Khamis, 7 Mei 2026

Pujian Nabi SAW kepada al-Ashajj

 Pujian Nabi SAW kepada al-Ashajj

Dari Abdullah bin Abbas ra, bahwa Nabi SAW bersabda kepada Al-Ashajj Abdul Qais (Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua sifat yang dicintai Allah iaitu al-ḥilm dan al-anāh. - Muslim)

 

Hadis ini merupakan salah satu dalil yang sangat agung dalam bab pembentukan akhlak seseorang Muslim. Pujian Nabi SAW terhadap Al-Ashajj Abdul Qais (nama sebenar beliau ialah Al-Mundzir bin ‘Aidz) menunjukkan betapa tingginya nilai dua sifat tersebut di sisi Allah SWT.

 

Menurut Imam An-Nawawi, ketika rombongan kabilah Abdul Qais tiba di Madinah, mereka semua tergopoh-gapah melompat turun dari unta masing-masing dan terus berlari menuju kepada Nabi SAW kerana terlalu rindu dan teruja.

 

Namun, Al-Ashajj (ketua rombongan) tidak berbuat demikian. Beliau dengan tenang dan selamber je rilek dulu. Tambat unta-unta mereka dulu, amik pakaiannya yang paling bersih dan cantik, mandi, memakai wangian, dan barulah beliau berjalan dengan tenang menuju kepada Nabi SAW. Melihat tindakan beliau yang matang dan tenang ini, Nabi SAW pun mengucapkan sabda tersebut.

 

Dalam kitab Bahjat al-Nazirin (syarah Riyad al-Salihin), pengarang menjelaskan bahawa Al-Ashajj tidak tergesa-gesa menemui Nabi SAW. Beliau memastikan kaumnya selamat terlebih dahulu. Sikap ini menunjukkan kebijaksanaan dan ketenangan, lalu Nabi SAW memujinya. Ini menjadi dalil bahawa tidak semua tindakan cepat itu baik, bahkan dalam banyak keadaan, ketenangan lebih utama.

 

Ulama menjelaskan bahawa Al-Hilm bermaksud akal yang waras serta kemampuan menguasai diri daripada sifat marah. Ia adalah sifat di mana seseorang itu pemaaf, lembut, dan tidak mudah menghukum atau melenting walaupun dia mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian. Ada sesetengah lagi ulama menyebut bahawa Al-Hilm adalah kemampuan seseorang menahan emosi dan jiwanya apabila terdapat sebab-sebab yang membawa kemarahannya. Orang yang memiliki hilm tidak akan membalas keburukan dengan keburukan secara melulu.

 

Imam An-Nawawi mendefinisikan Al-Anah sebagai tenang, berhati-hati, teliti dan meninggalkan sifat al-'ajalah (gopoh/tergesa-gesa) dalam apa jua urusan.

 

Hadis ini menunjukkan kepentingan menjaga penampilan dan adab. Al-Ashajj mengajar kita bahawa berjumpa dengan orang yang dimuliakan (terutamanya Rasulullah SAW) memerlukan adab, ketenangan, dan kekemasan diri, bukan sekadar menuruti emosi keterujaan.

 

Selain itu, hadis juga menunjukkan gopoh adalah sifat syaitan. Dalam hadis yang lain (riwayat At-Tirmidzi), Nabi SAW bersabda bahawa Ketenangan (al-anah) itu datangnya daripada Allah, manakala tergesa-gesa itu daripada syaitan." Al-Ashajj mempraktikkan sifat yang datang daripada Allah.

 

Akhlak Boleh Diusahakan. Terdapat perbahasan ulama adakah sifat ini anugerah semula jadi (fitrah) atau boleh dipelajari (muktasab). Dalam riwayat lain, Nabi SAW mengesahkan bahawa Allah telah menciptakan Al-Ashajj secara fitrahnya (semula jadi) memiliki dua sifat ini. Walau bagaimanapun, ulama sepakat bahawa bagi kita yang mungkin secara fitrahnya panas baran atau gopoh, sifat Al-Hilm dan Al-Anah ini wajib dipelajari, dilatih, dan diamalkan dalam kehidupan seharian.

 

 

 

Hadis ini menjadi asas penting dalam pembinaan akhlak Islam. Ia menegaskan bahawa kekuatan sebenar bukan pada reaksi cepat atau kemarahan, tetapi pada kawalan diri dan kebijaksanaan dalam bertindak. Gabungan ḥilm dan anāh melahirkan شخصية yang seimbang, tenang dalam emosi dan tepat dalam keputusan. Semua akhlak tersebut yang merupakan ciri insan yang dicintai Allah.

Tiada ulasan: