlm.276, al-Sabuniy, Muhammad Ali, Sejarah Dan Dasar Pengajian Ilmu al-Quran, Pustaka al-Hidayah, Kuala Lumpur, hlm. 145-146

[13] http://gurupaismpn1gresik.wordpress.com/2012/12/22/ijaz-al-quran/
[14] Mannac Qattan, Mabahith Fi cUlum al-Quran, Maktabah al-Macarif Li al-Nashr Wa al-Tawzic, Riyad, hlm.278

[15] Mannac Qattan, Mabahith Fi cUlum al-Quran, Maktabah al-Macarif Li al-Nashr Wa al-Tawzic, Riyad, hlm.278-280

[16] Muhammad al-Sayyid Radiy Jibril, cInayah al-Muslimin Bi Ibraz Wujuh al-icjaz Fi al-Quran al-Karim, Universiti al-Azhar, hlm. 15

[17] Muhammad al-Sayyid Radiy Jibril, cInayah al-Muslimin Bi Ibraz Wujuh al-icjaz Fi al-Quran al-Karim, Universiti al-Azhar, hlm. 15-17, http://gurupaismpn1gresik.wordpress.com/2012/12/22/ijaz-al-Quran/

[18] Al-Sabuniy, Muhammad Ali, Sejarah Dan Dasar Pengajian Ilmu al-Quran, Pustaka al-Hidayah, Kuala Lumpur, hlm. 143-144

[19] Mannac Qattan, Mabahith Fi cUlum al-Quran, Maktabah al-Macarif Li al-Nashr Wa al-Tawzic, Riyad, hlm.272
[20] Al-Sabuniy, Muhammad Ali, Sejarah Dan Dasar Pengajian Ilmu al-Quran, Pustaka al-Hidayah, Kuala Lumpur, hlm. 141-142

Tiada ulasan: