Ahad, 14 Julai 2013

Perbandingan Dengan Buku al-Raheeq al-Makhtum



2.3 Perbandingan Dengan Buku al-Raheeq al-Makhtum
Penulis memilih untuk melakukan perbandingan dengan karya Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuriy kerana buku ini merupakan sebuah buku yang diiktiraf di dunia Islam dalam bidang sirah. Buku ini telah dipilih memenangi tempat pertama oleh badan Rabitah Alam Islam yang berpusat di Mekah dalam penulisan kitab-kitab sirah.[1] Justeru itu, penulis mengaggap dan menjadikan karya al-Mubarakfuriy ini sebagai perbandingan dan penanda aras dalam ilmu sirah selain daripada Sirah Ibn Ishaq dan Ibn Hisham. Terdapat 2 versi al-Raheeq al-Makhtum yang penulis gunakan, iaitu edisi asal secara capaian online dan edisi terjemahan

2.3.1 Perbandingan Fizikal
Dari segi fizikal, al-Raheeq al-Makhtum hanya setebal 333 muka surat sahaja untuk edisi online dan 633 untuk edisi terjemahan dalam Bahasa Melayu.[2] Jurang perbezaan ini cukup besar kerana buku yang dikarang oleh Tarikuddin Hassan ini mempunyai ketebalan melebihi 1500 mukasurat. Banyak peristiwa tidak diperincikan dalam karya al-Mubarakfuriy ini berbanding dengan Tarikuddin hasan.


2.3.2 Huraian Peristiwa
Apabila dinilai dari segi penetilitian isu, karya Tarikuddin Hasan lebih terperinci. Beliau menghuraikan setiap bahagian dengan tajuk-tajuk kecil di dalamnya secara terperinci. Berbanding al-Mubarakfuriy, karyanya menyentuh perkara-perkara besar secara umum. Walau bagaimanapun terdapat bahagian tertentu seperti peperangan Uhud, Khandaq dan Badar disentuh secara teperinci. Ringkasnya karya Tarikuddin Hasan memperincikan keseluruhan bahagian sementara al-Mubarakfuriy membuat perincian kepada peristiwa tertentu sahaja. Al-Mubarakfuriy juga tidak menyebut tentang sejarah keturunan dan susur galur keluarga Rasulullah SAW sebagaimana yang dilakukan oleh Tarikuddin Hasan dengan membicarakan perihal Qusai. Jalur keturunan Rasulullah SAW dalam al-Raheeq al-Makhtum hanya disebut pada peringkat Bani Hashim.

2.3.3 Sumber Penulisan
Al-Mubarakfuriy menyebut di bahagian permulaan bukunya tentang metodologi penulisan sirah yang beliau gunakan. Beliau menyebut bahawa sumber sejarah Rasulullah ialah ayat-ayat al-Quran khasnya yang berkaitan dengan sesuatu peristiwa seperti peristiwa perang Badar, Uhud, Khandaq dan sebagainya. Kemudian diikuti dengan hadis yang dikutip daripada kitab-kitab hadis. Sumber yang ketiga ialah kitab-kitab sejarah Rasulullah SAW termasuklah yang ditulis oleh Urwah Ibn Zubair(92H), Abari Bin Othman (105H), Syarbabil bin Saad (123H) dan sebagainya. Kebanyakan apa yang mereka tulis walau pun telah hilang namun sesetengahnya terdapat dalam kitab al-Tabari dan sebahagiannya tersimpan di Bandar Heidelberg di Jerman. Apa yang tersimpan di Jerman ini ialah sebahagian tulisan Wahb bin Manbah (110H).[3]
Berbanding dengan Tarikuddin Hassan, beliau tidak menyebut atau meletakkan satu bab khusus untuk menyebut sumber sejarah atau metodologi penulisan yang beliau gunakan. Namun sepanjang semakan ringkas yang penulis lakukan, beliau merujuk kepada sumber yang hampir sama dengan al-Mubarakfuriy. Cuma buku-buku rujukan beliau yang dimuatkan di bahagian lampiran kitab kebanyakannya berbahasa Melayu dan tidak terdapat kitab-kitab sirah yang terulung seperti Ibn Hisham dan Ibn Ishaq.
Kesimpulannya, buku karangan Tarikuddin Hassan mempunyai persamaan dengan karya al-Mubarakfuriy dari segi sumber penulisan dan sebagainya. Apa yang berbeza ialah dari segi huraian peristiwa yang lebih terperinci yang menjadikan buku ini lebih tebal.



[2] Al-Mubarakfuri, Safiy al-Rahman, Sirah Nabawiyah. Selangor. Pustaka Ibnu Katsir Sdn. Bhd.

[3] Al-Mubarakfuriy, Sayf al-Rahmn, al-Raheeq al-Makhtum, edisi online, hlm.14-15

Keistimewaan Buku Ini



2.2 Keistimewaan Buku Ini

Buku ini memang mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaannya. Ada keistimewaan yang boleh disifatkan sebagai biasa bagi sebuah buku sirah dan ada juga keistimewaan yang mungkin sukar dicari pada buku-buku sirah yang lain. Di antara keistimewaannya ialah:



2.2.1 Susunan Peristiwa Mengikut Kronologi
Seperti buku-buku sejarah atau sirah yang lain, susunan bab atau bahagian mengikut kronologi peristiwa bermula dengan zaman sebelum kelahiran, berkembang kepada zaman kelahiran, saat-saat dilantik menjadi nabi, Islam era Mekah, Islam era Madinah dan kewafatan baginda. Kesemua bab atau bahagian itu mempunyai bahagian-bahagian kecil yang menggambarkan suatu peristiwa secara jelas. Contohnya bab ke 6 iaitu Kelahiran nabi besar Muhammad SAW. Bab ini dipecahkan kepada 10 tajuk kecil iaitu
1) dilahirkan di kota Mekah pada tahun gajah
2) Abrahah mendirikan gereja baru
3) Tersasar hingga ke Taif
4) Abrahah mengarah agar mekah dikosongkan
5) Abrahah menyerang kaabaah
6) Burung Ababil menyerang tentega Abrahah
7) Seluruh tentera Abrahah binasa
8) Keajaiban yang berlaku pada hari nabi dilahirkan
9) Bagaimana nabi dinamakan Muhammad
10) Abu Lahab amat gembira dengan kelahiran nabi

Kesemua 10 tajuk kecil ini sudah menggambarkan peristiwa yang berlaku dari segi kronologi. Pembaca akan dapat mengagak apa yang berlaku dengan melihat susunan tajuk kecil itu bermula dengan kelahiran Nabi Muhammad SAW, seterusnya kemunculan Abrahah dan usahanya menyaingi kemasyhuran Mekah dengan membina gereja baru. Kemudian serangan Abrahah ke atas kota Mekah dan kematiannya kerana serangan burung Ababil. Kesemua tajuk kecil ini disusun dengan baik sekali. Bagi pembaca yang sudah biasa membaca kitab-kitab sirah akan dapat mengingati kembali fakta berkenaan sirah hanya dengan melihat susunan tajuk-tajuk kecil ini. Susunan tajuk kecil begini merupakan suatu kelebihan yang dapat membantu para pembaca

2.2.2 Perincian Terhadap Sesuatu Peristiwa
Pengarang menghuraikan sesuatu peristiwa secara jelas, terperinci dan mempunyai kesinambungan yang tersusun seperti dalam peristiwa hijrah akan dijelaskan. Ianya memudahkan kefahaman pembaca namun dari segi yang lain, ia menimbulkan persoalan tentang keabsahan cerita yang dibawanya. Jika kita membandingkan teknik penulisan sirah, ia agak berbeza dengan kitab-kitab hadis. Penceritaan tentang Nabi Muhammad SAW dalam ilmu sirah cukup terperinci berbanding dengan ilmu hadis. Walau bagaimanapun harus diakui bahawa buku ini mempunyai perincian sesuatu peristiwa yang menarik

2.2.3 Menjadikan Karakter Sebagai Tajuk Kecil
Pengarang juga memberi tumpuan kepada beberapa orang karakter atau tokoh dengan meletakkan nama tokoh berkenaan menjadi tajuk kecil dalam sesuatu bahagian. Contohnya dalam bahagian ke 25, usaha menghalang dakwah nabi. Dalam bahagian ini, pengarang menamakan tajuk kecil mengikut nama tokoh seperti Alwalid bin Al-Mughirah, al-Ass bin Wail, al-Haris bin Qais dan sebagainya. Di bawah tajuk kecil al-Walid bin al-Mughirah contohnya, pengarang memperkenalkan siapa al-Walid bin al-Mughirah meliputi keturunannya, pekerjaannya dan sebab-sebab dia menentang Rasulullah. Begitu juga tokoh-tokoh lain seperti pada bab 20 berkenaan hamba-hamba yang memeluk Islam. Pengarang meletakkan nama hamba menjadi tajuk kecil. Di antara hamba-hamba berkenaan ialah Bilal bin Rabah, Zunairah, Labihah dan sebagainya. Tindakan ini amat bagus kerana ia memudahkan para pembaca untuk membuat rujukan berkenaan individu-individu pada zaman nabi samada individu berkenaan merupakan penentang nabi, sahabat atau pun mereka yang berjasa dalam perjuangan baginda

2.2.4 Memasukkan Ayat-Ayat al-Quran dan Hadis
Pengarang memasukkan ayat-ayat al-Quran dan hadis untuk menyokong hujah beliau. Ada di antara ayat al-Quran yang dibawa dengan teks asal berserta terjemahan dan ada yang secara terjemahan sahaja. Contohnya dalam kisah ejekan al-Ass bin Wail kepada Rasulullah SAW kerana kematian anak lelakinya. Al-Ass mengejek bahawa Muhammad sudah tiada keturunan lagi lalu turunlah Firman Allah SWT:

إنا أعطينك الكوثر  (1)  فصل لربك وانحر  (2) إن شانئك هو الأبتر  (3)[1]
(Sesungguhnya Aku (Allah) telah member kepadamu (Wahai Muhammad) nikmat yang sangat banyak (1). Maka hendaklah engkau mendirkan sembahyang dan hendaklah engkau berkorban (2) sesungguhnya orang yang membencimu itulah orang yang terputus (3)

Sementara hadis yang dibawa pula merupakan hadis yang telah diterjemahkan. Walau bagaimanapun beliau tidak menukilkan kedudukan hadis berkenaan samada sahih atau pun tidak.


2.2.5 Menyentuh Isu Bukan Sirah
Pengarang Tarikuddin Hasan semasa mengulas kejadian peperangan yang berlaku di bulan haram memberikan pendapatnya sendiri. Peristiwa ini berlaku apabila Rasulullah SAW mengutuskan ekspedisi seramai 11 atau 12 orang yang diketuai oleh Abdullah bin Jahsyi ke Nakhlah untuk menyekat rombongan perdagangan Qurasiy yang baru pulang dari Syam daripada memasuki kota Mekah. Pada mulanya umat Islam berasa serba salah untuk melakukan serangan kerana mereka masih berada dalam bulan-bulan yang diharamkan berperang. Namun jika mereka tidak melakukan sesuatu kepada rombongan perdagangan ini, mereka akan dapat memasuki kota Mekah membawa barang dagangan dengan selamat. Lalu salah seorang tentra Islam yang bernama Waqid bin Abdullah telah memanah Amru bin al-Hadrami sehingga tembus dadanya. Peristiwa ini pada mulanya menimbulkan kemurkaan Baginda SAW kerana peristiwa ini berlaku dalam bulan yang diharamkan untuk berperang. Pastinya golongan Quraisy akan mengutuk Nabi Muhammad SAW dan pasukan Abdullah bin Jahsyi kerana bertempur dalam bulan-bulan haram.[2] Lalu turunlah ayat Allah:

(dan mereka bertanya kepadamu tentang berperang dalam bulan haram. Katakanlah berperang dalam bulan haram adalah satu dosa yang besar. Tetapi perbuatan menghalang-halang manusia dari jalan Allah, kafir terhadap Allah, dan (menghalang memasuki) masjidil haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya lebih besar dosa di sisi Allah. Dan berbuat fitnah (menentang agama Allah) itu adalah lebih besar daripada melakukan pembunuhan)[3]

Ayat ini menyelesaikan kekusutan yang berlaku. Di akhir bab pengarang Tarikuddin Hasan memberikan pendapatnya: (Mengikut fahaman penulis, bahawa ayt ini juga membayangkan bahawa kita boleh melakukan dosa besar demi untuk menghapuskan perbuatan dosa yang lebih besar lagi.(tetapi bukan dosa besar seperti berzina, berjudi, minum arak yang boleh merosakkan diri dan mencemar maruah diri. Tetapi sekadar dosa besar yang tidak merosakkan kehormatan diri seperti melanggar bulan haram, melanggar perjanjian dan sebagainya). Asalkan perbuatan kita itu benar-benar berhasil)[4]

Tambah beliau lagi:
(Tetapi kalau tafsiran penulis ini tersilap kerana salah fahaman dan boleh menyesatkan, maka penulis dengan segera kembali bertaubat kepada Allah dan janganlah dipegang pendapat penulis yang tersilap ini. Astaghfirullah al-azim. Tanyalah kepada ulama-ulama yang muktabar untuk mendapat penjelasan yang lebih lanjut dan benar.)[5]

Persoalan apakah kita boleh berperang pada bulan-bulan yang diharamkan untuk berperang demi menjaga kemaslahatan yang lebih besar merupakan persoalan yang telah pun termasuk dalam bidang fiqh. Ulama juga telah memberikan pendapatnya apakah boleh kita mengambil darurat yang kecil untuk menolak kemudaratan yang leboh besar. Tegasnya, pengarang telah memuatkan persoalan fiqh dalam kitabnya secara sepintas lalu. Beliau juga memberikan pendapatnya dalam isu ini serta bersedia menerima kritikan dan mengaku kesalahan jika apa yang ditulisnya itu salah.

Begitu juga dalam peristiwa pembukaan kota Mekah, nabi menyuruh al-Abbas bin Abdul Muttalib mengambil setimba air zam-zam untuk berwuduk. Ketika Nabi SAW mengambil wuduk, para sahabat menadah tangan mereka untuk mengambil air wuduk baginda yang jatuh. Lalu mereka menyapu ke muka untuk mengambil berkat.Lalu  pengarang mengemukakan satu isu:
(di sini timbul satu persoalan. Kalaulah mengambil berkat pada orang alim dan salih itu satu kesalahan dan khurafat, tentulah nabi akan menegah para sahabat daripada berebut-rebut mengambil sisa air wuduk solat baginda yang berjatuhan itu. Dan baginda akan menjelaskan di situ bahawa perbuatan itu adalah salah dan khurafat. Kalau ada orang masih menyangkal dengan mengatakan perbuatan pada nabi taka pa kerana ia adalah suatu yang khas atau khusus kepada baginda SAW sahja. Kita mahu satu nas yang menunjukkan kaata-kata Nabi bahawa perbuatan atau amalan itu adalah khas kepada Baginda SAW sahaja. Sebab setiap perbuatan baginda atau perilaku sahabat yang dikerjakan di hadapan baginda kalau baginda tidak melarang adalah dibolehkan)[6]

Kesimpulannya pengarang menyentuh persoalan di luar bidang sirah secara sepintas lalu sambil mengemukakan pendapatnya sendiri. Walaupun perkara sebegini tidak selalu disebut dan tidak melibatkan setiap isu yang disentuh dalam bukunya, namun ia sudah cukup menujukkan kepada kita bahawa pengarang merupakan seorang yang berwibawa, berilmu dan merendah diri.


[1] Al-Kauthar
[2] Tarikuddin Hassan, Sejarah Rasul Ulul Azmi Terbesar Nabi Muhammad SAW, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, hlm.440-442
[3] Al-Baqarah, 217

[4] Tarikuddin Hassan, Sejarah Rasul Ulul Azmi Terbesar Nabi Muhammad SAW, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, hlm.433

[5] Tarikuddin Hassan, Sejarah Rasul Ulul Azmi Terbesar Nabi Muhammad SAW, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, hlm.433

[6] Tarikuddin Hassan, Sejarah Rasul Ulul Azmi Terbesar Nabi Muhammad SAW, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, hlm.1288

sinopsis kitab



BAB II

SINOPSIS

2.1 Sinopsis
Buku ini mengisahkan perjuangan dan kisah hidup nabi Muhammad SAW sejak sebelum kelahiran sehinggalah kewafatannya. Ia mempunyai 249 bahagian atau bab. Setiap bahagian dipecahkan pula kepada tajuk-tajuk kecil yang merupakan isi-isi penting dalam bahagian tersebut. Tajuk-tajuk kecil ini merupakan isi-isi penting atau poin-poin utama yang terdapat dalam sesuatu bahagian

Bab pertama menceritakan tentang keturunan Nabi Muhammad SAW bermula dengan kisah berkenaan Qusai, datuk Nabi Muhammad SAW yang paling terkemuka meliputi kisahnya bersahabat dengan penjaga kaabah, perkahwinan Qusai dan keturunannya

Bab kedua pula menerangkan perihal datuk nenek nabi iaitu iaitu Maad bin Adnan, Nizar, Mudhar, Ilyas, Fihr, Kaab, Murrah dan Kilab. Kisah mereka diceritakan secara ringkas.

Sementara bab ketiga menyebut tentang Abdul Muttalib dan anak-anaknya termasuklah kisah berkenaan anak-anak perempuan.

Dalam bab keempat dan kelima pula, bapa Rasulullah SAW iaitu Abdullah menjadi fokus utama. Juga dimuatkan dalam bab ini perihal telaga zam-zam yang digali semula oleh Abdul Muttalib

Dalam bab keenam barulah penceritaan tentang kelahiran Nabi Muhammad SAW bermula. Bab ke-6 sehinggalah bab ke-16 merupakan kisah Nabi Muhammad SAW sebelum menjadi nabi. Termasuklah dalam bab ini kisah keluarga Rasulullah SAW meliputi perkahwinan baginda dengan Siti Khadijah dan anak-anak serta pengasingan diri Baginda SAW di gua Hira’

Bab ke-17 pula mengisahkan perlantikan baginda menjadi Rasul dan bermula dakwahnya sehingga ke bab ke-50 meliputi dakwah secara rahsia dan terbuka serta penentangan masyarakat Quraisy Mekah terhadap dakwah nabi. Juga diceritakan karakter-karakter yang menentang nabi seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya. Bahagian ini keseluruhannya boleh disifatkan sebagai Islam era Mekah

Pada bab 51 hingga ke bab 242, Islam era Madinah sehinggalah kewafatan nabi. Bahagian ini merupakan inti utama kitab meliputi peperangan Rasulullah serta cabaran yang dihadapi daripada orang-orang Yahudi Madinah, golongan munafik dan ancaman Rom dan Parsi. Peristiwa-peristiwa yang berlaku diulas secara terperinci dari awal hingga ke akhirnya. Boleh dikatakan bahagian inilah yang menjadi tunjang dan tonggak kepada kitab ini

Seterusnya bermula bab 243 sehinggalah ke bab yang terakhir 249 mengulas tentang keadaan sahabat apabila berhadapan dengan realiti bahawa Baginda telah wafat dan juga tanda-tanda kerasulan, mukjizat dan sifat-sifat baginda. Keempat-empat bahagian ini merupakan poin-poin tenting tentang diri baginda meliputi sifat, akhlak dan mukjizat Baginda SAW. Sesetengah kitab sirah yang lain memuatkan persoalan begini di dalam buku kecil yang lain. Ada sesetengahnya memuatkannya pada awal kitab. Walau bagaimanapun persoalan ini bukanlah suatu masalah kerana setiap pengarang ada teknik dan caranya sendiri.

Secara keseluruhannya 1/3 bahagian buku ini, iaitu hampir 500 helaian mengisahkan keturunan Baginda SAW, zaman Jahiliah, kelahiran nabi dan zaman Islam era Mekah. Manakala 2/3 bahagian lagi (1000 helaian) mellibatkan Islam era Madinah meliputi cabaran dalan perjuangan baginda, siri-siri peperangan dan sebagainya. Itulah sebabnya penulis mengatakan bahawa zaman nabi berada di Madinah merupakan inti utama kitab ini kerana 2/3 bahagian kitab mengulas tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam period 10 tahun nabi di Madinah