Sabtu, 6 Ogos 2011

Tazkirah Ramadan 6...Solat Tarawih

TAZKIRAH RAMADAN (6)
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR
SOLAT TARAWIH

Takrif
Tarawih dari segi bahasa bermaksud berehat, santai, bersenang-senang, melapangkan nafas dan seumpamanya. Sementara dari segi istilah, tarawih ialah ibadat solat yang dilakukan pada waktu malam di bulan Ramadan. Waktunya selepas solat isyak dan berakhir dengan masuk waktu subuh, tidak termasuk sunat ratibah isyak dan solat witir. Ia dinamakan tarawih kerana orang yang melakukannya akan berehat selepas setiap 4 rakaat. Ia juga dinamakan qiyam Ramadan (solat menghidupkan Ramadan)

Waktu Melakukannya
Tersebut di dalam hadis Nabi SAW menyebut (Sesiapa berdiri (beribadat) pada malam Ramadhan…-Muslim). Berdasarkan hadis ini, tempoh menunaikan solat tarawih ialah sesudah masuk waktu solat isyak sehingga sebelum masuk waktu solat subuh. Justeru itu sesiapa yang tidak dapat melakukannya pada awal malam boleh melakukannya pada pertengahan atau akhir malam

Hukum Solat Tarawih
Solat tarawih hukumnya sunat muakkad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut. Ia tidak wajib namun menjadi suatu kerugian besar jika kita tidak melakukannya tanpa keuzuran.

Sejarah Tarawih
Ummul Mukminin Aishah meriwayatkan (bahawa Rasulullah saw melakukan solat tarawih di masjid beberapa malam (ada yang mengatakan empat malam) dalam bulan Ramadan bersama-sama para sahabat- Bukhari & Muslim). Pada malam kelima dan seterusnya hingga ke akhir bulan Ramadan, Baginda melakukan ibadat ini di rumah. Ini kerana Baginda SAW bimbang para sahabat tersalah anggap dan menjadikannya sebagai solat fardu dan sudah tentu sukar bagi mereka untuk melakukannya.

Abi Zar meriwayatkan Nabi SAW bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu pertiga malam, dan pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada Baginda SAW: “Kalaulah tuan terus sempurnakan saki baki malam kami dengan solat sunat”. Maka Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat tarawih bersama imam sehingga selesai bersama imam, dituliskan baginya ganjaran seumpama bersolat sepanjang malam-Tirmizi)

Khalifah Umar bin Al-Khatab ialah orang pertama yang mengerah umat Islam menunaikan solat tarawih secara berjamaah di bawah pimpinan Ubai bin Kaab. Walau bagaimanapun ada sesetengah ulama tidak bersetuju dengan kenyataan ini kerana Rasulullah SAW terlebih dahulu bersolat tarawih secara berjemaah sebelum baginda SAW tidak mahu keluar rumah menunaikan tarawih berjamaah kerana takut solat berkenaan akan difardukan ke atas orang muslimin. Semenjak peristiwa rasulullah tidak keluar bersolat bersama-sama orang ramai menyebakan orang islam bersolat merata tempat di dalam masjid nabawi secara bersendirian. Keadaan ini berterusan sehinggalah zaman Khalifah Abu Bakar. Pada zaman Khalifah Umar barulah beliau mengumpulkan para ahli jamaah di bawah seorang imam pimpinan Ubay bin Kaab.


Cara Perlaksanaan
Solat tarawih dilakukan berjemaah pada setiap malam Ramadhan selepas solat isyak sebanyak 20 rakaat dan ditambah dengan tiga rakaat solat witir.

Walau bagaimanapun solat tarawih juga boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian. Berjamaah adalah lebih afdal merujuk kepada anjuran Rasulullah SAW. Namun jika menghadapi kesempitan untuk melaksanakannya secara berjamaah, maka dibolehkan melaksanakannya secara bersendirian. Rasulullah SAW sendiri kadang-kadang melakukannya secara berjamaah dan adakala secara bersendirian. Ini bagi memberi kelapangan bagi umat, seandainya mereka menghadapi kesempitan masa atau tenaga.

Menurut Imam al-Ghazali walaupun solat tarawih boleh dilaksanakan secara sendirian, namun berjemaah lebih afdal. Pendapat ini sama dengan pendapat Umar yang mengingatkan bahawa sebahagian solat sunat telah disyariat dalam solat berjemaah.

Dalam hadis Abu Zar yang telah lepas terdapat dua pengajaran penting. Pertamanya Rasulullah SAW tidak melaksanakan solat Tarawih berjamaah secara tetap sepanjang bulan Ramadhan. Baginda SAW melaksanakannya secara bersendirian kecuali pada beberapa malam terakhir. Tujuannya supaya umat dapat mengetahui bahawa solat Tarawih tidak semestinya berjamaah, akan tetapi boleh dilakukan sama ada secara berjamaah atau bersendirian. Perkara kedua ialah jika seseorang itu memiliki pilihan sama ada untuk melaksanakan solat Tarawih secara berjamaah atau bersendirian, lebih utama untuk dia melaksanakannya secara berjamaah berdasarkan hadis (Sesungguhnya sesiapa yang bersolat tarawih bersama imam sehingga selesai maka Allah SWT menulis baginya ganjaran seumpama bersolat sepanjang malam)

Bilangan Rakaat Solat Tarawih.
Ada 3 pendapat dalam masalah bilangan rakaat solat tarawih

Pendapat pertama:
Jumlah rakaat solat tarawih ialah 8 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir.

Pendapat kedua:
Jumlahnya ialah 20 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir. Pendapat ini bersandarkan imam Baihaqiy. Namun ada perbahasan tentang perawinya

Pendapat ketiga:
Jumlahnya tidak ditentukan. Seseorang itu bebas melaksanakan solat tarawih dengan jumlah rakaat yang dipilihnya, kemudian ditutupi dengan solat witir.

Ketiga-tiga pendapat di atas memiliki dalil dan hujah di sebaliknya dan kita boleh memilih mana-mana pendapat di atas. Yang penting, kita perlu menghormati orang lain seandainya mereka memilih pendapat yang berbeza dengan kita.

Ibnu Umar menceritakan: Seorang lelaki datang bertanya Rasulullah SAW tentang solat malam. Sabda Nabi saw (Solat malam ialah dua rakaat, dua rakaat. Apabila kamu bimbang masuk waktu subuh maka solatlah satu rakaat, menjadikan bilangan witir (ganjil) bagi rakaat yang telah engkau solat- Bukhari)

Rasulullah SAW tidak menyebut bilangan rakaat solat malam, malam pula panjang masanya, boleh dilakukan banyak solat, ini menunjukkan bahawa bilangan tidak dihadkan sekadar kepada 8 atau 20 rakaat.

Berkata Imam al-Syafie: “Aku telah melihat orang ramai mendirikan solat tarawih di Madinah 39 rakaat, di Makkah 23 rakaat, ini bukanlah satu perkara yang sempit (terikat dengan bilangan).

Katanya lagi: “Jika mereka panjangkan qiyam berdiri (dengan bacaan al-Quran), kurangkan rakaat adalah baik. Sekiranya mereka membanyakkan sujud (rakaat) dan meringankan berdiri (ringkaskan bacaan) juga adalah baik. Tetapi yang pertama adalah lebih aku sukai.”

Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar lapan rakaat. Terpulang kepada masing-masing untuk menunaikan ibadat ini mengikut kemampuan dan keikhlasan diri sendiri terhadap Penciptanya. Yang pentingnya ialah selesaikan solat bersama imam, tidak hanya setakat separuh jalan.

Masalah Selawat & Tazkirah
Rasulullah SAW melakukan solat tarawih dengan tidak melakukan sebarang bentuk tazkirah, selawat dan sebagainya di antara rakaat solat. Justeru itu perbuatan ini bukanlah wajib. Namun sementara berehat menanti rakaat yang seterusnya bolehlah para imam mengambil kesempatan untuk memberi tazkirah, peringatan dan nasihat khasnya untuk muka-muka baru yang berjinak-jinak dengan masjid di bulan Ramadan. Begitu juga dengan berselawat di antara rakaat. Perbuatan tersebut tidak wajib dan tidak menjejaskan solat tarawih kita. Namun daripada diam buat-buat bodoh atau menyambung kembali episod bersiri sesi mengumpat atau bergurau senda yang tidak perlu, lebih baik kita berzikir, berdoa, berselawat dan sebagainya.


RUJUKAN
1) al-Fiqh al-Manhajiy
2) http://www.abuanasmadani.com
3) http://hafizfirdaus.com/
4) http://al-fikrah.net/

Tiada ulasan: