KAHWIN
Antara soalan yang selalu ditanya apabila pulang bercuti atau pulang graduasi ialah kenapa ramai pelajar kita berkahwin semasa masih belajar kat Mesir? Ada juga sesetengah orang tua di Malaysia bertanyakan ambo, sekelas ker dengan akhawat (gelaran merujuk kepada pelajar perempuan Malaysia) masa kat universiti?
Soalan sebegini agak sukar dijawab. Ambo tak tahu statistik melibatkan perkahwinan pelajar Malaysia kat sini. Ambo juga tak tahu bagaimana mereka berjumpa dan boleh berkenalan hingga ke jinjang pelamin. Ada benda yang kita perlu ambil tahu. Ada benda yang kita tidak perlu ambil peduli. Apa yang pasti, kami tidak sekelas dengan akhawat bahkan belajar di tempat yang berbeza. Bangunan fakulti untuk akhawat di Kaherah terletak di Nasr City semetara kami pelajar lelaki (disebut ikhwah) akan ke Husayn (ada yang sebut Darrasah).
Ambo juga tak tahu statistik perkahwinan pelajar kita dengan wanita arab dan sebaliknya antara akhawat Malaysia dengan lelaki arab Mesir (ada tetapi agak nadir). Senior pernah menyebut beberapa nama otai kat sini yang berkahwin dengan wanita arab. Salah seorang daripada anaknya ialah penyampai radio di IKIM (tak pasti sekarang samada masih bertugas atau tak)
Bab kahwin ni tak sama. Sebab yang nak kahwin, nak menanggung tanggungjawab dalam rumahtangga, tak sama dengan orang yang tak nak kahwin (belum masanya kahwin). Justeru itu, orang yang ada hajat nak berkahwin takkan sama cara fikirnya dengan orang yang tak pernah terlintas untuk berkahwin kat sini
Ada juga teman SEMUARA yang berkahwin kat sini. Ada yang berkahwin sesama geng SEMUARA. Ada yang berkahwin ketika tahun akhir pengajian. Ada juga yang berkahwin ketika tahun2 awal mereka di Kaherah. Jodoh mereka dah sampai. Kita mendoakan semoga mereka semuanya bahagia di bawah rahmat dan Inayah Allah.
Ustaz kami kat SEMUARA dulu pernah bercerita, ada kawannya yang dah tak mampu nak belajar (ustaz kami lepasan Azhar era Presiden Anwar Sadat). Dah tak mampu nak baca buku. Nak baca buku pada halaman 100 contohnya, dia akan letakkan gambar tunangnya pada mukasurat 101, barulah dia dapat baca buku tersebut. Seterusnya kalau nak baca buku pada mukasurat 102, dia akan selitkan gambar tunangannya itu kat mukasurat 103. Begitulah seterusnya. Pada masa tu, ramai rakan menasihati beliau supaya berkahwin. Dia berkahwin dengan tunangannya dan dia dapat menghabiskan pengajian pada tahun berikutnya dengan tidak pernah gagal lagi. Ambo teringat kata2 ustaz Azhar Idrus dalam salah satu video youtube, kalau tengok tiang eletrik nampak perempuan, maknanya dah wajib kahwin.
Kat sini ada satu unit di bawah persatuan pelajar. Unit Bayt Muslim (UBM). Secara lateral bermaksud Unit Rumah Muslim. Ambo tak begitu faham fungsi sebenar dan tujuan unit ini. Cuma persepsi awal dalam kepala kami, sapa yang nak kahwin namun takder calon, boleh la pergi ke UBM. Atau mungkin mereka dah ada cadangan, dah kenal masa kat Malaysia lagi dan nak mendirikan rumahtangga, maka UBM inilah yang menjadi rujukan kami. (fungsi UBM boleh dibaca di laman sesawang terkini KPKM). Jujurnya itulah yang ada dalam kepala kami apabila ditanya fungsi UBM ni
Ada sahabat sekampung ambo yang berkahwin semasa masih bergelar mahasiswa. Kami sama2 menjejakkan kaki ke bumi Mesir tahun 1997. Beliau lulusan pondok. Pernah belajar di beberapa buah pondok di Kelantan sebelum ke Mesir. Justeru itu, umurnya semasa melanjutkan pengajian kat mesir dah lebih 23 tahun. 2 3 tahun kat Mesir, beliau menzahirkan hasratnya untuk berkahwin kepada seorang senior namun beliau tidak mempunyai calon isteri. Senior tersebut mencadangkan kepada beliau supaya berjumpa dengan AJK UBM. Sahabat kami berkenaan terus ke UBM. AJK UBM akan mencadangkan beberapa nama (ambo tak pasti camana proses tu). Kemudian apabila sahabat kami dah berkenan, mereka akan mengadakan pertemuan. Pertemuan tersebut ditemani oleh pasangan yang dah berkahwin di rumah pasangan berkenaan. Ambo hanya tahu cerita sahabat kami setakat tu jer. Beberapa bulan kemudian, beliau berkahwin dengan pasangannya.
Seingat ambo pada tahun 1998 pihak persatuan menganjurkan walimah untuk 5 atau 6 pasangan serentak. Kami tak pasti berapa kg daging (atau sembelih lembu, ambo lupa) yang digunakan untuk walimah. Namun majlis jamuan agak meriah. Teman2 kami dari luar Kaherah juga datang ke RKB untuk sama-sama meraikan pasangan pengantin.
Apabila berkahwin, pasangan suami isteri akan menyewa satu shaqqah bersama. Kalau kita menyewa shaqqah di Kaherah, harga sewa untuk rumah kelamin lebih murah daripada rumah bujang. Katakan rumah bujang 3 bilik berharga LE400, rumah kelamin biasanya sekitar antara LE250- LE300 bergantung kepada ihsan tuan rumah. Jika suami belajar di Kaherah dan isteri belajar di al-Azhar muhafazah seperti Mansoura, kebiasaannya mereka akan menyewa di Mansoura (bukan semua). Harga sewa shaqqah di muhafazah kebiasaannya lebih murah jika dibandingkan dengan Kaherah. Justeru itu, si suami akan berulang untuk ke kuliah di Kaherah yang berjarak hampir 150km. kalau tak silap, berdasarkan laporan akhbar tempatan (pada masa itu) hampir 2 juta penduduk Mesir yang berada di muhafazah berulang keluar masuk ke Kaherah atas urusan kerja atau peribadi setiap hari
Ambo juga tak tahu sangat pasal urusan pendaftaran perkahwinan di Mesir terutama apabila pulang ke Malaysia nanti. Bab kahwin ni satu jer petua, kalau anda nak kahwin, seriuslah. Jangan buat main-main. Kalau anda tiada cita-cita nak kahwin kat sini, tak perlu fikir apa-apa. Jalan terus. Kalau dah sampai masanya jodoh tetap akan tiba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan