Sabtu, 3 Oktober 2009

panduan ringkas tentang perceraian......khuluk

KHULUK
4.1 Pengertian Khuluk
Khuluk bermaksud perceraian yang diminta oleh isteri dengan membuat gantirugi (bayaran) kepada suami. Cara ini juga dipanggil tebus talak. Cerai secara khuluk (tebus talak) berlaku di mana seorang isteri yang sudah tidak berminat dengan suaminya lagi walaupun suaminya itu seorang yang baik, maka dia boleh dengan izin mahkamah dan persetujuan suami membayar sejumlah harta kepada suaminya untuk mendapatkan cerai. Kadar jumlah ditentukan oleh pihak mahkamah

Bagi pasangan suami isteri yang bercerai secara tebus talak, suami tidak boleh merujuk kembali bekas isterinya. Jika suami ingin kembali kepada isteri atau sebaliknya mereka perlu bernikah semula dengan akad yang baru. Bayaran khuluk tidak ditentukan nilainya. Suami tidak sewajarnya mengambil kesempatan untuk mendapatkan bayaran yang terlalu tinggi daripada isteri.

Perpisahan antara suami dengan isteri melalui tebus talak samada dengan menggunakan lafaz talak atau khuluk. Khuluk merupakan perceraian yang disertakan dengan bayaran tertentu oleh pihak isteri di mana suami enggan melafazkan cerai, tetapi hanya bersetuju sekiranya dia dibayar. Maka suami hendaklah menceraikan isterinya setelah si isteri membayar dengan jumlah atau harta yang telah ditentukan.

4.2 Hukum Khuluk
Hukum melakukan khuluk ialah harus. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, sama ada waktu suci atau waktu iddah. Hukum khuluk berdasarkan firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 229 yang bermaksud:

‘Tidak halal bagi kamu mengambil apa-apa yang telah kamu berikan kepada mereka suatu jua pun, kecuali jika takut kedua-duanya tidak akan mengikut peraturan ALLAH S.W.T . Jika kamu takut bahawa tidak akan mengikut peraturan ALLAH maka tiadalah berdosa kedua-duanya tentang barang yang jadi tebus oleh perempuan.’

4.3 Penjelasan Mengenai Khuluk (Tebus Talak)
1) Bayaran tebus talak bergantung kepada persetujuan bersama antara suami dan isteri yang ingin bercerai
2) Contoh lafaz khuluk ialah kata suami kepada isterinya: ‘Saya ceraikan kamu dengan bayaran sebanyak RM 10 000.’ Jawab isterinya: ‘Saya menerimanya’.
3) Apabila suami melafazkan demikian dan isterinya menyahut tawaran itu, dengan serta merta jatuhlah talak dengan khuluk dan isterinya wajib beriddah.
4) Bayaran khuluk boleh juga dengan barang-barang yang bernilai seperti rumah, tanah, kereta dan sebagainya.
5) Apabila berlaku khuluk, suami isteri tidak boleh rujuk kembali kecuali akad nikah semula.

4.4 Tujuan Khuluk
1) Memelihara hak-hak wanita.
2) Menolak bahaya kemudaratan yang bakal menimpanya.
3) Memberi keadilan kepada wanita yang cukup umurnya melalui keputusan mahkamah.

Tiada ulasan: