RUMAH KELANTAN LAMA (RKL) 1998
September 1998, kami mengambil keputusan untuk berpindah keluar dari shaqqah yang terletak di Baramica Street. Setelah mencari shaqqah di sekitar Hayyu Sabie dan Asyir, senior kami mengambil keputusan untuk ke Rumah Kelantan Lama (RKL). RKL merupakan 2 unit shaqqah yang menjadi milik Kelantan (tak pasti samada under YAKIN atau YIK). 2 unit berkenaan terletak di aras 1 dan 2. Shaqqah RKL ada 5 buah bilik, 2 buah tandas, dapur yang luas dengan 3 atau 4 balkoni yang mengelilingi shaqqah. Di aras 4, ada sebuah keluarga pelarian politik dari Sudan pada era Sadiq al-Mahdi. Sementara di aras paling atas, terletak shaqqah pemilik asal Imarah.
Kami tinggal 9 orang. Ambo sebilik dengan Zaki Hussin dari Tumpat. Namun beliau jarang berada di RKL. Selalu menghilang ke shaqqah sahabatnya di Masakin Othman. Justeru itu, ambo selalu keseorangan dalam bilik. Bersebelahan bilik ambo ialah tandas kecil. Di sebelah tandas ialah dapur berserta balkoni. Kemudian diikuti bilik yang dihuni oleh Nik Hamdi bersama Razi Abdullah. Ada bilik kecil bersebelahan yang dihuni oleh Sayuti. Kemudian ada tandas besar, lengkap dengan tab mandi. Di sebelahnya bilik Ustaz Mad, otai lama kami bersama Azni Fauzi. Bilik mereka juga ada balkoni. Kemudian tangga di luar dan satu lagi bilik dihuni oleh Faisal Saidi bersama ex housemate ambo, Ahsan Hilmi. Bilik mereka juga ada balkoni dan mengadap ke arah taman yang diselangi oleh jalanraya. Ada satu lagi balkoni besar yang menghadap ke jalanraya setentang dengan kedai Mok Nab. Kebiasaannya di situlah kami minum teh atau hagah saah pada waktu petang
RKL aras dua dihuni oleh 9 orang pelajar. Raja Sharikei bersama Anuwa Shibin. Zailan dan Adli (ex housemate ambo) dalam satu bilik. Nurhalim bersama Farus Saidi, Wan Zamri bersama Asri Hussin dan seorang lagi ialah Tarmizi. Sewa bulanan kami yang perlu dibayar kepada persatuan anak Kelantan ialah LE35 sebulan. Sementara duit dapur yang kami share setiap bulan sekitar LE60-70. Agak murah dengan kadar Kaherah.
RKL agak sibuk dan padat. Menjadi kebiasaan mana-mana pelajar Kelantan dari Muhafazah yang berkunjung ke Kaherah dan tiada tempat merebahkan badan, maka RKL akan menjadi destinasi menginap mereka. Selain itu, RKL juga menjadi tempat singgahan pelajar otai yang pulang dari eropah atau yang datang dari Malaysia. Mereka ke eropah (UK) untuk berkerja sebagai pemetik strawberi. Ada juga yang berkerja kilang dan cleaner. Kebiasaannya pada November mereka akan kembali menyambung pengajian di Kaherah. Ada juga yang berada di eropah selama setahun, cari duit dan kembali menyambung pengajian. Ada juga senior yang hanya mempunyai beberapa subjek, mereka akan pulang ke Malaysia untuk berkerja dan ada yang mendirikan rumahtangga. Selepas beberapa tempoh, mereka akan kembali ke Kaherah untuk menduduki peperiksaan (beberapa subjek sahaja). Begitulah hidup sebahagian daripada kami yang biasanya tidak mendapat tajaan atau pinjaman pelajaran daripada mana-mana pihak. Sebagai shaqqah yang ditadbir oleh persatuan, maka RKL menjadi milik semua. Apa yang bagus, ambo dapat kenal ramai senior lama bertaraf otai.
Di luar RKL, ada bangunan tinggi. Kat tingkat paling bawah, ada kedai runcit milik perempuan arab. Kami panggil Mok Nab. Entah siapa nama sebenarnya. Kami juga tak tahu statusnya samada bersuami atau tidak, yang pasti kami selalu lihat dia keseorangan di kedai bersama seorang budak lelaki. Kami biasa minum hagah saah di bangku di depan kedainya sambil melihat ke arah RKL.
Kadang-kadang bila kita berada lama di sesebuah negara, kita akan terikut dengan budaya tempatan samada kita sedar atau pun tidak. Kami biasa bersembang dengan suara yang kuat. Ada geng RKL yang sedang membeli barangan harian di kedai Mok Nab, tetiba terdengar jeritan dari RKL aras 2 supaya beli garam, gula dan sebagainya. Nak kirim barangan la konon. Kuatnya suara kami, arab tempatan pun berpaling dari balkoni. Ustaz Mad selaku otai RKL selalu menegur kami supaya menghormati budaya tempatan. Jangan sesekali melakukan perbuatan yang mereka tak suka, walaupun perbuatan tersebut mereka juga yang buat.
Bersebelahan dengan kedai Mok Nab, ada ruang terbuka yang dihuni oleh bawwab yang mengawasi 3 buah Imarah secara serentak. Namanya Abu Eid. Abu Eid merupakan bawwab yang bertanggungjawab tentang keselamatan dan urusan keluar masuk bangunan kami. Ambo tak pasti berapakah bayaran yang dibayar oleh pihak persatuan selaku pengurus shaqqah RKL kepada Abu Eid sebagai upah menjadi bawwab
Bilik ambo di RKL ada satu tingkap dengan dua daun. Tingkap di Kaherah ada dua lapisan. Lapisan paling luar dibuat daripada kayu. Ada ruang angin kat tingkap. Sebelah lapisan kedua ialah tingkap cermin. Apabila musim panas, kami buka kedua-dua lapisan tingkap. Sementara pada musim sejuk kami akan tutup tingkap cermin sementara tingkap luar kami biarkan terbuka untuk pencahayaan. Bersebelahan dengan bilik ambo, ada lot kosong. Sebelah lot kosong ada bangunan yang dihuni akhawat Malaysia. Justeru itu, tingkap kayu bilik ambo sentiasa tertutup.
Selang beberapa lot dari bangunan RKL, ada sebuah masjid kecil yang diuruskan oleh Jemaah Tabligh (JT) arab tempatan. Ambo dah lupa nama masjid. Kami biasa solat jumaat di masjid berkenaan. Kalau lewat AJK masjid akan hamparkan tikar di ruang pejalan kaki, atas jalanraya dan sebagainya. Ada bangunan kosong tanpa penghuni di depan masjid. Entah terbengkalai atau ada masalah lain. Ambo menetap di RKL dari tahun 1998 sehingga 1999 sebelum ke elMarg