Isnin, 11 April 2011

kaedah penulisan ilmu usul feqh

KAEDAH PENULISAN ILMU USUL FEQH
Ada 2 kaedah besar tentang penulisan ilmu usul feqh iaitu kaedah al-Syafiiyyah atau ulama kalam dan kaedah al-Hanafiyyah. Ada satu lagi teknik yang muncul selepas kedua-dua kaedah penulisan ini iaitu kaedah mutaakhirin yang cuba menggabungkan 2 kaedah ini.

Kaedah Ulama al-Syafie Dan al-Kalam. (Jumhur)
Ulama al-Syafie dan ahli kalam menyusun ilmu usul al-feqh dengan cara menyusun dan membuat kaedah-kaedah usul al-feqh berdasarkan kepada nas dan dalil atau dalam erti kata lain setiap kaedah usul al-feqh itu mestilah disokong dengan dalil samada dalil aqli dan naqli. Mereka juga memperbanyakkan perbahasan di dalam perbincangan mereka sebagaimana di dalam ilmu kalam. Mereka juga akan meninggalkan kaedah-kaedah yang bertentangan dengan dalil dan menetapkan dengan beberapa kaedah lain tanpa mengambil kira samada ianya bertepatan dengan masalah feqh atau menyamai kaedah yang telah ditetapkan oleh Imam mereka. justeru itu , para ulama al-Kalam dan Ulama Syafi’iyyah tidak memasukkan perbahasan mengenai masalah-masalah feqh yang berkaitan dengan kaedah usul dalam kitab-kitab mereka , kecuali sedikit sahaja yang dijadikan sebagai penjelasan terhadap sebahagian kaedah-kaedah usul. Mereka mengasingkan dan membiarkan segala perbahasan yang meyentuh masalah feqh dibahaskan dengan panjang lebar dalam kitab-kitab feqh sahaja. Kaedah ini dipelopori oleh kebanyakkan ulama usuliyyin dari kalangan Syafi’iyyah, Muktazilah, Malikiyah dan Jaafariyyah

Kitab-Kitab Yang Masyhur Mengikut Kaedah Syafiiyah :
1) al-Burhan oleh Imam al-Haramayn Abdul Malik bin Abdullah al-Juwainiy al-Syaficiy
2) al-Mustasfa oleh Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali al-Syaficy (meninggal 505H
3) al-Muctamad oleh Abu Husayn Muhammad bin Ali al-Basriy al-Muktaziliy (meninggal 413H)
4) al-Ihkam Fi Usul al-Ahkam oleh Saif al-Din al-Amidiy al-Syaficy (meninggal 631H)

Kaedah Ulama Hanafiyyah
Seterusnya penyusunan ilmu usul al-feqh mengikut kaedah ulama Hanafiah pula ialah dengan menyusun dan membentuk kaedah-kaedah feqh berdasarkan kepada apa yang telah ditetapkan atau diijtihadkan oleh Imam mereka terhadap sesuatu permasalahan feqh. Ini bermakna para ulama Hanafiah akan meletakkan kaedah yang dilihat bertepatan dan bersesuaian dengan ijtihad dan istinbat hukum yang dilakukan oleh Imam mereka. Itulah sebabnya para ulama yang mengguna pakai kaedah penulisan ini akan memasukkan sekian banyak perbahasan dalam masalah feqh ke dalam kitab-kitab usul mereka.

Kitab-Kitab Masyhur Kaedah Hanafiyyah
1. Al-Usul oleh Abu Bakr Ahmad bin ‘Ali atau dikenali sebagai al-Jassas (w:370h)
2. Al-Usul oleh Abu Zaid ‘Abdullah bin ‘Umar ad-Dabusi (w:430h)
3. Al-Usul oleh Fakhr al-Islam ‘Ali bin Muhammad al-Bazdawi (w:482h)
4. Kasyf al-Asrar oleh ‘Abd al-’Aziz bin Ahmad al-Bukhari (w:730h)

Kaedah Ulama Mutaakhirin
Kaedah penyusunan dan penulisan mengikut ulama al-Mutaakhirin pula ialah dengan menggabungkan kedua-dua kaedah di atas iaitu dengan menetapkan sesuatu kaedah beserta dalil-dalilnya serta diaplikasikan atau dikaitkan dengan permasalahan feqh. Antara kitab-kitab yang terkenal dengan penulisan mengikut kaedah ini ialah :
1. Badic al-Nizam oleh Muzaffar ad-Din Ahmad bin Ali as-Sacati al-Hanafi (w:649H)
2. At-Tanqih dan syarahnya al-Taudih oleh Sadr as-Syari’ah ‘Abdullah bin Mas’ud al-Hanafi. (w:747H)
3. Jamc al-Jawamic oleh al-Imam Taj al-Din Abd al-Wahhab bin Ali al-Subki al-Syafie.(w:771H)
4. Syarh al-Taudih Al-Syeikh Saad al-Din Masud Ibn Umar al-Tiftazani al-Syafie (w:792H)


RUJUKAN
1) Isa Ulaiwah Zahran, al-Mukhtasar Fi Usul al-Feqh, Universiti al-Azhar, Kaherah, 1997
2)www.al-ahkam.net

Tiada ulasan: