Kita selalu tahu bahawa puasa diertikan
sebagai menahan diri daripada melakukan sesuatu perkara yang membatalkan puasa
bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Namun kadang-kadang
kita mungkin terlupa tentang perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala
kita berpuasa. Tazkirah kali ini menyentuh secara ringkas perkara yang boleh
mengurangkan pahala puasa yang berkaitan dengan lidah.
Daripada Abu Hurairah ra katanya,
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia
bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan
memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan,
maka hendak ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”. (Muttafaq
Alayh).
Daripada Abu Hurairah ra beliau berkata Rasulullah
SAW bersabda ”Siapa yang tidak meninggalkan perkataan dan dan perbuatan
dusta, maka Allah tidak mengambil kira perbuatannya meinggalkan makan dan minumnya”.
(Bukhari)
Kelebihan orang yang berpuasa bukan sahaja
terletak kepada menahan makan dan minum serta mengerjakan perkara-perkara yang
membatalkan puasa, tetapi menjaga setiap anggota daripada melakukan perkara
yang mengosongkan pahala puasa. Inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam,
seperti menjaga lidah dan lainnya.
Orang yang
berpuasa hendaklah sabar menerima dugaan daripada Allah SWT, sekiranya mereka
dimaki hamun dan diajak berkelahi oleh seseorang maka hendaklah ia berkata “aku
berpuasa”.
Untuk mengelak
daripada melakukan perkara yang merosakkan puasa, maka (seseorang yang
berpuasa) digalakkan oleh Islam agar banyak beristighfar kepada Allah,
berzikir, berselawat dan sebagainya.
Seorang sahabat, Muaz ra bertanya kepada Nabi
Muhammad SAW ”Bagaimanakah jalan menuju ke syurga?” Nabi SAW menjawab ”Jagalah yang ini (sambil
menunjuk kepada lidahnya)”. Muaz bertanya lagi ”Apakah kita diambil kira
dengan lidah yang kita bercakap?”. Jawab Nabi SAW ” ....bukankah ramai orang
yang dihumban ke dalam neraka berpunca daripada lidahnya yang mengeluarkan
kata-kata”.
Allah SWT berfirman dalam Surah Qaff..... (dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya). Dalam ayat ini, Allah SWT berfirman
bahawa Dia lebih dekat dengan kita daripada urat leher kita sendiri. Disebut
urat leher kerana itulah benda yang paling rapat dengan manusia. Kalau putus
urat leher maka akan matilah manusia. Ia menegaskan tentang ketinggian ilmu
Allah SWT. Allah mengetahui segala-galanya tentang diri kita termasuklah
perkataan yang lidah kita ucapkan.
Baginda SAW bersabda ”Sesiapa yang
dapat menjamin kepada saya suatu organ yang berada di antara dua rahang (lidah)
dan di antara dua kakinya (kemaluan), saya jamin untuknya syurga”.
Ahli hikmah mengatakan bahawa tikaman lidah
lebih berbisa daripada tikaman lembing. Tikaman lembing boleh menyebabkan
kecederaan fizikal, menusuk ke dalam daging kita namun tikaman lidah boleh menerobos
ke dalam hati dan jiwa seseorang.
Khalifah al-Rasyidin yang pertama, Saidina
Abu Bakar ra pernah memegang lidahnya sambil menangis dan berkata bahawa lidah
inilah yang boleh menghumbankan aku ke lembah yang tidak baik.
Ada ulama mengatakan bahawa lidah seperti
binatang buas atau seperti ular berbisa atau seperti api yang menyala nyala.
Kata Abdullah bin Abbas kepada lidahnya, ”Wahai lidahku. Katakanlah sesuatu yang baik
nanti kamu akan dapat ganjaran yang besar atau kamu diam. Jangan berkata
perkara yang buruk nanti kamu akan selamat”.
Abu Dardak ra mengatakan ”Berilah
kesaksamaan antara kedua-dua telingan dan mulut kamu. Kamu dijadikan dalam
keadaan mempunyai dua telinga dan satu mulut supaya kamu lebih banyak mendengar
daripada bercakap. Itulah kesaksamaannya”.
Cara Berinteraksi Dengan Masyarakat
Sewajarnya harus kita ingat bahawa kita hanyalah
manusia biasa, yang hidup dalam masyarakat yang kesemuanya manusia. Kita tidak
terlepas daripada melakukan dosa, begitu juga orang lain. Justeru itu, marilah
kita sama-sama menjada lidah kita dan saling bermaafan kerana kita sering
tersilap
Hukumlah seseorang berdasarkan zahirnya dan
serahkan urusan batinnya kepada Allah. Sesiapa yang telah mengucapkan syahadah,
maka dia dihukumkan Islam dan urusan hati dan batinnya kita serahkan kepada
Allah. Setiap orang yang beriman tidak sunyi daripada melakukan kebaikan yang
terdapat di lubuk hatinya sekalipun tenggelam pada zahirnya dalam perkara
maksiat. Asal sahaja tidak mencabar kekuasaan Allah, tidak menghalalkan perkara
maksiat dan meringankan suruhannya. Justeru itu
seburuk mana insan, mungkin ada kebaikan yang mulia di sisi Allah yang
dilakukannya. Bersangka baiklah, dan jagalah lidah kita.
RUJUKAN
Kuliah Dr Abdul
Basit Abdul Rahman
Basri Ibrahim,
Mohd Safri Ali, Ahmad Tarmizi Taha, Pembersihan jiwa menurut al-Quran dan
al-Sunnah
Riyad al-Salihin, berserta syarahnya Dalil Falihin
https://celiktafsir.net