Ahad, 19 Jun 2016

tazkirah ramadan 16: qada puasa ramadan


TAZKIRAH RAMADAN (16)
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR 2016
QADA PUASA RAMADAN

Tazkirah kali ini berbicara tentang masalah qada’ puasa bagi orang yang meninggalkan puasa kerana sakit/musafir, perempuan hamil/menyusu dan orang tua/pesakit yang tiada harapan untuk sembuh
1) Musafir dan orang sakit
Orang yang meninggalkan puasa Ramadan kerana sakit atau pun musafir, wajib mengqada’ puasanya sebelum tiba Ramadan tahun berikutnya. Jika dia mengambil sikap bermudah-mudah atau lalai daripada melakukan qada’ maka dihukum ke atasnya 3 perkara iaitu berdosa, wajib melakukan puasa ganti (qada’) dan fidyah
Fidyah ialah memberi makan kepada orang-orang fakir dengan satu cupak makanan asasi untuk setiap hari yang ditinggalkan. Hal ini (fidyah) berganda jika bertambah tahun. Contohnya seorang yang bermusafir lalu berbuka puasa selama 1 hari dalam bulan Ramadan tahun 2016. Dia hendaklah berpuasa qada’ sebanyak 1 hari sebelum tiba Ramadan 2017. Namun dia tidak melakukan puasa qada’ kerana cuai dan Ramadan 2017 telah berlalu. Pada waktu itu dia dikehendaki berpuasa qada’ serta membayar fidyah. Satu cupak lebih kurang bersamaan dengan 600 gram.
Bagi orang yang sakit, jika sakitnya berterusan sehingga masuk bulan Ramadan tahun berikutnya dia hanya perlu qada’ puasanya dan tidak perlu membayar fidyah
Jika pesakit berkenaan meninggal dunia dan tidak sempat qada’ maka ada dua keadaan baginya.
Keadaan pertama: Mati sebelum mampu qada’. Contohnya bagi pesakit kronik yang tidak mampu untuk berpuasa. Sakitnya berlanjutan hingga dia meninggal dunia  Dalam kes ini, dia tidak berdosa dan tidak perlu meminta orang lain melakukan qada’ bagi pihaknya kerana dia tidak cuai, hanya tidak mampu kerana sakitnya berterusan hingga ke akhir hayatnya
Keadaan kedua: Mati dalam keadaan mampu untuk qada’ namun tidak melakukannya kerana cuai. Contohnya seorang pesakit yang terpaksa berbuka dalam bulan Ramadan 2016 kemudiannya disahkan sembuh dan mampu berpuasa qada’ namun tidak melakukannya kerana sibuk melawat Nou Camp, Old Trafford atau Anfield (lalai/cuai) lalu meninggal dunia. Dalam keadaan ini, walinya disunatkan mengqada’ hari-hari yang ditingalkan bagi pihak si mati. Maksud wali di sini ialah kaum kerabatnya. Dalilnya hadis Rasulullah SAW telah bersabda: “Barangsiapa yang mati dan dia masih ada puasa yang tidak diqada’, maka walinya berpuasa bagi pihaknya”(Bukhari & Muslim)
Hadis lain pula menyebut bahawa seorang lelaki datang menemui Nabi SAW katanya “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah mati dan dia meninggalkan satu bulan puasa, apakah perlu bagiku untuk melakukan qada’ bagi pihak ibuku?.” Jawab Baginda SAW “Ya, hutang Allah lebih berhak untuk dijelaskan.”(Bukhari & Muslim)
Sementara puasa orang lain yang bukan kerabat bagi pihaknya adalah sah apabila mendapat keizinan daripada salah seorang kerabatnya. Jika orang lain berkenaan berpuasa tanpa mendapat keizinan kerabat atau wasiat daripada si mati, puasa ganti tersebut tidak sah
Jika tiada seorang pun yang berpuasa bagi pihaknya maka hendaklah dikeluarkan satu cupak makanan bagi setiap hari yang ditinggalkan. Makanan tersebut dikeluarkan daripada harta pusaka peninggalannya, sama seperti hutang. Jika dia tidak memiliki harta, orang lain boleh mengeluarkan bagi pihaknya dan terlepaslah dosanya.
2) Perempuan hamil & menyusukan anak
Ada dua keadaan bagi perempuan hamil dan perempuan yang menyusukan anak.
Situasi pertama apabila seorang perempuan berbuka kerana bimbang wujudnya mudarat terhadap dirinya jika dia meneruskan puasanya, maka dia wajib qada sahaja sebelum tiba Ramadan tahun berikutnya. Sabda Nabi SAW “Sesungguhnya Allah telah mengangkat puasa orang yang musafir dan telah mengurangkan solatnya (dibenarkan Qasar) dan diangkat puasa daripada orang yang hamil dan menyusukan anak.”(Tirmiziy & Abu Dawud). Maksud mengangkat puasa di sini ialah dibenarkan berbuka dan mesti mengqadanya. Berdasarkan hadis di atas, perempuan berkenaan hanyalah perlu qada puasanya sebanyak bilangan hari yang ditinggalkannya
Situasi kedua ialah apabila seorang perempuan berbuka kerana bimbangkan kemudaratan anak dalam kandungannya atau kemudaratan anaknya yang sedang menyusu maka dia wajib qada dan bersedekah satu cupak makanan bagi setiap hari yang ditinggalkannya. Situasi ini samalah seperti orang yang terpaksa berbuka untuk menyelamatkan orang lain yang sedang diancam kemusnahan seperti anggota JPAM, bomba dan sebagainya. Mereka wajib qada puasa mereka dan bersedekah dengan satu cupak makanan untuk setiap hari yang ditinggalkannya.
3) Orang yang terlalu tua dan pesakit yang tiada harapan untuk sembuh
Orang yang terlalu tua dan pesakit yang tiada harapan untuk sembuh seperti pesakit kanser tahap tertentu wajib bersedekah dengan satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan. Mereka tidak perlu untuk melakukan qada’.

RUJUKAN
Al-fiqh al-Manhajiy
Furu’ al-Masaail Wa Usul al-Wasaail

elmargi.blogspot.my

Tiada ulasan: