PENGENALAN RINGKAS SURAH AL-MAUN
2.1 Nama Surah
Nama surah ini ialah al-Ma`un ertinya pertolongan. Nama ini diambil daripada perkataan akhir ayat pada akhir surah. Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama. Selain al-Ma`un, ia juga dikenali dengan nama surah أرَأَيتَ . Dengan nama ini al-Bukhari menjudulkan dalam kitab al-Tafsir. Ibn `Atiyyah menyebutkan namanya surah الَّذِي أَرَأيتَ . Al-Suyuti dalam al-Itqan menamakannya dengan surah الدِّين, al-Biqa`Iy menamakannya dengan surah اليَتِيم dan ada juga yang menamakannya dengan surah التَّكْذِيب
2.2 Tempat Diturunkan
Menurut jumhur ulama surah ini diturunkan di Makkah dan termasuk dalam kelompok surah-surah Makkiyyah. Menurut Ibn Abbas dan Qatadah, ia diturunkan di Madinah. Ibn Abbas dalam riwayat yang lain menyatakan 3 ayat pertama diturunkan di Makkah, 4 ayat selebihnya diturunkan di Madinah.
Tanda-tanda Madinah jelas dalam surah ini, antaranya ialah membicarakan sifat-sifat munafik yang menunaikan sembahyang tetapi dengan niat memperlihatkan orang. Sifat-sifat ini tidak wujud pada zaman sebelum Hijrah. Alasan ini kuat dan jelas.
2.3 Perkaitan Dengan Surah Sebelumnya (Surah Quraisy)
Terdapat beberapa kaitan yang didapati di antara dua surah ini. Di antaranya ialah:
Perkaitan 1
Celaan Allah SWT kepada orang yang ingkar
Al-ma’un
Allah SWT membidas orang yang bakhil, mereka tidak membantu orang miskin, anak-anak yatim dan orang kurang upaya, sepatutnya mereka sedia membantu sebagai tanda syukur mereka kepada Allah.
Quraisy
Allah membidas kaum Quraisy yang tidak bersyukur, padahal Allah memberi kepada mereka nikmat makanan dan keamanan.
perkaitan 2
Ibadat hanya kepada Allah
al-Maun
Allah SWT mencela orang yang leka dari menunaikan salat dan melarang orang menunaikannya
Quraisy
Allah SWT memerintah kaum Quraisy supaya beribadat kepada Allah serta mentauhidkannya
perkaitan 3
Ancaman Allah SWT dengan balasan buruk
al-Maun
Allah SWT mengecam mereka dengan janji buruk yang bakal menimpa orang yang ingkarkan pembalasan di Akhirat.
Quraisy
Allah SWT menyebut nikmat anugerahnya kepada kaum Quraisy, namun mereka tetap juga mengingkari adanya kebangkitan semula dan pembalasan pada hari Akhirat
2.4 Tema dan Ikhtisar Surah
Tema surah ini ialah neraca dan pendusta. Apa yang dimaksudkan dengan neraca ialah al-quran sebagai neraca pertimbangan untuk menimbang baik buruk. Tidak ada neraca yang lain kecuali dengan neraca Allah. Selain itu, tidak memadai bagi seseorang dengan hanya mendakwa dia seorang muslim dan beriman kepada hari akhirat, sedangkan pengakuannya belum dibuktikan dengan amalan.
Surah al-Ma`un juga mengingatkan manusia dengan dalil-dalil kafir dan munafiq. Orang kafir ialah orang yang mendustakan hari akhirat dan agama. Dua sifat utama pendusta hari akhirat iaitu mengabaikan anak yatim dan tidak menyumbang sesuatu untuk kebaikan miskin sama ada moral atau material.
Orang munafiq pula ialah orang yang berpura-pura Islam, padahal hakikatnya kufur. Mereka diberi tiga sifat iaitu leka dari menunaikan salat, menunjuk-nunjukkan amal kebajikan dan berat hati dari memberi sumbangan secara ikhlas.
Inilah neraca yang tepat dan tidak silap untuk membuat ukuran siapa benar dan siapa yang dusta terhadap agamanya. Orang yang mendustai al-din (agama atau hari pembalasan) itulah sebenarnya pendusta agama kerana mereka menindas anak yatim dan tidak bersimpati terhadap orang miskin, mereka mengabaikan sembahyang dan enggan memberi pertolongan kepada orang yang susah, sekalipun tidak membawa apa-apa kerugian keapada mereka. Itulah sebenarnya pendusta al-din
2.5 Fadilat Surah
Tiada riwayat yang sahih menjelaskan kelebihan khusus bagi surah ini
RUJUKAN
http://www.drhayei.com/2010/10/surah-al-maun-107-mukadimah-nama-surah.html
al-Alusiy, Muhammad, Ruh al-Macaniy, Dar Ihya’ al-Turath al-cArabiy, Beirut, jil.30, hlm241,
al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn Umar, Tafsir Fakhr al-Raziy Tafsir al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa al-Nashr Wa al-Tawzic. t.tmpt., jil 32, hlm.111,
Al-Qurtubiy, Muhammad bin Ahmad, al-Jamic Li Ahkam al-Quran, Muassasah al-Risalah, Beirut-Lubnan, jil. 24, hlm.509
6 ulasan:
waaaa..bagus la..sye blh fhm
waa...bagusla..sye dh fhm
Dalam Tafsir ar-Rawi dinyatakan faedah surah al-Ma'un ialah sesiapa yg sentiasa wirid membaca surah ini in syaa Allah diterima perkataannya & terkabul permintaannya. Wallahu a'lam.
Dlm Tafsir ar-Rawi dinyatakan faedah surah al-Ma'un ini sesiapa yg sentiasa wirid membaca surah ini in syaa Allah diterima perkataannya & terkabul permintaannya. Wallahu a'lam.
tq buat haji mazlan muslim...selamat datang, ambo sempat blogwalking ke blog tuan haji. tq atas penambahan maklumat.
Thanks for sharing This Surah. I was finding Surah Maun for blog as well. This will make easy for me.
Catat Ulasan