Rabu, 21 Disember 2011

tauhid dalam syahadah pertama

BAB II
TAUHID DALAM SYAHADAH PERTAMA

Syahadah pertama mengandungi dasar tauhid yang cukup jelas, iaitu mengesakan Allah SWT. Dalam rangka tujuan untuk mentauhidkan Allah, ada 2 pendekatan utama yang digunakan dalam menghuraikan persoalan pentauhidan terhadap Allah SWT.

Pendekatan yang pertama ialah pendekatan yang dikenali sebagai gerakan salafiyyah yang dipelopori oleh Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim al-Jawziyyah dan Muhammad Abdul Wahhab. Pendekatan ini membahagikan tauhid kepada 3 bahagian iaitu Tauhid Uluhiyyah, Rububiyyah dan al-Asma’ Wa al-Sifat. Ia juga dikenali sebagai tauhid 3 serangkai. Pendekatan ini popular di Arab Saudi. Pendekatan yang kedua yang popular di negara kita iaitu pendekatan Asyairah/Maturidiyyah yang juga dikenali sebagai sifat 20.

Mentauhidkan Allah dengan makna makrifat yang sebenarnya hendaklah merangkumi tiga perkara iaitu :
1. Tauhid Rububiyyah
2. Tauhid Uluhiyyah
3. Tauhid Al-Asma’ Wa al-Sifat

2.1 Tauhid Rububiyyah
Rububiyyah berasal daripada perkataan Rabb. Dari segi bahasa, rabb mempunyai beberapa maksud:
1. Pemeliharaan anak atau pemeliharaan kebun.
2. Pemimpin atau pembela umat.
3. Majikan yang menjaga dan mengawasi rumah atau memilikinya

Dari segi istilah, Tauhid Rububiyyah bermaksud mentauhidkan Allah pada mencipta alam, mengurus dan mentadbirkannya, memiliki, memelihara, menghidup, mematikan, yang memberi dan yang menegah dan juga beriman dengan qadar. Ia juga disebut Tauhid Ilmiy, Tauhid Khabary, Tauhid al-Makrifat Wa al-Ithbat dan Tauhid Iktikadiy

Tauhid ini terdapat di dalam semua agama kerana fitrah manusia yang mengakui wujudnya tuhan yang menciptakan alam ini. Tauhid ini sahaja tidaklah mencukupi dalam mencapai iman dan Islam, kerana Allah SWT menyatakan bahawa orang-orang musyrik juga mengakui tauhid ini.

Justeru itu, bukan semua yang mendakwa beriman bahawa Allah tuhan sekalian alam merupakan muslim. Ini kerana mereka masih tidak terlepas daripada mensyirikkan Allah di dalam ibadat mereka. Mereka mengatakan bahawa Allah tuhan sekalian alam namun mereka mensyirikkan Allah dengan cara beribadat selain daripada Allah, atau menyembah tuhan yang lain bersama-sama dengan Allah.

2.2 Dalil Tauhid Rububiyyah

2.2.1 Dalil Quran:
1) Firman Allah SWT:
(Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, dan pada kapal-kapal yang belayar di lautan dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia, demikian juga pada air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu ia hidukan dengan tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta ia biakkan padanya dari pelbagai jenis binatang, demikian juga pada peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dan bumi, sesungguhnya pada semuanya itu ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran)al-baqarah 64

2.2.2 Dalil Fitrah
Orang musyrikin pada zaman jahiliah juga mengakui bahawa adanya tuhan yang mentadbir alam ini. Ini dapat dilihat daripada ayat-ayat al-Quran tentang orang musyrikin apabila ditanya kepada mereka siapakah yang mencipta dan mentadbir alam ini? Mereka akan menjawabnya Allah. Selain itu, terdapat juga bait-bait di dalam syair mereka yang secara jelas menyebut tuhan yang mentadbir alam. Jelasnya fitrah manusia mengakui bahawa adanya tuhan yang mencipta alam dan menguruskannya.

2.2.3 Dalil Akal
Akal manusia yang sihat akan mengakui dan akur tidak mungkin alam yang serba teratur ini terjadi dengan sendirinya. Mustahil bintang-bintang dan cakerawala yang bertebaran di langit tiada penciptanya. Kalau seorang manusia menggunakan akalnya untuk mengkaji, memerhati dan cuba memahami rahsia alam mereka akan percaya bahawa alam ini ada penciptanya

2.3 Tauhid Uluhiyyah
2.3.1 Pengertian Tauhid Uluhiyyah
Iaitu dengan ikhlas memberikan kepada Allah, dengan mahabbah(cinta) kepadaNya, khauf(takut) kepadaNya, raja’(pengharapan), tawakal dan raghbah(keinginan) dan rahbah(kegerunan) hanya kepada Allah. Bahawa semua itu dibina dengan ibadat yang ikhlas zahir dan batinnya kepada dan kerana Allah. Tidak ada sekutu bagiNya, tidak dijadikan ibadat itu kepada selainNya. Seterusnya menerima segala hukum dengan yakin dan redha.

Tauhid Uluhiyyah juga dikenali sebagai Tauhid Ibadah, Tauhid al-Qasd, Tauhid Amal dan Tauhid Iradah. Walau pun tauhid ini disebut juga dengan nama yang pelbagai, namun intinya hanya satu iaitu mentauhidkan Allah di dalam segala amal kita, tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu yang lain selain daripada Allah di dalam segala ibadat dan kehidupan kita

2.3.2 Dalil Tauhid Uluhiyyah
Terdapat banyak ayat al-Quran yang memberi penekanan kepada Tauhid Uluhiyyah dan ianya disebut dengan pelbagai bentuk. Ada yang berbentuk perintah secara jelas, ada yang membangkitkan tujuan asal penciptaan makhluk, ada yang menekankan tujuan penurunan al-Quran serta kebangkitan rasul dan sebagainya.
Di antara ayat al-Quran yang secara jelas memerintahkan kita supaya menyembah hanya Allah SWT seperti firmanNya:
(Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kamu kepada tuhan yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertakwa)al-baqarah 21

Ada ayat al-Quran yang menerangkan tujuan penciptaan kita dan jin ialah untuk beribadat hanya kepada Allah:
(Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepadaku)al-zariyat 56

Terdapat juga ayat yang menjelaskan bahawa tujuan penurunan al-Quran dan pengutusan nabi adalah untuk membawa manusia kepada mentauhidkan Allah.
(Dan kami tidak mengutus sebelummu wahai Muhammad seorang rasul pun melainkan kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan aku (Allah), oleh itu, beribadatlah kamu kepadaku

2.4 Tuntutan Tauhid Uluhiyyah
Tauhid uluhiyyah mempunyai beberapa tuntutan yang mesti kita laksanakan. Di antaranya ialah:

2.4.1 Kecintaan Kepada Allah
Meletakkan kecintaan kepada Allah melebihi segala-galanya. Dengan kata lain, kita ditegah daripada menjadikan sekutu bagi Allah dengan cara menyintai makhluk atau apa sahaja sebagai sekutu bagi Allah. bukanlah bererti kita dilarang daripada mengasihi anak isteri, ibu bapa dan ahli keluarga. Apa yang ditegah ialah kita menyintai makhluk atau apa sahaja lebih daripada cinta kepada Allah sebagaimana firmanNya:

(Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara mara kamu, dan isteri-isteri (atau suami) kamu, dan kaum keluargamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan rasulnya dan (daripada) berjihad untuk agamanya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusannya (azab siksanya), kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik)

Segala cinta dan kasih sayang bagi mereka yang benar-benar beriman adalah hasil kecintaan kepada Allah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
(Tiga perkara yang barangsiapa memilikinya nescaya dia akan merasa kemanisan iman, iaitu apabila Allah dan RasulNya lebih dicintainya dari segala sesuatu selain keduanya, apabila seseorang mengasihi seseorang yang lain kerana Allah, dan apabila dia benci untuk kembali kepada kufur sebagaimana bencinya ia untuk dicampakkan ke dalam api neraka- Riwayat Bukhari dan Muslim)

2.4.2 Allah Tempat Memohon Perlindungan
Kita hendaklah memohon perlindungan kepada Allah di dalam setiap doa kita. Ini kerana doa merupakan perkara ibadah

2.4.3 Takut Hanya Kepada Allah.
Ini bererti hanya Allah tempat kita berlindung, yang boleh memberi mudarat dan manfaat. Sesiapa yang percaya bahawa sesetengah manusia seperti bomoh dan jin mampu memberi mudarat dan manfaat dia sebenarnya telah melakukan syirik. Firman Allah SWT:

(Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiadalah siapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan dia, dan jika dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiadalah sesiapa pun yang akan dapat menghalangi limpah kurnianya. Allah melimpahkan kurnianya kepada ssesiapa yang dikehendakinya dari hamba-hambaNya, dan dialah yag amat pengampun lagi amat mengasihani)

Keimanan ini akan membebaskan kita dari segala pautan ketakutan dan pengharapan yang lain dari Allah. Dengan cara ini akan hilanglah rasa gentar untuk melaksanakan hukum hakam Allah, walaupun terpaksa berhadapan dengan apa sahaja cabaran menurut perhitungan manusia.

2.4.4 Ikhlas Di Dalam Ibadat
Kita mengakui bahawa tiada yang berhak disembah selain Allah dan Allah sahajalah tumpuan serta matlamat pengabdian kita. Penyembahan ini dilakukan dengan melaksanakan ibadat kepada Allah. Sehubungan dengan itu juga, perkataan ibadat mestilah difahami menurut pengertiannya yang sebenar agak ia tidak dipandang sempit. Pengaruh sekularisma yang memisahkan agama daripada kehidupan mendorong masyarakat agar memahami ibadat sebagai aturcara manusia berhubung dengan tuhannya semata-mata tanpa ada kaitan dengan urusan kehidupannya di dunia dan hubungannya sesama manusia. Sedangkan kalimah syahadah menuntut supaya ibadah itu dilakukan setiap masa, di setiap tempat, meliputi dan menyerapi setiap aspek serta ruang lingkup hidup insaniah. Firman Allah SWT:

(Katakanlah sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku , hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam)

Ringkasnya, implikasi syahadah ialah seluruh hidup mestilah berterusan di dalam ubudiyyah kepada Allah. Tiada sebarang pengabdian atau ketaatan yang berdiri sendiri bahkan semua tindakan, perbuatan dan khidmat yang diberikan mestilah terpancar dan bersumber daripada ketundukan dan kepatuhan kepada Allah semata-mata.

2.5 Tauhid Al-Asma’ Wa Al- Sifat
Percaya bahawa Allah mempunyai sifat yang sempurna dan sunyi daripada segala sifat kekurangan. Ertinya percaya dan mengakui segala nama dan sifat Allah SWT secara ijmal dan tafsil menurut apa yang telah diberitahu di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah SAW di mana Allah mempunyai Al-Asma’ al Husna (nama-nama yang paling baik) dan segala sifat kesempurnaan Maha Suci dari segala kekurangan.
Tauhid ini belum dapat menjamin kesahihan akidah seseorang kerana orang kafir juga mengakui beberapa sifat dan nama tuhan namun bukanlah dengan cara yang sebenar. Contohnya dengan cara pengakuan mereka terhadap beberapa sifat dan nama tuhan seperti mengakui nama Allah dan menafikan nama al-Rahman

Tauhid ini berdiri di atas 3 asas iaitu
1)Mensucikan Allah SWT daripada keserupaan dengan makhluk. Sesungguhnya Allah tidak sama dengan makhluk samada dari segi zat, sifat, nama, perbuatan dan semuanya. Firman Allah SWT:

(……tiada sesuatu pun yang standing dengannya (dengan zatNya, sifatNya dan pentadbiranNya)

2)Beriman dengan nama dan sifat yang sabit daripada al-Quran dan Sunnah. Kita dituntut beriman dengan apa yang disebutkan di dalam al-Quran dan hadis kerana tidak ada jalan lain untuk kita mengenal Allah melainkan dengan perantaraan wahyu. Firman Allah SWT:

( ……adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah…)

3) Beriman dengan sifat dan nama Allah yang sabit tanpa banyak soal. Kita tidak dapat mengetahui sesuatu tentang Allah SWT kecuali apa yang diberitahu oleh Allah SWT melalui al-Quran dan Sunnah. Justeru itu, kita hendaklah menerimanya kerana itulah amalan para sahabat dan para salaf.

RUJUKAN
Mohd Fauzi Hamat, Prinsip Aqidah, Open University Malaysia, 2009.hlm45-46

http://saifulislam.com/?p=341

al-Jazairiy, Abu Bakar, Akidah al-Mukmin. Maktabah al-Ulum Wa al-Hikam, hlm.53,

Abdul Aziz Muhammad al-Salman. Al-Kawashif al-Jaliyyah An Maaniy al-Wasitiyyah. Al-Mamlakah al-Arabiyyah al-Saudiyyah. Hlm. 35,

Muhammad bin Jamil Zino. Mukhtasar al-Aqidah al-Islamiyyah Min al-Kitab Wa al-Sunnah al-Sahihah. Al-Mamlakah al-Arabiyyah al-Saudiyyah, hlm. 7

Muhammad Naim Yasin, al-Iman, Arkanuhu Haqiqatuhu Nawaqiduhu, Dar al-Furqan Li al-Nashr al-Islamiyyah, Maydan Sayyidah Zaynab, hlm. 7-8

http://www.islamhouse.com/p/172695

http://www.scribd.com/doc/4379811/KONSEP-SYAHADAH

Tiada ulasan: