Isnin, 1 Mei 2017

Tzkirah Khas (18) Israk Mikraj




TAZKIRAH KHAS (18)
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR 2017
ISRAK MIKRAJ

Israk
Israk merupakan perjalanan Nabi Muhammad SAW pada waktu malam dari Mekah ke Majid al-Aqsa di Palestin. Perjalanan ini merupakan suatu mukjizat agung Baginda SAW setelah melalui pelbagai ujian dan halangan sebelumnya.

Dalam peristiwa Israk, Jibril datang bersama Buraq yang akan menjadi tunggangan Baginda SAW dalam perjalanan ini.

Buraq
Buraq berwarna putih. Lebih kecil daripada kuda dan besar daripada baghal. Sekali perjalanan sejauh mata memandang. Nabi Muhammad SAW mengikat buraq di pergelangan pintu masjid Aqsa.


Kisah Abu Sufyan & Hercules
Pernah ketika kedatangan Abu Sufyan ke Syam telah didengari oleh Hercules, pemerintah tempatan pada masa itu. Lalu Hercules memanggil peniaga yang berasal dari Mekah lalu ditempatkan di dalam sebuah dewan. Raja Hercules bertanya kepada Abu Sufyan tentang nabi yang telah dibangkitkan. Semua  yang Abu Sufyan sebut tentang Muhammad SAW dibenarkan oleh peniaga dan orang-orang Mekah yang ada bersama. Namun ada suatu perkara yang dirasakan terlalu pelik iaitu tentang dakwaan Baginda SAW bahawa beliau datang ke masjid Aqsa dari Mekah hanya pada satu malam.

Kisah ini ini walaubagaimanapun disokong oleh seorang Pendita. Pendita  berkenaan menceritakan bahawa pada suatu malam pintu masjid tidak dapat ditutup. Pada mulanya dia menyangka bahawa pintu itu rosak. Setelah diperiksa oleh tukang pintu ternyata pintu itu berkeadaan elok. Tiada sebarang kerosakan. Pendita ini mengatakan bahawa kebiasaanya apabila pintu masjid tidak dapat ditutup, ada nabi yang ingin datang ke sini.

Setelah berfikir sedalamnya, Hercules meminta cadangan dan buah fikiran pendita dan pembesar mereka. Hercules mengatakan keinginanya untuk mengikuti agama yang dibawa Muhammad. Namun para pendita dan pembesar mereka tidak bersetuju dan Hercules kekal dengan agama asal mereka

Cerita pintu masjid ini menjadi bukti kedatangan Nabi Muhammad SAW ke Masjid Aqsa.

Dalam masjid baginda menjadi imam solat bagi nabi-nabi yang lain. Selesai solat, Jibril membawa bekas berisi arak dan susu untuk dipilih sebagai minuman oleh baginda. Baginda lalu memilih susu.

Mikraj
Apabila tiba di langit pertama, Jibril minta izin untuk masuk daripada penjaganya. Setelah Jibril memberitahu bahawa orang istimewa bersamanya adalah Muhammad SAW, lalu penjaga pun membuka pintu untuk mereka masuk.

Di langit pertama Nabi Muhammad SAW berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Nabi Adam mendoakan kebaikan untuk Nabi Muhammad SAW. Apabila tiba di langit seterusnya, Nabi Muhammad SAW berjumpa dengan Nabi Isa, Nabi Yahya, Nabi Idris, Nabi Harun dan Nabi Ibrahim a.s. Pertemuan dengan nabi-nabi sebelumnya bagaikan memberi suatu suntikan semangat kepada Nabi Muhammad SAW.

Seterusnya Baginda SAW naik ke Sidratul Muntaha. Nabi melihat daun yang ada di situ seperti telinga gajah. Sementara buahnya seperti labu besar. Tiada makhluk Allah yang boleh menerangkan kecantikan apa yang dilihat oleh Baginda SAW.

Seterusnya Allah memfardukan ke atas baginda SAW kewajipan solat sebanyak 50 waktu sehari semalam. Dalam perjalanan turun, Baginda SAW berjumpa dengan Nabi Musa as. Nabi Musa menasihati Baginda SAW supaya memohon agar dikurangkan bilangan solat. Lalu Baginda SAW memohon supaya dikurangkan bilangan solat lalu diperkenankan permohonan Baginda SAW sehinggalah kepada 5 waktu. Peristiwa ini berulang sehingga kekal jumlah waktu solat kita sebagaimana ada pada hari ini

Pesanan Nabi Ibrahim
Ketika di langit, Baginda SAW sempat berjumpa dengan Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim berpesan bahawa syurga merupakan bumi yang cantik dengan tanah luas yang kosong. Justeru itu, hiasilah syurga dengan zikir subhanallah, Alhamdulillah, la ilaha illa Allah dan Allahu akbar. Zikir sebegini umpama landscape di dalam syurga kelak

Nabi Muhammad SAW juga sempat melihat rupa asal Jibril a.s yang mengandungi 600 sayap. Satu sayapnya berjarak antara langit dan bumi. Ini adalah kali kedua Nabi Muhammad SAW melihat jibril dalam rupanya yang asal (kali pertama semasa turun wahyu).

Pasca Israk & Mikraj
Keesokan harinya Nabi Muhammad SAW berjumpa dengan Abu Jahal. Seperti biasa Abu Jahal akan mengajukan soalan provokasi dengan bertanya adakah ada berita baru yang ingin disampaikan. Setelah baginda menerangkan ada berita baru lalu Abu Jahal mengumpulkan penduduk Mekah untuk mendengar cerita baru ini. Lalu Nabi Muhammad SAW menceritakan pertistiwa Israk Mikraj. Mereka juga bertanya kepada nabi perihal masjid aqsa seperti bilangan tiang masjid dan sebagainya. Kesemua soalan mereka dapat dijawab oleh baginda SAW.

Hikmah Israk Mikraj
Peristiwa agung ini merupakan suatu mukjizat untuk Rasulullah SAW. Apabila disebut mukjizat, ia bukan lagi dapat diukur secara saintifik dan empirikal seperti biasa. Ia menjadi suatu ujian keimanan terhadap kita semua.

Semoga kita semua dapat mencontohi Abu Bakar al-Siddiq dalam hal ini. Sebaik sahaja Abu Bakar mendapat berita perjalanan agung Baginda SAW, beliau tetap mempercayainya bahkan berkata kalaulah benar Muhammad yang mengatakannya, kalau lebih daripada itu sekalipun aku akan tetap mempercayainya..