Ahad, 29 April 2012

Hukum Memindahkan Zakat.....Terdapat Mustahiq Di Dalamnya

2.2.2 Situasi Kedua: Pemindahan Zakat & Terdapat Mustahiq Di Dalamnya
Situasi kedua ialah pemindahan harta zakat keluar kawasan dalam keadaan terdapat golongan yang berhak menerimanya di dalam kawasan tersebut. Isu ini menjadi perbezaan pendapat di kalangan ulama kepada 3 golongan:
Pertama: Kumpulan yang mengatakan makruh
Kumpulan ini berpendapat bahawa makruh memindahkan dana zakat keluar daripada kawasan kutipan terutama setelah tiba akhir haul. Mereka mengatakan bahawa harta yang dikutip lebih elok jika diagihkan kepada golongan yang berhak menerimanya yang tinggal atau berada di dalam kawasan kutipan zakat berkenaan.
Mereka berpegang kepada hujah hadis Muaz bin Jabal yang ditugaskan mengutip zakat dan terus membahagikannya kepada golongan fakir dan miskin di kalangan penduduk Yaman sahaja. Pendapat ini merupakan pendapat mazhab Hanafi, Hasan al-Basri, Ibrahim al-Nakhaie dan sebagainya.
Kedua: Kumpulan yang mengatakan harus
Kumpulan kedua pula mengatakan hukumnya harus memindahkan harta zakat keluar daripada kawasan kutipan. Pendapat ini dinisbahkan kepada mazhab Syafie.
Asas atau hujahnya ialah keumuman ayat 60 surah al-Taubah yang tidak menyebut tentang daerah atau kawasan yang khusus. Muaz bin Jabal pernah menyeru penduduk Yaman agar mengumpulkan seberapa banyak pakaian daripada khamis sebagai ganti gandum dan jagung untuk dibahagikan kepada penduduk madinah.
Selain itu, pada masa pemerintahan khalifah Abu Bakar al-Siddiq pula, Adi bin Hatim dan Zabarqan ibn Badr telah menyerahkan kutipan zakat daripada kawasan Tay dan Bani Tamim ke Madinah untuk digunakan sebagai belanja menghadapi peperangan riddah.
Khalifah Umar al-Khattab juga telah mebahagikan dana zakat yang dikirim oleh Gabenor Mesir, Amru al-As kepada penduduk Madinah yang ditimpa musim kemarau.

Ketiga: Kumpulan yang berpegang kepada tidak harus
Kumpulan ini melarang dan menegah pemindahan dana zakat ke mana-mana tempat. Pendapat ini disandarkan kepada mazhab Maliki.
Asas tegahan ini juga berdasarkan kepada hadis Muaz selaku pegawai zakat yang ditugaskan memungut zakat di kawasan Yaman. Beliau mengutipnya di kawasan Yaman lalu membahagikannya di kalangan penduduk miskin di Yaman.
Dalam riwayat yang lain pula, telah diceritakan bahawa Abu Juhaifah, seorang kanak-kanak yatim telah mendapat agihan seekor unta yang dibayar oleh penduduk di daerahnya



RUJUKAN
Mustahiq ialah golongan yang berhak menerima zakat (disebut juga asnaf 8)

Mujaini Tarimin, Zakat Menuju Pengurusan Profesional, Utusan Publications & Distributors, Selangor, hlm. 83-8

al-Qardawi, Yusuf, Fiqh al-Zakat Dirasat Muqaranah Li Ahkamiha Wa Falsafatiha Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah, Muassasah al-Risalah, Beirut, Jil 2, hlm, 814-817

Muhammad Bakr Ismail, al-Fiqh al-Wadih Min al-Kitab Wa al-Sunnah Ala al-Mazahib al-Arbaah, Dar al-Manar, Kaherah, Jil.1, hlm511,

Ali al-Syarbajiy, Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, al-Fiqh al-Wadih, al-Dar al-Shamiah, Beirut, jil. 1.,

http://muhammadmaryono.wordpress.com/2012/03/02/

Tiada ulasan: