Ahad, 3 Jun 2012

saham: beza saham dengan bon

Perbezaan Saham Dengan Bon[1]
Saham adalah pemilikan dalam sesebuah syarikat. Oleh itu, pemegang sijil saham merupakan pemilik syarikat dan ia mempunyai hak serta tanggungjawab terhadp syarikat. Berbeza dengan bon, ia merupakan hutang ke atas syarikat. Pemiliknya merupakan pemiutang kepada syarikat.

Pemilik saham akan mendapat keuntungan melalui dividen apabila syarikat mendapat keuntungan. Sebaliknya apabila syarikat menanggung kerugian, pemilik saham akan sama-sama menangung rugi. Berbeza dengan pemilik bon, mereka akan mendapat keuntungan melalui faedah tetap tahunan sama ada syarikat tersebut mendapat keuntungan atau kerugian.[2] Apabila syarikat dibubarkan, pemilik bon akan diberi keutamaan berbanding pemilik saham. [3]

Pemilik bon tidak memiliki hak untuk masuk campurtangan dalam urusan pentadbiran syarikat seperti hak untuk mengundi dalam mesyuarat agung, hak untuk melantik dan memecat ahli lembaga pengarah sebagaimana yang dimiliki oleh pemilik saham


[1] al-Zuhailiyy, al-Fiqh al-Islamiyy , hlm.166
               
[2] Muhammad Sabri Harun, Ahkam al-aswaq al-maliyyah, hlm. 34

                [3] ibid

Ahad, 20 Mei 2012

saham: ciri-ciri saham

Saham mempunyai beberapa ciri-ciri yang membezakannya dengan sekuriti-sekuriti lain khasnya dengan bon.

Ciri-ciri tersebut ialah:
 1) Saham boleh dipindah-milik melalui cara perniagaan atau jual-beli biasa. contohnya kita beli saham pada januari 2012, then selepas melalui satu tempoh masa kita boleh memindahkan milik kita kepada orang lain dengan cara menjualnya

 2) Saham mempunyai nilai tara yang sama. Nilai tara adalah nilai muka sesuatu saham semasa ia diterbitkan. Biasanya saham yang diterbitkan mempunyai nilai tara RM1. Kebiasaannya saham yang dijual kepada orang ramai adalah pada harga tara terutamanya bagi perniagaan yang baru ditubuhkan

3) Tanggungan pelabur terhadap syarikat adalah mengikut kadar jumlah saham mereka. Oleh itu, mereka tidak bertanggungjawab terhadap hutang-hutang syarikat kecuali mengikut kadar saham yang mereka milik sahaja. Sekiranya sesebuah syarikat itu bankrap dan tidak mampu untuk menjelaskan hutang-hutangnya, pelabur tidak perlu membayar hutang tersebut dengan harta peribadinya.


RUJUKAN

al-Zuhailiyy, Wahbah, al-Fiqh al-Islamiyy wa adillatuh, Dar al-Fikr, Damsyik-Syria, 1996, Jil. 9, hlm.165

Ismail Ibrahim, Saham, hlm. 3

 al-Khayyat, cAbdul cAziz, al-Asham wa al-sanadat min manzur Islamiyy, Dar al-Salam Li al-Tabacah Wa al-Nashri Wa al-Tawzic, Sharic al-Azhar, al-Ghuriyyah, 1997, hlm. 39

Sabtu, 19 Mei 2012

saham...pengenalan

untuk menakrifkan saham, ada macam2 pendapat yang dikemukan oleh ahli ekonomi. ada sebahagian mereka yang mengatakan saham ini merujuk kepada sijil atau skrip.

 ada juga di kalangan mereka yang mengatakan bahawa saham ini ialah bahagian tertentu daripada modal yang kita berikan kepada syarikat untuk dilaburkan. kemudian sijil akan dikeluarkan sebagai pengesahan bahawa individu berkenaan telah membeli saham syarikat tertentu apabila seseorang individu telah membeli saham syarikat tertentu, maknanya dia telah memberikan modal kepada syrikat berkenaan. individu berkenaan (pelabur) pada dasarnya bersetuju untuk menghadapi sebarang risiko seperti rugi jika saham syarikat berkenaan lingkup. sebaliknya jika syarikat berkenaan dapat untung, maka individu atau pelabur berkenaan akan mendapat dividen. modal ini dikenali sebagai ekuiti dan tiada jaminan untuk mendapatkan keuntungan, juga tiada jaminan untuk mendapatkan semula wang modalnya

 # hamba akan cuba membaca sambil menulis kembali pasal saham. sebahagian besar artikel ini (dan selepas ini) merupakan gabungan asingment dan disertasi semasa blaja dulu

Ahad, 29 April 2012

Hukum Memindahkan Zakat.....Terdapat Mustahiq Di Dalamnya

2.2.2 Situasi Kedua: Pemindahan Zakat & Terdapat Mustahiq Di Dalamnya
Situasi kedua ialah pemindahan harta zakat keluar kawasan dalam keadaan terdapat golongan yang berhak menerimanya di dalam kawasan tersebut. Isu ini menjadi perbezaan pendapat di kalangan ulama kepada 3 golongan:
Pertama: Kumpulan yang mengatakan makruh
Kumpulan ini berpendapat bahawa makruh memindahkan dana zakat keluar daripada kawasan kutipan terutama setelah tiba akhir haul. Mereka mengatakan bahawa harta yang dikutip lebih elok jika diagihkan kepada golongan yang berhak menerimanya yang tinggal atau berada di dalam kawasan kutipan zakat berkenaan.
Mereka berpegang kepada hujah hadis Muaz bin Jabal yang ditugaskan mengutip zakat dan terus membahagikannya kepada golongan fakir dan miskin di kalangan penduduk Yaman sahaja. Pendapat ini merupakan pendapat mazhab Hanafi, Hasan al-Basri, Ibrahim al-Nakhaie dan sebagainya.
Kedua: Kumpulan yang mengatakan harus
Kumpulan kedua pula mengatakan hukumnya harus memindahkan harta zakat keluar daripada kawasan kutipan. Pendapat ini dinisbahkan kepada mazhab Syafie.
Asas atau hujahnya ialah keumuman ayat 60 surah al-Taubah yang tidak menyebut tentang daerah atau kawasan yang khusus. Muaz bin Jabal pernah menyeru penduduk Yaman agar mengumpulkan seberapa banyak pakaian daripada khamis sebagai ganti gandum dan jagung untuk dibahagikan kepada penduduk madinah.
Selain itu, pada masa pemerintahan khalifah Abu Bakar al-Siddiq pula, Adi bin Hatim dan Zabarqan ibn Badr telah menyerahkan kutipan zakat daripada kawasan Tay dan Bani Tamim ke Madinah untuk digunakan sebagai belanja menghadapi peperangan riddah.
Khalifah Umar al-Khattab juga telah mebahagikan dana zakat yang dikirim oleh Gabenor Mesir, Amru al-As kepada penduduk Madinah yang ditimpa musim kemarau.

Ketiga: Kumpulan yang berpegang kepada tidak harus
Kumpulan ini melarang dan menegah pemindahan dana zakat ke mana-mana tempat. Pendapat ini disandarkan kepada mazhab Maliki.
Asas tegahan ini juga berdasarkan kepada hadis Muaz selaku pegawai zakat yang ditugaskan memungut zakat di kawasan Yaman. Beliau mengutipnya di kawasan Yaman lalu membahagikannya di kalangan penduduk miskin di Yaman.
Dalam riwayat yang lain pula, telah diceritakan bahawa Abu Juhaifah, seorang kanak-kanak yatim telah mendapat agihan seekor unta yang dibayar oleh penduduk di daerahnya



RUJUKAN
Mustahiq ialah golongan yang berhak menerima zakat (disebut juga asnaf 8)

Mujaini Tarimin, Zakat Menuju Pengurusan Profesional, Utusan Publications & Distributors, Selangor, hlm. 83-8

al-Qardawi, Yusuf, Fiqh al-Zakat Dirasat Muqaranah Li Ahkamiha Wa Falsafatiha Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah, Muassasah al-Risalah, Beirut, Jil 2, hlm, 814-817

Muhammad Bakr Ismail, al-Fiqh al-Wadih Min al-Kitab Wa al-Sunnah Ala al-Mazahib al-Arbaah, Dar al-Manar, Kaherah, Jil.1, hlm511,

Ali al-Syarbajiy, Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, al-Fiqh al-Wadih, al-Dar al-Shamiah, Beirut, jil. 1.,

http://muhammadmaryono.wordpress.com/2012/03/02/

Hukum Memindahkan Zakat......Penduduk Setempat Tidak Memerlukan

2.2 Hukum Memindahkan Zakat Berdasarkan Situasi Penduduk Setempat
Ada 2 keadaan agihan zakat keluar daerah. Pertamanya zakat diagihkan keluar kerana penduduk tempatan tidak memerlukannya dan kedua agihan dipindahkan keluar sedangkan penduduk tempatan masih memerlukan bahagian agihan.
2.2.1 Situasi 1: Penduduk Setempat Tidak Memerlukan Agihan Zakat
Dalam keadaan pertama, Jumhur Ulama mengharuskan pemindahan dana zakat keluar daripada kawasan kutipan.
Maksud penduduk setempat tidak memerlukan zakat ialah tiada kedapatan golongan yang berhak menerima zakat di sesebuah kawasan pungutan atau harta zakat mempunyai lebihan yang banyak sedangkan golongan yang berhak menerimanya telah pun diagihkan haknya. Pada masa ini zakat bolehlah diserahkan kepada pemerintah untuk disalurkan mengikut pertimbangan dan budi bicaranya atau si pembayar zakat sendiri yang memindahkan hartanya ke kampung yang berdekatan.
Mengikut pendapat sebahagian mazhab Syafie dan Maliki, agihan ini diwajibkan jika tidak terdapat golongan yang berhak menerima zakat sedangkan harta zakat masih banyak atau tidak terdapat golongan yang berhak menerimanya. Kata al-Dasuqi:

ان لم يكن بمحل الوجوب او قرية مستحق فانها تنقل كلها وجوبا لمحل فيه مستحق ولو على مسافة القصر
(maksudnya: jika tidak terdapat asnaf yang memerlukan agihan zakat di tempat zakat dikutip, dana tersebut wajib diagihkan ke tempat lain semuanya, biarpun tempat itu jauh melebihi had qasar solat)
Dalam riwayat yang dinukilkan daripada Abu Ubaid, Muaz yang merupakan seorang pegawai zakat pada masa Nabi Muhammad SAW dan Umar al-Khattab telah menyerahkan baki zakat yang tidak dapat diagihkan kepada Umar. Walaubagaimanapun Umar telah memulangkan semula kepada Muaz walau pun Muaz telah menceritakan bahawa di kawasan pungutan zakat itu sudah tiada lagi golongan yang memerlukannya. Jelasnya, dana zakat yang tidak dapat dihabiskan agihan di tempat pungutan harus dipindahkan keluar kawasan.
Syeikh Qardawi pula berpendapat bahawa harus membawa keluar harta zakat dari kawasan agihan berdasarkan situasi di atas dan keharusan ini merupakan suatu perkara ijmak.


RUJUKAN
al-Qardawi, Yusuf, Fiqh al-Zakat Dirasat Muqaranah Li Ahkamiha Wa Falsafatiha Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah, Muassasah al-Risalah, Beirut, Jil 2, hlm, 813

al-Dusuqi, Ibrahim bin Abdul Aziz, Hashiyah Dusuqi, Dar Ihya’ al-Kutub al-Arabiyyah, t.t., vol 1, hlm.501

Mujaini Tarimin, Zakat Menuju Pengurusan Profesional, Utusan Publications & Distributors, Selangor, hlm. 83-84