Khamis, 23 September 2010

tazkirah SKLR

TAZKIRAH PANITIA AGAMA ISLAM SKLR 2010
PUASA ENAM SYAWAL

1) DALIL PUASA SUNAT ENAM SYAWAL.
Dalilnya ialah hadis Rasulullah SAW (Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun-Muslim). Para ulama telah menegaskan bahawa suatu amalan akan diganjari degan 10 kebajikan. 30 hari kita berpuasa dalam bulan ramadan menyamai pahala berpuasa selama 300 hari. Kemudian ditambah dengan 6 hari syawal menyamai 60 hari. Jadi kesemuanya berjumlah 360 hari, hampir setahun.

2) HUKUM PUASA 6 SYAWAL
Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al- Syafie, Imam Ahmad, Daud dan ulama yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal). Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.”

3) BILAKAH DIMULAKAN?
Puasa sunat enam Syawal paling awal boleh dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidilfitri. Kita diharamkan berpuasa pada aidilfitri dan aidiladha berdasarkan hadis (Nabi SAW melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha-Bukhari)

4) BAGAIMANA MELAKSANAKANNYA?
Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Persoalan yang menjadi perbicangan di kalangan para ulama ialah:

4.1) Berturut-Turut Atau Rambang?
Puasa 6 Syawal boleh dilakukan secara rambang atau berturut-turut asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Justeru puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah bulan Syawal.

Walau bagaimanapun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan keumuman firman Allah SWT: (Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa- Surah Ali Imran 133)

4.2) Masalah Qada’ & Puasa 6
Wujud perbincangan di kalangan para ilmuan, adakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini membuahkan dua pendapat.

Pendapat Pertama: Boleh Melakukannya
Ini berdasarkan dalil bahawa Aisyah ra pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata ( Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW. -Bukhari & Muslim) (Penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah SAW ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id)

Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya
Ini berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Rasulullah SAW mensyaratkan berpuasa Ramadhan terlebih dahulu, kemudian barulah mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal. Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.

3) Menggabungkan Qadha & Puasa 6
Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.

Ada dikalangan ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyatul masjid).

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati dengan yakin adalah lebih utama.

Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhaiNya.

*artikel ini diubahsuai dari pamplet ramadan dr abdul basit abdul rahman sg durian

RUJUKAN
bughyat al-tullab
kitab al-fiqh ala al-mazahib al-arbaah
abuanasmadani.com (pamplet ramadan)
http://www.ikim.gov.my (laman web rasmi IKIM)
http://al-fikrah.net/
http://hafizfirdaus.com/ http://www.zaharuddin.net/

Tiada ulasan: