Rabu, 21 Disember 2011

pengertian syahadah

BAB I

PENGERTIAN SYAHADAH

1.1 Syahadah Dari Segi Bahasa
Perkataan syahadah mempunyai beberapa makna. Di antaranya ialah mengetahui, bersumpah, hadir, pemberitahuan dan penyaksian. Ringkasnya perkataan syahadah mempunyai pelbagai makna.

1.2 Syahadah Dari Segi Istilah
Syahadah ialah penyaksian bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah utusannya. Penyaksian ini mestilah dizahirkan dengan ikrar melalui lidah dan dibuktikan dengan melaksanakan tuntutan syahadah berkenaan seperti menunaikan segala rukun Islam, menurut segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Tuntasnya syahadah ialah pengakuan, pemberitahuan, pengiktirafan, menerangkan dan menjelaskan mengenai keyakinan kepada Allah yang wajib disembah dan mengakui bahawa Muhammad ialah pesuruh Allah

Abdul Karim Zaidan pula menjelaskan bahawa al-syahadah bererti pengakuan, pemberitahuan dan keterangan (pernyataan). Sebab itulah orang yang menyaksikan sesuatu peristiwa itu dinamakan saksi, kerana dia memberitahu dengan apa yang diketahuinya, baik dengan secara perkataan mahupun dalam bentuk perbuatan

Kalimah syahadah disebut juga sebagai kalimah tauhid, kalimah taqwa dan urwatul wusqa. Ia mengandungi 2 bahagian iaitu bahagian penafian dan penetapan.

1.3 Syahadah Pertama (Laa Ilaaha IllaLlah)
Syahadah pertama ialah mengucapkan tiada tuhan selain Allah. Ucapan ini mengandungi 2 bahagian iaitu bahagian penafian dan penetapan.

1.3.1 Penafian (Laa ilaaha)
Bahagian pertama syahadah biasanya diterjemahkan sebagai tiada tuhan. Namun pengertian ini tidak begitu tepat kerana perkataan tuhan di dalam bahasa arab ialah rabb. Makna sebenar perkataan ilah di dalam syahadah ialah tuhan yang selayaknya disembah. Penafian di sini bukanlah bermaksud menafikan terus kewujudan tuhan tetapi menafikan kewujudan tuhan yang tidak selayaknya disembah

Bahagian pertama ini dikenali sebagai penafian kerana kita menafikan kewujudan tuhan yang selayaknya. Ia menafikan empat perkara iaitu:

1) Alihah (Sembahan-Sembahan)
Alihah adalah jamak daripada perkataan ilah yang bermaksud tuhan. Jadi kalimah Laa ilaaha illallah bererti tidak ada ilah yang selayaknya disembah kecuali Allah. Maksud Ilah ialah apa yang engkau tuju dengan sesuatu tindakan atau perbuatan dalam rangka mencari manfaat atau menolak bala .

Di antara kebiasaan arab jahiliyah ialah mereka menjadikan berhala yang bernama Latta sebagai perantara. Mereka memohon kepada Latta untuk menyampaikan permohonan mereka kepada Allah. Apabila diseru untuk beriman, mengucapkan kalimah tauhid dan seterusnya berkomitmen dengan tuntutan kalimah syahadah maka mereka menolaknya. Ini kerana mereka memahami bahawa apabila berkomitmen dengan kalimah tauhid maka kesannya adalah mereka perlu meninggalkan alihah tadi (batu-batu, pohon-pohon, kuburan keramat, dan sebagainya) sedangkan mereka itu tidak mahu meninggalkan kebiasaan-kebiasaan tersebut. Kesimpulannya alihah ialah sesuatu yang menjadi tumpuan dengan suatu hal dalam rangka tolak bala atau meminta manfaat.

2) Arbab (Penghukum/Pengatur)
Kalimah tauhid menuntut kita untuk meninggalkan arbab. Arbab merupakan jamak daripada perkataan rabb. Ertinya tuhan yang mengatur dan menentukan hukum. Apabila seseorang mengikuti apa yang bertentangan dengan hukum Allah maka dia disebut mempertuhankan, sedangkan benda yang diikutinya yang mana dia mengetahui bahawa hal itu pembuat aturan, maka dia memposisikan dirinya sebagai Rabb. Ringkasnya arbab adalah orang yang mengaku bahawa dirinya berhak membuat hukum. Dengan kata lain arbab adalah orang-orang yang mempertuhankan diri, sedangkan orang yang mengikuti hukum buatan para arbab itu disebut dengan orang musyrik, dan peribadatan kepada arbab ini adalah bukan dengan solat, sujud, do’a, nadzar akan tetapi dengan mengikuti, mentaati, dan wala’ terhadapnya.

3. Andad (tandingan-tandingan / sekutu)
Andad adalah jamak dari kata nidd, maksudnya tandingan atau sekutu bagi Allah SWT. Allah memerintahkan agar kita hanya menghadapkan dan menjadikanNya sebagai tujuan. Tidak boleh seseorang mendahulukan yang lain terhadap Allah SWT. Tegasnya andad adalah sesuatu yang memalingkan seseorang dari Tauhid (Islam) samada jawatan, harta, keluarga dan sebagainya. Contohnya seorang ayah yang sangat sayang kepada anaknya yang sakit, lalu ada orang menyarankan kepada ayah tersebut agar membawa anaknya berjumpa dukun atau pawang. Disebabkan kasih sayangnya kepada anak, ayah tersebut membawanya berjumpa dukun dan mematuhi arahan dukun berkenaan. Maka dalam contoh di atas, anak tersebut telah memalingkan ayahnya daripada tauhid, bererti si anak telah menjadi andad. Ringkasnya andad adalah segala yang memalingkan seseorang dari Tauhid
4. Taghut (Yang Melampaui Batas)
Penafian dalam syahadah pertama menuntut kita agar kufur terhadap thaghut dan iman kepada Allah. Dua perkara ini menjadi faktor amal soleh kita diterima oleh Allah SWT. Apabila seseorang melakukan ibadah seperti solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya namun dia tidak kufur terhadap thaghut, maka dia itu bukan muslim dan amal ibadahnya tidak diterima.

1.3.2 Penetapan (IllaLlah)
IllaLlah bermaksud melainkan Allah. Ia bermaksud menetapkan ketuhanan yang sebenar hanya kepada Allah. Bahagian kedua ini hendaklah digabungkan bersama dengan bahagian yang pertama tadi lalu terbentuklah gabungan penafian dan penetapan yang bermaksud tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.

1.4 Hikmah Gabungan Nafi Dan Ithbat
Dalam bahasa arab, pernyataan yang datang secara gabungan penafian dan penetapan merupakan pernyataan yang paling konkrit. Sebagai contoh apabila kita mengatakan ada tuhan, pernyataan ini menyatakan bahawa ada tuhan namun dalam masa yang sama ia tidak menafikan kewujudan tuhan yang lain. Begitu juga kalau kita mengucapkan tiada tuhan, ia akan membawa pemahaman bahawa tiada langsung tuhan. Dengan kata lain kita menafikan kewujudan tuhan. Namun apabila kita menggabungkan penafian dan penetapan dengan mengucapkan tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, ia memberi kefahaman secara konkrit bahawa tiada sesuatu pun yang menjadi tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Struktur konkrit inilah yang digunakan Allah SWT di dalam kalimah syahadah

RUJUKAN
http://www.scribd.com/doc/4379811/KONSEP-SYAHADAH

http://alifta.com/Fatawa/fatawaDetails.aspx?BookID=2&View=Page&PageNo=1&PageID=2901

Ismail Kamus, Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid. 2009. Indahnya Hidup Bersyariat. Selangor. Telaga Biru Sdn. Bhd hlm39, http://www.a000a.net/vb/showthread.php?t=59494

http://fikrah.interaktif.tripod.com/Agama/syahadah.htm

http://ustaz.blogspot.com/2009/10/pengertian-syahadah-ialah-meluruskan.html

http://azrin-kun.blogspot.com/2011/09/falsafah-dua-kalimah-syahadah.html

Tiada ulasan: