TAZKIRAH
RAMADAN (15)
MARILAH BERBEZA DENGAN MEREKA
Firman
Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa
sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya
kamu bertakwa (al-Baqarah, 2:183).
Terdapat dua perkara yang disentuh di dalam ayat tersebut.
Pertamanya puasa adalah ibadat lama. Ia diwajibkan ke atas umat-umat lampau.
Justeru jika merujuk kepada sejarah, kita akan dapati hampir setiap bangsa di
dunia ini mengamalkan puasa di dalam kehidupan mereka walaupun mungkin ianya
berbeza dari segi tujuan dan niat masing-masing.
Dalam mentafsirkan maksud orang-orang sebelum kamu, kita
dapati para ulama telah berbeza pendapat. Ada yang mengatakan bahawa ia bermaksud
orang-orang Nasrani sahaja. Ada pendapat mengatakan, mereka adalah Ahli kitab
(iaitu orang Nasrani dan Yahudi). Ada pendapat lain mengatakan bahawa ia
bermaksud seluruh umat terdahulu yang menjadikan puasa sebagai amalan dalam
kehidupan mereka sama ada kerana tuntutan keagamaan, kemasyarakatan atau kerana
menolak sesuatu bencana dan sebagainya.
Artikel ini menjelaskan beberapa perkara yang mana kita
diperintahkan berpuasa dengan cara yang berbeza dengan ahli kitab. Perbezaan
tersebut meliputi masalah puasa Asyura, puasa wisal, berbuka dan sahur
Puasa
Asyura (10 Muharram)
Diriwayatkan
oleh Muslim di dalam sahihnya bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada hari asyura,
dan menyeru orang ramai supaya melakukannya. Kemudian orang ramai memberitahu Rasulullah
SAW bahawa hari asyura merupakan hari yang diagungkan oleh orang Yahudi dan Nasrani.
Lalu Baginda SAW bersabda “Kalau begitu tahun hadapan kita akan berpuasa bermula
hari kesembilan lagi”. Namun Rasulullah SAW tidak sempat melakukannya kerana
wafat.
Berdasarkan hadis di atas, jelas bahawa hari asyura (10
Muharram) merupakan hari yang cukup istimewa dan mempunyai kelebihannya yang
tersendiri. Rasulullah SAW berpuasa dan menganjurkan para sahabatnya berpuasa
pada hari tersebut. Namun apabila Baginda SAW mendapat perkhabaran bahawa hari
ini juga menjadi hari kebesaran golongan Yahudi dan Nasrani, Rasulullah SAW
memerintahkan supaya umatnya menyalahi perbuatan mereka dengan cara berpuasa
sejak hari kesembilan Muharram lagi dan digabungkan bersama hari kesepuluh.
Ibn abbas selalu mengingatkan kita supaya melakukan amalan
yang berbeza dengan ahli kitab. Katanya “Berpuasalah kamu pada hari kesepuluh
atau kesembilan. Berbezalah dengan golongan Yahudi”.
Kesimpulannya jika kita berpuasa pada hari Asyura sahaja ianya menepati
amalan sunnah berpuasa pada hari tersebut namun masih tidak menepati sunnah
menyalahi perbuatan ahli kitab. Adapun perbuatan kita menggabungkan kedua hari
tersebut dengan cara berpuasa pada hari kesembilan dan kesepuluh Muharram menepati
2 makna, iaitu sunnah berpuasa dan Sunnah menyalahi perbuatan mereka
Puasa
Wisal
Imam
Ahmad meriwayatkan dalam musnadnya kisah isteri sahabat, Bashir yang ingin
berpuasa selama 2 hari berturut-turut secara berterusan dengan tidak berbuka,
lalu Basyir melarangnya sambil berkata. Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang
aku berbuat demikian. Rasulullah SAW
juga menegaskan bahawa perkara sedemikian hanyalah dilakukan oleh orang Nasrani.
Sabda Nabi SAW “Berpuasalah kamu sebagaimana yang diperintahkan oelh Allah dan sempurnakanlah
puasa kamu sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah…….
Hadis di atas jelas melarang umat Muhammad SAW
daripada melakukan puasa wisal kerana perbuatan sebegini merupakan
amalan golongan Nasrani. Syariah kita memerintahkan agar menyalahi dan
berbeza dengan mereka
Segera
Berbuka
Hendaklah
segera berbuka apabila diyakini terbenamnya matahari. Dalilnya hadis (Manusia
akan terus berada di dalam kebaikan selagi mana mereka menyegerakan berbuka
puasa—Bukhari). Hadith ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah
mengikut sunnah Nabi SAW yang menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan
karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Selain itu, perbuatan
ini juga menyalahi perbuatan sesetengah ahli kitab yang melewatkan berbuka
sehingga kelihatan bintang di langit.
Bersahur
Daripada
Amru al-As bahawa Rasulullah SAW bersabda ”Apa yang membezakan antara puasa
kita dengan puasa ahli kitab adalah makan sahur”.(Muslim)
Sahur ialah makanan yang dimakan pada akhir malam.
(Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya bersahur itu barakah (ada
keberkatannya)-Bukhari, Muslim). Ini dilakukan dengan berhenti makan dan minum
ketika fajar hampir terbit. Ini berdasarkan hadis Anas (Nabi Muhammad SAW dan
Zaid Bin Thabit bersahur. Apabila keduanya selesai bersahur, maka Nabi SAW
bangun dan mendirikan solat. Kami bertanya kepada Anas, berapa lamakah masa di
antara kamu berdua selesai bersahur dan mendirikan solat? Jawabnya sekadar 50
ayat al-quran-Bukhari).
Justeru itu, bersahurlah walaupun sedikit untuk
menepati Sunnah Nabi SAW. Amalan sahur juga menjadi perbezaan antara kita dan
mereka
RUJUKAN
Al-fiqh al-Manhajiy
Riyad al-Salihin
Majalah al-Tawhid (keluaran Jamaah Ansar Sunnah Mesir) edisi Ramadan 1420H
http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/7385-puasa-dalam-sejarah-umat-lampau-dan-islam
elmargi.blogspot.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan