Sabtu, 3 Oktober 2009

panduan ringkas tentang perceraian......fasakh



FASAKH
3.1 Pengertian Fasakh
membatalkan nikah dengan kuasa kadi disebabkan tidak memenuhi syarat syarat pada masa akad nikah atau berlaku perkara yang membolehkan isteri atau suami menuntut cerai . Hukumnya harus bila ada sebab

Fasakh boleh berlaku apabila salah satu pasangan memohon membatalkan perkahwinan kepada mahkamah dengan sebab terdapat kecacatan di pihak yang satu lagi yang tidak diketahuinya sebelum bernikah seperti gila, AIDS, sopak, mati pucuk dan seumpamanya. Jika mahkamah berpuashati, maka mahkamah akan memfasakhkan perkahwinannya.

Aib yang dibolehkan fasakh perkahwinan terbahagi kepada 2:
1) aib yang menghalang persetubuhan seperti zakar terputus, mati pucuk, faraj yang tersumbat oleh tulang atau daging.
2) aib yang tidak menghalang persetubuhan yang merupakan penyakit yang menjijikkan atau berbahaya yang tidak mungkin diterima kecuali sanggup menghadapi mudaratnya seperti kusta, sopak, gila dan sebagainya.

3.2 Jenis Aib Suami Isteri
1) aib yang dihidapi oleh suami atau isteri seperti kusta, sopak dan gila
seseorang yang mendapati pasangannya gila, kusta, sopak dan sebagainya boleh memfasakh perkahwinannya. Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn Umar, Nabi SAW mengahwini seorang wanita keturunan Ghifar. Apabila dia dibawa masuk menemui Nabi SAW, Baginda terlihat sopak di rusuknya lalu Baginda bersabda, pakailah baju dan baliklah kepada keluargamu. Baginda juga bersabda kepada keluarga perempuan itu, kamu telah menyembunyikan aibnya.

2) aib yang khusus kepada isteri seperti faraj tersumbat oleh tulang atau daging
suami yang mendapati faraj isterinya tertutup oleh tulang atau daging boleh memfasakhkan perkahwinannya. Ini kerana penyakit tersebut menghalang persetubuhan yang merupakan tujuan perkahwinan

3) aib yang khusus kepada suami seperti zakar terputus atau mati pucuk
isteri yang mendapati zakar suaminya telah terputus atau mati pucuk berhak memfasakhkan perkahwinannya. Hal ini disepakati oleh ulama kerana aib tersebut menghalang maksud perkahwinan. Walau bagaimanapun mati pucuk yang berlaku selepas persetubuhan menggugurkan hak isteri untuk memfasakhkan perkahwinan kerana tujuan perkahwinan iaitu mas kahwin dan persetubuhna telah sempurna sebelum berlaku aib tersebut.

3.3 Aib Yang Boleh Dirawat
Faraj yang tersumbat oleh tulang atau daging yang boleh dirawat melalui pembedahan dengan persetujuan isteri maka suami tidak lagi berhak memilih untuk memfasakh perkahwinan. Begitu juga penyakit seperti gila, sopak, kusta dan sebagainya yang boleh dirawat melalui kaedah perubatan moden. Ini kerana sebab yang membolehkan fasakh telah gugur

3.4 Hak Wali Memfasakh Perkahwinan
Wali bagi perempuan berhak memfasakh perkahwinan jika mendapati aib pada suami wujud sebelum akad nikah, samada perempuan itu bersetuju atau pun tidak. Walau bagaimanapun wali tidak berhak memfasakh perkahwinan bagi aib yang berlaku selepas persetubuhan. Wali juga tidak boleh memfasakh perkahwinan bagi aib mati pucuk atau zakar terpotong semasa akad nikah

3.5 Fasakh Dilakukan Dengan Segera
Pilihan untuk memfasakh perkahwinan dengan aib yang dinyatakan hendaklah dilakukan dengan segera. Ini kerana fasakh disebabkan aib, suami isteri hendaklah segera menyatakan ketidakredaannya dengan membawa perkara itu ke mahkamah dengan menuntut fasakh. Jika seorang daripada pasangannya itu mengetahui aib pasangannya tetapi mendiamkannya, maka gugurlah haknya untuk menuntut fasakh kecualilah dia tidak mengetahui haknya itu. Dalam kes tidak mengetahui haknya itu, hak untuk menuntut fasakh tidak gugur.

3.6 Permohonan Fasakh Perlulah Dikemukakan Kepada Hakim
Suami atau isteri tidak boleh memfasakh perkahwinannya disebabkan aib tersebut bersendirian. Mereka mestilah membawa perkara itu ke mahkamah untuk menuntut fasaskh

3.7 Mati Pucuk
Jika suami mati pucuk, hakim hendaklah memberi tempoh selama setahun Qamariyyah. Ini kerana mati pucuk berkemungkinan boleh sembuh dengan perubahan musim. Jika aib itu hilang dalam tempoh tersebut, maka perkahwinan diteruskan. Jika tidak sembuh, hakim hendaklah memfasakh perkahwinan itu.

Semua jenis aib boleh disabitkan dengan pengakuan dan laporan doktor. Namun dalam masalah mati pucuk, ianya perlu disabitkan dengan pengakuan suami di hadapan hakim, atau dengan sumpah isteri apabila suami enggan bersumpah atau menafikan dirinya mati pucuk ketika diminta oleh hakim berbuat demikian

Tiada ulasan: