Sabtu, 20 Ogos 2011
TAZKIRAH RAMADAN (8)......AIDILFITRI
TAZKIRAH RAMADAN (8)
PANITIA AGAMA ISLAM SKLR 2011
AIDILFITRI
PENGERTIAN
Perkataan aid/eid (hari raya) dalam bahasa arab berasal daripada perkataan Uud yang bermaksud berulang-ulang, iaitu peristiwa yang berulang-ulang pada setap tahun yang membawa rahmat dan menggembirakan umat islam.
Dalil disyariatkan Aidilfitri sebagai hari kebesaran bagi umat Islam adalah sebagaimana dikhabarkan oleh Anas bin Malik ra, dia berkata: (Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliyyah, maka baginda bersabda: Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua hari raya yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya aidiladha dan Aidilfitri.)
Di antara amalan-amalan sunat yang amat digalakkan ketika menyambut Aidilfitri ialah:
Bertakbir
Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Ini sebagaimana Firman Allah SWT (Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir & bertahmid) kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur-185 al-baqarah). Kita boleh mula bertakbir pada malam hari raya (anak bulan syawal kelihatan) dan berakhir ketika imam selesai dari khutbah.
Selain itu, kita juga disunatkan bertakbir sepanjang perjalanan ke tempat solat Aidilfitri. Keadaan ini berterusan sehinggalah apabila imam mula melakukan takbiratul ihram untuk memulakan solat. Bertakbir sejak mula keluar dari rumah adalah bertujuan untuk menyerlahkan syiar Islam di sepanjang perjalanan yang ditempuhi untuk menuju ke tempat solat. Takbir dillakukan dengan suara yang kuat dan ianya tidak berbeza di antara Aidilfitri dan aidiladha
Mandi Di Pagi Eid
Kita disunatkan mandi di pagi hari raya sebelum berangkat ke tempat solat. Menurut Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-majmuk: Imam al-Syafie dan rakan-rakannya mengatakan (Untuk melaksanakan solat Aidilfitri & aidiladha dianjurkan mandi. Tidak ada perbezaan pendapat di dalam masalah ini)
Memakai Pakaian Yang Indah
Sunat untuk kita menghiaskan diri dengan pakaian yang indah pada hari raya. Imam al-Syafie berkata (Saya lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dia miliki pada hari-hari raya iaitu hari Jumaat, dua hari raya dan tempat-tempat keramaian. Hendaklah dia memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian)
Menurut huraian para ulama, kaum perempuan digalakkan hadir mengerjakan solat hari raya di musalla. Mereka dikehendaki memakai pakaian yang sederhana dan tidak berhias apatah lagi memakai bau-bauan.
Makan Sebelum Ke Tempat Solat
Kita disunatkan makan sebelum keluar ke tempat solat. Sementara pada hari raya haji, disunatkan menahan diri daripada makan sehingga balik daripada solat. Ini bertujuan untuk menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya.
Rasulullah SAW makan kurma dalam jumlah yang ganjil di pagi hari raya. Dari Anas bin Malik ra katanya (Rasulullah SAW tidak pergi ke musalla pada pagi Aidilfitri hingga baginda makan beberapa buah kurma… Rasulullah SAW memakannya di dalam jumlah yang ganjil- Bukhari)
Berjalan Kaki Ke Tempat Solat
Dianjurkan berjalan kaki menuju ke musallah (jika boleh). Imam al-Syafie di dalam kitabnya mengatakan bahawa al-Zuhri pernah berkata (Rasulullah SAW tidak pernah naik kenderaan baik ketika solat hara raya ataupun solat jenazah)
Mengikuti Jalan Yang Berbeza Ketika Pergi & Kembali Dari Tempat Solat
Disunnahkan bagi kita mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari menunaikan solat Jabir bin Abdullah berkata: Nabi SAW melalui jalan yang berbeza pada hari raya.
Sesetengah ulama mengatakan bahawa hikmah Rasulullah SAW melakukan perbuatan sedemikian ialah supaya dapat bersalaman dengan orang yang lebih ramai di kedua-dua jalan tersebut berbanding dengan satu jalan sahaja, atau dapat memberikan pertolongan dan bantuan kepada orang yang memerlukan atau dapat menunjukkan syiar Islam. Namun sesetengah ulama lebih cenderung mengatakan bahawa hikmahnya adalah untuk memperbanyakkan langkahan kaki menuju dan kembali dari masjid. Orang yang berjalan ke tempat solat, maka langkahan kakinya akan meninggikan darjatnya dan menghapuskan dosa-dosanya
Imam al-Syafie di dalam kitabnya al-Umm mengatakan bahawa seorang imam dan makmum disunnahkan untuk mengikuti jalan yang berbeza dengan jalan waktu pergi ketika pulang dari solat hari raya. Demikian juga pendapat majoriti pengikut mazhab Syafi’i.
Solat Aidilfitri
Hukumnya melakukannya ialah sunat muakkad. Baginda SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula difardukan sehinggalah kewafatannya. Ia dituntut supaya dilakukan secara berjemaah. Namun jika seseorang melakukannya secara bersendirian ia tetap sah. Tuntutan ini merangkumi semua orang Islam yang berakal samada lelaki atau perempuan, orang yang bermukim atau bermusafir dan sebagainya kecuali orang perempuan yang berperhiasan, dia bolehlah melakukannya di rumah. Ini berdasarkan hadis Umm Atiyyah ra (kami diperintahkan supaya keluar pada hari raya, sehingga kami disuruh membawa bersama anak-anak dara dan perempuan yang haid lalu mengambil tempat di belakang orang ramai (bukan tempat solat). Mereka bertakbir dan berdoa bersama orang ramai dalam keadaan mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciaanya- Bukhari & Muslim).
Waktu melakukannya bermula dengan terbit matahari sehingga gelincir. Waktu yang paling afdal ialah ketika matahari naik segalah kerana itulah waktu yang selalu didirikan solat oleh Baginda SAW.
Disunatkan melambatkan sedikit waktu solat Aildilfitri berbanding solat sunat Aidiladha. Ianya bertujuan memberi masa tambahan kepada mereka yang masih belum membayar zakat fitrah. Sementara solat Aidiladha dilakukan lebih awal untuk memberi masa yang lebih luas kepada orang yang hendak menyembelih korban. Kebiasaanya waktu solat Aidilfitri dilakukan sekitar jam 8.30 pagi dan aidiladha sekitar jam 8.00 pagi
Selain itu, para jemaah juga disunatkan hadir ke masjid lebih awal. Bagi imam, disunatkan melambatkan kehadirannya kerana sebaik sahaja imam sampai di masjid maka solat akan didirikan dan dia akan terus mengimamkan solat.
Tempat Solat Hari Raya
Solat hari raya boleh didirikan di masjid atau di tempat lapang seperti Stadium Sultan Muhammad ke IV. Dalam situasi di Mekah, mendirikan solat hari raya di Masjid Haram lebih afdal dengan ketiadaan khilaf.
Jika di tempat lain selain daripada Mekah, ada ulama mengatakan lebih afdal mengerjakannya di tanah lapang dan ada pula yang mengatakan lebih afdal di masjid.
Dalam mazhab Syafie, lebih afdal mengerjakan solat hari raya di masjid jika masjid sesebuah kampung itu luas dan dapat menampung para jemaah. Ini kerana masjid masjid mempunyai kemuliannya melebihi tempat lain dan para jemaah juga boleh beriktikaf. Sebaliknya jika masjid sesebuah kampung itu sempit dan tidak dapat memenuhi keperluan jemaah hukumnya bertukar menjadi makruh. Pada masa itu, para jemaah boleh mengerjakannya di tanah lapang jika tiada halangan lain seperti hujan dan sebagainya
RUJUKAN
Al-fiqh al-Manhajiy
Mastika Hadis (jilid ketiga)
http://www.hafizfirdaus.com
http://soaljawab.wordpress.com
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan