Syeikh al-Arifiy dalam kitabnya mengatakan bahawa antara persediaan yang kita perlu lakukan untuk menghadapi kematian ialah:
1) Berusaha melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya
Perkara yang terpenting ialah menjaga akidah dan tauhid kita, bahawa tiada tuhan yang disembah selain Allah dan Nabi Muhammad SAW ialah rasulullah. Tiada guna jika banyak melakukan kebaikan namun akidah kita songsang atau melakukan perbuatan syirik kepada Allah.
Kemudian berusahalah untuk menjaga perkara yang sudah dimaklumi seperti menjaga solat, zakat, puasa Ramadan, haji dan sebagainya meliputi hubungan dengan Allah dan sesama makhluk
2) Banyak mengingati mati
Apabila kita banyak mengingatkan kematian, apa yang akan kita hadapi selepas mati, soal jawab dalam kubur, mahsyar dan sebagainya kita akan lebih bermotivasi untuk melakukan amal ketaatan kepada Allah dan meninggalkan segala laranganNya.
3) Taubat nasuha
Taubat hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh meliputi segala syarat-syaratnya. Dalam hubungan dengan Allah, ada 3 syarat taubat iaitu berhenti daripada melakukan maksiat, berazam untuk tidak lagi melakukannya dan menyesal atas kesalahan yang kita lakukan. Jika melibatkan hubungan sesama manusia, selain daripada 3 syarat di atas ada tambahan. Tambahan daripada 3 di atas iaitu hendaklah memohon kemaafan daripadanya dan kalau ia berkaitan harta, hendaklah memulangkan hartanya dan seumpamanya
4) Bersangka baik terhadap Allah
Setelah kita melakukan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya dengan bersungguh-sungguh, hendaklah kita mengharap keampunan Allah dan bersangka baik terhadap Allah. Jangan sesekali kita merasa putus asa daripada rahmatNYA. Contohnya jika kita berasa terlalu banyak maksiat dan kesalahan yang kita lakukan, kita merasa bahawa Allah tidak mungkin akan mengampuni kita. Atau kita merasakan bahawa Allah tidak menyayangi kita. Sesekali jangan bersangka demikian. Ada ayat al-Quran yang menyebut jangan sesekali berputus asa daripada rahmat Allah (mafhum ayat).
5) Sedekah
Banyakkan bersedekah. Kata para ulama harta kita sebenarnya ialah apa yang kita belanjakan pada jalan Allah. Sementara harta yang kita simpan, boleh jadi ianya bakal menjadi milik pewaris kita. Justeru itu, banyakkanlah bersedekah. Mudah-mudahan sedekah kita terutama sedekah jariah akan sentiasa mengalir pahalanya walaupun kita telah tiada
6) Tulis wasiat
Wasiat ada hukumnya yang tersendiri, tulislah wasiat. Semoga wasiat kita akan menjadi asbab mengalirnya pahala kita walaupun kita telah tiada
Sumber:
1) Al alam al akhir oleh syeikh al arifiy
2) Youtube halaqah abu anas madani (alam akhirat)
3) Beberapa laman sesawang lain seperti web mufti WP dan sebagainya