TAZKIRAH RAMADAN (17)
PUASA-PUASA SUNAT
1) Puasa hari Arafah
Puasa Arafah disunatkan kepada orang yang tidak mengerjakan
haji pada 9 zulhijjah . ini berdasarkan hadis Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW
ditanya mengenai puasa Arafah. Sabda Baginda SAW “Ia menghapuskan dosa-dosa
tahun yang lalu dan tahun yang akan datang”.(Muslim). Dalam hadis lain baginda
SAW bersabda bahawa tidak ada hari yang lebih ramai Allah SWT membebaskan
hambanya daripaa api neraka lebih daripada hari Arafah. (Muslim)
Bagi orang yang sedang menunaikan haji,
mereka tidak disunatkan berpuasa. Bahkan mereka digalakkan berbuka sebagai
mengikut perbuatan Baginda SAW supaya jemaah haji lebih kuat dan gagah untuk
memperbanyakkan doa pada hari tersebut
2) Puasa hari Asyura dan 9 Muharram
Hari Asyura ialah hari 10 muharram. Kita disunatkan
berpuasa pada hari ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang telah berpuasa pada hari Asyura dan
memerintahkan sahabatnya supaya turut sama berpuasa. Sementara hari 9 Muharram
pula turut sama disunatkan untuk kita berpuasa.
3) Puasa hari Isnin dan Khamis
Rasulullah SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.
Rasulullah SAW bersabda “setiap amalan itu akan dibentangkan pada setiap Isnin
dan Khamis. Maka aku suka agar amalanku dibentangkan dalam keadaan aku
berpuasa.”
4) Puasa 3 hari setiap bulan (hari putih)
Maksud 3 hari setiap bulan ialah hari 13,14 dan 15 daripada
kalendar hijrah. Ia juga dinamakan hari putih kerana malam hari tersebut pada setiap
bulan sentiasa bersinar disinari cahaya bulan. Dalilnya ialah hadis dari Abu
Hurairah katanya “kekasihku (Rasulullah SAW) telah berwasiat kepadaku dengan 3
perkara iaitu puasa 3 hari pada setiap bulan, melakukan 2 rakaat solat duha dan
hendaklah aku berwitir sebelum tidur.”
5) Puasa 6 hari dalam bulan Syawal
Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang berpuasa Ramadan
kemudian dia mengiringinya dengan 6 hari dari bulan Syawal maka itu seperti
berpuasa sepanjang tahun.” (Muslim).
Puasa sunat 6 Syawal paling awal boleh
dimulakan pada 2 Syawal. Ia boleh dilakukan secara rambang atau berturut-turut
asalkan jumlah 6 hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana
apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat 6 hari ini, Baginda SAW
menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Justeru
puasa 6 tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal
asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah bulan Syawal.
Yang lebih afdal adalah disegerakan
pelaksanaan puasa 6 Syawal berdasarkan keumuman firman Allah SWT: (Dan
segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat)
keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya
seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa-
Surah Ali Imran 133)
Bagi seseorang yang mempunyai qada Ramadan
dan ingin melalukan puasa 6 Syawal terlebih dahulu, para ulama telah khilaf
dalam masalah ini.
Segolongan ulama berpendapat boleh
Melakukannya. Ini berdasarkan dalil bahawa Aisyah ra pernah mengakhirkan hutang
puasa Ramadan yang perlu diqadanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang.
Aisyah ra berkata ( Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu
mengqadanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah
SAW. -Bukhari & Muslim). Penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah SAW
ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id
Golongan kedua pula berpendapat tidak boleh
melakukannya. Ini berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat 6 Syawal itu
sendiri bahawa Rasulullah SAW mensyaratkan berpuasa Ramadan terlebih dahulu,
kemudian barulah mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal. Ini
menunjukkan puasa sunat 6 Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu
menggenapkan puasa Ramadannya. Jika ada puasa Ramadan yang ditinggalkan, ia
perlu diqada terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat 6
Syawal.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat
kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah SWT akan memberi ganjaran
berdasarkan niat dan azamnya. Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh
Allah swt ke jalan yang di redaiNya.
Masalah
membatalkan puasa sunat
Seorang yang
sedang berpuasa sunat diharuskan membatalkan puasanya jika dia mahu dan dia
tidak diwajibkan untuk qada puasanya itu. Namun hukumnya adalah makruh.
Rasulullah SAW bersabda “orang yang berpuasa sunat adalah ketua kepada dirinya.
Jika dia mahu dia boleh meneruskan puasanya dan jika dia mahu juga dia boleh
berbuka.”
Walaubagaimanapun orang yang sedang melakukan puasa
qada wajib, haram baginya untuk membatalkan puasa. Ini disebabkan keadaannya
yang sudah memulakan puasa qada itu mewajibkan dia menyempurnakannya
#Artikel ini
merupakan edisi kemaskini dengan sedikit penambahan daripada artikel Ramadan
2010 siri 4.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan