Ahad, 29 April 2012

Hukum Memindahkan Zakat......Penduduk Setempat Tidak Memerlukan

2.2 Hukum Memindahkan Zakat Berdasarkan Situasi Penduduk Setempat
Ada 2 keadaan agihan zakat keluar daerah. Pertamanya zakat diagihkan keluar kerana penduduk tempatan tidak memerlukannya dan kedua agihan dipindahkan keluar sedangkan penduduk tempatan masih memerlukan bahagian agihan.
2.2.1 Situasi 1: Penduduk Setempat Tidak Memerlukan Agihan Zakat
Dalam keadaan pertama, Jumhur Ulama mengharuskan pemindahan dana zakat keluar daripada kawasan kutipan.
Maksud penduduk setempat tidak memerlukan zakat ialah tiada kedapatan golongan yang berhak menerima zakat di sesebuah kawasan pungutan atau harta zakat mempunyai lebihan yang banyak sedangkan golongan yang berhak menerimanya telah pun diagihkan haknya. Pada masa ini zakat bolehlah diserahkan kepada pemerintah untuk disalurkan mengikut pertimbangan dan budi bicaranya atau si pembayar zakat sendiri yang memindahkan hartanya ke kampung yang berdekatan.
Mengikut pendapat sebahagian mazhab Syafie dan Maliki, agihan ini diwajibkan jika tidak terdapat golongan yang berhak menerima zakat sedangkan harta zakat masih banyak atau tidak terdapat golongan yang berhak menerimanya. Kata al-Dasuqi:

ان لم يكن بمحل الوجوب او قرية مستحق فانها تنقل كلها وجوبا لمحل فيه مستحق ولو على مسافة القصر
(maksudnya: jika tidak terdapat asnaf yang memerlukan agihan zakat di tempat zakat dikutip, dana tersebut wajib diagihkan ke tempat lain semuanya, biarpun tempat itu jauh melebihi had qasar solat)
Dalam riwayat yang dinukilkan daripada Abu Ubaid, Muaz yang merupakan seorang pegawai zakat pada masa Nabi Muhammad SAW dan Umar al-Khattab telah menyerahkan baki zakat yang tidak dapat diagihkan kepada Umar. Walaubagaimanapun Umar telah memulangkan semula kepada Muaz walau pun Muaz telah menceritakan bahawa di kawasan pungutan zakat itu sudah tiada lagi golongan yang memerlukannya. Jelasnya, dana zakat yang tidak dapat dihabiskan agihan di tempat pungutan harus dipindahkan keluar kawasan.
Syeikh Qardawi pula berpendapat bahawa harus membawa keluar harta zakat dari kawasan agihan berdasarkan situasi di atas dan keharusan ini merupakan suatu perkara ijmak.


RUJUKAN
al-Qardawi, Yusuf, Fiqh al-Zakat Dirasat Muqaranah Li Ahkamiha Wa Falsafatiha Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah, Muassasah al-Risalah, Beirut, Jil 2, hlm, 813

al-Dusuqi, Ibrahim bin Abdul Aziz, Hashiyah Dusuqi, Dar Ihya’ al-Kutub al-Arabiyyah, t.t., vol 1, hlm.501

Mujaini Tarimin, Zakat Menuju Pengurusan Profesional, Utusan Publications & Distributors, Selangor, hlm. 83-84

Tiada ulasan: