Jumaat, 30 Januari 2026

antara kelebihan si alim berbanding si abid

 

 

antara kelebihan si alim berbanding si abid

 

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ، وَأَهْلَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرَضِينَ، حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا، وَحَتَّى الْحُوتَ، لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ

 

(…….Sesungguhnya Allah, para malaikat, para penghuni langit dan bumi, bahkan semut di dalam lubangnya dan ikan di laut, semuanya berselawat (mendoakan) ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.- Tirmiziy) ada perbahasan tentang hadis ini

 

Abu Umamah al-Bahili menceritakan bahawa dua orang lelaki telah disebut kepada Rasulullah SAW. Seorang ahli ibadah atau disebut abid dan seorang lagi lelaki yang berilmu atau disebut alim. Persoalannya adakah mereka berada pada kedudukan yang sama dari segi kelebihan dan ganjaran? Kalau tengok pada zahir masing2 ada kelebihan. Si abid tadi kuat beramal, sementara si alim banyak ilmunya. So adakah mereka akan mendapat kedudukan atau ganjaran yang setara?

 

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa si alim tadi mempunyai kelebihan berbanding dengan si abid. Alim yang dimaksudkan di sini ialah orang yang memiliki ilmu agama dan beramal dengan ilmunya. Kiranya si alim ni seorang yang tahu dan beramal dengan ilmunya. Dia juga merendah diri, menjaga hubungannya dengan Allah dan makhluk. Sementara maksud abid ialah ahli ibadah yang kuat dan sentiasa beribadah.

 

Kalau jenis alim yang tidak beramal dengan ilmunya seperti mengajar atau menyeru orang buat kebajikan (di depan orang), namun dia rupanya seorang penzina, baham duit masjid, bawa lari duit koperasi atau duit NGO, tu tak termasuk la dalam makna perkataan alim ni.

 

Baginda SAW menyambung lagi bahawa perbezaan antara si alim dan si abid seperti kelebihanku terhadap orang yang paling kerdil di kalangan kamu. Nak citer bahawa besarnya ganjaran si alim tu. Nabi SAW sebut umpama kelebihan beliau SAW dengan sahabatnya yang paling kerdil. Harus diingat bahawa para sahabat ni semuanya orang hebat. Nabi SAW dalam hadis lain melarang kita mencela atau mencerca sahabat. So hadis ni bukanlah nak merendahkan para sahabat tapi nak citer besarnya kelebihan atau jurang si alim dan abid (dalam makna tadi) umpama kedudukan Nabi SAW dan sahabat yang paling kerdil

 

Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi bahawa Allah, para malaikat, para penduduk langit dan para penduduk bumi termasuk jin, haiwan bahkan semut di dalam lubang atau sarangnya dan ikan yang hidup kat dalam laut mendoakan kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia. (Kebaikan yang dimaksudkan di sini ialah ilmu agama yang bermanfaat bagi manusia).

 

Kita tak tahu berapa ramai makhluk Allah tak kiralah samada makhluk di langit atau di bumi. Hadis ini menjelaskan bahawa mereka semua berdoa kepada orang yang mengajarkan kebaikan. Nak cakap besarnya ganjaran. Rugi kalau kita hanya belajar namun tak berusaha sebarkan apa yang kita belajar.

 

Hadis ini menunjukkan keunggulan ilmu kerana manfaatnya tersebar luas. Sementara ibadah agak terbatas hanya untuk si pelaku sahaja. Bukanlah bererti bahawa ibadah tak penting, bukan begitu. Ilmu dan ibadah sama penting. Cuma ilmu si alim dan ibadah si abid dalam perbahasan ini harus difahami sebagaimana pengertian di atas

 

Justeru itu, marilah kita sama2 belajar  dan berusaha untuk menyebarkan kebaikan. Moga2 dengan ilmu dan kebaikan yang kita ajar, kita akan dapat pahala berterusan. Moga2 kita termasuk dalam mereka yang didoakan oleh Allah dan makhluknya samada di langit atau di bumi

 

 

Khamis, 22 Januari 2026

Ringkasan Israk Mikraj

 

Israk

Israk merupakan perjalanan Nabi Muhammad SAW pada waktu malam dari Mekah ke Majid al-Aqsa di Palestin. Perjalanan ini merupakan suatu mukjizat agung Baginda SAW setelah melalui pelbagai ujian dan halangan sebelumnya.

 

Dalam peristiwa Israk, Jibril datang bersama Buraq yang akan menjadi tunggangan Baginda SAW dalam perjalanan ini.

 

Buraq

Buraq berwarna putih. Lebih kecil daripada kuda dan besar daripada baghal. Sekali perjalanan sejauh mata memandang. Nabi Muhammad SAW mengikat buraq di pergelangan pintu masjid Aqsa.

 

 

Kisah Abu Sufyan & Hercules

Pernah ketika kedatangan Abu Sufyan ke Syam telah didengari oleh Hercules, pemerintah tempatan pada masa itu. Lalu Hercules memanggil peniaga yang berasal dari Mekah lalu ditempatkan di dalam sebuah dewan. Raja Hercules bertanya kepada Abu Sufyan tentang nabi yang telah dibangkitkan. Semua  yang Abu Sufyan sebut tentang Muhammad SAW dibenarkan oleh peniaga dan orang-orang Mekah yang ada bersama. Namun ada suatu perkara yang dirasakan terlalu pelik iaitu tentang dakwaan Baginda SAW bahawa beliau datang ke masjid Aqsa dari Mekah hanya pada satu malam.

 

Kisah ini ini walau bagaimanapun disokong oleh seorang Pendita. Pendita  berkenaan menceritakan bahawa pada suatu malam pintu masjid tidak dapat ditutup. Pada mulanya dia menyangka bahawa pintu itu rosak. Setelah diperiksa oleh tukang pintu ternyata pintu itu berkeadaan elok. Tiada sebarang kerosakan. Pendita ini mengatakan bahawa kebiasaanya apabila pintu masjid tidak dapat ditutup, ada nabi yang ingin datang ke sini.

 

Setelah berfikir sedalamnya, Hercules meminta cadangan dan buah fikiran pendita dan pembesar mereka. Hercules mengatakan keinginanya untuk mengikuti agama yang dibawa Muhammad. Namun para pendita dan pembesar mereka tidak bersetuju dan Hercules kekal dengan agama asal mereka

 

Cerita pintu masjid ini menjadi bukti kedatangan Nabi Muhammad SAW ke Masjid Aqsa.

 

Dalam masjid baginda menjadi imam solat bagi nabi-nabi yang lain. Selesai solat, Jibril membawa bekas berisi arak dan susu untuk dipilih sebagai minuman oleh baginda. Baginda lalu memilih susu.

 

Mikraj

Apabila tiba di langit pertama, Jibril minta izin untuk masuk daripada penjaganya. Setelah Jibril memberitahu bahawa orang istimewa bersamanya adalah Muhammad SAW, lalu penjaga pun membuka pintu untuk mereka masuk.

 

Di langit pertama Nabi Muhammad SAW berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Nabi Adam mendoakan kebaikan untuk Nabi Muhammad SAW. Apabila tiba di langit seterusnya, Nabi Muhammad SAW berjumpa dengan Nabi Isa, Nabi Yahya, Nabi Idris, Nabi Harun dan Nabi Ibrahim a.s. Pertemuan dengan nabi-nabi sebelumnya bagaikan memberi suatu suntikan semangat kepada Nabi Muhammad SAW.

 

Seterusnya Baginda SAW naik ke Sidratul Muntaha. Nabi melihat daun yang ada di situ seperti telinga gajah. Sementara buahnya seperti labu besar. Tiada makhluk Allah yang boleh menerangkan kecantikan apa yang dilihat oleh Baginda SAW.

 

Seterusnya Allah memfardukan ke atas baginda SAW kewajipan solat sebanyak 50 waktu sehari semalam. Dalam perjalanan turun, Baginda SAW berjumpa dengan Nabi Musa as. Nabi Musa menasihati Baginda SAW supaya memohon agar dikurangkan bilangan solat. Lalu Baginda SAW memohon supaya dikurangkan bilangan solat lalu diperkenankan permohonan Baginda SAW sehinggalah kepada 5 waktu. Peristiwa ini berulang sehingga kekal jumlah waktu solat kita sebagaimana ada pada hari ini

 

Pesanan Nabi Ibrahim

Ketika di langit, Baginda SAW sempat berjumpa dengan Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim berpesan bahawa syurga merupakan bumi yang cantik dengan tanah luas yang kosong. Justeru itu, hiasilah syurga dengan zikir subhanallah, Alhamdulillah, la ilaha illa Allah dan Allahu akbar. Zikir sebegini umpama landscape di dalam syurga kelak

 

Nabi Muhammad SAW juga sempat melihat rupa asal Jibril a.s yang mengandungi 600 sayap. Satu sayapnya berjarak antara langit dan bumi. Ini adalah kali kedua Nabi Muhammad SAW melihat jibril dalam rupanya yang asal (kali pertama semasa turun wahyu).

 

Pasca Israk & Mikraj

Keesokan harinya Nabi Muhammad SAW berjumpa dengan Abu Jahal. Seperti biasa Abu Jahal akan mengajukan soalan provokasi dengan bertanya adakah ada berita baru yang ingin disampaikan. Setelah baginda menerangkan ada berita baru lalu Abu Jahal mengumpulkan penduduk Mekah untuk mendengar cerita baru ini. Lalu Nabi Muhammad SAW menceritakan pertistiwa Israk Mikraj. Mereka juga bertanya kepada nabi perihal masjid aqsa seperti bilangan tiang masjid dan sebagainya. Kesemua soalan mereka dapat dijawab oleh baginda SAW.

 

Hikmah Israk Mikraj

Peristiwa agung ini merupakan suatu mukjizat untuk Rasulullah SAW. Apabila disebut mukjizat, ia bukan lagi dapat diukur secara saintifik dan empirikal seperti biasa. Ia menjadi suatu ujian keimanan terhadap kita semua.

 

Semoga kita semua dapat mencontohi Abu Bakar al-Siddiq dalam hal ini. Sebaik sahaja Abu Bakar mendapat berita perjalanan agung Baginda SAW, beliau tetap mempercayainya bahkan berkata kalaulah benar Muhammad yang mengatakannya, kalau lebih daripada itu sekalipun aku akan tetap mempercayainya..