Sabtu, 26 Mei 2018

TAZKIRAH RAMADAN (22).......Puasa Lidah

PANITIA PENDIDIKAN ISLAM SKLR 2018

Kita selalu tahu bahawa puasa diertikan sebagai menahan diri daripada melakukan sesuatu perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Namun kadang-kadang kita mungkin terlupa tentang perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala kita berpuasa. Tazkirah kali ini menyentuh secara ringkas perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa yang berkaitan dengan lidah.

Daripada Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”. (Muttafaq Alayh).

Daripada Abu Hurairah ra beliau berkata Rasulullah SAW bersabda ”Siapa yang tidak meninggalkan perkataan dan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak mengambil kira perbuatannya meinggalkan makan dan minumnya”. (Bukhari)
Kelebihan orang yang berpuasa bukan sahaja terletak kepada menahan makan dan minum serta mengerjakan perkara-perkara yang membatalkan puasa, tetapi menjaga setiap anggota daripada melakukan perkara yang mengosongkan pahala puasa. Inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam, seperti menjaga lidah dan lainnya.
Orang yang berpuasa hendaklah sabar menerima dugaan daripada Allah SWT, sekiranya mereka dimaki hamun dan diajak berkelahi oleh seseorang maka hendaklah ia berkata “aku berpuasa”.
Untuk mengelak daripada melakukan perkara yang merosakkan puasa, maka (seseorang yang berpuasa) digalakkan oleh Islam agar banyak beristighfar kepada Allah, berzikir, berselawat dan sebagainya.
Seorang sahabat, Muaz ra bertanya kepada Nabi Muhammad SAW ”Bagaimanakah jalan menuju ke syurga?” Nabi  SAW menjawab ”Jagalah yang ini (sambil menunjuk kepada lidahnya)”. Muaz bertanya lagi ”Apakah kita diambil kira dengan lidah yang kita bercakap?”. Jawab Nabi SAW ” ....bukankah ramai orang yang dihumban ke dalam neraka berpunca daripada lidahnya yang mengeluarkan kata-kata”.

Allah SWT berfirman dalam Surah Qaff..... (dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya). Dalam ayat ini, Allah SWT berfirman bahawa Dia lebih dekat dengan kita daripada urat leher kita sendiri. Disebut urat leher kerana itulah benda yang paling rapat dengan manusia. Kalau putus urat leher maka akan matilah manusia. Ia menegaskan tentang ketinggian ilmu Allah SWT. Allah mengetahui segala-galanya tentang diri kita termasuklah perkataan yang lidah kita ucapkan.

Baginda SAW bersabda ”Sesiapa yang dapat menjamin kepada saya suatu organ yang berada di antara dua rahang (lidah) dan di antara dua kakinya (kemaluan), saya jamin untuknya syurga”. 

Ahli hikmah mengatakan bahawa tikaman lidah lebih berbisa daripada tikaman lembing. Tikaman lembing boleh menyebabkan kecederaan fizikal, menusuk ke dalam daging kita namun tikaman lidah boleh menerobos ke dalam hati dan jiwa seseorang.

Khalifah al-Rasyidin yang pertama, Saidina Abu Bakar ra pernah memegang lidahnya sambil menangis dan berkata bahawa lidah inilah yang boleh menghumbankan aku ke lembah yang tidak baik.

Ada ulama mengatakan bahawa lidah seperti binatang buas atau seperti ular berbisa atau seperti api yang menyala nyala.

Kata Abdullah bin Abbas kepada lidahnya,  ”Wahai lidahku. Katakanlah sesuatu yang baik nanti kamu akan dapat ganjaran yang besar atau kamu diam. Jangan berkata perkara yang buruk nanti kamu akan selamat”.

Abu Dardak ra mengatakan ”Berilah kesaksamaan antara kedua-dua telingan dan mulut kamu. Kamu dijadikan dalam keadaan mempunyai dua telinga dan satu mulut supaya kamu lebih banyak mendengar daripada bercakap. Itulah kesaksamaannya”.

Cara Berinteraksi Dengan Masyarakat
Sewajarnya harus kita ingat bahawa kita hanyalah manusia biasa, yang hidup dalam masyarakat yang kesemuanya manusia. Kita tidak terlepas daripada melakukan dosa, begitu juga orang lain. Justeru itu, marilah kita sama-sama menjada lidah kita dan saling bermaafan kerana kita sering tersilap

Hukumlah seseorang berdasarkan zahirnya dan serahkan urusan batinnya kepada Allah. Sesiapa yang telah mengucapkan syahadah, maka dia dihukumkan Islam dan urusan hati dan batinnya kita serahkan kepada Allah. Setiap orang yang beriman tidak sunyi daripada melakukan kebaikan yang terdapat di lubuk hatinya sekalipun tenggelam pada zahirnya dalam perkara maksiat. Asal sahaja tidak mencabar kekuasaan Allah, tidak menghalalkan perkara maksiat dan meringankan suruhannya. Justeru itu  seburuk mana insan, mungkin ada kebaikan yang mulia di sisi Allah yang dilakukannya. Bersangka baiklah, dan jagalah lidah kita.
     
RUJUKAN
Kuliah Dr Abdul Basit Abdul Rahman
Basri Ibrahim, Mohd Safri Ali, Ahmad Tarmizi Taha, Pembersihan jiwa menurut al-Quran dan al-Sunnah
Riyad al-Salihin, berserta syarahnya Dalil Falihin
https://celiktafsir.net

Tiada ulasan: