Sabtu, 19 Mei 2018

TAZKIRAH RAMADAN (21).......banyakkan taubat di bulan Ramadan

Pengertian Taubat
Taubat berasal dari perkataan تَوَبَ  (tawaba) yang dari segi bahasa bermaksud kembali. Seseorang itu dikatakan تابَ  (taaba – telah bertaubat) sekiranya dia telah kembali dari melakukan dosa atau telah meninggalkan dosa itu.
Sementara dari sudut istilah, seseorang itu dikatakan telah bertaubat maksudnya dia telah kembali dari melakukan maksiat atau dosa terhadap Allah untuk dia mentaati Allah. 
Perintah untuk Bertaubat
Rasulullah SAW bersabda (Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala  dari Allah SWT, nescaya diampuni dosa-dosanya telah lalu- Muttafaq alayh).
Ramadan adalah bulan  penghapus dosa. Berpuasa pada bulan Ramadan dapat menghapus dosa-dosa yang pernah kita lakukan asalkan dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh kerana Allah SWT.  
Waktu taubat
Taubat hendaklah dilakukan pada setiap masa dan ketika. Ia tidak semestinya hanya dilakukan dalam bulan. Namun sempena kedatangan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini marilah kita perbanyakkan taubat kerana taubat merupakan langkah pertama kita untuk membersihkan diri
Syarat diterima taubat
1) Berhenti daripada melakukan maksiat kerana Allah. Jika seseorang itu berhenti daripada melakukan maksiat kerana halangan usia yang terlalu tua, faktor kesihatan atau kewangan yang menjadikannya tidak mampu lagi untuk berbuat maksiat ianya tidak diterima. Contohnya seorang yang bergelumang dengan dosa minum arak hendaklah berhenti daripada perbuatannya itu kerana Allah. 
2) Menyesal di atas kesilapan dan kesalahannya itu
3) Berazam untuk tidak mengulangi lagi perbuatannya itu selama-lamanya kerana Allah
4) Sesetengah ulama menegaskan bahawa taubat itu hendaklah dilakukan dalam masa yang mungkin diterima taubat iaitu sebelum nyawa sampai ke halkum dan juga ketika matahari terbit dari sebelah barat. Justeru itu jika seseorang bertaubat dalam keadaan nyawanya sudah sampai ke halkum, sehingga kemungkinan terlihat kepadanya perkara-perkara yang selama ini ghaib daripada pandangan mata kasarnya, taubat sebegini tidak lagi diterima. Begitu juga apabila matahari naik dari tempat terbitnya (tanda-tanda kiamat besar) pada masa itu pintu taubat telah ditutup sepenuhnya.
Jika dosa melibatkan manusia, terdapat satu lagi syarat tambahan (selain 4 syarat di atas) iaitu hendaklah kita melepaskan diri daripada hak seseorang samada perkara yang melibatkan maruah, harta dan sebagainya. Jika melibatkan harta, hendaklah memulangkan harta tersebut, menggantikannya atau memohon kemaafan daripadanya.
Tanda-tanda taubat diterima Allah
1) Keadaan orang yang bertaubat lebih baik daripada sebelumnya
2) Perasaan takut sentiasa menyelubungi dirinya sehingga dia merasakan dirinya tidak selamat daripada kemurkaan Allah walaupun sekelip mata
3) Hatinya merasa hancur luluh kerana penyesalan dan rasa takut kepada Allah
Kisah taubat pencuri & Malik bin Dinar
Seorang pencuri memecah masuk ke dalam rumah Malik bin Dinar tetapi tidak menemui apa-apa barangan untuk dicuri. Malik memanggil pencuri itu dan berkata kepadanya, kamu tidak menemui apa-apa harta dunia di rumah ini untuk dicuri, apakah kamu tidak ingin mendapatkan harta akhirat. Jawab pencuri itu ya. Kata Malik berwuduklah dan solatlah sebanyak dua rakaat. Pencuri itu melakukan suruhan Malik. kemudian beliau ke masjid mengikuti Malik. orang bertanya kepada Malik siapa orang ini. Jawab malik pencuri yang datang untuk mencuri harta kami, namun kami berjaya mencuri hatinya

RUJUKAN
Pembersihan Jiwa Menurut al-Quran, al-Sunnah & Amalan Salafus Salih, Basri Ibrahim, Mohd Safri Ali, Ahmad Tarmizi Taha, Riyad al-Salihin, Imam al-Nawawiy berserta syarah, Dalil al-Falihin  http://muftiwp.gov.my/,https://ustazidrissulaiman.wordpress.com/

Tiada ulasan: